Berita Sosial

30 Minit Dalam Longkang, Niatnya Nak Selamatkan Kucing Tapi Jadi Tragedi

Share

Simpati dengan apa yang berlaku, niat murni pencinta haiwan nak selamatkan kucing jadi tragedi apabila dia terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir empat meter dalam kejadian di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, Melaka.

30 Minit Dalam Longkang

Apa yang menyedihkan, mangsa lelaki berusia 32 tahun mengalami cedera kaki kanan dan terperangkap hampir 30 minit ke longkang sebelum disedari orang awam.

Menerusi portal Sinar Harian, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.58 pagi sebelum sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil bersama bantuan Balai Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi.

Niatnya Nak Selamatkan Kucing Tapi Jadi Tragedi

Menurutnya, dipercayai mangsa cuba menyelamatkan seekor kucing yang berada di kawasan semak berbukit di belakang rumahnya ketika cuaca mendung dan hampir hujan.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

BACA ARTIKEL: Isteri Heret Suami Ke Mahkamah, Terlampau Lebihkan Kucing

“Operasi menyelamat segera dijalankan sebelum mangsa berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa dibawa naik menggunakan teknik hauling dengan bantuan Sked Stretcher untuk proses mengangkat mangsa.

Ujarnya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.41 tengah hari sebelum tamat sepenuhnya kira-kira 25 minit kemudian.

Kadang-kadang begitulah, diuji waktu melakukan kebaikan. Apa pun, didoakan semoga lelaki itu cepat baik dan digandakan rezeki lain atas kebaikan hatinya.

Published by
Nadia Mohamad