Anak-anak paling liat nak suruh mandi. Sampai berbuih mulut mak ‘sekejap!’ ‘Nanti!’ Itulah jawapan yang keluar dari mulut anak. Mak pandang anak atas bawah.. berbulu je tengok. Jangan marah-marah, sebenarnya ada cara nak bagi anak seronok mandi tanpa di suruh.
1. Sabun Luar Biasa
Tak ada pun sabun luar biasa tapi mak boleh jadikan ia luar biasa dengan kuasa kata-kata. Beritahu pada anak, badan kita penuh dengan kuman. Setiap mak ada handphonekan?, Google gambar kuman. Tunjukkan dekat anak betapa ngerinya rupa kuman.
Beritahu, kalau tak mandi inilah kuman yang akan makan badan kita. Barulah masuk cerita sabun luar biasa. Sabun saja boleh bunuh kuman. Tapi kalau tak mandi macam mana kuman nak mati. Buat anak berfikir!
Ads
2. Alatan Mandi Comel
Anak-anak ini sifatnya suka yang comel, cantik, berwarna warni. Jadi belikanlah alatan yang mengikut kesukaannya. Bila anak-anak seronok, tanpa di suruh pun dia akan masuk bilik air.. mandi, sebabnya nak main dengan alatan kesukaannya itu.
Ads
3. Baju Khas Istimewa
Buat anak rasa masuk bilik air itu macam nak mandi di pool atau tepian pantai. Siapkan mereka dengan baju mandi yang istimewa. Jangan lupa ajar cara-cara mandi yang betul. Gosok badan berdaki, sabun seluruhnya, gosok gigi, bersyampu dan bilas sampai bersih. Lap badan guna tuala sampai kering. Pijak kaki dekat alas kaki, dah kering barulah bergerak.
Ads
Penting Mak Kena Buat..
Paling utama, masa anak mandi mak kena pantau. Jenguk selalu sebabnya dalam bilik air pun macam-macam bencana boleh berlaku. Buat juga langkah keselamatan supaya menghindar si kecil dari bahaya dalam bilik air. Misalnya letak alas pemijak bergetah.
Mentua, acapkali dikategorikan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan. Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mentua adalah satu kelebihan kerana anda mempunyai dua orang ibu. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu yang disayangi dan ibu mentua yang dibanggakan?
Bagi menjadikan diri sebagai menantu kesayangan dan mentua yang dibanggakan; perlulah ada pengorbanan. Masing-masing perlu bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi.
Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mentua. Ibu mentua anda adalah seperti ibu anda sendiri yang perlu dihormati dan disanjungi.
Walaupun anda bukanlah menantu pilihan, anda perlu lebih mendedahkan diri kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan diterima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insya-Allah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan anda, mentua akan menerima anda dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, anda adalah menantu kesayangannya.
Sebagai mentua pula, anda juga perlu lebih bersikap terbuka. Sebagai orang yang lebih tua, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu anda walau dia bukan pilihan hati anda. Anda perlu tahu dan ingat, isteri anak anda berperanan membahagiakan kehidupan anak anda. Apabila anda campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak anda itu. Namun begitu, bukan bererti anda hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak anda dan minta anak anda lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumah tangga mereka.
Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mentua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapanya. Apabila seorang lelaki atau wanita menerima kehadiran seseorang sebagai pasangan hidupnya, seharusnya juga dia menerima ahli keluarga pasangannya itu terutamanya kedua ibu bapa pasangannya seperti ibu bapanya sendiri. Samalah juga dengan ibu bapa; mereka seharusnya menerima pasangan hidup anak mereka bagai anak sendiri. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mentua, takkan timbul masalah di dalam hubungan antara menantu dan mentua, tak kiralah tinggal serumah dengan mentua ataupun tidak.
Isu persaingan antara menantu dan mentua tidak akan timbul sekiranya mentua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mentua dan ibu; dan menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri. Sebagai seorang mentua dan seorang ibu, anda mempunyai peranan untuk memastikan menantu anda mampu membahagiakan hidup anak anda.
Anda perlu pastikan segala tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dilakukan oleh menantu anda sebaiknya agar hak anak anda tidak terabai. Jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah menantu anda sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.
Tidak perlu timbul juga soal kasih anak anda beralih arah kerana anak anda akan tetap menjadi anak anda walau apa pun keadaan dan statusnya. Perlu diingat, terdapat perbezaan kasih dan sayang antara seorang ibu dan ayah kepada seorang anak, begitu juga kasih dan sayang antara seorang suami dan isteri. Anak anda mengasihi menantu anda sebagai isterinya atau suaminya, kasih sayang anak anda kepada anda pula adalah kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapanya.
Walau sebaik mana pun anda memainkan peranan anda sebagai seorang ibu atau bapa, anda masih tidak mampu menjalankan peranan yang mampu dimainkan oleh menantu anda iaitu menunaikan kehendak batin anak anda. Lantaran itu, berlapang dada lah menerima kehadiran menantu anda ke dalam hidup anak anda.
Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mentua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Ingatlah, ibu dan bapa pasangan andalah yang memelihara, menjaga dan membesarkan pasangan anda hingga mampu menjadi teman hidup anda. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra.
Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu dan bapanya dengan sebaik-baiknya maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat, insya-Allah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cuti sekolah kali ini, kebetulan jatuh hari lahir anak. Mak-mak mesti ‘super excited’ nak raikan hari bahagia mereka. Tapi bajet tak berapa nak ada, sebab bukan murah nak beli barang-barang ‘party’ hari jadi.
Ada cara yang mak-mak boleh buat. Walaupun cuma idea bajet, sebenarnya majlis hari lahir anak masih boleh diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan.
Suri rumah merangkap ibu anak enam, Zaila Mohamad, berkongsi bagaimana rancang majlis hari lahir anak dengan cara bajet tapi meriah. Ini idea yang Puan Zaila dipraktikkan:
Ada kawan bertanya “Macamana eh kau buat majlis, sudahlah masak sendiri lepas tu ada anak kecil lagi?”. Maka, aku pun terfikir untuk kongsikan tips untuk menganjurkan majlis harijadi versi budget. Biasalah, buat sekadar untuk suka-suka gembirakan anak-anak. Buat majlis budget ni jangan ada protokol sangat dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada seperti makanan tidak cukup atau makanan terlebih (yang ni takpe, boleh simpan dalam peti dan esoknya makan sampai lebam).
Ok pertama sekali kena pilih tarikh yang sesuai. Bila dah pilih tarikh tu dah boleh mula merancang menu, deko-deko sikit dan tempahan kek.
Kalau sudah namanya majlis ‘budget’ maka janganlah berangan nak lantik ‘party planner’ untuk majlis ini. Semuanya perlu disiapkan sendiri. Kalau tak nak rasa duit habis sedebuk, apakata barangan seperti goodies anak-anak, barang untuk deko-deko tu beli awal-awal.
Boleh beli di fanpage Barangan Parti Harijadi. Sebab kat situ harga boleh tahan murah-murah dan kebanyakan tema kartun seperti Avengers, Frozen, Pokemon, Ultraman, Cars dan macam-macam lagi pun ada.
Lepas tu sediakan ‘budget’ untuk kek juga sebab kalau majlis harijadi takde kek tak bestlah kan. Kalau nak jimat boleh buat sendiri tapi kes aku ni Husna nasihatkan “mama beli aje sebab mama tak pandai buat kek“. Ha.. ha.. ha.. Untuk majlis ini aku tempah sebiji kek seberat 2kg, kalau beli kek kecil pastikan beli 2 biji atau lebih. Nanti tak cukup kesian pula tetamu.
Untuk beli bahan-bahan mentah tu peruntukan dalam RM200 dan RM100 untuk beli barangan seperti pinggan mangkuk plastik, cawan, sudu garfu dan plastik sampah. Sebenarnya tak sampai pun kalau tahu beli di tempat yang murah.
Selalunya majlis harijadi orang akan buat waktu petang jadi boleh sediakan pasta seperti makaroni goreng atau bihun goreng atau mee goreng tapi aku derhaka haritu sediakan menu nasi kerabu dan kue teow goreng. Maklumlah nasi kerabu ni “all time faveret” bila buat makan-makan mesti ada menu ini. Sihat lagi mudah! Caranya aku siapkan bahan-bahan kering seperti sambal nyior tu pada malam sebelum majlis lagi.
Pada hari kejadian hanya sediakan nasi (masak dengan Noxxa Pressure Cooker 8 min sahaja uols) dan ulaman hiris banyak-banyak terus. Untuk lauk aku beli 2 ekor ayam untuk goreng sahaja. Kata versi budget kan 😛 Untuk anak-anak pula siapkan keropok goreng dan nuget serta air koktel. Budak-budak main je lebih.
Tapi untungnya haritu kakak ipar datang bawakan kuih, ada yang bawa buah-buahan, sosej dan anak-anak buah pula siapkan air minuman detoks, maklumlah kami buat majlis sampai ke malam disusuli dengan bbq bersama keluarga.
Kalau nak bagi mudah, sila buat senarai bahan-bahan mentah dan kering untuk dibeli siap-siap. Jadi bila keluar membeli barangan tu takdelah terambil benda yang tak diperlukan. Ingat, versi ‘budget’ kena ikut ‘budget’ betul-betul.
Lokasi tu sudah semestinya rumah sendiri lah kan, jangan berangan pula nak buat di hotel atau kolam renang atau dewan (kecuali kalau ada orang yang sponsor). Jadi, pastikan kerusi dirapatkan dan ada ruang kosong untuk anak-anak duduk bersila.
Meja untuk letak kek pun jangan letak sekali dengan meja makanan nanti serabut. Maklumlah zaman sekarang orang ada buat “candy buffetlah apa” tapi aku tak buat pun.
Hanya sekadar buat dekorasi belakang tabir bertemakan Avengers dengan belon dan ada kek sahaja. Kan versi budget, bukan versi artis.
Mental dan fizikal kena bersedia. Kalau majlis harijadi ni sudah tentulah kita nak bahagiakan anak-anak jadi sediakan goodies untuk mereka. Kalau boleh kurangkan bagi gula-gula tapi pilihlah makanan yang sihat. Aku bagi keropok TAM-TAM (hehe takdelah sihat mana tapi teringat kenangan waktu sekolah dulu mesti beli keropok ini). Oh pastikan plastik sampah beli yang besar dan letak di mana-mana aje kerana mesti akan terdapat sampah merata-rata.
Kalau buat majlis di rumah sudah tentunya kebersihan memang perlu dititiberatkan juga. Bagi aku, selepas siap masak tu pastikan basuh terus periuk atau kuali dan jangan tinggalkan di dalam sinki. Nanti bila tetamu mula datang dan percayalah sinki kita akan penuh dengan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh tetamu.
Lagi satu pastikan juga kain lap yang bersih disediakan, ini penting apabila terjadinya air tumpah atau sisa kuah tumpah atas lantai atau meja. Kalau boleh sisa makanan kering dibuang dalam plastik sampah dan sisa makanan basah tu kena asingkan dan cepat-cepat buang bagi mengelakkan dari berbau.
Apabila tetamu dah pulang, mula-mula tarik nafas dulu dan perlahan-lahan kemaskan dapur, basuh bekas-bekas makanan dan mop lantai. Kalau tak larat, tidur dulu baru kemas esoknya.
Dalam menganjurkan majlis memang kita tak boleh lepas dari melakukan pelbagai kesilapan tapi anggap itu sebagai dugaan dalam ingin menggembirakan hati orang. Memang terasa penat tapi satu kepuasan apabila tetamu datang dan pulang dengan perut yang kenyang (kalau hak tak makan tu mereka dietlah tu).
Insya-Allah semoga diberikan rezeki duit, masa dan tenaga untuk menganjurkan majlis lagi. Tak semestinya kena buat “grand” tapi cukuplah sekadar semampu mungkin dan ikhlaskan diri untuk membahagiakan insan yang tersayang.
Sumber: Zaila Mohamad
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jangan tak tahu, nak mandikan bayi pun ada caranya. Kalau ikutkan, ramai orang terlepas pandang dan ramai yang suka gunakan kapas lembab untuk lap najis bayi tanpa mencuci dengan air.
Itu belum lagi cerita bab sesetengah orang yang main belasah mandikan anak dengan air sejuk!
Tolonglah ibu ayah, apabila memandikan bayi janganlah terus masukkan badan bayi ke dalam tab. Cuci dahulu kemaluan bayi depan dan belakang menggunakan air mengalir supaya bersih. Tujuannya apabila memasukkan bayi dalam tab, air mandian tidak menjadi air najis, yang mana kesan kemaluan bayi yang beristinjak tidak dicuci dengan air. Nak tahu cara mandikan bayi lebih tepat, ikut tip ini…
Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.
Seeloknya mandikan bayi pada waktu Dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.
Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.
Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.
Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.
Mungkin anda rasa ibulah yang terbaik mandikan anak tetapi sebenarnya eloklah tugas memandikan bayi ini dilakukan golongan ayah. Jangan lupa, sambil memandikan anak, hati kena berzikir Ya Latif, Ya Hadi.
Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ini boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.
Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini kerana risau air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.
Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah. Selepas itu, balutkan bayi dengan tuala kering atau selimutkannya sekali lagi dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut yang kering dan suam.
Haaa… jangan terlalu ‘confident’ rasa anda dah mampu mandikan anak dengan cara yang betul, seeloknya semak dan amalkan info ini untuk jaga kesihatan anak. Moga bermanfaat buat ibu-ibu muda!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tindakan seorang lelaki melakukan aksi wheelie sambil membonceng isteri dan anak perempuan berusia empat tahun mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas video kejadian itu tular di media sosial.