Ujian demi ujian menimpa adakala mendewasakan diri untuk merubah menjadi lebih baik.Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, menjadikan diri ‘insan terpilih’ agar lebih cekal, redha serta membina kekuatan dalam diri.Kasih sayang dan ikatan hubungan adik beradik berkongsi rahim daripada ibu yang sama, bagaikan air dicincang yang takkan putus.
Namun adakalanya, keterbatasan waktu dan kesibukan komitmen menguruskan keluarga dan kerjaya, menjarakkan hubungan dalam meluangkan masa bersama-sama.Sehinggalah ujian menimpa, hikmahnya ikatan adik beradik ini bertambah rapat, saling memerlukan dan menjadi penguat semangat.
Coretan oleh wanita cekal ini, Puan Azila Mahmood yang ketika ini sedang berhadapan dengan dugaan, apabila abang kandung sendiri, Khairul Annuar Mahmood,38 baru sebulan lebih disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4, semoga membuka mata kita agar menerima setiap ujian dengan berlapang dada serta pentingnya menjaga ikatan kekeluargaan dan hubungan adik beradik.
Berikut antara catatan beliau;
Wahai abangku yang berkongsi rahim ibu yang sama denganku.Kita kini dilanda ujian yang sangat hebat.Satu keluarga yang sebelum ini penuh gelak ketawa kini menahan air mata. Allahu… berat ujian mu Ya Allah..
Kita perlu kuat abang. Kerana dugaan yang hebat adalah untuk manusia yang hebat. Jadi orang hebat itu adalah kita sendiri. Barangkali ujian yang kita hadapi ini ialah peringatanNYA untuk kita yang sebelum ini hidup keluarga ini tidak cukup bersatu.Berkumpul sekeluarga hanya pada hari raya dan jarang sekali bertanya khabar akibat sibuk dengan kerja masing-masing.
Kini dengan hikmah dugaan ini, keluarga kita kembali bersatu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kita berkumpul semula untuk memberi sokongan pada abang.
Allahuakbar. Allah Maha Besar.
Wahai abang, adik tahu walaupun berat dugaan ini buat adik, tapi berat lagi bahu abang yang memikul. Berat lagi abang yang bertarung dan berlawan dengan penyakit abang. Alhamdulilah kita semua redha dengan dugaan Allah ini. Kita sama-sama perbetulkan kesilapan kita.
Namun adik tahu abang akan sembuh. Abang hanya perlu kuat, bertahan dan lawan! Semangat abang akan bertambah kuat dengan sokongan keluarga yang tak berbelah bahagi untuk abang.
Terus lawan abang.Kami percayakan abang.Kami semua terlalu sayangkan abang dan kami akan sentiasa disisi abang.Dugaan ini tidak melemahkan kita abang.Tapi membuatkan kita menjadi lebih kuat untuk berjuang. Teruskan berjuang wahai abang. Satu-satunya anak lelaki mama abah dan satu-satunya abang buat kami.
Lawan abang! Banyak perkara lagi yang adik nak lakukan bersama sama abang. Kalau ada rezeki dan izin Allah, kita tunaikan umrah sama sama tahun ini ya. Abanglah pahlawan kami. Kami yakin dengan abang.And we love you so much.
Ads
Ujian Sukar Memperolehi Zuriat
6 tahun lepas, aku diuji dengan ketiadaan zuriat. Berkahwin selama 4 tahun tanpa anak. Allah saja tahu betapa sedihnya aku.Aku seorang manusia yang sangat sukakan kanak-kanak dan pada ketika itu hanya menumpang kasih pada anak-anak saudara. Bila mendengar perkhabaran rakan rakan mendapat anak, aku gembira tapi hati aku meraung. Sebab aku juga mahukan zuriat sendiri.Ya Allah.. aku ingin anak.. ini la rintihan hatiku hari-hari.
Sampailah aku memilih untuk redha sambil berusaha. Namun akhirnya Allah anugerahkan aku zuriat pada tahun ke 4 usia perkahwinan ku. Syukur Alhamdulilah. Ganjaran yang terindah dalam hidup aku. Aku kini punya zuriat yang dapat aku curahkan segala kasih dan sayang aku. Aku bahagia melihat keceriaan suamiku dengan zuriat kami sendiri.
Ujian Kesempitan Hidup
3 tahun lepas pula aku diuji pula dengan kesempitan hidup. Perniagaanku gagal. Setiap kali susu dan pampers anak hampir habis, aku gelisah memikirkan mahu dapat duit dari mana untuk beli.Aku sangat teruji apabila setiap hujung bulan aku taktau mana lagi nak korek duit untuk bayar sewa rumah. Terpaksa tebalkan muka mengharap belas ehsan bapa mertua.Kadang aku teringin makan ayam. Lalu aku ke Tesco beli kaki dan tengkuk ayam. Itu lebih murah dan boleh dapat lebih banyak.
Aku sudah cukup teruji apabila tak mampu membayar roadtax kereta selama 2 tahun. Pergi mana mana pun sentiasa berlari dari polis atau JPJ. Cermin kereta retak dengan cat yang pudar juga selama 2 tahun. Air cond kereta tak berfungsi berbulan-bulan sampaikan anak ku Aisyah yang masih bayi demam panas kerana naik kereta tanpa air cond ketika musim el nino.
Kedengaran macam tak logik. Seorang yang bernama Azila Mahmood pernah mengalami kesusahan sampai tahap itu. Ya, aku pernah merasainya.Setiap memori itu terpahat dalam ingatan ku sebagai semangat aku pada hari ini.
Syukur alhamdulilah. Beberapa tahun aku teruji dengan kesempitan hidup, kini Allah beri aku kesenangan.Aku punya kereta yang lebih besar dari dulu. Aku mampu beli apa yang aku mahu dan wang sudah tidak menjadi masalah lagi. Keperluan cukup dan kehendak selalunya mampu dipenuhi.Aku juga mampu menghantar ibu bapa ku mengerjakan umrah. Pencapaian yang sangat bermakna dalam hidupku. Alhamdulilah..
Aku kira, hidupku sudah dasyat diuji sebelum ini. Namun aku silap. Hidup di dunia tidak akan sentiasa menyenangkan.Kadang kita dapat semua yang kita suka dan kadang kita takkan dapat lari dari ujian yang Allah akan bagi kerana Allah mahu menguji sekuat mana iman kita.
Ads
“Firman Allah, sungguh kami telah menguji orang orang sebelum mereka. Dan Allah pasti mengetahui orang orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta (Al Ankabut:3)
Separuh Jiwa Lemah
Diumur 32 tahun, aku ketemu ujian baru.Ujian yang tak pernah aku bayangkan.Dalam keghairahan aku mengusahakan perniagaan, aku mendapat perkhabaran yang abang aku mendapat kanser.
Apa kanser? Ya, kanser. berderau darah aku bila dapat tahu. Satu penyakit yang semua orang takut.Kanser paru paru stage 4. Kanser itu hampir sebesar paru-paru abang aku sebelah kanan dan kanser itu dah merebak dan memakan tulang tengkuk abang aku.
Allahuakbar… ujian yang sangat hebat untuk aku. Separuh jiwa aku lemah.
Walaupun kita jarang berjumpa tapi sekurang-kurangnya abang aku ada. Jadi aku tak perlu risau.Aku lihat wajah anak-anak buahku yang masih kecil. Aku lihat wajah kakak iparku yang lemah. Aku seolah tak dapat menerima kenyataan.
Kenapa ini berlaku dalam keluarga aku?
Abang sentiasa sihat.
Abang aktif dan ceria.
Ads
Kenapa tiba tiba abang sakit? Soal aku dalam hati.Aku murung dan sentiasa menangis.
Suami memeluk aku lalu bersuara.
“Siapalah kita untuk menolak takdir. Ini bukan kerja kita. Ini semua kerja Allah. Banyak berdoa padaNYA. Pandanglah hikmah disebalik semua dugaan ini.”
Barangkali aku lupa. Allah adalah sebaik-baik perancang.Lalu aku mula redha dan membina kekuatan dalam diri. Kalau aku lemah, bagaimana pula abang aku yang menanggung? Abang perlukan kekuatan dari aku. Jadi aku perlu kuat!
Wahai abang, aku takkan mampu memahamimu walau aku cuba. Kerana aku tak pernah merasai berada di tempatmu.Namun aku berjanji, aku takkan pernah meninggalkanmu mengharungi semua dugaan ini. Aku akan sentiasa menemanimu.
Kini aku mula faham. Bila kita rasa ujian kita dah sangat besar, masih ada orang yang lebih teruk ujiannya dari kita.Apalah sangat ujian kesempitan hidup aku dulu kalau nak dibandingkan dengan ujian yang abang aku tanggung ketika ini. Menjadi dewasa bukanlah mudah sebenarnya. Ini ayat yang aku selalu ulang apabila menghadapi ujian-ujian besar.
Kerana aku juga masih cuba memahami erti kehidupan yang sebenar.Part paling last adalah kembali kepada fitrah. Dimana kita tiada kuasa untuk mengubah apa saja yang telah Allah rancangkan. Aku mula melihat hikmah-hikmah besar disetiap dugaan dan musibah.Aku redha dan abang yon juga redha.
Namun perkataan give up takkan ada dalam fikiran aku. Aku akan berusaha yang terbaik untuk abang yon.Dan aku pasti. Abang Yon juga takkan pernah mengalah.
Buat para pembaca yang sedang berhadapan dengan ujian semoga terus cekal dan kuat menghadapi dugaan yang menimpa. Pasti ada hikmahnya yang tersendiri serta ada sebab kita yang ‘terpilih’ menghadapi ujian ini.
Hebatnya video lip sync Kak Girl ini. Kali ini bukan peminat Malaysia je yang perasan muka takde emosi suami Kak Girl, SRK (Datuk Shah Rukh Khan) pun tercuri perhatian sama. Sampai ditweetlah kekagumannya itu.
Minat Kak Girl dengan lip sync ni dah ramai sedia maklum. Dia juga ada 91K follower facebook yang mengikutinya. Ramai dah faham dengan sikap suami Kak Girl, Mohd Hafizi Marzuki tu.
Video Lip Sync Kak Girl Versi Bollywood Yang Buat SRK Nak Tweet
Memang Husband Macam Tu
Bila SRK tweet kata-kata ini, “Wow!! And the gentleman is so underplayed!!!” Kak Girl rasa ‘happy gila’.
Kredit : FB Kak Girl
Kak Girl tak terasa hati pun bila SRK kata pasal suami Kak Girl tu, “Actually SRK take it as a joke bila Kak Girl joget-joget husband buat tak tau. Pada Kak Girl it’s fine. Kak Girl rasa okay je sebab memang husband macam tu. Hahaha..”
Kak Girl Minat Sangat SRK
“Mula-mula tu tak tau sebab saya takde akaun twitter. Kawan dari FB yang tag. Saya kat konti terkejut. Happy gila tak sangka la.
“Sebab saya minat sangat dekat SRK. Tiba-tiba dia tweet pula video saya.”
Sudahlah akui Kak Girl dia paling minat dengan SRK malah Salman Khan. Bayangkanlah orang yang kita minat sangat tu, tiba-tiba beri respond dengan hobi yang kita buat. Tak teruja ke rasanya.
Dah tentu-tentulah minat lip sync Kak Girl ni membuatkan dia terkenal bukan saja di Malaysia, malah sampai negara India.
“Pada Kak Girl SRK ni hero yang versatile. Very gentleman and sesuai dengan apa saja watak yang diberi. Dia mesti meninggalkan kesan pada setiap watak yang dia bawa. He is si inspiring and lovely.” Ini kata Kak Girl yang juga meminati Sunjay Dutt dan Jackie Shroff, hero otai Hindustan.
Ketika ini, Kak Girl bukan sekadar berlip sync dalam kereta je tau. Kak Girl juga dah jadi DJ radio di Best FM juga dikenali sebagai Best 104. Kalau di Kuala Lumpur frekuensinya 104.1 FM
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kejamnya ibu membuang zuriat sendiri. Tega sungguh kamu membuang janin yang sudah 9 bulan kau kandungkan dengan susah derita dan air mata. Kau campakkan dia dari tingkat dua bangunan, kau buang dia dalam tong sampah, kau sangkut dia di pintu pagar masjid. Semudah itukah kau melupakan dosa besar yang pernah kau terlanjurkan?
Catatan yang dikongsikan Cik Puan Ammy ini untuk ibu fahami. Agar para ibu yang telah melakukan dosa yang berulang-ulang, berzina malah membunuh tanpa perasaan menyesal kembali bertaubat kepada Allah. Kerana pintu taubat tuhan itu sentiasa terbuka luas. Ibu, bertaubatlah selagi masih punya waktu.
Ibu, Apa Dosaku..
Apa salahku…? Adakah wujudnya aku daripada perbuatanmu yang terlarang maka kau hukum aku bergini. Tidakkah ada sedikit kasih sayang dari sudut kecil hatimu untuk menyayangiku, mengasihiku ataupun mengasihani aku.
Aku ingin hidup ibu, ingin menikmati susu mu, ingin merasai belaian manja tanganmu dan ingin menjagamu di usia tuamu kelak. Adakah wujudnya aku hanya dari nafsu serakahmu maka aku dihumban ke bawah, di campak tanpa sehelai benang, dibiarkan tergolek di dada jalan kaku tidak berdaya.
Ibu… Andai aku boleh berkata – kata, akan ku sujud di kakimu mohon kemaafan kerana aku wujud di rahim mu tanpa redha mu.
Ibu… Tempatku adalah di sisimu. Bukan di longkang atau di parit, bukan di lubang najis atau kelikir jalan yang keras. Aku layak dibelai dan dimanja. Bukan dijilat atau digonggong haiwan betaring, bukan dicampak atau dijadikan tempat melepaskan amarahmu.
Maafkan aku ibu… Ampunkan aku ibu… Wujud aku membuatkan mu lelah, menanggung derita sakitnya melahirkan bersendirian tanpa lelaki kejam yang tidak layak dipanggil ayah sehingga kamu menjadi tidak waras, sanggup menjadi pendosa membuang anakmu, darah dagingmu yang kamu kandung 9 bulan 10 hari.
Ibu, Tidak Mengapa..
Andainya ditakdirkan nafasku hanya sampai disini… Aku kembali kepada maha pencipta… Akulah kupu – kupu syurga itu… Akan bebas beterbangan di taman – taman syurga. Terima kasih ibu kerana izinkan aku bertahta di rahim mu walaupun hanya sementara.
Andainya itu mahumu… Selamat tinggal ibu… Andai di izinkan tuhan kita akan bertemu jua nanti di hari pembalasan. Bertaubatlah ibu… Mohon keampunan ilahi agar aku dapat merasai nikmat susumu yang aku rindu sekian lama….
Ibu… Jika aku diizinkan tuhan, bernafas di dunia ini, doakan aku ibu… agar menjadi anak yang soleh dan taat padaNya agar di sana nanti aku dapat memimpin tanganmu menuju ke pintu syurga kerana aku rindukan belaian tanganmu yang tidak diberi kesempatan untuk aku merasainya.
Ketika kisah ini ditulis, sudah lebih 70 hari anaknya meninggal dunia. Allahyarham anaknya juga telah selamat dikebumikan. Namun Wan Hasmiza Wan Ismail masih dalam keadaan tertanya-tanya. Siapakah yang melanggar anaknya pada malam 18 Oktober 2018 lalu?
Ditambah pula, sebagai penghidap kanser Limfoma tahap 2B, Wan Hasmiza berharap selagi dia masih hidup dia mahu kematian anaknya itu ada titik noktahnya. Dia mahukan keadilan buat anaknya.
Wan Hasmiza merayu agar saksi kejadian yang melihat kemalangan maut melibatkan anak sulungnya Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19 tahun di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan tampil dengan segera bagi meredakan pertanyaan yang membelenggu jiwa raganya.
Ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor, ternyata ibu kepada empat orang anaknya ini masih bersedih dengan tragedi yang menimpa keluarganya.
Gambar kenangan bersama Along
“Sebagai ibu, saya mengharapkan keadilan buat anak saya. Perkataan pertama yang saya dengar adalah anak saya dilanggar lari. Cuma saya mahu keadilan untuk anak saya. Saksi atau si pelaku, kalau tengok atau terbaca cerita saya ini, tolonglah.
“Tolonglah letak anda di tempat saya. Kalau saya sihat seperti orang lain, mungkin saya tidak terdesak seperti ini. Hafiz tunggak keluarga kami dan jadi semangat saya. Apabila dia sudah tidak ada, saya mahukan keadilan buat dia.
“Dia banyak berjasa dekat saya. Saya mahu seandainya si pelaku atau saksi yang nampak kejadian berlaku pada malam itu, tolong tampil bagi keterangan dekat saya. Kalau takut hendak pergi ke Balai Polis, anda boleh datang bertemu saya di rumah. Boleh hubungi nombor telefon saya, 018-4675768,” katanya dengan nada cukup sedih.
Wan Hasmiza bersungguh-sungguh mahu mengetahui cerita sebenar yang berlaku pada malam Jumaat itu.
“Saya sudah beri masa yang teramat panjang. Sekarang ini tidak ada sebarang berita yang saya terima. Saya mahukan keadilan buat dia. Minta tolong sangat. Siapa sahaja. Tidak kira bangsa apa sekalipun, siapa yang rasa dia yang terlanggar, maknanya bukan saya kata dia yang langar tetapi terlanggar anak saya, tolonglah jumpa dengan saya.Kalau tidak mahu malu, boleh datang secara personal ke rumah dan jumpa saya.
“Tolong beritahu cerita sebenar sebab sekarang ini saya dalam keadaan teka-teki sama ada betul anak saya dilanggar lari atau terbabas. Saya redha dia pergi. Tetapi saya hendak betul-betul cerita itu perkara yang sebenar,” katanya bersungguh-sungguh.
Rindu Tidak Terhingga
Rindu. Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja tahu akan perasaan Wan Hasmiza. Anaknya sudah tidak ada di hadapan mata. Sekadar gambar yang disimpan di dalam telefon bimbit jadi kenangan tatkala rindu menjelma. Sesekali jatuh juga air mata melihat senyuman manis anak sulungnya itu.
“Sebagai emak, saya amat rindu pada Hafiz. Ya Tuhan. Hanya Dia sahaja yang tahu. Di atas dunia ini, dialah semangat saya apabila saya disahkan sakit kanser. Dialah yang banyak membantu saya selain daripada anak nombor dua dan suami saya.
“Dia yang banyak membantu saya. Daripada tidak boleh masak, dia yang tolong masak. Dia tolong suapkan saya. Sekarang ini saya mengharapkan dia berada dalam syurga Firdaus di kalangan orang soleh lain. Cuma sekarang ini saya mahu keadilan.
“Saya harap sangat agar dia datang dalam mimpi saya. Namun, hanya sekali sahaja dia datang dalam mimpi sahaja. Itu pun masa saya dalam keadaan bukan betul-betul sedar. Ketika itu saya seperti hilang arah. Mungkin dia datang untuk memberi tahu bahawa dia tidak senang di ‘sana’.
“Jadi, saya ubah hidup saya. Saya ubah cara saya. Saya banyak buat solat taubat, solat tahajud dan solat hajat untuk dia. Selepas itu dia tidak datang lagi dalam mimpi saya sehingga ke hari ini,” katanya yang ingin sangat bertemu anak kesayangannya di alam mimpi.
Tidak Sempat Sambut Hari Lahir
Menurut wanita berusia 40 tahun yang terpaksa berhenti kerja Februari 2018 lalu berikutan kesihatannya semakin lemah kerana kanser, dia begitu terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut ulang tahun ke 19 anak sulungnya itu.
“Semuanya sudah saya sediakan termasuk membeli makanan, penyediaan permainan malah pemilihan tema baju yang bakal disambut pada hari Ahad. Saya ingatkan untuk maklumkan pada anak hari Jumaat itu tetapi Allah lebih sayangkan dirinya,” ceritanya lagi.
Wan Hasmiza menunjukkan barangan yang tidak sempat digunakan untuk majlis hari lahir Hafiz
Mengimbas semula kisah malam tersebut, kata Wan Hasmiza sekitar jam 11 lebih, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa anaknya kemalangan di Jalan Klang Lama dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya baru sahaja masuk tidur ketika itu ditambah rasa tidak sihat akibat kanser. Bila ketukan di pintu, pihak polis memaklumkan kejadian ini. Awalnya saya menyangka bahawa anak kemalangan biasa sahaja.
“Tapi selepas pihak polis pulang, saya ternampak seorang lelaki seperti mencari-cari rumah seseorang. Saya tegur dia, katanya dia mencari rumah Nor Hafiz. Bila saya kata saya emak Along, dia maklumkan anak kemalangan di Lebuhraya LDP dan mayatnya ada di lokasi kejadian.
“Mulanya saya tak percaya kerana pihak polis baru maklumkan lain tapi dia cakap dia bawa bukti iaitu kad pengenalan anak, ketika itulah saya mula rebah sehingga perlu dipapah. Kami bergegas ke lokasi kejadian dan benar Along sudah terbujur kaku,” katanay dengan nada sedih.
Jelas Wan Hasmiza lagi, dari cakap penunggang motosikal, mereka mengakui sudah mengalihkan motosikal Along dari lorong tengah ke tepi sementara mayat anak masih berada di lorong laju. Wan Hasmiza menjelaskan lagi akibat kemalangan, bahagian kepala anaknya cuma ada sedikit luka. Tak ada patah di bahagian tubuhnya.
Bantu Gelandangan Dan Wakafkan Al-Quran Untuk Keluarga
Pada hari kejadian, Wan Hasmiza terkilan kerana anaknya tidak sempat makan lauk kari makanan kesukaannya.
“Biasa lepas balik dari Politeknik Shah Alam, arwah akan makan nasi dahulu tapi pada hari itu, dia solat dulu. Makan pun tak sempat sebelum bergegas ke tempat kerja. Sebab itulah saya begitu terkilan kerana anak tak sempat jamah makanannya.
“Selepas kemalangan barulah saya dapat tahu bahawa anak saya disayangi ramai. Dia juga aktif dalam kerja dakwah dan kebajikan Islam dengan memasuki Persatuan Pelajar Islam Selangor,” katanya lagi.
Daripada kawan-kawannya juga barulah Wan Hasmiza mengetahui bahawa duit gaji kerja sambilan anaknya itu telah banyak dihabiskan membantu gelandangan dan mewakafkan Al-Quran untuk keluarganya. Sebab itulah dia selalu tidak ada duit.
“Betapa mulianya hatimu anak !” ujar Wan Hasmiza mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...