Zul Ilhan Hasif Zul Izuddin, 18, mungkin kelihatan seperti remaja biasa pada zahirnya. Pendiam, pemalu dan suka menyendiri. Namun, di sebalik sikap tenangnya itu, tersimpan satu rahsia yang baru diketahui selepas umurnya mencecah 17 tahun. Dia merupakan individu autistik kategori High-Functioning Autism (HFA).
Apa yang lebih mengharukan, walaupun baru sahaja mengetahui statusnya tahun lalu, Zul Ilhan tetap bangkit dan membuktikan dirinya mampu berjaya apabila meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang lalu.
Menurut Zul Ilhan, selama ini dia tidak pernah menyangka dirinya istimewa. Sikap pendiam dan sukar bergaul disangka hanyalah sifat semula jadinya yang pemalu. Namun segalanya berubah apabila dia membaca satu topik berkaitan autisme dalam buku teks Bahasa Melayu.
“Bila saya baca ciri-ciri autisme, saya mula sedar – semuanya macam diri saya. Dari situ saya buat penilaian sendiri, dan akhirnya pakar sahkan saya ada HFA.”
Biarpun berita itu sedikit mengejutkan, Zul Ilhan menerimanya dengan hati terbuka. Namun, cabaran sebenar bukan pada diagnosis — tetapi pada penerimaan orang sekeliling.
Zul Ilhan menjadi salah seorang pelajar cemerlang yang diraikan oleh Eskayvie baru-baru ini.
“Dulu, masa belum tahu, saya banyak kena ejek. Ada juga yang anggap saya sengaja buat perangai. Tapi lepas tahu kisah sebenar, ada yang mula faham… walaupun masih ada segelintir yang kekal sama.”
Autisme Bukan Halangan Untuk Cemerlang
Ads
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Zul Ilhan kini menjadi contoh kepada adik-adiknya. Dia percaya bahawa insan istimewa seperti dirinya boleh berjaya asalkan tahu memanfaatkan bakat dan minat yang ada.
“Saya nak jadi pelukis komik. Saya minat kisah Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Kalau boleh, saya nak kisah-kisah legenda ini diangkat ke peringkat antarabangsa.”
Zul Ilhan menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang animasi, satu dunia yang membolehkan dia menyuarakan dunia dalamannya yang kaya dengan imaginasi dan cerita.
Ads
Sokongan Ibu Bapa – Tiang Kekuatan Zul Ilhan
Bapanya, Zul Izuddin Abdul Rahman, 45, dan ibunya Hanny Norza’atul Syima Othman, 45, melahirkan rasa bangga dan terharu atas pencapaian anak sulung mereka.
“Waktu dia dapat 9A, saya terkejut… bukan sebab tak percaya, tapi sebab dia dah buktikan kemampuan dia. Kami tahu dia melalui 17 tahun dalam keadaan tertanya-tanya tentang diri sendiri.”
Sebagai bapa, Zul Izuddin selalu menasihati anak-anak lain supaya menjadikan Zul Ilhan sebagai inspirasi.
“Saya tak mahu halang cita-cita dia. Kalau dia nak kejar bidang seni atau animasi, saya sokong sepenuhnya.”
Kisah Zul Ilhan Hasif menjadi pengingat kepada ibu bapa di luar sana bahawa setiap anak itu berbeza, dan kadangkala perbezaan itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang menunggu untuk diketengahkan.
Ads
High-functioning autism bukan penghalang untuk berjaya, malah dengan sokongan, penerimaan dan kasih sayang — anak-anak seperti Zul Ilhan boleh melakar kejayaan yang luar biasa.
“Menjadi istimewa bukan bermaksud terbatas. Yang penting, mereka perlu tahu potensi mereka… dan kita sebagai ibu bapa, perlu terus percaya.”
High Functioning Autism (HFA) merujuk kepada individu dalam spektrum autisme yang mempunyai tahap kecerdasan intelek (IQ) yang normal atau lebih tinggi, dan boleh berfungsi secara berdikari dalam banyak aspek kehidupan tapi masih menunjukkan ciri-ciri utama autisme.
Ciri-ciri High Functioning Autism:
Boleh bercakap dan belajar seperti biasa, tapi mungkin sukar faham isyarat sosial atau ekspresi wajah orang lain
Sukar bersosial atau bergaul – lebih selesa bersendirian atau dengan rutin yang sama
Ada minat mendalam terhadap topik tertentu, kadang sangat ‘obsesif’
Sensitif terhadap bunyi, cahaya, atau sentuhan
Kadangkala sukar mengawal emosi atau menyesuaikan diri dalam situasi sosial
Apa Yang Bezakan dengan Autisme Lain?
Mereka tidak mengalami kecacatan intelek
Boleh bersekolah di aliran biasa, dapat skor tinggi dalam akademik
Tapi masih perlukan fahaman & sokongan sosial, sebab dari luar nampak “normal”, tapi cara fikir & respon mereka berbeza
Pelakon berbakat besar, Nabila Huda atau lebih mesra disapa Abil, baru-baru ini berkongsi tentang keinginannya untuk menjauh seketika daripada dunia luar, termasuklah media sosial.
Dalam satu luahan jujur di Instagram Story, Abil mengakui sedang melalui fasa di mana dia tidak punya tenaga untuk berpura-pura, tidak mahu berinteraksi, dan hanya mahu mencari ketenangan diri.
“Saya tiada tenaga untuk berpura-pura okay atau teruja dengan perkara yang tidak lagi bangkit dalam diri saya. Saya tak nak ambil tahu apa yang terjadi di sekeliling saya termasuklah berita dan gosip terkini.
“Bukan sebab benci tapi cuma sebab rimas. Rimas dengan orang, sosial media dan bunyi yang berterusan. Bunyi yang buatkan saya rasa nak sembunyi dan diam sahaja. Mungkin jiwa saya sedang minta untuk di-reset semula,”katanya.
Dalam dunia serba laju hari ini, keletihan mental bukanlah perkara luar biasa, apatah lagi bagi mereka yang sering menjadi tumpuan umum. Abil sendiri mengakui bahawa dirinya kini sedang mencari ruang untuk “reset jiwa” dan melepaskan diri daripada bunyi-bunyi bising dunia digital.
Langkahnya ini sebenarnya membuka mata ramai tentang kebaikan detoks media sosial, satu amalan yang kini semakin disarankan oleh pakar psikologi untuk menjaga kesihatan mental dan emosi.
Kebaikan Detoks Media Sosial untuk Kesihatan Mental
Mengurangkan tekanan dan kecemasan. Pendedahan berterusan terhadap berita, komen negatif atau perbandingan sosial boleh memberi tekanan emosi. Berehat sebentar membolehkan minda bernafas kembali.
Memulihkan tenaga emosi. Seperti yang dirasai Abil, berpura-pura gembira di ruang maya boleh menjadi sangat meletihkan. Menjauh memberi peluang untuk mengenali semula diri dan apa yang benar-benar penting.
Meningkatkan fokus dan kehadiran diri. Tanpa gangguan skrin, kita lebih hadir dalam kehidupan sebenar — menghargai detik kecil, alam sekeliling dan hubungan nyata dengan orang tersayang.
Menyeimbangkan semula hormon kebahagiaan. Media sosial sering mencetuskan ‘dopamine hit’ yang sementara. Detoks membantu otak menstabilkan semula sistem ganjaran semula jadi dan emosi positif.
🌸 Rehat Bukan Bererti Lemah
Kadang kala, yang kita perlukan hanyalah diam seketika bukan kerana kalah, tetapi kerana ingin kembali kuat. Detoks media sosial bukan tanda lari daripada dunia, sebaliknya langkah berani untuk menjaga batas diri dan kewarasan jiwa.
Seperti Abil, mungkin sudah tiba masanya kita juga belajar menekan butang pause — demi mendengar semula suara hati sendiri.
Belum sempat menjejak kaki ke tanah air, aktivis dan pempengaruh terkenal Farah Lee sudah pun menyuarakan hasrat untuk kembali menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel, nama Farah terus menjadi perhatian bukan hanya kerana keberaniannya, tetapi kerana keteguhan jiwa seorang wanita bergelar isteri dan ibu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kemanusiaan.
Menurut suaminya, Fuad Hashim, menerusi hantaran di Instagram, Farah sempat mengirim pesanan ringkas dari Istanbul.
Fuad membalas dengan penuh kagum dan reda, menulis:
“Tak sampai lagi Malaysia, dah minta izin nak pergi lagi.”
Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli kini masih berada di Istanbul, Turkiye bersama 23 lagi sukarelawan Malaysia, selepas misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza ditahan secara kejam oleh rejim Zionis.
Delegasi Malaysia termasuk Farah dan ratusan aktivis antarabangsa lain telah dibawa ke penjara Israel sebelum akhirnya dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI.
Detik Cemas Di Lautan Bergolak
Sebelum ditahan, Farah sempat memuat naik satu video terakhir di Instagram, menceritakan detik mencemaskan ketika kapal yang dinaikinya, Grande Blu, disekat oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
“Israel sembur air yang sangat kuat sehingga kami semua yang berada di atas bot terpelanting. Mereka bagi amaran, sama ada belayar ke Israel atau patah balik.
Kalau berdegil, ini amaran terakhir — mereka akan apa-apakan kapal kami,” kata Farah dalam video tersebut, tenang meskipun jelas kedengaran bunyi kekecohan di sekelilingnya.
Misi yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara itu bertujuan membawa bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada rakyat Gaza yang terus dizalimi. Namun, keberanian mereka dibalas dengan kekejaman dan sekatan.
Ketika ramai mungkin memilih untuk berehat setelah trauma dan keletihan, Farah memilih sebaliknya. Baginya, perjuangan tidak tamat hanya kerana pintu penjara dibuka.
“Mungkin jasad saya belum pulih, tapi hati saya masih di sana,” katanya ringkas kepada rakan-rakan misi.
Semangat dan tekad Farah menjadi simbol keberanian wanita Muslim moden lembut tetapi berprinsip, penyayang tetapi tegas, penuh kasih tetapi tidak gentar menentang kezaliman.
Dalam setiap langkahnya, Farah membuktikan bahawa cinta seorang isteri dan ibu tidak pernah bertentangan dengan perjuangan kemanusiaan, sebaliknya menguatkan, kerana kasih yang benar tidak terhenti di sempadan keluarga, tetapi merentasi sempadan dunia.
Di sebalik jenama Euphora Cosmetics yang kini memiliki empat cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Cheras dan Banting, terserlah seorang wanita cekal dan berwawasan Puan Shafiqa Bt Rosli , atau lebih dikenali sebagai Puan Ika.
Dalam episod ke-46 Rancangan Borak Seeni, beliau tampil berkongsi kisah inspirasi bagaimana beliau memadukan kecantikan dan haruman dalam satu platform perniagaan yang menguntungkan.
Dari Kosmetik ke Wangian
Walaupun Euphora terkenal dengan pelbagai produk kosmetik, Ika memilih untuk menambah rangkaian produknya dengan Perfume Paradise (PP) kerana melihat permintaan yang tinggi dari pelanggan.
“Wangian ini mempunyai skop pasaran yang luas dan sesuai untuk semua golongan. Tambahan pula, HQ sangat aktif menaja pelbagai program dan membuka peluang booth, yang membantu melonjakkan lagi jualan kami,” jelasnya.
Sambutan Luar Biasa & Strategi Luaskan Pasaran
Dengan sokongan kukuh dari HQ Perfume Paradise, termasuk promosi besar-besaran, penajaan acara dan penganjuran Food Fest, Euphora Cosmetics bukan sahaja mendapat manfaat dari segi pemasaran, malah berjaya menarik lebih ramai pelanggan baru ke premisnya.
“Sambutan di booth sangat luar biasa. Ia satu peluang emas untuk jenama kami dikenali di lokasi yang berbeza,” tambahnya lagi.
Menjadi Ejen – Peluang Luas, Cabaran Realiti
Dalam temubual tersebut, Puan Ika turut berkongsi bagaimana untuk menjadi pengedar Perfume Paradise. Katanya, jualan haruman memberi peluang yang luas kerana ia mudah dijual dan digemari ramai.
“Saya pernah dengar ejen saya berjaya jual 100 botol sehari. Tapi cabarannya adalah mengubah mentaliti ejen yang takut untuk memegang stok. Bila ada stok, barulah kenal produk dan lebih yakin nak menjual,” katanya memberi tip bernas.
Nasihat & Harapan
Untuk wanita yang ingin mula berniaga, nasihat Puan Ika jelas dan mudah.
“Jangan malu dan jangan takut untuk mencuba. Saya sendiri bermula dengan modal hanya RM1,000. Yang penting, semangat dan kesungguhan.”
Beliau juga merancang untuk mengembangkan lagi rangkaian ejen di seluruh negara. Dengan lebih 75 jenis bauan ditawarkan oleh Perfume Paradise, beliau menggalakkan pelanggan mencuba sendiri untuk menemukan haruman yang serasi dengan gaya hidup masing-masing.
Kisah pilu kematian di Jerlun apabila seorang isteri menjerit minta tolong dan dua jam memangku jasad suaminya tanpa kepala selepas pergaduhan tragis di sawah Kampung Pida 3, Jerlun.