15 tahun tinggal di rumah kebajikan, raya tahun ini seorang ibu gembira sambut raya di rumah yang dibeli anaknya. Raya kali ini lebih bermakna buat Rasima Yunos, 61, kini mampu meraikan hari gembira itu di rumah baharu yang dibeli oleh anak lelaki sulungnya.
Menurut akhbar Shin Min Daily News, Rasima dan seorang lagi anak lelakinya berpindah ke pangsapuri dua bilik di Sengkang, Singapura.
15 Tahun Tinggal Di Rumah Kebajikan
Keluarga itu kehilangan rumah pada 2009 selepas suami Rasima meninggal dunia. Wanita itu tidak mampu membayar balik pinjaman perumahan dan dia tiada pilihan selain menjual pangsapuri empat bilik milik mereka.
Ibu Gembira Sambut Raya Di Rumah Baru Yang Anak Beli
Dia kemudian berpindah ke rumah kebajikan, manakala anak lelakinya dihantar ke Rumah Anak Yatim Darul Ihsan. Ramadan dan Syawal kali ini berbeza mereka sekeluarga kerana dapat menyambut di rumah sendiri.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Giliran balik raya ke kampung halaman atas ihsan suami namun jangan sesekali sengaja buat-buat tidak nampak ihsan isteri kepada suami. Tidak salah bergilir balik raya ke kampung halaman masing-masing apatahlagi jika pasangan masih ada ibu bapa yang perlu disantuni.
Dalam rumah tangga tolak ansur itu penting. Itulah resipi kebahagiaan rumah tangga yang sebenarnya. Namun bila mana ada suami yang dengan sengaja enggan pulang ke kampung isteri bila sampai giliran, baik amati perkongsiannya ini. Semoga memberi pencerahan buat para suami tentang hal ini dan dapat berlaku ihsan kepada isteri.
Menarik sungguh perkongsian daripada seorang suami ini dalam memberi kupasan tentang isu balik kampung secara bergilir-gilir ni.
Kebiasaannya setiap kali nak raya, maka akan keluarlah posting-posting tentang giliran balik raya…”Giliran balik raya ini sebenarnya adalah sesuatu yang tak wujud dan ianya atas konsep ihsan seorang suami kepada isteri.” katanya…
Betul, tepat, konsep ihsan, jadi suami tak wajib ikut kehendak isteri untuk beraya di kampung isteri…jadi,
“Tahun ini rumah suami, tahun depan rumah suami, tahun 2021 rumah suami, tahun 2099 rumah suami”
Mari kita tengok beberapa konsep ihsan isteri dalam rumah tangga kita…
Isteri wajib bekerja tak? Tak wajib…tempat isteri sepatutnya di mana? Di rumah…jadi kenapa isteri bekerja? Menolong membantu meringankan beban suami dalam menguruskan rumahtangga…meringankan beban, bukannya mengambil alih beban…ada tak isteri tolong bayar bil utiliti tiap-tiap bulan? Ada tak isteri kongsi bayar ansuran rumah, ansuran kereta? Ada, dan bila mana dia buat semua itu, dia tolong bayar, itu ihsan isteri ke atas seorang suami…kalau suami dia mampu, dia tak perlu untuk buat smua itu…dia hanya duduk di rumah.
Isteri ada hak tak ke atas duit gajinya? Ada, hak sepenuhnya, hak total…suami boleh guna duit isteri tak? Kalau isteri izinkan dan reda, boleh…kalau dia tak izinkan, dan tak reda, tak boleh…ada tak isteri beli barang dapur dengan duit dia sendiri? Beli baju dengan duit dia sendiri? Beli ubat dengan duit dia sendiri? Ada…ganti tak duit-duit yang isteri belanjakan itu? Kena ganti sebab menyediakan makan minum, pakaian dan perubatan itu tugas suami…isteri rela dan reda guna duit dia untuk beli barang-barang dapur, pakaian, perubatan atas asbab ihsan isteri ke atas seorang suami.
Isteri wajib tak jaga orang tua suami? Tak wajib…kalau dia jaga dikira apa? Ihsan…kewajipan menjaga orang tua suami itu terletak dibahu suami dan adik beradiknya…abang suami, kakak suami, adik suami, ini semua adalah anak dan sebagai anak mereka perlu berbakti kepada orang tua mereka…kenapa isteri jaga orang tua kita? Sebab kita tak boleh nak jaga, kita kena keluar bekerja…maka satu lagi konsep ihsan isteri ke atas seorang suami.
Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, berlambak-lambak ihsan seorang isteri kepada seorang suami dan seorang isteri memerlukan ihsan seorang suami hanya 2 KALI SETAHUN, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Itupun selang-selang, bukan setiap tahun dapat balik beraya rumah orang tuanya.
Ihsan seorang isteri itu cukup banyak kepada seorang suami, makanya, cubalah bersikap adil dengan meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya…kalau dipersetujui tahun ini rumah kita, maka hormatilah persetujuan itu dan tahun depan rumah dia pula…jangan tiba-tiba berdalih, bagi alasan, cuba untuk tidak balik ke rumah orang tuanya.
Suami yang sedar akan apa yang isterinya sudah buat untuk dirinya, dia akan ikut giliran seperti yang dah dipersetujui bersama. Bersikap adil dan berihsan kepada si isteri.
Dia bukan anak yatim piatu, dia pun ada mak ayah dan dia pun nak beraya dengan mak ayah dia selagi mak bapak dia masih hidup.
Mak mentua jangan ‘berangan’ dapat menantu sempurna sedangkan anak sendiri pun banyak kelemahan. Masih ramai golongan mak mentua nak menantu sempurna, jaga elok anaknya.
Malahan ada mentua, dia berharap menantu perempuan dia pandai masak, pandai ambil hati dia, pandai bagi dia hadiah, tapi anak dia sendiri tak solat pun dia tak tegur. Anak dia jenis baran, cepat naik tangan pun dia tak kata apa. Ada yang ‘advance’ sikit, anak ambil benda terlarang pun, masih ‘backup.’
Pedas memang pedas, tapi itulah hakikat. Anak kita sendiri pun, kita tak tegur, tak nasihat. Salah pun dimenangkan sebab itu besar jadi macam itu. Menatang sangat si anak sehingga salah pun betul, dosa pun pejam mata.
Selepas itu nak harap si menantu ubah itu ini. Memang susahlah. Tanggung jawab itu jatuh pada mak ayah dulu. Benda kalau sudah lama dibiarkan, bukan senang diubah dalam sehari dua. Makan tahun juga.
Tapi kalau mak ayah tak sokong menantu untuk ubah anak dia, maka tak ke mana diri si anak itu. Percayalah!
Ada sesetengah mak mentua, berharap dapat menantu sempurna. Sedangkan diri sendiri pun ada kekurangan, mana adil jika terus mencari silap ahli baru dalam keluarga.
Ya, setiap mak tentunya inginkan yang terbaik untuk anakya. Begitu juga bila anak sudah berkahwin dan mempunyai pasangan. Sudah tentulah, sebagai mak mentua, dia ingin menantu sempurna dan dapat membahagiakan anaknya.
Mampukah keinginan mak mentua untuk dapat menantu sempurna itu tercapai. Rasanya, belum tentu dapat tapi sebolehnya menantu akan cuba jadikan yang terbaik. Cuma tak tahulah macm mana pula pandangan mak mentua pada dirinya.
Kita bukanlah sempurna. Baik mak mentua atau menantu, kita bukanlah yang terbaik dan mak mentua jangan terlalu berharap untuk dapat menantu sempurna, sebab sampai kiamat kita tak akan jumpa.
Perkongsian yang boleh dianggap agak ‘panas’ dan makan bila pendakwah memberi jawapan ‘pedas’ kepada salah seorang perempuan apabila ditanya tentang mak mentua yang merasakan menantu tidak sesuai dengan anaknya.
Dalam satu perkongsian di Tiktok tular tentang wanita Indonesia yang mengajukan soalan tentang menantu yang tidak sempurna. Namun, jawapan yang diberikan oleh pendakwah terkenal negara itu, Mamah Dedah cukup pedas.
“Saya baru sahaja mengizinkan anak berkahwin dan menerima menantu baru. Namun selepas mereka berkahwin, ternyata menantu saya itu tidak seperti yang saya harapkan. Dia tidak memenuhi ciri-ciri yang saya bayangkan sebelum ini dan saya rasa dia tidak sesuai untuk anak saya.”
Kemudian, soalan tersebut dijawab tenang oleh Mamah Dedeh dengan jawapan yang cukup memberi kesan kepada mereka yang mendengar.
“Kita harus memahami peribahasa ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Jika anda mengharapkan bertemu calon menantu sesempurna seperti dalam bayangan anda, sehingga kiamat tidak akan berjumpa orang seperti itu.
Ada pepatah yang mengatakan ‘Insaan Mahalul Khatha wan Nisyaan’ yang bermaksud ‘manusia itu tempatnya adalah salah dan lupa’. Jangan terlalu cepat menghukum si menantu, ada baiknya kita muhasabah diri dahulu.
Adakah kita sudah cukup sempurna untuk mengharapkan yang sama?
Kisah pergolakan antara menantu dan ibu mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan lagi-lagi yang bukan pilihan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan terlalu rumit. Sikap sesetengah ibu mentua yang suka mempertikaikan perkara remeh menjadikan hubungan keduanya sentiasa panas. Pendek kata ada sahaja yang tidak kena.
Menantu pula jenis tidak sabar jadi bila sama-sama ‘keras’ maka makin buruklah jadinya. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!