Tidak semua mak ayah dapat menerima kekurangan anak, malahan ada yang malu nak mengaku anaknya seorang OKU (Orang Kelainan Upaya). Padahal banyak tau kelebihan yang OKU dapat.

Sebenarnya lebih mudah jika sedari awal anda mengakui anak adalah pemegang kad OKU, lebih mudah guru mengenali anak anda. Terutamanya bagi pelajar darjah satu yang baru bersekolah. Jika dari awal anda khabarkan pada cikgu, tahulah cikgu nak handle anak mak, ayah.

Fahamkan perkongsian Jiha Shuib :

Rupanya ada satu salah faham yang besar dalam kalangan ibu bapa. Kalau sebut kad OKU, takut sebab nanti kat Mykid ada tulis masalah anak dia. Nanti satu dunia tahu anak itu lain daripada lain. Salah faham sebenarnya. Kad OKU dan Mykid tidak berkaitan langsung antara hidup dan mati.
Isu ni timbul terutamanya mak ayah budak darjah satu, kan anak itu baru masuk sekolah seminggu lebih. Ada yang kejutan sosial, masuk saja sekolah dia macam teruja hendak meneroka.

Tak boleh duduk diam, kat rumah biasanya boleh keluar masuk dan main. Ada televisyen dan ada gajet, pakaian bebas rasa nak makan ke minum pun tak kisah. Tiba-tiba disuruh duduk diam, tak boleh itu, tak boleh ini. Dekat rumah sunyi dan tenang, dekat sekolah pula bising dan ramai orang. Ada anak tak boleh hadap secara automatik. Menurut kajian tak rasmi anak tunggal, atau anak yang adik-beradiknya sedikit dan berlainan jantina (contoh lelaki tunggal / perempuan tunggal) , atau tidak pernah dapat pendidikan awal mahu pun terapi akan menghadapi sedikit masalah penyesuaian.

Jadi bila di sekolah beberapa hari cikgu tidak dapat kawal anak yang kerap kali terlepas keluar. Sering merantau dalam sekolah, berkelakuan agresif atau pantang ditegur. Kes seperti ini cikgu terpaksa panggil ibu bapa dan cadangkan untuk bawa anak berjumpa doktor untuk didiagnos.

IKLAN

Umpama Mengais Sampah Bawah Tikar, Ikutkan Ego Tak Mengaku Anak OKU
Jangan Percaya Bulat-bulat

Saya menegaskan di sini bahawa hanya doktor atau psikiatris paediatrik yang bertauliah sahaja layak untuk buat pengesahan. Sebagai cikgu Pendidikan Khas atau cikgu di aliran perdana kami hanya boleh mengenal pasti simptom itu, menjalankan ujian seterusnya membuat cadangan untuk dirujuk pada pihak yang sepatutnya. Kalau cikgu atau jururawat yang kata anak kita ada masalah, JANGAN PERCAYA BULAT-BULAT.

“Sedap hampa mengata anak aku ye, dah pak dia dulu tok dia kata darjah tiga baru boleh cakap, mau mendengar kata. Mana tak menurun pada anak dia”
Takpa, ia berkemungkinan penyakit keturunan. Nanti lama-lama dia okay. Yang penting bawa anak itu jumpa doktor dulu. Buktikan tuduhan mereka itu salah. Kalau doktor kata anak okay, cuma perlukan terapi.

Jangan lengah, jangan tangguh. Terus buat terapi tu. Ada banyak tempat dan cara untuk terapi anak. Sama ada dirujuk ke hospital kerajaan, atau inisiatif mak ayah untuk bayar ke pihak swasta. Yang penting jangan biar dan simpan anak seolah mengais sampah ke bawah tikar dengan anggapan ia akan hilang sendiri.

IKLAN

Pilih mana mak mahu, bantu anak sekarang atau tunggu sampai darjah 6 baru perasan kertas penulisan dia hanya menyalin soalan dari kertas semula. Itu dah terlambat, anak dah besar dan terlalu jauh dia nak kejar apa yang dia tertinggal. Dia pun akan malu berbanding masa kecil dia belum tahu apa-apa.

Anak Adalah Tanggungjawab

Anak kita tanggungjawab kita, selain beri makan dan minum amanah mendidik juga terletak di bahu kita.

Ada ibu bapa yang berhabisan membawa anak ke sana sini, jadual padat dengan segala macam terapi sehingga anak yang dikatakan doktor ‘in vegetative state’ kini sangat aktif dan bijak memberi respon pada persekitaran. Ada juga mak yang tak mampu dari segi kewangan dan suami tak menyokong namun berusaha belajar dari internet malah membuat bahan bantu sendiri demi anak. Gigih DIY segala macam bahan terpakai dan murah sehingga rumahnya persis pusat terapi yang bernilai ribuan ringgit.

IKLAN

Semuanya adalah USAHA. Ganjaran ada dan tuhan pandang itu semua, yang dinilai bukanlah hasil semata.

Kad OKU lain cerita, kalau doktor sahkan anak kita ada kelainan upaya. Dan dicadangkan Kad OKU buat saja dan simpan, tak ada orang tahu pun kad itu kalau kita tak tunjuk. TAPI, Kalau ada kelebihan dan rezeki untuk anak OKU dengan kad itulah dapat bantu dia. Tak rugi pun kalau buat. Takkan ada sikit pun ‘remark’ di Mykid anak. Kelebihan kad OKU ni kalau nak cerita panjang 4 perenggan karangan, tapi kalau tak mahu semua itu pun tak apa. Kad itu akan berguna suatu hari nanti. Percayalah.

Dalam hidup ini tak mulia kita dek pujian dan tak keji kerana hinaan orang.
Cuma mohon jangan rosakkan masa depan anak hanya kerana ego kita sebagai orang tua.

#catatancikgupendidikankhas
#catatanjihasaiful

MW: Jangan bimbang pandangan orang, paling penting mak,ayah cuba berikan yang terbaik kepada anak. Jika mak, ayah dapat kesan perbezaan pada anak, cuba bawa berjumpa doktor agar anak-anak mendapat rawatan yang betul. Jangan sudah terlambat, menyesal pun tidak berguna.

Sumber: Jiha Shuib

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI