Bila anak kecil kita yang ditatang bagai minyak yang penuh itu sudah meningkat remaja, mak ayah kenalah terima hakikat yang dia perlu belajar hidup sendiri.. berdikari.
Bersediakah mak ayah? Berat rasa hati mahu melepaskan kan.. risau.. takut jadi apa-apa bila anak tak ada depan mata. Tiba masa, kita memang perlu lalui juga saat ini.
Menarik cara ibu ini, Farizah Shamsudin mendidik anaknya hidup berdikari. Paling unik, dia mulakan pelajaran survival hidup itu di pinggiran London, ketika anak daranya memasuki usia 13 tahun.
Pertama Kali Lepaskan Anak Naik Bas Sendiri Di London
“Kalau salah bas nanti macamana, mama?” rintih dia selepas bersalam.
Dia genggam erat tangan saya. Wajahnya gelisah. Waktu berlepas hanya tinggal 10 minit lagi.
Di terminal bas TBS, yang bukan penumpang tidak dibenarkan turun sehingga ke platform. Maka, hanya setakat itu saya boleh mengiringi dia. Selepas tiket diperiksa, dia perlu turun eskalator sendirian dan terus ke platform bas.
Saya senyum sahaja sambil tepuk bahu dia.
“Tak apa. Kakak tanya je orang yang jaga kat situ. Sebelum naik bas, tunjuk tiket tu dulu. Yang penting, pastikan tunggu di Gate 16.”
Lalu dia pun pergi dengan muka yang cuak, antara nak senyum dengan tidak. Saya maintain wajah tenang-tenang sahaja.
Risau? Eh mestilah. Ini pertama kali saya melepaskan dia pulang seorang diri ke kolej. Naik bas ekspress. Kawan-kawan yang lain ada yang mak ayah hantar. Ada yang dah beli tiket awal-awal.
Jadi, mahu tak mahu kali ini dia perlu pulang sendiri. Tiba di stesen bas destinasi nanti, dia perlu pandai-pandai cari kenderaan untuk ke kolej pula. Sama ada call senior tolong ambilkan, atau tempah GRAB.
Saya tahu dia pun risau, namun saya percaya dia boleh!
Ads
Saya mula mendedahkan dia naik bas awam sendiri semasa kami direzekikan menetap 1 tahun di London. Antara semua anak yang lain, hanya sekolah dia yang paling jauh dari rumah dan perlu naik bas awam. Perjalanan pula mengambil masa lebih kurang 30 – 40 minit.
Mula-mula Anak Takut, Lama-lama Jadi Biasa
Setiap pagi, dia akan ditemani oleh abahnya berjalan kaki hingga ke hentian bas ( kerana laluannya sama), dan kemudian, mereka akan berpisah sebelum ke destinasi masing-masing. Pulang, dia sendiri.
Mula-mula dia takut, lama-lama dia semakin biasa. Dan selama tempoh itu, alhamdulilah semuanya baik-baik sahaja.
Umur 13 tahun. Menaiki bas awam sendirian berulang-alik ke sekolah di sebuah pekan kecil di pinggir London. Saya rasa itu pengalaman yang mahal dan satu pencapaian peribadi yang sangat hebat bagi dia.
Dia berjaya melaluinya dengan baik!
Dan setelah sekian lama, hari ini pada umur 18 tahun, dia perlu melalui sekali lagi perkara yang sama, cuma di sudut bumi yang berbeza.
Dan saya percaya dia tetap boleh melakukannya! InsyaAllah.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anaknya selamat di depan mata dan dalam jagaannya sentiasa. Apapun, itu impian yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Akan tiba satu masa nanti mereka perlu hidup sendiri dan belajar berdikari.
Tip Bertenang Lepaskan Anak Lalui Fasa Hidup Berdikari
Buat ibu-bapa yang perlu melalui fasa melepaskan anak berdikari, ini antara tip yang boleh diamalkan supaya hati anak tenang, hati kita pun sama.
1. Kepercayaan.
Jangan amalkan sikap, ‘anak yang nak balik, mak ayah yang panik.’
Bukanlah bermaksud kita tak boleh risau, tetapi janganlah ditunjukkan segala perasaan itu secara keterlaluan di depan anak-anak. Simpan kejap-kejap segala rasa itu dalam hati.
Percayalah, kerisauan kita hanya akan meruntuhkan keyakinan diri mereka. Sebaliknya, ketenangan dan kepercayaan kita akan menjadi modal kekuatan dalam diri mereka.
Lepaskan dengan doa dan restu.
2. Persediaan diri.
Tak perlu tunjuk cemas dengan berpesan itu ini. Namun, jangan pula lepas tangan semua benda. Cukuplah dengan membekalkan kepada dia dengan pesanan yang berpada-pada. Ringkas, padat dan tak perlu panjang berjela.
Percayalah, mereka tak akan mampu nak ingat semua benda dalam satu masa.
Ads
Cukuplah memberikan mereka persediaan diri yang asas dan penting. Maklumkan apa yang perlu dibuat jika terjadi begitu begini. Kalau kecemasan, siapa yang perlu dihubungi. Nak bertanya apa-apa, orang yang bagaimana boleh dipercayai.
3. Tawakal.
Sebagai ibu bapa, kita tak mungkin akan mampu untuk menjaga dan melindungi mereka sepanjang masa. Maka, ini adalah masa terbaik untuk kita memperkenalkan peranan Allah dalam hidup mereka.
Biar mereka rasa betapa nikmatnya rasa pergantungan hanya kepada Allah semata-mata, dan bukannya manusia ( termasuk ibu bapa mereka ).
Lepaskan dengan rasa percaya.
Percaya kepada dia.
Percaya kepada diri kita sendiri.
Dan teratas daripada semua itu, percaya kepada Allah.
Doa dan tawakal.
Serahkan kepada Allah untuk jaga dia.
***
Beberapa jam selepas itu, dia mesej saya.
“Mama! Kakak jumpa kawan sama kelab debat naik bas yang sama! Kakak dah ada kawan balik tempat sama!”
Riang sekali nadanya kali ini.
Alhamdulillah.
Begitulah cara ALLAH menghantar pertolongannya apabila perlu, melalui sesuatu yang tak disangka-sangka.
Jodoh, zuriat, rezeki dan kematian itu kekal menjadi rahsia Allah. Kita takkan pernah tahu urusan nikmat dan ujian itu, sampailah keempat-empat itu sampai kepada kita.
Kerana misterinya 4 perkara inilah yang membuatkan manusia telah Allah bekalkan dengan senjata, iaitu doa. Berdoa sajalah membolehkan kita menikmati keempat-empat perkara ini.
Tuhan tidak berikan serentak. Sebaliknya, bergantung pada ujian hidup setiap hambaNya. Kenapa? Sebab tuhan nak tengok sejauh mana hambaNya itu bersyukur dan meletakkan pergantungan diri padaNya.
Mudah bukan? Tapi tak semudah pada hamba-hambaNya yang sedang diberikan ujian. Ujian kekentalan hati ini turut dialami pasangan suami isteri, Abdul Basit bin Abdur Rahim Nasution dan Liyana Akmal.
Lebih 6 tahun 5 bulan selepas mendirikan rumah tangga, Pengarah Urusan Byond Success ini menanti kehadiran cahaya mata.
Menurut Liyana, rahsia sebenar berdoa itulah yang mengalirkan nikmat cahaya mata yang selama ini mereka nanti. Dalam pada itu, Abdul Basit berkongsi bagaimana dengan cara menjaga KUNCI rezeki menjadi rahsia rezeki buat mereka berdua.
Ketahui Rahsia Sebenar Berdoa
Satu ketika dulu saya selalu berdoa, “Ya Allah, kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah.”
Setiap hari. Dan saya manusia biasa, saya kecewa. Saya stress doa tidak dimakbulkan Allah.
Hinggalah satu ketika Allah izinkan saya diajarkan satu DOA YANG LUAR BIASA oleh seorang ustaz ni.
Kalau selama ni kita hanya minta pada Allah sekadar nikmat sahaja. Kita tak benar-benar ikhlas meminta padaNya supaya diberikan nikmat yang lebih bernilai.
Ultimate nikmat iaitu kecintaan dan rahmat Allah pada kita. Hubungan yang luar biasa. Maka ustaz tu ajarkan saya, alter doa saya.
Tukar Cara Meminta Doa
Sejak itu, bila saya mula tukar cara doa begini saya lebih bahagia dan redha. Sebab matlamat dan objektif dalam doa itu bukan terfokus pada nikmat semata tapi lebih ikhlas kerana hubungan kita pada Allah yang memberikan nikmat itu.
Jadi kita lebih tenang dan redha serta ikhlas pada doa yang kita submit pada Allah. Beginilah lebih kurang doanya.
“Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan aku dengan diriMu maka makbulkan ya Allah..”
“Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau lebih memandangku ya Allah, maka kurniakanlah..”
“Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ibadahku lebih bertambah dan solatku lebih khusyuk maka izinkanlah nikmat ini Engkau pinjamkan padaku ya Allah..”
“Kerana Engkau sahajalah sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu yang terbatas bagiku. Amin”
Jika Dah Diberikan Nikmat Dan Diuji, Refresh Balik Doa Kita Dulu
Struktur doanya lebih kurang begini. Jadi mungkin ilmu doa yang saya share ni dapat sama-sama kita upgrade cara kita berdoa. Nak doa untuk mohon nikmat apa pun.
Jadi, kalau Allah makbulkan doa kita dan kita diuji dengan nikmat itu kita kena refresh balik doa kita dulu. Asbab ujian itulah yang mendekatkan kita padaNya.
Dan kalau doa kita belum termakbul sekalipun, atas asbab itulah Allah reservekan doa itu untuk menjaga dan memelihara pandangan dan hubungan kita dengan Dia, Allah Yang Maha Mengetahui.
Jadi kita kena belajar untuk redha.
Insya Allah, saya hanya menyampaikan sedikit perkongsian seorang guru yang saya kira kita boleh amalkan dan upgrade life kita untuk jadi lebih ikhlas dan redha.. insya Allah.
Semua doa hanya Allah sahaja yang layak menilainya. Ustaz ni mendidik saya untuk menjaga hati terlebih dahulu. Membetulkan hati dan menjaga ibadah kita ikhlas dengan Allah.
Urusan memakbulkan bukan tugas kita. kita sebagai hamba meminta sahaja,memakbulkan doa adalah kerjaNya.
Demikianlah yang dikongsikan oleh Liyana Akmal. Seorang ibu yang tak pernah berhenti berdoa untuk suami dan anak-anaknya.
“Syurgalah buatnya. Aminn..” Demikian doa suami untuk isteri tercinta.
Jaga Kunci Rezeki
Menurut Abdul Basit, mereka menanti kehadiran zuriat lebih 6 tahun 5 bulan. Ia bukanlah waktu yang sekejap kerana pelbagai usaha telah mereka lakukan.
Sehinggalah satu ketika, saya buat keputusan ingin memberikan hadiah kepada Abuya (panggilan ayah) buat pertama kalinya dalam hidup saya.
Saya berikan pada hari lahir beliau 22 Februari 2017, pada usia abuya 64 tahun.
Sebuah kereta yang ada nama saya pada kereta tersebut, plate kereta WB451T. Bermaksud walid basit, iaitu ayah saya sendiri (Ustaz Abdur Rahim).
Selang satu minggu selepas tarikh kami berikan hadiah ini, Puan Liyana di sahkan mengandung.
Allah.. ini rupanya rahsia rezeki.. bila kita menjaga KUNCI Rezeki itu sendiri. Benarlah, jika mahu redha Allah. Kejar redha ibu dan ayah. Maka, segala isi dunia Tuhan boleh berikan.
Siapalah kita mahu menidakkan rahsia rezeki ini, gandakan lagi usaha kita menjaga Kunci Rezeki itu terlebih dahulu.
Kini, nama anak ini kami namakan Abdul Fateh Bin Abdul Basit. Hamba Allah yang membawa kemenangan. Pada 27 November lalu, genaplah 46 hari umur bayinya.
Moga perkongsian ini memberi inspirasi buat mereka yang menantikan rezeki cahaya mata bersama pasangan.
Sumber/Foto/Video : Facebook Abdul Basit
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila mak ayah uzur tinggal dengan salah seorang adik-beradik, semua orang mesti main peranan. Jangan ada yang sampai lepas tangan dan biarkan adik-beradik kita nan seorang itu uruskan ATOZ.
Kadang-kadang tidak dinafikan dalam ramai-ramai adik-beradik mak ayah selesa dengan anak yang seorang itu saja. Bukan pilih kasih, tetapi itulah kenyataan bila mak ayah semakin menua.
Bila Mak Ayah Uzur
Hanya yang laluinya saja yang faham. Ikuti perkongsian Puan Nurlia Mohd Nor ini dan hadam baik-baik mesej yang disampaikan:
Dua hari lepas saya inform Nyah nak beli barang sekolah si kembar. Si kembar memang jarang keluar. Kalau si kembar ikut pun sebab ada hal atau benda yang mereka hendak beli.
Kalau mereka keluar sekali Tok tinggal seorang, so memang kena ada yang temankan. Tok memang tak boleh tinggal seorang dah. Tok pula memang tak suka keluar mungkin sebab dia tak selesa atau tak larat.
Nak pulak kalau lama. Kasihan kalau menunggu. Dulu abam Megat ada bolehlah dia tolong tunggukan Tok sekejap di rumah. Ni abang Megat pun sudah jauh.
So petang semalam Nyah dan family datang. Usai solat Maghrib kami pun keluar 4 beranak beli barang keperluan sekolah si kembar dan barang dapur di Mydin.
Sebenarnya bila mak ayah kita tinggal dengan salah seorang adik beradik, semua orang mesti main peranan. Tak boleh lepas tangan. Sebabnya setiap orang ada komitmen pada kerja dan family masing- masing. Nak balik tadi saya ucap terima kasih sebab tunggu Abah semalam. Nyah bagitau,
“ Takde apa la Ya. Nyah nak juga ajak Abah tinggal seminggu ke dengan Nyah. Tapi ye la dia dah selesa rumah kamu. Kita bukan kira apa dah, nak bagi Abah selesa dengan seronok je.
Dia tak dapat pergi rumah Nyah, Nyah kena usaha datang sini bagi dia seronok. Kamu kalau nak pergi mana-mana bagi tahu je Nyah. Nyah datang tunggu Abah..”
Semua Orang Mesti Main Peranan
Ya. Itulah komitmen kita sebagai adik beradik. Dorang pun faham saya juga ada family, ada masa kami nak keluar 4 beranak, ada masa nak juga bawa si kembar bercuti. Biasanya dorang akan datang tunggu Abah.
Bila masing- masing main peranan inshaAllah semua dipermudahkan. Tanggungjawab menjaga orang tua akan lebih seronok kalau masing- masing faham dan main peranan.
Jangan letak sepenuh tanggungjawab pada orang yang menjaga saja sebab kalau kita tau betapa dahsyatnya ganjaran Allah bagi bila menjaga dan mengembirakan orang tua pasti kita berebut- rebut nak ambil peluang.
Tapi memang pun…
Nyah selalu cerita bila datang je sini ziarah Abah,
“ Tadi customer call dapat job buat bla.. bla.. bla..”
“ Customer call nak bayar payment..”
Nampakkan.. Bila ibu bapa kita happy rezeki pasti datang tepat pada waktunya
Mingguan Wanita : Semoga perkongsian ini memberi inspirasi buat kita semua dalam berbakti kepada mak, ayah. Jika mak ayah tak selesa di rumah kita, luangkan masa dan ziarahlah mereka selalu.
Kadang ada sesetengah mak ayah ralit sangat tayang aksi anak kecil di laman media sosial. Tengok yang LIKE dan komen pun meriah, lagilah mood nak kongsi gambar dan video anak di internet makin mencanak-canak.
Ya, tak salah nak berkongsi kebahagiaan tetapi kita takut dalam ramai-ramai kawan media sosial itu, terselit golongan ‘bahaya’. Nak-nak pula kalau ada yang simpan gambar anak yang seksi atau tak cukup pakaian itu dijadikan koleksi untuk ‘berseronok’.
Sebolehnya mak ayah patut berjaga-jaga atau lebih mudah cuba rebungkan perkongsian Parent Connect Consultancy, Puan Noor Afidah Abu Bakar berkait dengan hobi share gambar dan video anak di laman media sosial. Ini sebenranya lebih mendatangkan kebaikan atau keburukan? Jemput baca…
Tayang Gambar Anak Kecil Di Internet
Jagalah aib anak-anak sendiri di media sosial. Janganlah dimuatnaik video atau gambar yang memalukan. Anak kecil tidak dapat mempertahankan dirinya. Anak kecil tidak tahu kisahnya telah disebarkan. Anak kecil tidak tahu ramai yang mentertawakan dia. Anak kecil tidak tahu ada yang mengeji dia hanya kerana berperangai seperti anak kecil.
Adakah yang mengeji itu sempurna kelakuannya ketika kecil dulu?
Sedarlah yang kita beruntung zaman ibubapa kita dulu tiada media sosial.
Anak kecil tidak tahu ramai yang hendak ‘memberi penampar’ kepada dia kerana mereka tidak tahu cerita sebenar apa yang berlaku.
Kasihan kamu hai anak.
Wahai ibubapa…
Anak kecil itu akan terus diejek, dimalukan dan dibuli kerana keghairahan orang dewasa mengongsi kisahnya. Kasihanilah dia. Dia tidak tahu apa-apa.
Anak kecil itu bukan saja diejek oleh rakan sebaya, anak kecil itu juga diejek oleh orang dewasa yang akalnya tidak sempurna.
Kasihanilah dia.
“Satu hari nanti anak kecil akan mendapat tahu juga yang dia telah dimalukan di internet.
Satu hari nanti mungkin dia tertekan dengan aibnya yang telah dibuka.
Satu hari nanti mungkin renggang hubungan kerana aibnya tidak dijaga.”
Atau mungkin satu hari nanti perangainya tetap tidak berubah kerana dia popular dengan perangainya yang sebegitu. Dia popular kerana ibubapa sendiri yang mempopularkan dia walaupun perangainya masih memerlukan bimbingan.
Wahai ibubapa…
Apa yang kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Kita boleh padamkan dari media sosial kita, tetapi ramai yang tidak padamkan. Ramai yang telah kongsikan. Ramai yang muat turun dan menyimpannya. Mungkin mereka berniat baik, namun mungkin juga ada yang berniat tidak baik terhadap kita, keluarga kita dan anak-anak kita. Mungkin ia akan digunakan oleh mereka nanti untuk terus membuka aib kita.
Pohonlah perlindungan daripada Allah SWT. Allah akan terus menutup aib kita selagi kita berusaha menutupnya. Kita manusia yang sentiasa berbuat silap.
Anak-anak adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita membuka aib anak di media sosial untuk disebarkan, kita sebenarnya membuka pekung di dada kita sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...