
Kreatif betul suami ini. Demi nak hargai hari istimewa isteri, suaminya beli beberapa kek mini Apollo di kedai RM2 dan bahan-bahan untuk topping kek. Hasilnya, dapatlah seketul kek hari lahir isteri yang sweet.
Perkongsian Muhd Firdaus dalam grup Masak Apa Hari Ni mengundang pelbagai reaksi daripada ahli grup itu. Ramai teruja dengan kegigihan dan keikhlasan suami itu.
Cara suami surprise untuk isteri itu pun unik betul. Dan yang pasti kek itu nampak sedap.
Kongsi Muhd Firdaus.
“Ini kek Apollo. Sempena hari lahir bini saya. Saya nak buat surprise dengan kek Apollo yang saya beli di kedai 2 ringgit.
Semua ini beli kat kedai 2 ringgit. Dengan kreativiti saya bolehlah hias sikit-sikit. Harap reaksi mimik muka bini saya terkejut.. terharu dan happy.”
Doa Sempena Hari Lahir Isteri
Malah, menerusi laman facebook miliknya, suami ini menitipkan doa untuk isterinya, Noor Aliza.
“Wahai bidadari ku,
Selamat datang di usia yang baru. Semoga tuhan senantiasa menjaga cinta tulus mu agar tetap seperti ini. Kebaikan dan kemudahan semoga selalu mengiringi langkah mu.. Selamat Hari Lahir buat isteriku yang tercinta.
Semoga panjang umur dan dimurahi rezeki selalu dan menjadi seorang isteri yang solehah.
Dan semoga hubungan kita kekal hingga ke akhir hayat.. love you.”
Cuma Ambil Masa 30 Minit Buat Kek Apollo Homemade
Ketika Mingguan Wanita menghubungi suami hebat ini, beliau maklumkan cuma ambil masa 30 minit saja untuk buat kek hari jadi homemade isterinya itu.
“Saya tak de belajar mana-mana pun. Buat sendiri.. kreativiti sendiri. Jadi secara spontan.” Akuinya yang baru setahun mendirikan rumah tangga. Pasangan ini juga belum dikurniakan cahaya mata.
“Tahun lepas saya beli dekat kedai.” Jadi, tahun ini sambutannya lebih istimewa lagi untuk isterinya. Dan isteri ternyata sangat teruja dan jadi terharu.
“Walau kek tu bajet tak sampai RM20.”
Malah, ketika sambutan hari lahirnya sendiri, isterinya itu menyediakan pulut kuning yang dibuat sendiri dengan hiasan yang unik.
Begitulah suami isteri saling menghargai hari bahagia pasangannya. Mana-mana isteri mahupun suami, bila mana dapat walau sekadar ucapan hari lahir dari orang tersayang.. itu sudah cukup besar maknanya. Hati berbunga riang.. jadi bahagia.
Bila usaha buat surprise sebegini, tentulah semakin bermakna dan meninggalkan momen yang manis. Semoga kisah sweet ini memberikan sedikit kesan kepada anda untuk menghargai pasangan yang setia di sisi.
Tiga bulan isteri berpantang di kampung, suami buat kejutan makeover rumah.
Sumber/Foto : Muhd Firdaus
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Akulah Virus Rumah Tangga Itu’ Semalam Dengan Kupu Kupu Malam Temui Jawapan Siapa Dirinya Di Mata Isteri

Setelah kecewa dengan isteri yang mencurangi dirinya, lelaki ini merasakan dunianya menjadi gelap. Bermacam usaha dilakukan untuk mencari jawapan ujian rumah tangganya. Dia tidak mahu melepaskan isteri, tapi hatinya membengkak setiap kali memandang wajah isteri.
Sampailah suatu malam dia bertemu dengan wanita yang setaraf kakak di lorong gelap. Semalam dengan kupu-kupu malam ini temukan jawapan yang selama ini dicari. Jawapan yang puas dicarinya selama beberapa hari.
Dan kisahnya dengan kupu-kupu malam bernama Mira inilah yang diceritakan semula kepada rakan sepejabatnya. Lalu dikongsikan dengan Mingguan Wanita. Namun, demi keselamatan nama-nama ini bukanlah menggunakan nama sebenar.
Kekasih Isteri Ku, Bos Syarikat Pembinaan
Bagai dihempas dengan batu yang besar, sakit dan tenggelamnya aku di dada bumi, lemas dan tidak mampu bernafas bila isteri aku mengaku bahawa dia telah mencurangi aku. Aku cuba untuk menjadi sewaras – warasnya manusia supaya dapat mengawal api kemarahan yang semakin membuak – buak. Jika ku turutkan nafsu amarah dan sifat baranku ingin aku pijak – pijak dia yakni isteriku di situ juga.
Aku memaksa dia untuk memberi padaku segala detail lelaki itu supaya senang aku bersemuka dengan lelaki itu, namun isteriku tetap membisu. Aku merenung wajah polos isteriku, dia cantik dan manis orangnya walaupun tanpa secalit make up maka tidak mustahil jika ada lelaki lain yang cuba memikatnya.
Aku mencari di mana silapku sehingga dia sanggup curang padaku. Adakah sebab aku tidak beharta dan hanya bekerja biasa – biasa sahaja maka dia memilih untuk menduakan aku. Jauh benar untuk di bandingkan dengan lelaki itu, dia merupakan bos dan pemilik kepada sebuah syarikat pembinaan.
Lelaki itu juga akui dia memang sayangkan isteri aku ini dan sudi mengambil dia menjadi isteri jika aku sudi melepaskannya. Aku hairan kenapa dalam ramai – ramai wanita single di luar sana, isteri aku juga menjadi pilihan dia.
Dia kata isteri aku seorang yang penyabar dan tidak memandang harta. Memang aku akui sepanjang 7 tahun kami menjadi suami isteri, dia telah banyak bersabar dengan tingkah laku ku dan sifat baran ku. Aku hairan kenapa bila berdepan dengan lelaki tersebut aku tiba – tiba menjadi lelaki yang penyabar.
Dari awal nak jer aku pijak – pijak muka dia kelantai tetapi bila sahaja aku lihat dia, aku menjadi tenang dan kami berbincang dengan cara lelaki. Mungkin kerana lelaki itu halus budi bahasa dan raut wajahnya menandakan dia seorang yang ikhlas.
Ketika Isteri Gastrik, Bos Itu Belikan Sarapan Pagi
Dari asalnya mereka hanya berkawan biasa. Berurusan hanya atas dasar kerja. Kadang – kala kalau ada masa terluang dia akan membelikan isteri aku sarapan pagi. Memandangkan kadang – kadang dia melihat isteri aku menelan pil tahan sakit di sebabkan gastrik kerana tidak sempat minum pagi, jadi sebagai seorang kawan dia patut menghulurkan bantuan dengan membelikan sarapan pagi pada tiap – tiap hari.
Kadang kala aku tidak sempat menjemput isteriku untuk makan tengahari jika aku di tugaskan kerja luar, maka dia dengan rela hati membelikan isteriku makanan tengah hari memandangkan isteriku menolak jika dia mengajak untuk sama – sama keluar makan.
Maka dari asalnya kasihan maka hadirlah sayang. Namun bagi aku itu adalah satu alasan bodoh mereka untuk menutup kesalahan mereka. Semua itu kerana masing – masing gagal mengawal nafsu.
Hampir dua minggu aku dan isteri tidak tinggal sebumbung. Aku hantar isteriku dan anak – anak ke rumah orang tuanya. Aku minta diberi ruang untuk berfikir dan membuat keputusan samada untuk meneruskan ikatan perkahwinan kami atau untuk memilih jalan penceraian.
Dia akur tanpa sepatah kata dan bersumpah selama menunggu kata putusku dia tidak akan menghubungi lelaki tersebut. Begitu juga dengan lelaki itu, berjanji tidak akan menghubungi isteri aku lagi. Isteri ku sedikit pun tidak mendesak aku menceraikannya atau merayu aku untuk menerimanya kembali.
Apa keputusan aku dia akan terima kerana dia tahu itu kesilapan dia. Cuma sampai sekarang dia masih membatu diam seribu bahasa tidak menyatakan padaku mana silapnya dan apa salah aku sehingga dia sanggup menduakan aku. Mungkin dia menyuruh aku mencari sendiri dimana silapnya. Aku bersyukur kerana hubungan mereka baru 1 bulan dan masih lagi menjaga perbatasan masing masing.
Aku Mencari Ketenangan Di Masjid Dan Surau
Sepanjang dua minggu ini aku menjadi hilang arah. Semua masjid dan surau aku masuk untuk mencari ketenangan. Aku tidak mahu kehilangan dia namun aku tidak mampu untuk memaafkan dia. Melihat gambar – gambar kenangan kami dan anak anak cukup membuat aku berhujankan air mata.
Tujuh tahun usia perkahwinan bukanlah satu jangkamasa yang pendek. Pelbagai ujian dan rintangan kami lalui bersama. Suka duka di kongsi berdua. Kenapa dia sanggup menduakan aku.
Ya Allah… Berat ujianmu kali ini tuhan. Keluarga aku mendesak supaya aku tinggalkan isteriku. Namun aku minta diberikan masa, bukan senang untuk membuat keputusan.
Seorang demi seorang yang bijak pandai aku temui. Namun masih aku tidak temui jalan penyelesaian. Pelbagai hadis dan tauladan mereka bacakan padaku. Aku masih buntu sehinggalah satu malam tu aku merayau rayau di tengah kota, aku disapa oleh seorang wanita yang sebaya dengan kakak aku.
“Aku tengok kau macam tak terurus jer. Kenapa..? Bini kau lari dengan jantan lain ke?”
Aku melihat wanita tu dari atas sampai ke bawah.
“Ala.. kalau kau nak enjoy dengan aku pun boleh. Satu round RM50. Aku ada port.”
Aku menelan pahit air liurku, wuduk masih basah di ubun ubun. Aku bangun dan membuka pintu kereta.
“Eh kau… Tak kan nak blah camtu jer. Ok lah aku tak kenal kau. Kau pun tak kenal aku. So aku ada banyak masa terluang ni. Kau ada nak cerita apa apa ke?”
Aku terdiam.
Kupu-Kupu Malam Si Pendengar Cerita
“Kalau ada kau nak cerita. Ada nak luahkan aku boleh jer dengar.”
Patutkah aku berkongsi kisah duka aku ini dengan wanita ini.
“Isteri aku curang dengan aku.”
Aku mulakan cerita. Dia merenung aku.
“Sebelum kau cerita tentang isteri kau, aku nak tanya kau. Kau sayang lagi tak isteri kau.“
Dia mencelah.
“Sebab aku sayang dia lah aku jadi macam orang bangang ni. Ke hulu ke hilir tak ada tujuan. Aku sayang sangat dia sampai aku tak dapat buat keputusan. Nak aku terima dia aku marah sangat pada dia, nak aku lepas kan dia mampukah aku hidup tanpa dia.”
Mata aku mula hangat.
“Kau cakap kau masih sayang isteri kau, jadi bila dah sayang kau kena terima buruk dan baik dia. Kenapa dia curang dengan kau. Kau tak cukup bagi batang ke?”
Dia ketawa besar. Mungkin dia geli hati dengan percakapan dia sendiri. Aku senyum sinis.
“Kalau tak cukup anak dah 3 kak oiii.”
Aku mula berseloroh.
“Kau dera dia kot. Mental dia. Fizikal dia. Nafkah batin mungkin cukup. Nafkah zahir? Ada kau bagi? Sakit pening dia ada kau ambil tau? Penat lelah dia ada kau peduli? Ok, satu hari berapa kali kau tanya dia dah makan ke belum?”
Aku menelan air liur yang mula memekat.
“Kau pernah curang dengan dia tak?”
Kadang Salah Kecil Pun, Aku Bantai Dia Kak
Sekali lagi aku lemas diatas daratan, nafasku tersekat umpama tenggelam ke dasar laut yang dalam. Allahu sesungguhnya itu lah jawapan untuk segala kebuntuan yang aku cari selama ini. Egonya aku sehingga aku tidak nampak mana salah aku. Aku hanya mencari mana silapnya dia.
“Aku pernah curang pada dia kak. Berkali – kali sehingga dia sendiri minta aku menikahi wanita itu. Mujur lah Allah itu ada, Dia membuka aib wanita itu di hadapan mata aku dan isteri. Namun dia memaafi aku tanpa menghukum aku. Dia biarkan kesalahan aku berlalu ibarat sungai yang mengalir. Aku baran kak.”
“Setiap kata – kata aku kesat sekali bila aku memarahi dia kak. Kadang – kadang salah kecil pun aku pukul bantai dia kak. Tetapi selepas itu aku pujuk balik. Ajak makan makan, shopping beli apa dia mahu. Memang aku tidak pernah membelikan dia sarapan pagi, tetapi aku bagi dia belanja yang cukup kak.“
“Haaaa… di situ salahnya kau. Kau fikir perempuan ni apa? suka – suka kau marah, suka – suka kau maki hamun lepas tu kau ajak berdamai dengan wang ringgit. Ada kau minta maaf dengan dia? Sebenarnya aku tahu bini kau tu tak ada apa pun dengan jantan tu. Sekadar jadikan tempat berteduh jer bila mana rumah tangga kau di landa ribut taufan.”
“Kalau kau tak percaya, cuba kau cerai kan isteri kau. Kerat jari aku lah kalau dia pergi ke jantan tu. Kau salah, dia maafkan. Dia salah takkan kau tak boleh terima. Sekali hati tercalar ni dik… Sejuta ringgit pun tak mampu menutupinya. Kesan dia amat dalam.”
Aku Tahulah.. Aku Ni Perempuan
“Maki hamun tu ibarat virus yang membiak dalam hati dia dik. Satu kali kau buat seribu tahun dia akan ingat. Dia cuma nak perhatian kau jer. Dia nak kau hargai dia jer. Aku ni perempuan, aku tahu apa yang perempuan mahu.“
“Suami aku dulu pun ada harta juga. Tapi siang malam asyik makan kaki jer. Hidup tak serupa orang. Anak – anak jadi mangsa. Baik aku bawa diri. Kerja macam ni pun tak apa. Halal haram biar tuhan jer yang tentukan yang penting anak – anak aku kenyang. Bersekolah macam anak orang lain. Ada bapak kaki pukul sebelum aku dengan anak – anak jadi mayat baik aku berambus. Cuma rezeki aku belajar tak pandai. Camni lah kerjanya…”
Aku termenung panjang. Aku biarkan wanita yang aku kenali dengan nama Mira itu melambai – lambai setiap lelaki yang lalu lalang di situ dan tidak kurang juga ada mata menjeling tajam ke arah aku. Patut lah dia tenang saja bila aku minta dia tinggal di kampung.
Rupa – rupanya itu yang dia mahu berpisah dengan aku dan lelaki itu hanyalah asbab nya semata mata. Allahu kenapa aku tidak terfikir semua ni. Dia amanah Allah kepada aku. Sepatutnya aku jaga dan lindungi dia. Bukan sakiti tubuh badan dan hatinya.
“Dia juga bersalah kerana curang terhadap kau. Aku tidak kata tindakkan dia mencari lelaki lain untuk meluahkan perasaan sedihnya itu betul. Ramai lagi wanita dikeliling dia yang sudi mendengar. Jantan ni pantang tengok rumah tangga orang bergoyang, mula lah nak kacau daun. Kononnya akulah hero. Nasib baik la dia dengan bini kau belum terlanjur. Mungkin bini kau tu selesa bercerita pada orang luar yang bukan keluarga dia atau kau. Mungkin dia masih nak jaga air muka kau.”
Kalau Tiap-tiap Malam Jumpa, Tak Mustahil Boleh Jatuh CInta
Kak Mira menghidupkan sebatang rokok. Aku menyambut sebatang rokok yang dihulurkan. Perbualan aku dengan Kak Mira semakin menarik.
“Macam kau dengan aku sekarang ni lah. Aku yakin kalau dengan orang yang kau kenal. Nak ke kau mengaku salah kau. Memang tak lah kan. Ibarat membuka pekung di dada. Kalau tiap – tiap malam jumpa. Tidak mustahil kau boleh jatuh cinta dengan aku.”
Tersedak asap rokok aku mendengar kata – kata Kak Mira. Dia sambung ketawanya kali ini lebih kuat daripada yang tadi.
Kak Mira berhenti sebentar, aku tidak pasti samada dia menikmati tembakau Suria ataupun sedang mencari idea untuk berkata kata.
“Perempuan ni dik, berfikir menggunakan emosi. Lelaki pula berfikir menggunakan akal. Kau pernah dengar tak perempuan dilahirkan dengan 1 akal dan 9 nafsu manakala lelaki pula 1 nafsu dan 9 akal. Sebab tu talaq di letak ke tangan lelaki sebab lelaki ni fikiran dia lebih rasional berbanding perempuan. Sebab tu kau dengan bini kau masih bersama sehingga ke hari ini. Cuba kalau talaq di tangan perempuan. Aku rasa dah banyak kali dah kau jadi duda.“
Dia ketawa lagi. Aku turut ketawa bila mendengar perkataan ‘banyak kali dah kau jadi duda’. Betul lah tu, tiap kali ada pertelingkahan antara aku dengan isteriku, dia pasti akan minta aku ceraikan dia dan waktu itu pasti tangan akan naik ke muka dia.
Allahu… Kasarnya Aku Melayan Isteriku
Satu satunya wanita yang sanggup bekorban nyawa melahirkan zuriatku. Wanita yang sentiasa ada di sisi waktu aku sakit. Menemani aku di saat aku sedih. Sepatutnya aku pimpin dia ke jalan Allah. Bukan biarkan sama – sama hanyut mengejar dunia.
“Malam ni aku cuti… aku lepak dengan adik ni.”
Tiba – tiba dia menjerit bila ada kereta berhenti di tepi jalan. Kemudian terus berlalu. Aku lepak dengan Kak Mira sehingga subuh. Macam – macam cerita keluar daripada dia bujang hinggalah ke lorong gelap ini. Aku ajak dia minum di mamak. Haru kalau – kalau ada kenalan yang nampak aku lepak di tepi lorong itu.
“Lepas kau solat, kau pergi ambil dia dengan anak – anak. Mulakan hidup baru. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Sebelum terlewat. Macam aku ni nasi dah jadi bubur. Dah tak boleh buat apa lagi dah.”
“Terima kasih kak atas nasihat akak dan saya akan cuba bina hidup baru bersama isteri dan anak – anak saya kak.”
Aku menyalami Kak Mira dan menyelitkan note 100 untuk dia dan anak – anak dia belanja. Maklumlah malam tu dia kan cuti jadi tak adalah gaji masuk. Aku ikhlas.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada 6 Anak Kandung, Tak Halang Ambil 5 Anak Angkat ‘Istimewa’!

Pasangan suami-isteri ini telah memiliki 6 orang anak kandung. Namun itu tidak menghalang mereka mengambil 5 lagi anak angkat ‘istimewa’ atau mempunyai keperluan khas.
Malah Paul dan Ashley Kellogg berkata hati mereka sentiasa terbuka untuk mengambil lebih ramai anak angkat pada masa akan datang.
Menurut temubual dan artikel yang telah diterbitkan dalam People.Com, perjalanan Paul dan Ashley ke dalam dunia pengambilan anak angkat bermula selepas anak perempuan mereka Myra, 11, dilahirkan dengan masalah cerebral palsy.
Pasangan dari Indiana, Amerika Syarikat ini sebenarnya sentiasa tahu bahawa mereka sekurang-kurangnya mahukan 6 orang anak kandung sendiri. Tetapi mereka tidak pernah menyangka bahawa akan memiliki 11 orang anak. Separuh darinya adalah anak-anak istimewa dan mempunyai keperluan khas.
Namun, Paul dan Ashley mengatakan bahawa mereka tidak akan memilih cara lain – dan belum menutup pintu untuk menyambut lebih ramai ahli keluarga baru pada masa akan datang.
Ashley sewaktu ditemubual dalam rancangan TV untuk People berkata,” Saya rasa hati saya akan selalu terbuka untuk itu, selalu dapat memberi ruang.”

Miliki Kemahiran Keibubapaan Yang Sangat Berharga
Perjalanan dunia keibubapaan pasangan itu pertama kali bermula dengan kehadiran anak kandung. Dari seorang kini mereka ada seramai 6 orang.
Ketika Myra yang berusia 11 tahun – yang tidak boleh bercakap dan tidak boleh berjalan – dilahirkan dengan cerebral palsy, Paul dan Ashley segera menyedari bahawa mereka mempunyai satu set kemahiran keibubapaan yang sangat berharga yang dapat memberi banyak manfaat kepada anak lain dengan keperluan khas.
Jelas Ashley lagi, “Kami selalu memikirkan tentang pengambilan anak angkat adik-beradik, tetapi tidak pernah memikirkan keperluan khas. Kemudian kami menyedari bahawa kami mempunyai kemahiran – dan mungkin perspektif yang berbeza – yang tidak dimiliki oleh orang lain.”
Selama bertahun-tahun, mereka telah menerima lima anak tambahan. Bermula dengan, Frannie 10 tahun dan Theodore berusia 1 tahun, yang mempunyai sindrom Down. Dua dari anak angkat mereka juga ada masalah disleksia dan empat orang ada masalah penglihatan.
Seorang lagi, Finton, 8 tahun, mempunyai albinisme. Manakala Bryant yang berusia 7 tahun mengalami gangguan sawan dan kelewatan pertuturan.
Namun, pasangan itu mengatakan bahawa kehidupan mereka semakin diperkaya dengan penambahan mereka. Malah bahawa anak-anak mereka juga telah memperbaiki kehidupan adik-beradik yang lain.
Kata Ashley lagi,“Saya melihat banyak faedah untuk anak-anak kami yang lebih tua. Mereka berupaya untuk dapat mengasihani orang lain dan melihat orang lain setara, disebalik sebarang ketidakupayaan atau batasan mereka. Saya pasti ini mempengaruhi kehidupan mereka ketika mereka membesar.”
Baca Sini Juga:
‘Kembar IVF’, Disenyawakan Pada Masa Sama, Dilahirkan Terpisah 2 Tahun
Tuah Tompokan Putih, Budak Lelaki Usia 7 Tahun Jadi Model Antarabangsa
Setiap Anak Layak Dapat Keluarga Mereka
Tambah Paul: “Saya hanya berfikir bahawa lebih kerap, ada keluarga yang berusaha untuk mengambil anak angkat akan memilih anak-anak khas neuro tanpa keperluan khas. Tetapi saya berpendapat bahawa anak-anak istimewa ini, mereka dapat menambahkan perkara-perkara indah dalam hidup anda dan keluarga anda yang mungkin tidak anda sedari telah hilang. “
Micah, 7, dan Theo yang masih bayi telah diambil sebagai anak angkat daripada Special Angels Adoption Agency, satu-satunya agensi di seluruh negara (AS) yang bekerja secara eksklusif dengan anak-anak dengan keperluan khas.

Jelas Jennifer Kelly, Pengarah Perubatan Special Angels Adoption Agency, sewaktu ditemubual dalam rancangan tv sama itu, “Adalah sangat penting untuk memberi tahu orang ramai bahawa ini adalah pilihan yang sesuai.
“Ibu bapa kandung anak perempuan saya diberitahu berulang kali bahawa tidak ada yang mahu mengambil anak perempuan mereka … Saya tidak mahu ibu bapa kandung untuk mendengarnya lagi.”
Itu juga seakan mantra Ashley: “Pada akhirnya, setiap anak layak mendapat keluarga,” katanya.
Sumber/Foto: People.Com /Injoy Photography
Follow Mingguan Wanita
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerajaan Pakatan Harapan Komited Sejahterakan Peranan Kaum Ibu

Berita baik buat golongan mak-mak, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menjana suasana yang kondusif dalam negara, khususnya dari aspek kestabilan ekonomi dan pendidikan, bagi membantu menyejahterakan peranan kaum ibu mendidik dan menyediakan anak-anak mereka mengharungi kehidupan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan Hari Ibu semalam berkata tindakan itu penting bagi merealisasikan potensi mereka (anak-anak) sebagai generasi masa depan untuk negara.
“Bersempena dengan Hari Ibu tanggal 13 Mei 2018, saya merakamkan penghargaan kepada ibu-ibu di seluruh negara, hatta di seluruh dunia di atas kesungguhan serta segala pengorbanan mereka di dalam mendidik anak-anak.
“Untuk semua ibu tersayang, selamat menyambut Hari Ibu 2018,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook dan Twitter beliau.
Sehubungan itu, Presiden PKR itu berkata Kerajaan PH menghormati dan menyanjungi tinggi semua ibu tanpa mengira bangsa dan agama selain berdoa agar masyarakat mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan keluarga di bawah kepimpinan kerajaan baharu.
Pelantikan Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri, sebaik parti itu diisytiharkan menang dalam PRU14.
Semoga nasib golongan mak-mak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan yang baru terbentuk ini.
Sumber: Dr Wan Azizah Wan Ismail & Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI