Sibuk nak selongkar cerita buruk rumah tangga orang lain. Kemudian sebarkan termasuk di media sosial. Mereka yang macam ni akan sentiasa diri mereka suci dan sempurna. Apa yang mereka buati tu tak salah.
Isteri lari dari rumah, tinggalkan suami yang jatuh miskin, memang sah tak cium bau syurga! Isteri minta cerai daripada suami yang berpoligami padahal suami berpangkat ustaz kesayangan umat, memang layak kena laknat malaikat! Isteri abaikan suami, tak jalankan tanggungjawab, duduk serumah tapi tak sehaluan, padan muka bila kena penyepak!
Sibuk Jaja Cerita Orang Di Media Sosial
Semua pakat prejudis pada isteri, ramai salahkan isteri seratus peratus.Tapi bagi mereka yang masih waras berfikir, mereka yang cuba berlaku adil akan melihat masalah ini dari dua sisi, suami juga perlu dipersoalkan atas jenayah yang dituduhkan kepada isteri!
Kita amat mudah mengagak apa yang sedang bergolak dalam rumah tangga orang lain, sangka buruk dijaja ke sana sini dalam sosial media lebih ganas lagi.
Bukan main menakutkan komen-komen manusia berlagak suci. Semua orang boleh menulis semahu-mahunya, tuduhan palsu, fitnah dan buli, menelanjangi aib orang lain seolah-olah tak ingat mati. Padahal diri sendiri bukannya sempurna, perangai kasar seolah-olah orang yang sakit mental menghentam tak kira kawan atau lawan.
Tak Takutkah Allah Turunkan Ujian Yang Sama?
Sibuk mengata orang, rumah tangga sendiri berantakan! Tak sedar dosa mengumpat dan mencela itu boleh terkena pada diri dan keluarga sendiri. Tidak takutkah bila Allah bagi ujian yang sama pada rumah tangga kita sebagaimana yang Allah uji pada rumah tangga orang yang kita benci?
Ads
Tak payahlah komen berlebih-lebih, duduk mengucap istighfar sambil menginsafi diri dan pasangan yang banyak kekurangan lagi elok daripada membuang masa terlibat dalam isu rumah tangga orang lain.
Melainkan jika memang kita adalah peguam yang mewakili pasangan itu atau pegawai kaunseling jabatan agama yang ditugaskan mencari kata damai. Kenapa sibuk hal orang jika kenalpun tidak jumpa pun tak pernah, bergaduh pula dalam facebook membela yang satu dan mengata yang lain. Tak ada kerja lain nak buat?
Jangan Sibuk Umpat Orang, Dahsyat Azab Allah!
Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada, bagaimana boleh terlibat sama dalam konflik rumah tangga orang lain jika keluarga sendiri berantakan? Sedap sangat mulut memaki dan menuduh suami atau isteri orang sampai tak ingat dosa dan neraka. Ancaman bagi pengumpat dan pemaki bukan calang-calang dahsyat bunyinya, Allah SWT berfirman dengan herdikan yang tajam:
“Celakalah bagi setiap pengumpat lagi pencela. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. Yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka. (Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.” (Surah Al Humazah ayat: 1 dan 4-9)
Ads
Lupa Dosa Mengumpat Dan Mengata
Kita rasa takut, pilu bila tengok orang yang mati terbakar, kasihan sungguh mayat yang dijumpai rentung tapi kita lupa ancaman Allah bagi orang yang kuat mengumpat dan mencela. Dibakar dalam neraka huthamah, yang kekuatan apinya itu membakar sampai ke hati.
Bukan kulit dan daging saja terbakar tapi sampai ke jantung hati yang berada jauh di dalam jasad. Ini menunjukkan dahsyatnya seksa kepada si pelaku jenayah lidah! Mengapa Allah sebut hati juga terbakar? Ulama tafsir menyatakan kerana sesungguhnya tempatnya dosa itu bermula dari hati. Hati si pengumpat dan pencela ini tak pernah tenang sebelum dia mengeluarkan racun-racun benci, iri, cemburu dan dendam kepada orang lain.
Petanda Hati Rosak
Bila rosak hati ke manapun pergi orang lain tak akan selamat daripada libasan mulutnya, tajam bila mengata dan pedih bila menghasut. Bermula daripada hati yang menjadi tunggangan syaitan, segala kata yang diluncurkan itu deras menikam orang. Peliknya perangai ini juga didapati dalam diri orang-orang yang solat, bahkan alim berilmu.
Begitulah manusia tiada yang sempurna, tak payahlah mencari sebab kenapa orang baik-baik ada kalanya tak sabar menggunakan lidahnya. Oleh itu Rasulullah s.a.w mengajar kita sebuah doa yang cukup bermakna, yang berbunyi:
Ads
“Ya Allah aku berlindung kepadamu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, hawa nafsu yang tidak pernah puas dan dari doa yang tidak dimakbulkan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sebab Mulut Badan Binasa
Mengapa kita tak amalkan surah al-Humazah yang kita sudahpun dihafal daripada sekolah rendah? Kita tak takut ancaman Allah dalam ayat-ayat Al-Quran walaupun setiap hari kita baca. Kita mengata, mengejek, menulis komen jelek tanpa rasa menyesal kerana hawa nafsu telah melangkaui keberkatan ilmu. Bila ilmu tidak bermanfaat, hati kotor, hawa nafsu menjadi raja, hilanglah penjagaan Allah ketas diri dan keluarga kita. Kerana mulut badan binasa, sakit jiwa, punah keluarga!
Jenayah lidah akan memakan korban, bukan hanya rumah tangga orang yang dilibasnya boleh jadi terkena pada keluarga sendiri. Eloklah suami garikan lidah isteri dan isteri penjarakan lidah suami dari mengata, menghasut, mengumpat dan mengeji, sebelum datang bala yang menghancurkan bahtera sendiri.
Artikel ini dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga, juga kolumnis Mingguan Wanita.
Kalau kita rasa marah atau tidak suka pada seseorang, nak tengok pun kita tak ingin. Paling teruk, mulalah rasa nak doakan mereka dengan perkara yang tidak elok.
Jangan begitu dan jangan terlalu mengikut perasaan sehinggakan sanggup doakan orang lain dengan perkara yang tidak baik. Sebab rasa puas dengan melihat apa yang berlaku pada orang yang kita tak suka.
Tak perlu nak berdendam atau doakan orang yang kita tak suka dengan perkara yang tidak baik. Kita sepatutnya berdoa untuk mereka supaya lebih baik. Begitu juga dengan kita, berdoalah supaya tidak ada perasaan seperti ini.
Setiap kali kita solah, tentunya kita berdoa dan serahkan segalanya pada Allah untuk beri kebaikan pada kita dan keluarga kita. Jadi, apa salahnya, untuk kita doakan orang lain juga. Moga-moga dengan dia ini mampu memberi kebaikan kepada diri kita pula.
Inilah yang dikongsikan oleh Khairul Anuar Basri tentang soa untuk orang lain. Tak perlu kedekut atau loket, waima untuk mendoakan adik beradik kita sekali pun.
Jangan takut atau kedekut untuk doakan orang lain dengan kebaikan.
Sebab Allah akan hantarkan para malaikat untuk doakan kita dengan kebaikan yang sama.
Kita dapat hidup atas dunia ini atas banyak sebab.
Dengan rahmat Allah, usaha dan tawakal kita dan dengan doa dari orang lain sama ada yang kita kenal atau pun tak.
Rahmat Allah memang kita kena selalu mintak. Tanpa rahmat dan belas kasihan dari Allah, nak buat apa pun akan jadi susah.
Usaha kena kuat, tawakal pun kena jitu. Sebab Allah tak akan sia-siakan setiap inci usaha kita tanpa diberi balasan yang sepatutnya.
Lepas dah usaha, serahkan hasilnya solid hanya kepada Allah.
Doa dari orang lain pun penting juga dengan doa ibu bapa, adik beradik, saudara mara, kawan-kawan dan doa dari orang yang kita tak kenal.
Jadi, jangan lokek untuk doakan kebaikan buat orang lain, walaupun hati kecil kita tak suka kat orang tu.
Tak kira lah kita tak suka sebab apa. Mungkin sebab perangai dia kita tak suka, sebab dia pernah buat jahat kat kita, kita tak suka atau mungkin juga dia competitor kita dalam bisnes, kita tak suka.
Doakan kebaikan untuk orang lain. Nanti kebaikan itu akan kembali kepada diri kita.
#KAB
MW: Kita tidak tahu dengan doa itulah segala urusan kita dipermudahkan. Sentiasa berdoa.
Setiap orang inginkan rezeki melimpah ruah, nak cepat kaya dan duit yang banyak. Bekerja siang malam semata-mata untuk tambah rezeki keluarga. Namun, sedar tak? Bila kita sedekahkan al Fatihah pada orang tua adalah salah satu asbab untuk rezeki kita melimpah ruah.
Sebenarnya, ada banyak cara dan petua untuk kita dapatkan rezeki melimpah ruah. Bukan hanya bersedekah semata-mata tetapi petua inilah boleh membantu menambahkan rezeki dalam kita tidak sedar.
Boleh amalkan petua murah rezeki ini seperti yang diamalkan oleh KU Nor Ashikin.
Petua
1. Letakkanlah sedikit makanan kucing dan semangkuk air di luar rumah untuk kucing-kucing yang datang.
2. Sisihkanlah sedikit dari hasil gaji@upah jerih payahm kita untuk disumbangkan kepada anak yatim dan orang miskin.
3. Sentiasa sediakan wang kecil di dalam dompet untuk diberikan kepada yang memerlukan.
4. Letakkanlah di bilikmu sebuah kotak.Setiap kali kita merasa melakukan dosa, masukkan wang kecil ke dalamnya..Genap 1 bulan, buka kotak itu dan sedekahkan wang tersebut.
5. Jika kita hadir dalam majlis keramaian (keluarga dan kerabat atau sahabat ) belilah 1@2 kotak air mineral, niatkan untuk sedekah kepada orang-orang yang memerlukannya (orang tua,sakit,kanak-kanak dan lain-lain )
6. Jika kamu membeli barang dari peniaga-peniaga kecil kemudian peniaga ingin mengembalikan wang baki, biarkan baki wang itu untuknya (sedekah atau hadiah).
7. Belilah mushaf (al-Quran) letakkan di salah satu masjid. Banyakkan berapa pahala yang akan kita daripada setiap huruf bagi mereka yang membacanya.
8. Berikanlah perasaan gembira kepada setiap orang, khususnya kepada mereka yang sedang ditimpa kesedihan dengan senyuman dan ucapan doamu yang tulus.
9. Lemparkanlah senyuman kepada orang yang kita temui, berilah salam kepada orang yang duduk dan bertuturlah dengan ucapan yang baik kerana semuanya adalah sedekah.
10. Jangan biarkan kita tertidur, melainkan telah kita ampuni setiap orang yang telah berbuat jahat kepadamu dan menghinamu, menyebarkan fitnah dan menzalimimu.
11. Setkan pada telefon kita penggera peringatan pada masa-masa tertentu untuk kita baca surah al-Fatihah @ Al-Ikhlas bagi disedekahkan kepada kedua ibu bapa kita, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.
MW: Dengan cara yang kita lakukan ini, doa kita agar diberi pahala dan rezeki melimpah ruah. Aamiin.
Sepanjang minggu lepas, entah berapa kali kita mengeluh. Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Perbezaan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang daripada akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Pendorong Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewa. Aktiviti mengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Doa
Pada saya, mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap. Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Nah… ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran, suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Ganti
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di Youtube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer, juga penulis tetap ruangan MUNAJAT di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu Aizzat tak mampu lupakan tragedi anak mati dibuli, "bibirnya lebam. Bibir itulah juga saya pernah susu dan suapkan nasi.Tanyalah pada mana-mana ibu, jika...