Kemelut kontroversi bekas balu allahyarham Abam Bocey ini akhirnya menemui jawapannya apabila pihak mahkamah dan hakim memutuskan bekas adik iparnya, Ali, Puteh, diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM60,000 terhadap kes saman fitnah difailkan kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan, di Instagram dua tahun lalu.
Bersihkan Nama & Maruah Diri
Dalam pernyataan ringkas yang dikongsi di Instagram story, Hidayah menegaskan bahawa dirinya tidak gilakan harta arwah suami malah tidak fitnah sesiapa seperti yang dituduh. Hidayah juga meluahkan rasa syukur dan malah turut berterima kasih pada tuan hakim apabila kemenangan tersebut dapat membuktikan kebenaran sekaligus membersihkan nama dan maruahnya.
Hidayah juga percaya bahawa berkat doa semua orang yang mendoakannya, doa anak yatim serta yakin Allah bersama orang yang benar dan memakbulkan doa orang yang teraniaya.
Sementara itu, bagi menzahirkan rasa kesyukuran di atas kemenangan keputusan tersebut yang memihak padanya, Hidayah juga berkesempatan membeli buah-buahan, bersedekah untuk orang-orang surau.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah dan tahniah atas keputusan kemenangan ini. Sekaligus dapat membersihkan nama dan maruah diri Hidayah yang dituduh gila harta selama ini. Semoga Hidayah dapat membesarkan anak tunggal kesayangan dan menjalani kehidupan yang lebih baik dan tenang selepas ini.
Siapa sangka di sebalik personalitinya yang ceria dan penuh jenaka di media sosial, Harszan sebenarnya pernah melalui kisah hidup yang cukup menyayat hati. Dalam satu perkongsian di AI Team Podcast, kisah Harszan menarik perhatian ramai apabila dia mendedahkan bahawa dirinya merupakan bayi terbuang yang ditemui orang awam ketika masih kecil.
Menurut Harszan, dia dijumpai di sebuah kawasan perumahan dalam keadaan lemah dan tidak terurus sebelum diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Ketika ditemui, tiada sesiapa yang datang menuntutnya, menjadikan permulaan hidupnya penuh dengan ujian yang luar biasa.
Kisah Harszan: Permulaan Hidup Sebagai Bayi Terbuang
“Ada orang jumpa saya di satu tempat, kemudian saya dibawa ke hospital. Namun, tiada sesiapa yang datang menuntut saya di hospital. Ketika saya dijumpai, darah pada badan saya sudah kering. Mungkin saya sudah terbiar dalam sehari dua,” katanya ketika berkongsi pengalaman itu.
Disebabkan tiada waris yang tampil menuntut, kisah Harszan diteruskan apabila beliau diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga berusia dua tahun. Pada usia itu, beliau diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang menyayanginya seperti anak sendiri.
Cabaran Tanpa Dokumen Pengenalan Diri
Namun ujian hidup Harszan tidak berakhir di situ. Beliau turut berdepan kesukaran panjang untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri rasmi sejak lahir. Ini menjadikan kisah Harszan sebagai satu perjalanan yang penuh kesabaran dan kekuatan jiwa.
“Saya tiada IC kerana ketika dibuang, tiada yang daftarkan kelahiran saya di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Saya tiada sijil lahir. Saya tunggu dari umur 12 sampai 21 tahun.
Dalam tempoh sembilan tahun itu, saya tak boleh naik kapal terbang, tak boleh buka akaun bank dan susah nak dapat kerja,” ujarnya.
Diuji Diskriminasi Dan Ketabahan Diri
Lebih menyedihkan, kisah Harszan turut memperlihatkan bagaimana beliau pernah berdepan diskriminasi kerana statusnya sebagai individu tanpa dokumen sah. Ramai tidak tahu, di sebalik senyumannya yang menghiburkan di media sosial, tersimpan luka dan perjuangan yang mendalam.
“Saya pernah kena halau masa minta kerja. Mereka cakap saya bukan orang Malaysia. Pernah juga ditawarkan gaji RM500 saja sebab saya tak ada IC dan semua bayaran yang saya terima pun dalam bentuk tunai,” katanya lagi dengan nada tenang namun menyentuh hati.
Dari Ujian Ke Inspirasi
Walaupun diuji sejak kecil, kisah Harszan kini menjadi sumber inspirasi kepada ramai. Beliau berjaya membuktikan bahawa masa silam yang sukar bukan penghalang untuk terus bangkit dan berjaya. Kini, Harszan dikenali sebagai pempengaruh yang ceria dan disenangi ramai di media sosial, membawa mesej positif melalui kandungannya.
Setiap senyuman yang dikongsinya hari ini adalah hasil daripada kekuatan hati yang dibina dari pengalaman perit masa lalu. Kisah Harszan bukan sekadar kisah sedih, tetapi kisah kebangkitan dan kekuatan yang membuktikan bahawa setiap insan mampu mengubah nasib walau dilahirkan dalam keadaan sukar.
Teladan Daripada Kisah Harszan
Melalui pengalaman hidupnya, Harszan berharap kisah ini menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak menilai seseorang berdasarkan asal usulnya. Setiap manusia berhak diberi peluang untuk hidup bahagia dan berjaya. Kisah Harszan adalah bukti bahawa kasih sayang, ketabahan dan keikhlasan mampu menewaskan kepahitan masa lalu.
Di sebalik setiap ujian, tersimpan hikmah yang besar. Dan bagi Harszan, perjalanan hidupnya dari bayi terbuang hingga menjadi pempengaruh terkenal membuktikan bahawa harapan sentiasa ada bagi mereka yang tidak pernah berputus asa.
Laungan “Allahuakhbar!” dan “Free Free Palestin!” bergema di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika deretan wajah yang dinanti akhirnya muncul. Ketibaan 27 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) itu bukan sahaja disambut dengan doa dan sorakan, tetapi juga pelukan erat yang penuh sebak daripada ahli keluarga dan sahabat seperjuangan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut hadir meraikan kepulangan mereka. Suasana bertukar sayu apabila ada yang menitiskan air mata kegembiraan tanda syukur kerana akhirnya insan tersayang kembali ke tanah air setelah melalui misi getir di lautan, menentang kekejaman rejim zionis.
Antara sukarelawan yang pulang ialah selebriti dan aktivis yang cukup dikenali rakyat Malaysia, antaranya termasuklah Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio), Farah Lee dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu) Zizi Kirana (kapal Huga), Pempengaruh Ardell Aryana (kapal Mikeno), PU Rahmat, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, serta ramai lagi wajah-wajah pejuang yang namanya kini terpahat dalam lipatan sejarah solidariti buat Palestin.
Misi GSF kali ini menyaksikan kira-kira 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza. Mereka membawa bukan sahaja bekalan ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan, malah membawa mesej besar dunia tidak akan pernah berpaling daripada penderitaan Palestin.
Diuji, Namun Tetap Teguh
Terdahulu, dunia dikejutkan dengan insiden 2 Oktober lalu apabila 42 kapal misi GSF dipintas di perairan antarabangsa oleh rejim Israel. Seramai 495 aktivis ditahan, termasuk 23 rakyat Malaysia, sebelum dibebaskan secara berperingkat. Insiden itu hanya mengukuhkan lagi semangat perjuangan, bukan memadamkan nyala api keberanian.
Sementara itu, empat aktivis Malaysia yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong termasuk Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Cinta Gaza Malaysia turut selamat berlabuh di Cyprus, tidak memasuki zon merah.
Sementara itu, ahli keluarga kepada 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla dibawa menaiki bas persiaran khas untuk bertemu dengan insan tersayang di KLIA. Antara keluarga yang kelihatan menaiki bas tersebut termasuklah pelakon Yusuf Bahrin dan Nadzmi Adhwa yang teruja menyambut kepulangan isteri masing-masing.
Solidariti Tanpa Sempadan
Kepulangan wira-wira ini menjadi bukti bahawa perjuangan untuk Palestin bukan sekadar kata-kata. Ia dihidupkan dengan keberanian, air mata, doa, dan pengorbanan.
Bagi rakyat Malaysia, kepulangan ini adalah detik yang menggetarkan jiwa. Saat pelukan pertama mendarat di KLIA, yang terdengar hanyalah bisikan syukur: “Alhamdulillah, mereka kembali dengan selamat.”
Dengar pesanan ibu usia 49 tahun ini. Yusni Binti Mintol yang dikurniakan anak autisme. Demi anaknya, ibu ini rela menjadi guru pada anak-anak autisme yang lain selama 12 tahun di National Autism Society of Malaysia (NASOM).
Hayati perjalanan inspirasi ibu yang kini anak autismenya yang dijaga dari kecil itu sudahpun berusia 24 tahun.
Yang mana, anak ini sedang belajar membaca dan menghafal Al-Quran di Akademi Faqeh yang juga merupakan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa.
Usia 6 Bulan Anak Diserang Sawan
Ketika anak autismenya dilahirkan, maklumat berkaitan autisme amat berkurangan. Sungguh pun sumber rujukannya terhad, ibu ini cukup tabah dan kental semangatnya membesarkan anak autismenya, Dinie Edry Bin Badrul Hisham.
“Kami telah menerima seadanya keadaan Dinie. Ketika berusia enam bulan, Dinie diserang sawan. Sejak itu dia kerap keluar masuk di hospital. Disebabkan sering kena sawan itulah, kami mula lihat perbezaan kesihatan Dinie.
“Doktor beritahu, dia mengesyaki anak kami itu mengalami masalah disebabkan tingkah lakunya yang hiper.
“Akhirnya kamu rujukkan pada doktor pakar. Pemeriksaan MRI dilakukan dan hasilnya, Dinie disahkan alami masalah austisme sejak umur dua tahun setengah,” ujar Yusni memulakan perbualan dengan wartawan Mingguan Wanita.
Mengetahui anak mengalami masalah autisme dan ADHD menjadi satu cabaran baru pada Yusni dan suaminya Badrul Hisham pada ketika itu.
“Ketika itu kelengkapan dan maklumat mengenai austisme masih kurang. Kami mendiagnosis Dinie pada usia awal tetapi kami tak dapat intervensi di kawasan tempat tinggal kami di Seremban.
“Jadi kami daftarkan Dinie dengan National Autism Society of Malaysia (NASOM) di Seremban. Umur dia enam tahun barulah Dinie dapat masuk.
“Waktu itu memang sukar mencari maklumat. Demi Dinie saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai technical assistant. Saya beritahu suami, biarlah saya jaga Dinie sendiri. Saya sedar, sukar untuk mencari orang untuk menjaga anak istimewa sebegini.
“Sukar sebenarnya membesar dan mendidik anak autisme pada ketika itu. Saya tak tahu dekat mana hendak belajar mengenai autisme.
“Menguruskan Dinie agak sukar kerana dia tidak pandai bercakap. Dia hanya menggunakan gerakan (gesture) sahaja jika mahukan sesuatu. Saya tidak pernah dengar dia mengucapkan perkataan ‘Mama’ atau ‘Papa’ pada ketika itu.
“Macam-macam dah kami tuturkan dekat dia tetapi tidak ada bunyi yang keluar daripada mulutnya.
“Hanya setelah diterima masuk ke NASOM, banyak perubahan telah berlaku pada Dinie. Dia sudah boleh bercakap dan saya bersyukur dengan perubahan tersebut,” tambah Yusni penuh kesyukuran.
Guru Sementara NASOM Yang Bertahan 12 Tahun
Keputusan menghantar Dinie belajar di NASOM juga membuka peluang baru dalam hidup Yusni. Peluang di hadapan mata diterima dengan tangan yang terbuka.
“Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu NASOM mencari guru sementara. Saya tanya, bolehkah saya memohon. Setelah ahli lembaga bersetuju, saya telah diterima masuk menjadi guru sementara di NASOM Seremban.
“Jadi guru di sana amat bagus kerana saya dapat tahu cara berkomunikasi dengan Dinie. Saya boleh nampak perkembangan Dinie di depan mata. Tetapi saya tidak mengharap sangat dia mampu melakukan lebih daripada kemampuannya.
“Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada Dinie. Cukuplah sekadar dia dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya juga sering memberikan kesedaran dan cara bagaimana menguruskan Dinie kerana jika ditakdirkan kami telah ada di dunia ini, ada orang yang boleh menjaganya.”
Yusni bekerja selama 12 tahun di NASOM dan baru empat tahun dia berhenti kerja.
Kini dengan masa yang ada dia menggunakan ilmu yang dipelajari dahulu untuk terus mendidik dan menguruskan anak keduanya itu selagi hayat dikandung badan.
“Sekarang saya buat ‘freelance talk’ untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka didiagnosis mengalami masalah autisme.
“Kami juga mempunyai grup Whatsapp ibu bapa anak istimewa autisme di Negeri Sembilan. Tugas saya banyak membantu dari segi apa yang perlu dibuat, persediaan sebelum masuk sekolah dan juga memberi motivasi.”
Layan Dia Sama Macam Orang Normal
Akui Yusni, dia sentiasa melibatkan Dinie dalam apa sahaja aktiviti keluarga.
“Kami tidak akan meninggalkan Dinie di rumah seorang diri. Kami juga sering cuba berkomunikasi dengan dia. Walau dia tidak tahu bercakap, Dinie akan cuba memberikan tindak balas.
“Dinie tidak duduk di sudut bermain sendirian. Sebaliknya dia bermain dengan adik-beradiknya juga. Pada mulanya adik-beradiknya sukar menerima keadaan Dinie. Namun lama-kelamaan mereka juga menganggap Dinie itu normal.
“Saya sering menasihati anak-anak lain jangan anggap Dinie itu istimewa. Layan dia seperti orang normal. Saya juga menasihatkan anak-anak agar jangan malu dengan orang kerana Dinie. Saya bersyukur anak dapat faham.”
Susah Sebenarnya Nak Educate Orang Ramai
Sebagai ibu yang berpengalaman dalam membesar dan mendidik anak autisme, Yusni berharap masyarakat lebih menerima kelainan upaya autisme dalam komuniti.
“Memang susah hendak educate people but insya-Allah jika dengan usaha yang tidak mudah putus asa, mungkin akan boleh juga.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang baru ada anak autisme, agar jangan bersedih lama-lama. Jangan denial lama-lama.
“Jangan hendak mencari silap dan juga jangan mencari alternatif yang merugikan masa serta wang kita sebab ini akan melambatkan proses intervensi anak kita.
“Sekarang zaman amat canggih, tidak seperti zaman anak saya. Tiada sumber untuk dirujuk. Carilah terapi yang sesuai untuk anak, jika tidak dapat yang percuma, usaha untuk yang berbayar.
“Insya-Allah akan ada rezeki untuk kita. Jika tidak juga mampu, google dan carilah cara-cara home schooling untuk anak tersebut, jangan tunggu peluang datang tapi cari peluang yang ada.
“Lebih Cepat kita mulakan intervensi, insya-Allah lebih banyak perubahan anak kita akan nampak walau segala terapi tidak akan mengubah autisme pada diri anak kita.
“Tapi sekurang-kurangnya kita dapat cover tiga masalah autisme iaitu dari segi komunikasi, tingkah laku dan juga sosial.”
Yusni berbangga walaupun Dinie tidak cemerlang dalam akademik tetapi dia boleh menghafal dan mengingat terutama perkara berbentuk muzik.
Lagu pertama dia hafal dengan hanya mendengar adalah nasyid kumpulan Raihan walau sebutan tidak berapa jelas sebab Dinie adalah non verbal sebelum usia enam tahun.
Foto: Yusni Mintol
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kemalangan pikap polis Perlis mengakibatkan seorang pemuda maut selepas dirempuh. Keluarga kini menuntut keadilan. Baca laporan penuh perkembangan kes.