Pengesanan awal perubahan fizikal pada diri, apabila terdapat ketulan pada payudara dan dengan segera melakukan pemeriksaan saringan serta rawatan ternyata dapat menyelamatkan nyawa. Kesyukuran dipanjatkan apabila diri masih lagi bernyawa dan berpeluang melihat anak-anak membesar di depan mata.

Hidap Kanser Payudara Usia 37 Tahun

Ini kisah yang dilalui oleh Pejuang Kanser, Puan Amnah Salleh,54 sendiri apabila diri disahkan menghidap kanser payudara ‘stage 1’ pada usia 37 tahun, kira-kira 17 tahun yang lalu.

“Pada umur 37 tahun, pada suatu pagi saya terasa ada ketulan di payudara saya. Saya berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan. Doktor mengesahkan adanya ketulan dan perlu membuat pemeriksaan saringan,” ujar Amnah yang juga bekerja sebagai Juruukur Bahan.

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

3 Hari 3 Malam Menangis

Mengimbau memori tatkala diri disahkan menghidap penyakit yang cukup digeruni para wanita berbelas tahun dahulu, ternyata memang bukan mudah untuk menerima hakikat diri menghidap penyakit kanser payudara ini.

“Amnah this is definitely Cancer,” ujar doktor yang melakukan pemeriksaan ketika itu.

Luluh hati, terduduk seketika menerima berita yang tak disangka. 3 hari 3 malam menangis mengenangkan nasib diri. Rasa seakan dunia terhenti, seperti hanya tinggal tiga bulan untuk hidup,dah nak mati. Sedangkan anak-anak seramai 3 orang masih kecil, sedang membesar dan perlukan perhatian ketika itu.Namun sokongan suami dan anak-anak penguat semangat diri untuk terus berjuang melawan kanser.

Pegang Prinsip ‘Aku Ingin Hidup’

Namun tidak terus meratap nasib, mengidap kanser bukanlah penamat riwayat hidup. Wanita ini segera bangkit, berani dan cekal dalam melakukan segala prosedur rawatan kanser, malah bersikap ceria dan positif dalam meneruskan kehidupan dengan berpegang pada prinsip “Aku Ingin Hidup”, kehidupan perlu diteruskan dengan apa cara sekalipun.

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

“Saya punya jenis kanser doktor cadangkan untuk membuat pembedahan ‘lumpectomy’. Selepas pembedahan saya mulakan rawatan kimoterapi sebanyak 6 kali.”

 

IKLAN

“Kemudian diteruskan dengan rawatan radioterapi sebanyak 20 kali dan perlu makan ubat hormon selama 5 tahun,” jelas Amna yang cukup bertuah suami setia sentiasa disisi menemani sepanjang melakukan rawatan.

Hentikan ‘Rawatan Alternatif’

Berkongsi lebih lanjut, ketika awal di sahkan menghidap kanser, ramai yang mencadangkan pelbagai ‘rawatan alternatif’ bagi menghilangkan ketulan pada payudara sebagai ikhtiar.

“Pada mulanya saya lakukan juga ‘rawatan’ tersebut. Namun, yang paling pelik, saya berhentikan dengan ‘rawatan’ itu apabila perawat ingin merawat saya secara maya. Iaitu berendam dalam air dan setelah itu hubungi dia, dan dia boleh merawat daripada jauh,” ujar Amnah.

Pada peringkat awal apabila isteri saya disahkan menghidap kanser, kami juga dicadangkan untuk berjumpa dengan pakar-pakar perubatan tradisional. Tapi bagi saya yang terbaik adalah mendapatkan rawatan doktor di hospital dan rawatan yang sepatutnya,” ujar Azizi Anuar,58 pula suami kepada Amnah.

Aktif Sertai Kerja-Kerja Amal

Apabila disahkan menghidap kanser, Amna juga aktif menyertai kerja-kerja amal dan mendapat semangat positif daripada kumpulan sokongan ‘pink power’ yang aktif menganjurkan pertandingan boling dikalangan pesakit-pesakit kanser. Penyertaan aktiviti boling sebegini baginya dapat menghilangkan seketika perasaan negatif yang ada dalam diri.

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

IKLAN

“Ketika diberitahu doktor saya ada kanser, saya bercakap dengan orang-orang yang pernah melalui pengalaman yang sama, saya rasa macam jika orang lain boleh melalui, kenapa tidak saya, mesti ada hikmah disebaliknya” ujar Amna juga aktif dalam menyertai aktiviti sukarelawan dan kumpulan sokongan Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA).

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

Jalani Pembedahan ‘Mastectomy’

Sering membuat pemeriksaan berkala setiap tahun, namun pada 2016 Amna sekali lagi diuji apabila doktor mengesahkan terdapat ketulan pada payudara sehingga dirinya terpaksa melakukan pembedahan ‘mastectomy’ bagi membuang keseluruhan payudara yang dijangkiti sel kanser.

“Selepas melakukan pembedahan ‘mastectomy’ ini, saya disarankan untuk menopause sepenuhnya dan buang ovari bagi mengawal kanser saya,” jelas Amna.

Perubahan terbesar bagi Amna selepas didiagnos kanser ialah dengan mengubah cara pemakanan dan doktor juga menyarankan dirinya supaya menurunkan berat badan.

Ikon ‘Cancer Survivor Malaysia’ 2022

Keikhlasan memberi kesedaran dan sokongan dalam melakukan kerja-kerja amal, membuatkan wanita cekal ini dinobatkan sebagai Ikon ‘Cancer Survivor Malaysia’ 2022 baru-baru ini.

IKLAN

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

Ujar Amnah dirinya adalah bukti, kesan kanser lebih awal dan mendapatkan rawatan sebaiknya mampu menyelamatkan nyawa. Ujarnya lagi perlu tanamkan semangat untuk terus hidup dan tidak mudah menyerah kalah apabila menghidap penyakit ini.

Pesanan buat wanita diluar sana, saya adalah bukti bahawa pengesanan awal boleh selamatkan nyawa. Jika saya tak kesan awal mungkin saya tiada di sini, hari ini.

Kepada pejuang-pejuang kanser, walaupun kita telah menghidap kanser tanamkan semangat dalam jiwa masing-masing, kita semua ni perlulah ada prinsip ‘Aku Ingin Hidup!’.Kehidupan perlu diteruskan dengan apa cara sekalipun,” ujarnya mengakhiri bicara.

“Saya Adalah Bukti, Kesan Awal Kanser Boleh Selamatkan Nyawa” Amnah Salleh

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI