Sebelum ini, jika mahu claim balik Wang Tidak Dituntut, individu perlu ke Jabatan Akaun Negara untuk buat semakan. Rupanya buat secara online pun dah boleh dah.
Lelaki ini, Mohd Rusaini Bin Hashim dah pun mencubanya secara dalam talian. Hasil semakan di online, dia dapat balik Wang Tidak Dituntut sejumlah RM700++. Seronokkan, macam rezeki terpijak pun iya.
“Alhamdullilah.. wang tidak dituntut dalam RM 700++ boleh la buat beli jajan.”
Apa sebenarnya Wang Tidak Dituntut tu.. bahasa mudahnya, duit yang ada dalam akaun bank lama yang dah terbiar atau ditutup tapi mak ayah tak tuntut. Duit tu, masih ada sebenarnya. Dan boleh dituntut.
Walaupun cuma RM10 pun, akan dipulangkan kepada mak ayah. Sebelum ini, perlu ke Jabatan Akaun Negara untuk buat semakan. Sekarang tak lagi. Hadam sini cara nak semak menerusi online.
Cara Semakan Wang Tidak Dituntut Secara Online
Ini cara untuk semakan wang tidak dituntut (WTD) secara online
Lelaki ini, Najmi Farisham tak pernah menyangka akan melalui detik disahkan positif Covid-19. Tidak pernah terbayangkan, malah dia begitu berjaga-jaga dengan pakai pelitup muka dan sanitasi tangan setiap kali keluar rumah.
Namun, takdir tuhan tiada siapa menduga. Bukan saja dia, malah ada ahli keluarga yang turut disahkan positif. Dan beliau berkongsi pengalaman, kekal bertenang biar pun sakit diuji dengan virus Covid-19.
Akhirnya Tuhan Pilih Aku..
Tak sangka, akhirnya kali ini Tuhan pilih aku untuk merasa jangkitan positif virus COVID-19 ini. Fuh!
Dari Madinah, kemudian terbang balik ke Malaysia, kena cucuk mulut hidung dah. Syukur, negatif ketika itu. Dapatlah merasa menginap di hotel 5 bintang, lengkap segalanya.
Masa itu, virus ini tengah mengganas betul. Kes di serata dunia naik mencanak-canak. Tambahan, dunia tengah kalut sebab masih belum jumpa cara nak mengawalnya.
Dah sampai di Malaysia, aku merantau ke sana ke mari. Rentas daerah, rentas negeri. Semuanya selamat. Namun itulah, kalau Tuhan tak nak beri lagi, pergilah ke mana sekalipun tetap tak dijangkiti.
Pada penghujung Mac lepas, kami sekeluarga disahkan positif.
Rasa Tak Sedap Satu Badan
Mula-mula umi kena, demam dan batuk-batuk. Terus dibawa ke hospital untuk kuarantin.
Aku dah rasa tak sedap badan dah. Tubuh berasa tak bertenaga sangat. Berdiri lama, rasa nak rebah. Demam menggigil, sakit kepala, sakit sendi badan. Nak tidur malam pun tak boleh.
Dalam hati memang dah rasa sangat, “Konfem positif ni nampak gayanya.”
Aku terus mengasingkan diri, duduk di bilik lain. Tak nak bercampur dengan orang lain terutamanya anak dan bini.
Akhirnya Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telefon, mengarahkan kami sekeluarga untuk datang melakukan saringan sebab dikira kontak rapat dengan umi.
Pagi pergi buat saringan, tengah hari itu terus pegawai PKD telefon.
“Encik, Muhammad Najmi ke?”
“Ha, ya saya.”
“Saya nak beritahu result pagi tadi, yang encik positif. Nanti siap-siap kemaskan barang ya, ambulan datang jemput di rumah.”
Terkejut Tidak, Takut Apatah Lagi
Yang peliknya, aku tak rasa terkejut langsung. Takut pun tidak. Tak adalah duk terbayang yang bukan-bukan.
Mungkin sebab gejala yang aku alami itu dah teruk. Jadi aku memang mengharapkan supaya dikuarantin di tempat khas. Bukan di rumah. Risau benda ini berjangkit ke orang rumah, anak, adik-adik dan nenek yang ada sekali.
Lagipun aku faham benar yang virus ini tak ‘berbahaya’ untuk orang muda. Ramai yang dah survive. Dan benda ini harus dibendung sepenuhnya dalam tempoh 10 hari awal. Sebab tempoh inilah virus itu sangat aktif.
“Saya seorang ja kan yang positif? Orang rumah, anak, adik-adik, nenek yang swab sekali pagi tadi negatif kan?” tanya aku mendapatkan kepastian sebelum menamatkan perbualan.
“Ya encik, yang lain semua negatif,” jawabnya tenang.
Ah, syukurlah!
Masa ambulan sampai, seorang petugas lengkap berpakaian ‘angkasawan’ keluar menjemput. Ceria orangnya, membuatkan mental dan psikologi kita tak berasa lemah.
Aku melangkah naik ke ambulan dengan penuh tenang. Kepala tak diserabutkan dengan benda bukan-bukan. Aku hanya nak kuarantinkan diri di tempatnya saja, bukan di rumah.
Adik-adik Dan Nenek Pula Disahkan Positif
Seminggu kemudian, adik-adik aku dan nenek pula disahkan positif selepas saringan kedua. Ada yang bergejala, ada yang tidak. Dugaan sungguh! Mujurnya, anak bini kekal negatif.
Nenek dibawa ke Hospital Tumpat kerana berisiko tinggi. Dia ada kencing manis. Jadi memerlukan pantauan khas dari pihak hospital.
Adik-adik aku yang lain dihantar ke Hospital Pasir Puteh, tempat aku dikuarantinkan. Dah jadi macam tempat pertemuan keluarga pula. Kahkah. Doktor pun nak tergelak siap pesan lagi dekat aku, “Awak sebagai senior di sini, jaga bebaik adik-adik awak tu. Haha”
Hari Ke-12 Dibenarkan Pulang
Jujurnya sikap perwatakan para petugas di sini juga memainkan peranan penting untuk kami kekal kuat. Setiap kali kami berhubung untuk pemantauan, ceria dan riang saja nada suaranya. Tak adalah duk mengeluh ke, apa ke.
Makan cukup, rehat cukup di tempat kuarantin. Tak ada duk risau virus ini akan terjangkit dekat sesiapa lagi. Paling penting, kena kuatkan semangat. Jangan fikir bukan-bukan.
Hari ke-12, aku dibenarkan pulang. Kami sekeluarga survive, alhamdulillah! Kluster yang melibatkan kami pun, seingat aku dah diisytiharkan tamat dah.
Pakai Pelitup Muka, Tangan Disanitasi Selalu
Biarpun gejala yang dialami masih belum pulih sepenuhnya, namun yang paling penting tempoh aktif virus ini sudah tamat.
Kata doktor, tubuh badan bekas pesakit COVID-19 sudah membentuk satu imuniti baru untuk melawan virus ini. Jadi kami tidak akan dijangkiti bahkan tidak akan menjangkiti sesiapa lagi. Dalam erti kata lain, kami sudah selamat alhamdulillah!
Ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sungguh. Ketika dunia dan negara sendiri bertungkus lumus melawan wabak yang entah bila penghujungnya, aku dengan tak sengaja memberi ‘jasa’ dalam statistik angka. Kahkah!
Ya, kita tak minta pun nak kena. Pelitup muka, pakai. Tangan disanitasi selalu, sampai lencun kalau masuk ke pasar raya. Namun bila Allah takdirkan kita untuk menerimanya, jangan melenting. Tabah dan reda dengan ketentuan-Nya.
Bukankah ujian itu untuk menambahkan lagi iman kita?
Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham,
Bekas pesakit COVID-19.
Ketika pelitup muka atau facemask menjadi keperluan utama dalam membantu mencegah penyebaran coronavirus, seorang artis dari Brazil mengambil peluang untuk menjana rezeki.
Kreatif sungguh lelaki ini!
Melalui laporan yang dipetik daripada Reuters, artis bernama Jorge Silva Roriz, 65, sudah biasa mencipta dunia ajaib Karnival Rio de Janeiro yang terkenal dengan pelbagai hiasan menarik dan kostum berwarna-warni.
Dan kini, ketika dunia sedang berjuang menghadapi pandemik coronavirus, lelaki ini menggunakan bakat seninya untuk membuat pelitup muka yang kelihatannya seperti tidak menutup bahagian bawah wajah.
Jorge Silva Roriz memakai pelitup muka sambil melukis atas pelitup muka yang ditempah pelanggan. (Kredit Gambar : Reuters/ Pilar Olivares)
Sebaliknya ia seakan menonjolkan wajah si pemakai kelihatan seperti tidak memakai pelitup muka.
Roriz melukis pelitup muka atau topeng muka dengan begitu teliti, tepat dan hasilnya luar biasa. Semasa dia bercakap sambil memakai pelitup muka, mulutnya seperti ventriloquist, nampak tidak bergerak.
Akui Roriz, “Saya menggunakan pelitup muka ini agar tidak kehilangan identiti saya.”
Roriz melukis bahagian bawah wajah si pemakai di atas pelitup muka berwarna putih. Dia mengambil masa lama untuk meneliti dan melukis setiap butiran seperti warna kulit dan bibir agar sama seperti wajah si pemakai pelitup muka itu.
Pelitup muka ini telah menjadi popular di kalangan orang yang kelihatannya seperti tidak mahu menyembunyikan wajah mereka semasa wabak tetapi berminat untuk melindungi diri daripada virus.
“Sangat penting bagi setiap orang menjaga diri mereka sendiri, amat bagus apabila setiap orang menggunakan pelitup muka,” katanya.
Jorge Silva Roriz menunjukkan pelitup muka yang ditempah pelanggan serta wajah pelanggan yang menempah di telefon. (Kredit Gambar : Reuters/ Pilar Olivares)
Reaksi yang diterima oleh Roriz amat positif.
“Ada yang ketawa. Sesuatu perkara yang patutnya sedih menjadi sesuatu perkara yang membawa kegembiraan.”
Sungguh pengorbanan ibu tak ternilai dan dalam pelbagai cara. Demi menjamin kehidupan yang lebih baik dalam membesarkan anak, selama 36 tahun wanita ini sanggup menyamar sebagai lelaki.
36 Tahun Menyamar Lelaki
Seorang ibu tunggal di India sanggup menghabiskan hidupnya selama 36 tahun dengan menyamar sebagai lelaki kerana mahu membesarkan anaknya dalam komuniti patriarki, lapor laman Oddity Central semalam.
Masyarakat patriarki merupakan sistem masyarakat yang kekuasaannya dimonopoli oleh kaum lelaki.
Suami Meninggal Usia Perkahwinan 15 Hari
S Petchiammal berusia 20 tahun semasa suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika usia perkahwinan mereka baru sahaja mencecah 15 hari dan dia disahkan hamil.
Selepas melahirkan anak perempuannya, Petchiammal mula melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi membesarkan anaknya di sebuah kampung di Tamil Naidu.
Dia pernah bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai kopi, namun sering mengalami gangguan seksual dan dikasari di tempat kerja.
Pelbagai Kesukaran Hidup
Menurut wanita itu, sebagai ibu tunggal, dia menghadapi pelbagai kesukaran untuk hidup dalam masyarakat patriarki, sehinggalah dia membuat keputusan untuk menyamar sebagai lelaki.
Suatu hari, Petchiammal pergi ke sebuah kuil, lalu memotong rambutnya, menyalin sari yang dipakai dengan baju biasa serta menukar namanya kepada ‘Muthu’.
Dia kemudian berpindah ke sebuah perkampungan lain bersama anak perempuannya bagi mengelakkan penyamarannya terbongkar.
“Hanya saudara terdekat dan anak saya sahaja tahu bahawa saya seorang wanita.
“Saya melakukan pelbagai pekerjaan daripada menjadi pelukis, pakar teh dan pakar parotta. Saya juga menyimpan setiap wang yang diperoleh bagi menjamin kehidupan anak saya,” katanya kepada akhbar The New Indian Express.
Anak Berkahwin
Petchiammal akhirnya mendedahkan mengenai penyamarannya hanya selepas anaknya berkahwin baru-baru ini, dan menerima pujian daripada ramai penduduk India disebabkan tindakannya itu.
Selepas menyamar selama 36 tahun, wanita itu berkata, dia ingin kekal dikenali sebagai Muthu sehingga ke akhir nyawanya.
Mingguan Wanita: Demi kehidupan dan masa depan anak yang lebih baik, seorang ibu memang sanggup berkorban apa sahaja. Mulia sungguh pengorbanan wanita ini, 36 tahun lamanya menyimpan rahsia dan identiti untuk kebahagiaan anaknya.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.