“Melalui scan yang kita buat tadi, nampak rahim puan mengadap ke belakang atau lebih dikenali sebagai retroverted”.
“Maksudnya saya kena bedah ke doktor?”
“Eh..kenapa pula nak bedah? Puan tidak ada apa- apa symptom kenapa nak bedah?”
“Oh sebab saya baca, kalau rahim terbalik maka saya akan sukar hamil. Ada yang menyatakan kena bedah betulkan kedudukan rahim dahulu baru boleh mengandung”.
“Erm rahim terbalik atau juga dikenali sebagai retroverted uterus ini sebenarnya adalah variasi yang ada. Kalau kita lihat dari 5 wanita, mungkin seorang daripada mereka mempunyai retroverted uterus.
“Ianya seperti ada orang hidung mancung ada orang hidung tak mancung sangat. Macam itu juga rahim. Rahim terbalik tidak semestinya akan menganggu fungsi rahim tersebut”.
“Maksudnya ianya hanyalah perbezaan posisi sahaja. Maksudnya saya memang dilahirkan macam ini”.
“Ya betul tu puan. Maksudnya memang sejak dilahirkan begini. Sebab puan tidak ada apa- apa penyakit. Namun begitu, bagi sesetengah wanita posisi rahim boleh terganggu sekiranya terdapat parut berlaku akibat endometriosis, jangkitan atau parut selepas pembedahan.
“Begitu juga dengan ketumbuhan fibroid, sekiranya fibroid itu besar ia boleh menganggu bentuk rahim tersebut. Maka sekiranya inilah sebab mengapa kesukaran kehamilan berlaku, maka rawatan perlu diberikan.
“Oh. Maksudnya rawatan hanya pada mereka yang mempunyai sebab mengapa rahim tidak berada dalam kedudukan normal ya doktor?”
Ads
“Ya betul. Dan bukan semua rawatan rahim terbalik ini memerlukan pembedahan. Masyarakat kena faham dalam rawatan kesuburan, fokus yang utama adalah untuk membantu wanita hamil. Dan bukannya untuk mengubah posisi rahim yang di kebanyakan situasi adalah dianggap variasi yang normal”.
Rahim Terbalik Adalah Variasi Normal
Perbualan antara pesakit dan doktor di atas mungkin pernah diutarakan oleh wanita bergelar isteri yang mahu mendapatkan cahaya mata.
Pakar Fertiliti & Sakit Puan, Dr Salleha Khalid
Menurut Pakar Fertiliti Dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid, rahim terbalik adalah variasi normal.
Dianggarkan 1 dari 5 wanita mempunyai rahim terbalik (retroverted uterus). Retroverted uterus berlaku apabila rahim condong ke belakang. Di kebanyakan wanita, rahim akan condong ke hadapan ke arah pundi kencing.
Namun ada juga yang mempunyai rahim yang condong ke belakang, ke arah usus besar. Ini adalah variasi normal. Sebagaimana setiap individu mempunyai bentuk muka yang berbeza, begitu jugalah rahim.
Sebelum ini ramai yang berpendapat bahawa rahim yang condong ke belakang, atau retroverted akan sukar untuk hamil. Ini adalah tidak benar. Kajian menunjukkan mempunyai rahim yang condong ke belakang tidak akan menyukarkan kehamilan.
Tidak kiralah sama ada rahim condong ke hadapan atau ke belakang, sperma masih mampu bergerak di dalam rahim dan terus ke tiub fallopio untuk bersenyawa dengan telur.
Apakah Tanda- Tanda Seseorang Wanita Mempunyai Rahim Terbalik?
Kebanyakan wanita tidak mempunyai apa- apa tanda. Namun sesetengah wanita yang mempunyai rahim terbalik boleh merasakan tidak selesa atau sakit apabila bersama suami. Jika ini berlaku, anda perlu mencuba posisi- posisi lain ketika bersama suami.
Bagi wanita yang menggunakan tampon, anda mungkin mengalami kesukaran untuk meletakkan tampon ke dalam faraj.
Ads
Sekiranya wanita yang mempunyai rahim terbalik melakukan saringan pap smear, doktor atau jururawat terlatih mungkin menyatakan yang pangkal rahim (cervix) berada di bahagian ‘depan’ (anterior cervix).
Bolehkah Rahim Terbalik Ini Disebabkan Oleh Penyakit Lain?
Bagi segelintir wanita, mereka mempunyai rahim terbalik disebabkan oleh penyakit tertentu yang menyebabkan berlakunya parut dalaman (adhesions) akibat dari penyakit tersebut. Ini termasuklah penyakit endometrisosis iaitu sejenis radang di dalam pelvis wanita yang boleh menyebabkan parut berlaku.
Begitu juga dengan jangkitan di pelvis (Pelvic Inflammatory Disease, PID). Selain daripada itu fibroid dan pembedahan di pelvis sebelum ini boleh juga meninggalkan parut sekaligus menukarkan posisi rahim tersebut.
Parut yang terbentuk menyebabkan organ di pelvis termasuklah rahim melekat dan mengambil posisi tertentu sehingga ianya tidak lagi berada dalam kedudukan yang normal. Sekiranya ini berlaku, maka rawatan kesuburan adalah tertumpu kepada penyebab berlakunya lekatan atau parut tersebut dan bukannya membetulkan kedudukan rahim tersebut.
Kebanyakan wanita yang mempunyai endometriosis atau jangkitan pelvis akan mempunyai simptom tertentu. Bagi mereka yang mempunyai endometriosis, mereka akan mempunyai senggugut atau cyst di ovary (endometrioma) ataupun tiub fallopio bengkak atau tersumbat.
Bagi mereka yang mempunyai jangkitan pelvis, mereka mungkin mempunyai keputihan yang banyak, sakit di pelvis dan ada yang demam akibat jangkitan.
Bagaimana Pula Sekiranya Mengandung Bagi Wanita Yang Mempunyai Rahim Terbalik?
Kebanyakan wanita yang mempunyai rahim terbalik dan mengandung tidak mempunyai apa- apa masalah ketika mengandung. Sesetengah wanita boleh merasa sakit belakang atau susah untuk kencing akibat dari posisi rahim yang terbalik.
Namun begitu, apabila mengandung rahim yang terbalik akan membesar dan kecondongannya itu akan menegak ke hadapan apabila kandungan dan rahim membesar. Ini berlaku antara 10- 12 minggu usia kandungan. Seterusnya rahim akan membesar seperti wanita lain.
Komplikasi rahim terbalik ketika mengandung amat jarang sekali berlaku. Kajian menunjukkan 1 dari 3,000 ke 1 dari 10, 000 wanita yang mempunyai rahim terbalik apabila hamil boleh mengalami apa yang dikatakan ‘incarcerated uterus’.
Ia berlaku apabila rahim yang membesar ketika hamil ‘tersekat’ antara tulang belakang dan tulang pinggul. Tanda- tanda ianya terjadi adalah kepayahan untuk buang air kecil dan besar, sakit di bahagian bawah atau dubur.
Wanita yang berisiko untuk mengalami incarcerated uterus adalah mereka yang mempunyai lekatan atau parut di pelvis akibat endomteriosis, PID, fibroid atau parut selepas pembedahan.
Sekiranya ia berlaku, doktor akan membuat teknik urutan tertentu bagi membetulkan posisi rahim tersebut.
Bukan Suatu Jenis Penyakit
Kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah, rahim terbalik bukanlah suatu jenis penyakit. Rahim terbalik adalah variasi kejadian yang normal. Rahim terbalik bukanlah penyebab kesukaran untuk hamil.
Wanita yang mempunyai rahim terbalik akibat endometriosis atau penyakit yang lain, rawatan akan ditumpukan untuk merawat penyakit tersebut.
Namun begitu sekiranya terdapat sebarang persoalan atau keraguan anda digalakkan untuk bertanya dan berbincang dengan doktor pakar fertiliti. Semoga segala urusan dan usaha anda dipermudahkanNya.
MW: Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perasan tak, mak-mak cukup suka bila anak perempuannya pakai subang. Sampaikan ada seawal bayi dipasangnya. Nampak macam comel kan! Namun, ada juga mak-mak yang tidak suka anak perempuannya memakai subang. Pilihan masing-masing.
Tidak ada kesalahan pun pakai subang pada anak-anak. Cuma ada masanya, mak-mak kena perhatikan telinga anak sebab takut tak sesuai dengan kulitnya. Sampaikan ada yang merah, bernanah. Tak kurang juga kulit tak sesuai dengan subang yang dipakainya. Semua ini atas inisiatif mak ayah itu sendiri.
Walau bagaimanapun, perkongsian daripada Dewi Diana Samsudin lain pula ceritanya. Anak perempuannya, Delisha Diana, 10 bulan mengalami perkara yang tidak langsung disangka-sangka. Semuanya kerana pakai subang pada anaknya.
Lebih menyedihkan apabila dibawa ke hospital, ada pihak tertentu mula mengatakan kes yang dialami ini dikategorikan cuai atau pun penderaan. Kenapa sampai begitu sekali tanggapannya. Nak tahu lebih lanjut, ikuti apa berlaku pada anak perempuannya.
Syukur alhamdulilah..terima kasih semua doakan kesihatan Delisha. Maaf semua yang pm Dewi kerana tidak dapat nak balas semuanya.
Ramai yang bertanya kenapa dipakaikan subang untuk anak. Jawapan saya senang, semua ini atas ibu bapa itu sendiri.
Begitu juga saya, apabila saya lakukan pada anak, saya lihat dari mula-mula bertindik dapat subang dekat klinik tetapi ia tidak serasi dengan Delisha.
Saya tukarkan kepada emas, memang serasi tetapi Delisha suka cabut. Bila pakaikan lidi, dia ambil dan masukkan dalam mulut. Guna jenis mata kail tersangkut pula pada kain. Akhirnya, saya pakaian subagn skrew belakang sebab bila dah lama pakai masih elok terletak pada telinga Delisha.
Hari Kejadian
Pada hari kejadian, Delisha berdiri memegang kipas (kipas tertutup sebab berada di bawah. Nak dijadikan cerita, Delisha ingin capai sesuatu di belakang kipas. Dia terduduk dan menangis.
Rupa-rupanya subang yang dipakai tersangkut pada jaring kipas. Suami tidak sempat untuk memegang kepala Delisha dan dia panik sehingga terus dia rentap telinga pada kipas. Terus menangis.
Saya yang berada di dapur terus mengambil Delisha sebab bila dengan ayahnya dia tidak berhenti menangis. Barulah perasan bila tengok cuping telinga dia dah koyak besar dan darah mengalir.
Kami terus bawa ke klinik tetapi doktor memberitahu, ia tidak boleh dijahit memandangkan Delisha umur bawah dua tahun dan terus dirujuk ke hospital kecemasan. Delisha sudah berhenti menangis kerana luka dah kebas dan tak rasa apa-apa.
Sementara itu, suami berada di luar bersama anak sulung. Kami terpaksa menelefon adik untuk mengambil anak sulung bawa pulang. Malah keluarga juga tidak tahu apa yang berlaku.
Koyakan Terlalu Besar
Apabila doktor melihat luka, mereka mengatakan koyakan pada telinga Delisha terlalu besar dan perlu rujuk pada pakar telinga. Lebih kurang menunggu selama 3 jam, barulah saya dibenarkan masuk berjumpa pakar telinga.
Apa yang doktor beritahu, jahitan itu boleh dilakukan dan perlu tidurkan Delisha supaya dia tidak meronta. Memandangkan Delisha dah tidur, merek tidak dapat berbuat apasan ambil keputusan untuk membuat pembedahan dengan pakar bedah. Biuskan Delisha satu badan dan dikehendaki berpuasa. Dia dimasukkan ke dalam wad sementara waktu untuk menunggu bilik pembedahan kosong.
Tak Banyak Meragam
Delisha anak yang kuat, langsung tidak menangis. Pada jam 5 petang, dia ditolak ke dewan bedah.Oleh kerana saya mengatakan Delisha minum susu badan jam 2.30 petang, mereka tidak boleh membuat pembedhan kerana belum cukup syarat 4 jam berpuasa. Kami di bawa ke wad semula.
Masa berada di wad inilah, pakar kanak-kanak mula bersuara. Tidak boleh lakukan pembesahan jika masa berpuasa tidak cukup, risikonya anak boleh meninggal dan semua orang boleh kena saman. Memang berderau jantung bila ingatkan perkara ini.
Suami sampai jam 7 malam di hospital untuk bertukar jaga Delisha tapi saya tak balik memikirkan Delisha akan dipanggil bila-bila masa untuk pembedahan. Saya hanya madikan dia. Selesai sahaj, jururawat minta kami bersedia ke bilik pembedahan.
Sebelum proses pembedahanm doktor ada terangkan tentang risiko bius satu badan. Selesai membuat pemeriksaan tekanan jantung Delisha dibaringkan dan diberi oksigen untuk tidurkan dia.
Paling membuat saya cukup sedih, bila doktor meminta saya cium Delisha dan bisikan sesuatu pada Delisha. Kami keluar dan akan diberitahu bila semua urusan selesai.
Jam 9.10 amalam, Delisha dibawa keluar dan masih tidak sedarkan diri. Sehinggalah jam 10 malam, baru Delisha memberi respon. Alhamdulillah semuaberjalan lancar dan kami di bawa masuk ke wad. Jam 1 pagi barulah Delisha diberi minum.
Alhamdulillah, sekarang ini jahitan telah dbuka dan Delisha kembali sihat.
Namun, jauh di sudut hati terfikit tentang perkara yang berlaku semasa berada di hospital.
Kes yang dialami oleh Delisha ini dikatakan doktor pakar ingin menghubungi pihak JKM dan bahagian kanak-kanak Malaysia kerana dikatakan kecuaian ibu bapa dan mungkin ada unsur penderaan.
Semasa doktro pakar membuat pemeriksaan sebelum pembedahan, mereka turut mempertikaikan kepana subang boleh msuk pada jaring kipas (seakan tidak logik), sehinggalah saya tunjukkan jenis subang yang dipakai oleh Delisha.
Apa yang nak saya tekanakan di sini terutamanya peringatan pada mak ayah apabila berlaku pada anak-anak, sila ambil gambar untuk kita buat penerangan nanti, tidak kirlah apa kes pun. Ini untuk memudahkan kita kemudian hari.
1.Selepas keluar hospital
3.Selepas jahit(depan)
Selepas jahit (belakang)
Subang jenis screw
Ini subangnya terletak je( dah berapa bulan guna,ok je, tak sangka benda nak jadi)
Kipas yang subang Delisha tersangkut
Masa tunggu di bahagian kecemasan (Delisha tak rasa apa dah)
Delisha baru masuk wad sebelum masuk bilik ot (penat dan mengantuk)
Bersedia nak masuk bilik ot (masa kali pertama)
Selepas jahitan di buka (belakang)
Jahitan di buka (bahagian depan)
MW: Apa yang boleh dijadikan pengajaran adalah dengan hati-hati bila mengenakan jenis subang pada anak. Keduanya, bila ke hospital kadang-kadang benda tak dijangka. Contohnya, ingatkan kita mendera anak atau kecuaian. Sedih bila dikatakan sebegitu. Siapa tak sayang anak…
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pernah tak tanya dekat diri sendiri, kenapa agaknya isteri degil, tak dengar cakap suami. Bila suami tegur, hilang rasa hormat dan taat. Di pihak isteri pula, tertanya-tanya tak? Kenapalah suami tak setia, curang dengan isteri.
Sukar sangatkah mencari bahagia pasangan suami isteri? Dalam perkongsian video Coach Ehati, Puan Diyana Tahir dan suaminya, Coach Rahim Shukor menjelaskan bagaimana mahu menundukkan ego pasangan baik suami mahupun isteri.
Tundukkan pasangan ini bukanlah dalam konteks yang tidak baik. Sebaliknya menundukkan ego pasangan agar masing-masing dapat merasai kehadiran cinta. Selanjutnya, hubungan suami isteri menjadi lebih bahagia.
“Kami pernah melalui benda yang sama. 14 tahun berkahwin melalui satu saat yang sukar. Hari-hari bergaduh dan hampir berpisah. Sampailah apabila kami ubah perhubungan dan belajar keegoan masing-masing barulah akhirnya kami faham dan tahu bagaimana mahu menjaga pantang larang itu.
Setelah pasangan ini belajar dan memahami keegoan pasangan, barulah romantik itu terbina. Deep connection itu terjalin dengan rasa ikhlas dan jadi rendah hati terhadap pasangan.
Cara Tundukkan Ego Isteri Degil, Suami Tak Setia
1. Kenal Kunci Hati Pasangan
Dalam hati suami mahupun isteri ada keegoan masing-masing. Sebab itu setiap daripada kita kena tahu yang pasangan kita itu asalnya adalah dari bayang fitrah. Yang mana, kita semua ini asalnya dipenuhi dengan kasih sayang. Malah sangat berkasih sayang.
Lihat saja kelahiran seorang bayi. Apabila kita pandang bayi terus jatuh kasih. Tengok bayi pun tenang. Sifat bayi itu sendiri amat patuh. Sebenarnya dulu pun kita pernah jadi seorang bayi. Penuh dengan sifat kasih sayang. Pasangan kita pun sama.. pernah jadi bayi.
Akhirnya fitrah kasih sayang itu hilang sedikit demi sedikit, mungkin disebabkan trauma mahupun cabaran hidup yang mereka lalui ketika membesar. Dari situlah keegoan jadi tinggi, membentuk kesalah fahaman yang kadang sukar untuk pasangannya mengertikan.
Tanpa sedar, ego ini menjadikan diri pasangan sombong dan degil. Dan ada 3 jenis ego yang boleh menyebabkan pasangan tersinggung dan berkecil hati. Bila kenal ego pasangan, ia membantu anda menjadi lebih baik.
2. Kenal Ego Pasangan
Ego Ingin Berkuasa
Suami atau isteri yang ada jenis ego ini mahu pasangannya ikut cakap dia. Dia mahu control semua benda. Pantang bagi dia bila pasangan tak nak ikut dan langgar aturannya. Sebab itulah, bila egonya tersentuh, dia tersinggung dan jadi tak taat mahupun tak setia.
Ego Mahu Disukai
Ada pasangan yang mahu dihargai. Bila pantang larang ini dilanggar. Isteri atau suami tak peduli, tak nak hargai, tak memuji atau tak ambil berat. Hatta tak ucap terima kasih atau asyik mengkritik, ia akan mencabar keegoannya. Barangkali dia dibesarkan dengan kurang kasih sayang.
Jadi dia mengharapkan pasangan memberinya kasih sayang. Jika sebaliknya yang dia dapat, tersinggung dan terganggulah dia. Lagi parah, bila penghargaan dan pujian itu dia boleh dapat daripada orang luar atau rakan pejabatnya. Itu yang akhirnya pasangan jadi tak setia.
Ego Untuk Selamat
Dalam kes ini, pasangan jenis semua benda dia nak jaga. Seorang yang terlalu berhati-hati. Jadi bila pasangan langgar pantangnya dengan terlalu berahsia, tak berterus terang dengannya. Dia akan jadi tersinggung. Dia rasa takut, rasa tak selamat. Sebab itu jangan sorokkan apa-apa dengan pasangan yang egonya begini.
3. Fahami Kunci Tubuh Pasangan
Sebenarnya setiap pasangan suami isteri ada cara yang betul ketika mahu ‘bersama’ pasangannya. Hubungan intim pun perlu ada ilmu. Sebabnya ada juga hubungan intim yang boleh menyebabkan hormon cinta itu hilang jika dilakukan dengan cara yang salah. (Info lanjut coach Diyana terangkan dalam video)
Coach Diyana Tahir dan suami, Coach Rahim Shukor
Sembuhkan Keegoan Pasangan Yang Dah Tersinggung
Nak menurunkan keegoan pasangan ini ada 3 hal yang perlu suami isteri perhatikan. Anda boleh praktikkan kerana caranya bukanlah sesukar mana.
1. Hargai Pasangan Walau Sekecil-kecil Perkara
Hargai pasangan yang ada ego mahu disukai itu. Selalulah bercakap dengannya, puji, ucapkan terima kasih walaupun untuk sekecil-kecil perkara. Jika sebelum ini dia selalu marah-marah. Tiba-tiba suatu hari itu, moodnya baik, pujilah dengan rasa bahagia bila suami anda tidak marah. Jangan buat tak tahu atau perli.
Inilah kesilapan yang ramai wanita dan suami lakukan. Tak memuji pasangan. Lawan kelukaan dengan kelembutan. Isteri yang terluka, bila dia mula mengucapkan syukur, fokus dengan kebaikan suami maka kebahagiaan yang akan diperoleh. Sebab rupanya itulah yang suami mahukan.
benda ini nampak mudah. Tapi ianya PENTING! Ada pasangan yang mengakui rupa-rupanya suaminya selama ini nak sangat pujian daripada isterinya. Sebab itulah dia selalu berwhatsap dengan perempuan lain, sebab isteri tak menghargainya.
2. Support Impian Pasangan
Jika pasangan ada plan, projek bisnes misalnya. Berilah sokongan. Bagi semangat dengan sepenuh perhatian. Berjaya atau gagal, anda tetap bersama. it’s Ok. Suami itu akan kekal setia. Kalau suami support impian isteri, isteri pun akan taat dengan impian suaminya.
3. Sentiasa Di Sisi Pasangan
Walaupun dia buat salah, sedih atau gembira, tetaplah menjadi sahabat setianya. Jangan jadi orang pertama yang menyalahkan atau kondem apatah lagi meninggalkannya. Kadangkala pasangan suami isteri itu sentiasa bersama tapi mereka tiada connection.
Minda bawah sedar mereka akan berkata-kata ‘bila saya sedih, awak tak jaga, kenapa saya nak dengar cakap awak’. Isteri akan rasa tak hormat pada suami sebab suami tak hormat perasaan isteri. Lebih sedih bila isteri kena uruskan perasaan dia sendiri.. menguruskan perasaannya yang serabut itu.
Sebab itu, pentingnya untuk suami sentiasa berada di sisi suami. Dengan sendirinya ego pasangan akan dapat ditundukkan.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...