Kalau ikutkan pengorbanan mak, tak seorang anak pun mampu membalas 100% apa yang dia pernah terima daripada wanita bergelar ibu. Yang sanggup berjaga malam demi anak, rela tahan lapar demi kenyangkan perut anak dulu, gadai harta demi sekolahkan anak, malah sanggup buat apa sahaja demi melihat anak senang. Untuk ingatkan anda pada pengorbanan mak, baca perkongsian daripada saudara Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad ini…
“Dulu dulu adik selalu tanya mana Abah, mana Abah”. Mak tak tahu nak buat apa, adik selalu tanya, Mak pun gantung gambar Abah dihujung kepala adik masa nak tidur, tapi adik kata “tak mau yang tu, mau yang ada kaki, ada tangan, boleh berjalan mai kat adik, boleh dukung adik, boleh peluk adik”.
ALLAHUAKBAR! Baru semalam Mak cerita kisah berpuluh puluh tahun dahulu, ketika Mak membesarkan aku keseorangan setelah suaminya meninggalkan dunia ini ketika baru 15 hari melahirkan aku kedunia ini.
Sungguh! Rupa paras dan tubuh badan ku tidak pernah dilihat dan disentuh oleh seorang lelaki yang dipanggil Abah, Mak melahirkan aku tanpa suaminya disisi kerana berkhidmat di Sarawak pada ketika itu.
Abah meninggal dunia di Serian Camp, Sarawak, hanya jasadnya dibawa pulang ke Kodiang Lama, Kedah, kampung halaman kelahirannya. Bermula dari saat itu lah Mak berkorban segalanya membesarkan kami 4 adik beradik.
ALLAHUAKBAR! Pengorbanan Mak yang diketika itu baru mencecah 30 an usianya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan bagi aku dan adik beradik yang lain, Mak kerja apa saja termasuk menyemat atap daun nipah yang dijadikan bumbung rumah pada ketika itu di kampung kampung, upahnya dalam 50 sen sekeping atap, sehinggalah akhirnya Mak kerja kilang MMI dan membesarkan kami semua dengan sempurna.
Ads
Sebagai anak bongsu yang dipanggil adik, memang sungguh sangat sangat aku ini menjadi anak Mak, itulah Mak dan itulah Abah. Aku hanya dikenalkan kepada Abah dengan beberapa keping gambar yang ada, namun sebenarnya aku tidak pernah merindui seorang Abah kerana ya lah, langsung tidak pernah disentuh, apatah lagi dibelai, didukung, dipeluk dan dimanjakan. Sehinggalah semalam Mak menceritakan saat saat aku membesar dan sering mencari cari Abah.
ALLAHUAKBAR! Tak dapat aku bayangkan bagaimana kekuatan hati Mak ketika menjawab dan menggantungkan gambar Abah dihujung kepala ketika aku nak tidur itu. Kata Mak, Abah selalu kesana sini sebagai tentera dan biasa sangat kena tinggal, hanya satu saat saja Mak pasti mengalirkan air mata iaitu ketika kali pertama bergema takbir raya disetiap kali hari raya.
Selain dari tu, Mak gagah dan tunjuk gagah kepada kami adik beradik. Aku pernah diminta seseorang untuk diambil sebagai anak angkat tetapi dengan tegas dan semangat padu Mak menyatakan selama ia bernyawa dia akan pastikan dia melaksanakan amanah dari suami tercintanya.
Tulisan Abah meminta Mak jaga anak anak baik baik selamanya, aku baca didalam surat bertulis tangan itu Abah melahirkan rasa rindunya kepada Mak dan anak anak khasnya aku yang belum ditatap dan disentuhnya.
Ads
Surat itu bertarikh 24-Sep sehari sebelum Abah meninggal pada 25-Sep, kata Mak, Abah juga mengirimkan lagu di radio dan ianya disiarkan setelah Abah meninggal dunia, bayangkan ketika masih didalam pantang itu, Mak dengar radio kiriman lagu dari suami yang telah tiada.
Sungguh kuat dan tabah Mak aku ini! Ramai yang menggilai Mak, bukan calang calang yang cuba hampirinya, namun Mak nyatakan “Abah hampa tak ada ganti selamanya”, lagi pun sangat dibimbangi anak anaknya tidak diterima baik oleh ‘Pak Tiri’.
Mak sekarang dah nampak banyak uzur, mata dan pendengaran sedikit bermasalah, badan pun sedikit mengecil, kerdutan kulitnya jelas dilihat, namun masih tetap menggagah menyantuni anak menantu dan cucu cicitnya, sentiasa akan berusaha menyediakan makan minum untuk anak menantu, cucu dan cicitnya. Sentuhan dapur Mak memang tiada tandingannya, setiap kali balik kerumah Mak mesti akan masak makanan kegemaranku dan anak anak yang lainnya. Tidak lepas juga Mak akan menarik ku kedalam pelukannya dan mengucup dahi dan pipi ku dengan katanya “anak Mak dah besaq tua ni” sambil melirik senyum manisnya ketika aku bersalam untuk balik ke Kuala Lumpur.
Teringat ketika aku selesai aqad nikah, kata Mak “dah ada Pak Mentua, buatlah macam Abah sendiri, dulu kan tak dak Abah”. Mak juga sangat menyayangi isteriku Sharifah Mazrah menantu bongsunya, setiap kali bersalin Mak lah yang bertungkus lumus memasak makanan berpantang, membawanya ketingkat atas, memandikan cucu cucunya walaupun dengan kudratnya yang semakin terhakis setelah tenaganya diperah untuk membesarkan anak anak.
Ads
ALLAHUAKBAR! Beberapa minggu kebelakangan ini aku banyak menemui Pakcik Pakcik tua yang masih terpaksa bekerja, didalam FB aku menaikkan cerita seorang Pakcik tua berumur 82 tahun beranak 11 yang masih memandu teksi mencari duit belanja untuk menyara anak bongsunya yang terlantar di pembaringan sejak beberapa tahun yang lalu, aku juga menemui seorang Pakcik berusia melebihi 90 tahun yang dijaga oleh anak perempuan dan menantu, 3 anak lelakinya ada yang dah 10 tahun langsung tidak pernah menjenguknya sehinggakan ketika aku menziarahinya dia genggam erat tanganku tak dilepasnya ketika aku nak pulang, juga tiba tiba katanya ” …… ada ke tu” katanya dengar macam bunyi suara anak nya, mata Pakcik tu dah tak dapat melihat lagi.
Mak kata “baguslah walaupun tak boleh buat baik pada Abah sendiri, buat baik dan bantulah Abah Abah orang pun, nanti dapat pahala kat Abah kita juga”. Sungguh! Dalam hidup ku ini, aku sangat menyantuni bapa bapa saudara ku dari kedua belah pihak Mak dan Abah, dalam masa yang sama aku ada lelaki lelaki yang seolah Abah bagiku disudut hubungan kasih sayang yang terjalin, mereka banyak menasihati ku, membantu dan menjiwai ku. Aku ada Paksu Ali@ Haji Ali Bin Bakar, Pakcik Mat@Mohamad Bin Mahmud, Tuan Haji Hussain Bin Saat dan aku ada Paksu Duan@Haji Ridwan Bin Mat Som, mereka ini sentiasa bersama ku ketika susah dan senang, sekarang yang tinggal hanyalah Tuan Haji Hussain Bin Saat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati mereka hendaknya.
ALLAHUAKBAR! Sungguh! Air mata ku laju membasahi baju ketika menulis ini kerana terbayang keadaan Mak ketika aku mencari Abah dan terbayangkan Ayah Ayah tua yang masih terpaksa mencari sesuap nasi walaupun beranak 11 dan bermacam macam lagi. Air mata ku juga semakin laju kerana ketika menulis ini, anak ku Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi sedang lena diribaan ku, sesuatu yang tidak pernah ku rasakan dari Abah ku.
Ya ALLAH, Kau rahmatilah Mak Abah aku dan semua Ibu Bapa didunia ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil, kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Bagi yang mempunyai Ibu Ayah, janganlah sesekali mengabaikan mereka, tumpahkanlah sepenuh kasih sayang kepada mereka. Seandainya mereka telah meninggalkan dunia ini, jadilah kalian semua anak anak yang soleh yang sentiasa mendoa’kan mereka.
Ingatlah, siapa kita tanpa Ibu dan Ayah. Jangan lah kita abaikan peringatan dari ALLAH – Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua Ibu Bapa kamu dengan sebaik baiknya,jika salah seorang diantara keduanya atau kedua duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia,dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku di waktu aku masih kecil” Al-Isra’ 23-24.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
5 hak suami dalam perkahwinan yang wajib di taati, satu ini isteri selalu langgar. Dalam menjalin hubungan suami isteri, ada hak-hak yang telah digariskan menurut hukum syarak. Ia termasuklah hak seorang suami ke atas isteri, hak seorang isteri ke atas suami dan juga hak bersama.
Apa yang kita perlu fahami tentang seorang isteri dan juga hak seorang suami? Dalam soal jawab agama oleh Ustaz Azhar Idrus, ketika ditanya apakah hak seorang suami ke atas isteri, beliau menggariskan lima hak seorang suami ke atas isteri yang wajib isteri taati. Inilah lima hak suami ke atas isteri.
Bolehkah ustaz sebutkan, apakah yang wajib dilakukan oleh isteri terhadap suaminya supaya dinamakan isteri itu isteri yang taat kepada suami.
Jawapan :-
Saya rasa memadai untuk permintaan pihak tuan ini saya sertakan tulisan Syeikh Abu Bakar Al-Jaziri :
إن للزوج حقوقا على زوجته كما للزوجة حقوقا على زوجها لقول الله تعالى: وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ . وتقدم بيان حقوق الزوجة وهذا بيان حقوق الزوج وهي الطاعة في المعروف أما في معصية الله ورسوله فلا طاعة له عليها إذ لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق “قاعدة عامة حفظ ماله وصون عرضه، أن لا تخرج من بيته إلا بإذنه، وذلك لقول الله تعالى: حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ. وقول الرسول صلى الله عليه وسلم: خير النساء إذا نظرت إليها أسرتك، وإذا أمرتها أطاعتك، وإذا غبت عنها حفظتك في نفسها ومالك السفر معه إذا شاء ذلك تسليم نفسها متى طلبه للاستمتاع بها، لقول الرسول صلى الله عليه وسلم: إذا دعا الرجل امرأته إلى فراشه فأبت أن تجيء فبات غضبان عليها لعنتها الملائكة حتى تصبح” استئذانه في الصوم إذا كان حاضراً غير مسافر، لقول الرسول صلى الله عليه وسلم: لا يحل لامرأة أن تصوم وزوجها شاهد أي حاضر إلا بإذنه
Ertinya : “Bahawasanya bagi suami itu beberapa hak yang wajib atas isterinya sebagaimana bagi isteri itu beberapa hak yang wajib atas suaminya kerana firman Allah Taala : Dan para isteri itu mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf – Al-Baqarah ayat 228. Dan telah lalu kenyataan hak-hak isteri dan inilah pula keterangan hak-hak suami dan iaitu ::-
Pertama :- Taat isteri pada perkara yang baik. Ada pun pada perkara maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya maka tidak ada taat bagi suami atas isteri kerana tidak harus yakni haram taat bagi makhluk pada perkara yang derhakakan Allah sebagai qaedah yang am.
Kedua :- Memelihara isteri akan harta suami dan menjaga maruahnya yaitu bahawa tidak isteri keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suami. Yang demikian itu ialah kerana firman Allah Taala : Wanita-wanita yang memelihara diri ketika suaminya tiada bersama dengan barang yang memelihara oleh Allah – An-Nisa ayat 34.
Dan sabda Rasulullah saw : Sebaik-baik perempuan apabila kamu lihat kepadanya dia akan menyukakan kamu. Apabila kamu menyuruhnya dia akan taat kepadamu. Apabila kamu keluar daripadanya dia akan memelihara kamu pada dirinya dan hartamu – Hadith Abu Daud dan Nasaie dan Al-Hakim.
Ketiga :- Keluar berjalan bersama suami apabila suami menghendakinya yakni mengajaknya kepada berjalan dengannya.
Keempat :- Menyerahkan isteri akan dirinya bila sahaja suami memintanya kerana berseronok dengannya kerana sabda Nabi saw : Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri itu tidak mahu datang kemudian tidur suami itu dalam keadaan marah atas isterinya nescaya melaknatnya olih malaikat sehingga waktu subuh – Hadith Bukhari dan Muslim.
Kelima :- Meminta izin akan suami untuk puasa sunat jika suami ada disisi tidak bermusafir kerana sabda Nabi saw : Tidak halal bagi isteri berpuasa sunat sedangkan suaminya ada disisi kecuali dengan izinnya – Hadith Bukhari dan Muslim.” (Kitab An-Nikah Wa At-Talaq). Wallahua’lam
Ini kerana pada malam Lailatulqadar para malaikat yang turun pada malam tersebut dikatakan lebih banyak dari pasir-pasir di bumi. Mak ayah ini cara macam mana nak penuhi amalan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Perkongsian daripada Syahrul Waheeda Mohd Ali ini dicatat semula daripada Kuliah Subuh yang dihadirinya pada pagi hari, yang disampaikan oleh Tuan Kadi Daerah Tangkak, As-Sheikh Haji Mohd Nasri Bin Rahman.
“Walaupun seminggu dua nie agak sibuk menguruskan kedai Ledang Muar Frozen Foods dan r&d Monopoli Solat AR, saya tetap meluangkan masa merebut peluang berada di dalam majlis ilmu terutama di bulan Ramadan ini.”
“Pada malam Lailatulqadar, para malaikat yang turun pada malam tersebut dikatakan lebih banyak dari pasir-pasir di bumi.
“Malaikat-malaikat akan singgah di hati mereka yang betul-betul bersih dan berubah.”
“Insan terpilih ini akan rasa sedih, sebak dan menangis secara tiba-tiba pada malam tersebut.”
Pecutan 10 Malam Terakhir Mencari Lailatulqadar
Apa yang perlu kita lakukan di 10 malam terakhir ini? – Qiamulail mendirikan solat malam (bukan 10 malam terakhir lakukan qiamulail ini tetapi kalau boleh setiap malam) – Lakukan di tengah malam yang terakhir sebaik-baik pada pukul 3 pagi dan berqiamulail secara sendiri atau ramai.
Sebelum memulakan qiamulail, duduk dan bertenang dulu. Berbicaralah dengan lembut kepada seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dsb supaya dapat beribadat dengan baik. Lidah tugasnya memujuk seluruh anggota badan terutama hati sebab hati nie raja segala anggota. Bila hati kata iya, semua anggota akan patuh dan ikut.
Selepas itu istigfar sebanyak yang mungkin dan baru bangun menunaikan solat untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.
Disarankan mula dengan;
1. Solat Sunat Taubat
– sebagai permohonan maaf dengan Allah.
“Orang kalau nak minta tolong dengan orang, kita kena minta maaf dulu. Itu dengan manusia, ini pula dengan Allah”
2. Solat Qada’
– Apa apa jua solat qada’. Tidak buat tak pe tetapi adab nak minta sesuatu dari Allah, perlu membayar hutang. Bayar hutang dulu dengan Allah.
3. Solat Sunat Tahajud
– 4 kelebihan Solat Sunat Tahajud
* Allah S.W.T. akan memudahkan pekerjaannya.
* Dibimbing oleh Allah Ta’ala di dalam urusannya
* Diberikan jalan penyelesaian yang terbaik ketika menghadapi masalah.
* Jika diganggu dalam hidupnya, Allah akan menolong tanpa perantaraan.
4. Solat Sunat Tasbih
– Solat Sunat Tasbih ini dapat membuka pintu ampunan Allah SWT di atas segala dosa, dari awal hingga akhir, lama maupun baru, disengaja atau tidak, kecil ataupun besar, nampak maupun tersembunyi.
5. Solat Sunat Hajat
– Mohon hajat untuk kejayaan anak anak (2 rakaat)
– Mohon supaya emak dan ayah diberi kesihatan sekiranya masih hidup (2 rakaat)
– kalau boleh 2 rakaat hanya untuk 1 hajat
– tidak salah kalau nak borong semua sekali 10 hajat dalam 2 rakaat tetapi adabnya kurang manis sebenarnya.
6. Solat Sunat Witir
– Bagi yang mengamalkan Solat Sunat Witir amalan mereka akan disaksikan oleh para malaikat dan berupaya memperoleh syafaat daripada Nabi Muhammad SAW di akhirat. Insya Allah.
Selain itu kalau hendak menampung lompong pahala puasa, maka perbanyakkanlah bersedekah di bulan ini terutama memberi makan orang berbuka puasa dan perlu alert dengan lintasan hati yang pertama untuk melakukan kebaikan.
Mungkin atas faktor ekonomi keluarga mahupun mematuhi dasar kerajaan, sesetengah pasangan seperti di negara Singapura dan China, menghadkan bilangan jumlah anak-anak yang dilahirkan, sejak sekian lama. Kini, kesan tindakan ini mula dirasai di negara tersebut apabila penurunan kadar kelahiran bayi semakin membimbangkan.
Laporan Hindustan Times menyatakan, China menghapuskan dasar satu anak pada 2016, semenjak dasar tersebut dilaksanakan dari tahun lewat 1970-an lagi.Jika sebelum ini, China mengenakan penalti atau ‘Sosial Maintenance Fees’ bagi mereka yang mempunyai lebih 3 orang anak.Kewujudan penalti tersebut memberi tanggapan rakyat bahawa kelahiran boleh menggangu kemajuan negara dan demografi.
Terbaru, China yang bimbang dengan penurunan kadar kelahiran telah menjanjikan subsidi kewangan, perubatan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang bagi menggalakkan pasangan suami isteri memiliki anak kedua.
Naikkan Cuti Bersalin
Semua 31 wilayah, daerah dan perbandaran, hampir keseluruhan China, menaikkan mandat 98 hari cuti bersalin kepada antara 138 dan 158 hari, lapor laman web thepaper.com.
Elaun kewangan dan perkhidmatan perubatan juga dimasukkan sebagai insentif bagi pasangan di beberapa daerah.
“Ibu turut dibayar gaji sepanjang cuti bersalin manakala bapa diberi kelayakan mendapat cuti daripada 15 hingga 30 hari secara purata.
“Di bandar raya Shihezi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, ibu yang mempunyai anak kedua ditawarkan subsidi sehingga 1,000 yuan (RM599) selain membekalkan mereka dengan subsidi susu formula bayi sehingga tiga tahun,” menurut laporan.
Pada masa sama, bandar raya Xiantao di wilayah Hubei juga memberikan subsidi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada ibu yang melahirkan anak kedua.Bagaimanapun, pakar menyifatkan ia tidak mencukupi kerana kadar kesuburan di China pada 2016 cuma 1.7, yang dianggap rendah.
Menarik sungguh insentif yang ditawarkan oleh Negara China buat rakyatnya agar menambah kelahiran.Setiap anak itu memberi rezeki, namun mak ayah juga perlu membuat perancangan yang terbaik dalam membesarkan mereka serta keperluan mereka pada negara.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.