Sejauh mana kita ingin jauhi penceraian, namun jika ianya telah tertulis, tiada daya upaya mak, ayah menolaknya. Meskipun begitu, setelah bercerai, jangan pula mencipta jurang dan sengketa dengan bekas pasangan.
Walaupun tak mudah, jangan pentingkan diri sendiri. Penceraian bukanlah lesen untuk burukkan pasangan, sebaliknya fikirkan emosi anak dan kesannya dalam jangka panjang.
Penceraian bukan hanya memberi kesan kepada mak, ayah sahaja sebaliknya anak-anak adalah paling terkesan.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mengapa mak,ayah tak digalakkan untuk memburukkan bekas pasangan sewenang-wenangnya.
Penceraian Bukanlah Lesen Untuk Burukkan Pasangan
Dalam kehidupan, ada banyak perkara yang kita tak mahu, tapi tetap berlaku. Contohnya bercerai.
Iya, kita berpisah hidup dengan pasangan kita. Yang pernah bercinta, hidup dan segalanya dengan kita.
Sebab berlaku perselisihan yang kita tak dapat nak berlapang dada, kita pilih jalan akhir untuk tidak lagi hidup sebumbung.
Benar kawan-kawan, semua ini dibenarkan oleh Tuhan. Sekali pun ini yang Tuhan paling tak suka.
Namun, setelah semua itu berlaku, bukanlah kita punya lesen atau kebenaran untuk memburukkan bekas pasangan kita. Kita mengajar anak-anak untuk mengata ayah dia. Kita ajar anak berperasaan tak betul kepada mak dia.
Cerita pula segala lemah dan kurang bekas pasangan ke kawan- kawan, keluarga dan siapa sahaja yang kenal kita. Sebolehnya nak letak salah berpisah itu pada sebelah pihak.
Fikirkan Emosi Anak & Kesannya
Kawan kawan sekalian,
1. Sekali pun jodoh tak panjang, kita masih boleh hidup seperti biasa. Bertegur dan berbincang. Terutama tentang zuriat yang lahir daripada diri kita dan pasangan kita dahulu. Itu benih cinta kita. Jadi masih perlu kepada aturan bersama.
2. Anak-anak yang lahir ini ada ikatan darah daripada mak ayah dia. Maka macam mana jauh terpisah pun, tetap menjadi tanggungjawab mak ayah kandung dia untuk membesarkan mereka.
Ads
3. Jangan sampai kerana marah kita kepada bekas pasangan kita, anak-anak jadi mangsa. Mereka diabai dan tidak dipedulikan. Terutama nasib akhirat mereka.
Rumah Tangga Retak, Anak Bermasalah
4. Ramai sangat anak-anak hasil rumah tangga yang retak jadi anak-anak bermasalah. Sekolah terganggu, pelajaran entah ke mana dan yang paling kita takut mereka ini akan ada masalah emosi. Tak ada kasih sayang.
5. Yang tak ada kasih sayang seorang ayah akan mencari lelaki di luar rumah. Anak lelaki pula tiada kawalan seorang ayah akan jadi anak yang keras, kuat melawan dan tak lekat di rumah. Hilang selalu. Bebas dengan kawan kawan.
6. Kawan-kawan, kalau pun hubungan kita tak berjaya di dunia. Moga dengan perceraian itu kita tidak semakin jauh dengan Tuhan. Begitulah.
Firdaus Mokhtar, Pesan buat semua.
MW: Semoga mak,ayah dijauhkan dengan sikap sebegini setelah menjalani penceraian. Walaupun tak mudah, apa yang berlaku adalah ujian dari Allah SWT. Semoga mak,ayah yang bercerai terus cekal menghadapi ujian yang mendatang.
Ibu ini, Noor Fadhila Bakribukan ambil masa beberapa lama untuk survey vaksin Pneumococcal anaknya. Sebab harga vaksin jenis ini bukan murah, cecah ratusan ringgit untuk sekali suntikan. Demi memberi imunisasi dan cegah jangkitan kuman di paru-paru anak, ibu ini sanggup menolak dari memberi barang keperluan dirinya.
“Alhamdulillah. Selesai 1 dos vaksin Pneumococcal untuk Iman Zahrawi. Lama jugalah Dila survey harga vaksin ni dan yang paling murah Dila jumpa dekat Poliklinik UKM Kesihatan Bandar Baru Bangi. Untuk umur Iman, hanya 2 dos diperlukan.”
“Dila pilih vaksin Pneumococcal untuk perbelanjaan bulan ini daripada membeli beg, baju, kasut, restoran hipster yang memahal tu. Keperluan kesihatan anak kami sentiasa di barisan pertama. Tapi kalau pendapatan awak melambak boleh la beli semuanya. Dila pilih ‘ukur baju di badan sendiri’.”
Menurut ibu ini, Vaksin Pneumococcal ni ada dua jenis:
Pertama : Synflorix (melindungi anak daripada 10 jenis bakteria)
Kedua : Prevenar (melindungi anak daripada 13 jenis bakteria).
“Sila dapatkan nasihat daripada doktor untuk pilihan jenis vaksin. Untuk anak saya, kami suami isteri sudah mendapatkan nasihat daripada doktor dan ikut keadaan anak saya, jenis Synflorix sudah pun memadai.”
“Namun, kalau puan/tuan ada bajet lebih atau anak puan dinasihatkan untuk ambil vaksin jenis Prevenar, baiklah ikut nasihat doktor. By the way, harga Synflorix adalah lebih murah berbanding Prevenar.”
Tambahnya apa yang dikongsikan itu bukahlah review berbayar. Sebaliknya sekadar berkongsi manfaat vaksin ini dan di mana nak dapatkan vaksin ni pada harga yang berpatutan.
Detail Apa Itu Vaksin Pneumococcal
Ini sedikit indo berkenaan vaksin Penumococcal yang saya baca dan kongsikan di sini dari website Momma.
Suntikan Vaksin Pneumococcal merupakan sejenis imunisasi yang boleh diberikan kepada kanak-kanak sebagai langkah awal untuk mencegah daripada jangkitan kuman di paru-paru yang dikenali sebagai penyakit Pneumonia.
Penyakit Pneumonia ini kerap di alami oleh kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Ianya terjadi akibat bakteria, virus, fungus dan parasit yang menyebabkan jangkitan pada hidung dan berterusan hingga ke paru-paru.
Penyakit pneumonia boleh membuatkan seseorang yang dijangkiti sukar untuk bernafas. Ini berlaku kerana nanah dan lendir memenuhi saluran udara pada paru-paru yang akan menggangu sistem pernafasan .
Jika ianya dibiarkan berterusan, oksigen mungkin tidak dapat sampai ke dalam darah dan sel tubuh yang seterusnya membahayakan nyawa anak anda.
Sekiranya anak anda mengalami simptom awal jangkitan pada paru-paru seperti demam panas, batuk dengan atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat dan sering merengek, pernafasan laju atau susah bernafas, muntah atau cirit-birit, segeralah bawa anak anda berjumpa dengan doktor.
Jika jangkitan kuman pada paru-paru ini disebabkan oleh bakteria, kebiasaannya doktor akan memberikan antibiotik kepada anak anda. Tetapi, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan dan teruk, anak anda akan dimasukkan ke hospital untuk diberikan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan membahayakan nyawa anak anda.
Kalau Anak Batuk Lebih 3 Hari..
Sekiranya mendapati anak anda juga mengalami batuk yang berpanjangan selama tiga hari, keadaan badan yang lesu, mengalami muntah, nafas berbunyi dan dehidrasi, bawalah segera anak anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Untuk membezakan batuk biasa dan batuk Pneumonia, bunyi batuk biasa ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat Pneumonia yang bunyinya agak ‘dalam’ dan ianya kerap terjadi pada waktu malam sehingga ke pagi.
Dan sebaiknya, ibu bapa perlu mempertimbangkan pengambilan suntikan vaksin Pneumococcal di hospital atau klinik swasta bagi meningkatkan lagi imunisasi anak anda. Semoga dengan suntikan imunisasi vaksin Pneumococcal ini anak anda dapat dihindari penyakit Pneumonia dan menjalani aktiviti harian dengan ceria!
Hal inilah yang suami kena perhatikan dan ambil peduli dengan keadaan emosi isteri. Terutama ketika isteri mengandung, melahirkan seterusnya menyusu badan untuk anaknya. Bila emosi isteri tak stabil, segala rasa tak bahagia tu boleh sampai ke anak.
Hadam penjelasan Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi ini. Semoga suami lebih memahami keadaan isteri yang hamil mahupun menyusu badan bayinya. Jika rasa bahagia itu tak diperoleh, anak pun akan merasai stress yang sama.
Bila Isteri Stress, Rumah Tangga Jadi Kurang Bahagia
“Happy wife, happy life”
Bila isteri stress,
Suami stress,
Anak stress,
Anak yang disusukan stress,
Anak dalam kandungan juga stress.
Tapi, bila suami stress keadaan rumahtangga kurang stress berbanding bila isteri stress.
Ia adalah kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada Rutgers University terhadap 394 pasangan mendapati kepuasan isteri dalam keperluannya memainkan peranan penting dalam kebahagian rumahtangga dan mempengaruhi secara keseluruhan kepuasan hidup. Kebahagiaan isteri menyumbang kepada kebahagiaan suami juga.
Hati seorang isteri sangat halus, jika seseorang isteri itu bahagia pasti dia akan cuba lakukan terbaik dalam rumahtangga. Mengemas rumah tanpa rungutan, memasak dengan ikhlas, menjaga anak dengan rela hati malah tak kisah dalam membantu ekonomi keluarga.
Emosi isteri menjadi lebih penting lagi apabila sedang mengandung. Hal ini kerana emosi isteri bukan sahaja mempengaruhi kebahagiaan rumah tangga, malah mempengaruhi perkembangan anak dalam kandungan. Ramai yang tidak tahu, jika ibu berdepan dengan stress jangka masa panjang, hormon stress (cortisol) akan disalurkan juga kepada bayi dalam kandungan melalui tali pusat, dan boleh menyebabkan pelbagai masalah.
Kajian Ibu Mengandung Dan Perkaitannya Dengan Stress
Antara kajian dan fakta berkenaan ibu semasa mengandung:
1. Ibu yang stress semasa mengandung akan menghasilkan bayi yang suka menangis dan merasakan dunia tidak selamat. 2. Ibu mengandung yang masih belajar atau selalu membaca buku menghasilkan anak yang suka membaca buku. 3. Aktiviti janin meningkat secara mendadak apabila ibunya mengalami tekanan emosi. 4. Stress semasa mengandung memberi kesan kepada tingkahlaku bayi dan kefungsian anak di masa akan datang. 5. Risiko masalah perkembangan anak seperti “Anxiety” dan ADHD, kerana hormon stress memaksa otak janin berkembang dengan lain kerana terpaksa membiasakan diri dengan ancaman.
Semasa Menyusu Badan Pun, Stress Boleh Disalurkan Dekat Anak
Dulu saya ingatkan kita perlu berhati-hati dengan emosi sendiri hanya semasa mengandung sebab hormon stress terus disalurkan ke bayi dalam kandungan iaitu melalui tali pusat. Tapi sebenarnya bukan semasa mengandung sahaja seorang isteri dan ibu perlu jaga emosi, tetapi juga semasa menyusu badan.
1. Kajian telah dilakukan oleh evolutionary biologist di Harvard University terhadap monyet makmal menunjukkan hormon stress yang dikeluarkan semasa ibu stress fizikal atau emosi boleh disalurkan kepada bayi melalui susu ibu. 2. Keputusan yang paling mengejutkan adalah hormon stress ini memberi kesan yang berbeza terhadap bayi perempuan dan lelaki. Susu yang mempunyai tinggi kepekatan hormon stress memberi kesan terhadap emosi dan perilaku seperti rasa takut, marah, sensitif ataupun tak selesa kepada bayi perempuan berbanding bayi lelaki. 3. Hormon cortisol pada susu ibu boleh memberi kesan kepada tingkahlaku sosial anak di masa akan datang walaupun selepas bercerai susu.
Kalau perasan anak yang disusukan menangis tanpa sebab dan tiba-tiba emosi tak stabil tanpa mak ayah tahu penyebabnya. Cuba ingat kembali emosi kita semasa hari itu ataupun semasa mengepam susu.
Tali pusat -> Susu Ibu
Bila fikir balik, ada logiknya emosi ibu yang menyusu mempengaruhi kualiti susu. Tetapi apa yang saya paling terkejut, ibu yang stress juga boleh mempengaruhi emosi anak-anak walaupun kita tak nampak salurannya.
Bahaya Bila Ibu Stress
Ada satu kajian terbaru yang diterbitkan pada bulan Ogos 2019 yang lepas daripada Nanyang Technological University, Singapore.
Sangat menarik untuk dikongsikan, ia berkaitan aktiviti otak terhadap 31 pasangan ibu dan anak semasa menonton filem animasi bersama-sama. Kajian ini menunjukkan ibu yang mempunyai kadar stress yang tinggi mempunyai kurang persamaan aktiviti otak antara ibu dan anak (3 tahun).
Bahagian aktiviti otak yang dikaji adalah di bahagian “prefrontal cortex” iaitu bahagian otak yang mengawal kebolehan seseorang untuk memahami orang lain. Ibu dan anak akan lebih memahami emosi antara satu sama lain jika terdapat persamaan aktiviti otak semasa melakukan aktiviti yang sama.
Stress menyebabkan seorang ibu,
tidak dapat memahami perasaan anak
menghukum anak atas sebab yang tidak sepatutnya
mengurangkan komunikasi antara ibu dan anak
kurang menghormati pendapat anak
hubungan jangka masa panjang ibu dan anak terjejas.
Malah bukan itu sahaja, banyak sangat kajian berkenaan ini. Antaranya:
1. Stress semasa tahun-tahun awal anak mempengaruhi gen anak yang berkait dengan pengeluaran insulin dan perkembangan otak sehingga anak dewasa. 2. Ibu yang stress mempengaruhi tingkahlaku anak dan kebolehan anak menangani stress.
Lihatlah, betapa pentingnya untuk menjaga emosi seorang wanita/isteri/ibu. Bukan senang untuk menjadi isteri dan ibu yang baik kepada suami dan anak-anak, kerana perlu “berperang” dengan emosi sendiri.
Kadang-kala perkara kecil pun boleh terasa, lagi-lagi waktu mengandung. Suami lupa belikan makanan yang diidam pun boleh menitik air mata. Apatah lagi isu besar.
Itulah dinamakan kecelaruan hormon. Kadang-kala kita orang perempuan sendiri pun tak faham dengan diri sendiri. Sebab itulah ada yang lebih suka berdiam daripada meluahkan kerana risau terlebih-lebih dalam meluahkan.
Pentingnya Sokongan Suami..
Sokongan seorang suami sangat penting demi memastikan emosi isteri stabil. Agak-agak isteri mula berkerut, terus ambil peranan. Jangan tunggu-tunggu lagi sebelum isteri semakin jauh daripada dunia sebenar.
Bila dah jauh, habis segala memori menyedihkan dia akan ingat.
Tapi sebagai orang dewasa, kita tak boleh elak daripada stress. Semua orang mempunyai stress masing-masing cuma yang membezakan adalah bagaimana kita mengawal stress.
Dengan pukul/maki anak?
Dengan marah suami/isteri?
Dengan cerita di media sosial?
Dengan menghempas barang?
Dengan merokok?
Dengan makanan?
Tak kisahlah apa yang kita nak buat untuk tangani stress tetapi apabila sudah mempunyai anak kena selalu ingat yang anak sentiasa melihat dan mengikut setiap perilaku kita termasuklah “cara” kita menangani stress. Tak kiralah “cara” yang baik atau salah.
Tingkahlaku anak dipengaruhi oleh tingkahlaku mak ayah.
Maka, saya nasihatkan para suami mohon berjaga-jaga dengan emosi isteri terutamanya semasa mengandung atau masih menyusu badan sebab ia sangat mempengaruhi emosi anak-anak juga.
Kesimpulannya,
Ibu nangis, anak pun nangis.
Ibu happy, anak pun happy.
Terima kasih. Tahniah bagi yang membaca sehingga habis. Silakan SHARE sekiranya bermanfaat.
Perasan tak ada ketikanya anak-anak kita ‘buat perangai’ dan terlebih mengada-ngada. Rutin biasa yang selalu dilakukan, anak mahu kita yang buat. Mula tak mendengar kata, suka bergaduh dengan adik-adik yang masih kecil dan sebagainya.
Sebenarnya, ada masanya anak-anak yang kian membesar rindukan perhatian dan kasih sayang daripada mak ayahnya sendiri. Mungkin kita terlepas pandang, walaupun fizikal anak-anak mungkin nampak dah besar, emosi dan jiwa mereka masih kecil dan menuntut perhatian kita.
Dalam kereta lagi Rania dah tunjuk tanda tanda tak ada mood. Pagi semalam saya hantar rania sekolah macam biasa.Bila di tanya sepatah, sepatah je dia jawab. Masa tu lagi dah perasan pelik. Agak beza dengan selalu, mulut dia petah biasanya.
Oleh sebab tak nak beratkan kepala saya abaikan buat tak nampak.
Sampai ke petang ambil rania dari sekolah. Bila petang ambil Rania saya akan bawa Aisy. Dalam kereta asyik nak bergaduh je dua beradik ni. Huru hara di buatnya.
Tegur si Aisy memang tak jalan la, Rania la jadi mangsa. Dia la yang selalu di salahkan dan disuruh diam. Tegur sikit je terus sentap sampai ke rumah.
Buat Mengada-Ngada
Setiba je di rumah saya akan suruh Rania pergi mandi. Masa mandi saya perasan dia termenung. Agak lama juga la. Sampai la di tegur baru dia cepat-cepat mandi.
Biasanya dari mandi sampai pakai baju Rania buat sendiri tapi kali ni dia buat mengada ngada. Minta tolong lapkan badan. Kebetulan sedang urus Aisy masa tu, jadi saya cakap la kat dia,
“Rania dah besar boleh lap sendiri”
Lentuk kepala dia ke bawah bila dengar saya kata begitu. Tapi bagi saya itu cara untuk ajar dia berdikari. Rania akur. Lap badan sendiri dengan lemah gemalai.
Selesai semua mandi pakai baju saya hidangkan mee untuk mereka makan. Rania berkeras dia tak nak makan, kenyang katanya.Saya paksa juga makan sebab saya tahu nanti tengah malam masa nak tidur dia akan minta nak makan pula. Puas paksa baru dia makan, tapi sedikit je.
Lepas makan saya ajak dia belajar. Malam tu masa belajar matematik. Rania suka buat operasi tambah dan tolak ni.
Jadi saya tulis atas satu kertas soalan soalan operasi tambah dan tolak. Ada 12 soalan semuanya. Rania buat semuanya dengan betul. Tapi sepanjang buat tu saya perasan dia tidak happy.
Selesai belajar saya lepaskan Rania main sendiri. Pergi la dia dekat meja kecil tempat dia selalu main. Masa ni Aisy dah tidur.Saya pun ambil masa me-time kejap. Tonton rancangan di televisyen. Sehari kerja nak juga rehat rehatkan minda.
Tepat jam 10.30 malam saya suruh Rania masuk tidur. Dia kata dia tak mengantuk lagi, tapi saya bertegas juga kena tidur esok nak sekolah.Dia akur. Saya nampak dia masuk bilik tidur dalam keadaan berat hati. Sementara tu saya sambung tonton televisyen, cerita belum habis lagi.
Rindu Papa
Tak sampai 5 minit tiba tiba rania keluar semula. Dengan perlahan dia datang dekat pada saya dan berkata,
“Rania nak peluk papa boleh?”
Saya jawab boleh. Dalam hati berkata ni nak ucap good night la ni.
Terus dia datang peluk dan kata good night papa. Sekejap pan tu dia menangis teresak esak.Terperanjat saya bila dengar dia menangis. Lantas saya tanya kenapa Rania menangis ni?
Katanya begini,
“Rania rindu papa”
Ada sesuatu tak kena ni. Saya tanya lagi,
“Kenapa Rania rindu papa?”
Rania membalas,
“Rania tak nak jadi budak besar, rania nak jadi budak kecil. Rania nak main dengan papa hari hari”
Allahu.. terus meleleh air mata bila rania cakap macam tu.
Terus saya dakap dia seeratnya dan berkata begini.
“Papa minta maaf kalau papa selalu sibuk dengan kerja dan sibuk dengan Aisy. Papa janji lepas ni papa banyak luang masa dengan Rania ok. Dah jangan nangis nangis.”
Sambil tersedu sedu kepala rania terangguk angguk tanda setuju.Lantas saya tutup tv, saya dukung Rania masuk bilik terus saya tidurkan.
Tanda Anak Rindu
Nampak macam mengada ngada tapi sebenarnya inilah tanda tanda anak rindu pada kita.
Walaupun duduk serumah, setiap hari nampak wajah kita tapi masing masing sibuk dengan urusan berbeza.Kerana rindu bukan terletak pada wajah tapi pada hati.
Dia rindu di belai. Dia rindu kita dakap. Dia rindu kita manjakan. Dia rindu gelak ketawa bersama. Dia rindu kita tatang dia. Dia rindu kita buat dia rasa special. Dia rindu di layan macam anak kecil.
Walaupun dari segi fizikal dia dah besar tapi jiwanya masih lagi tetap kecil. Emosinya masih lagi kecil. Dalam hati kecil dia mak ayah la cinta hati sejati.
Jika ada anak anak yang sudah besar tiba tiba bad mood, murung atau mengada ngada tu cepat cepat la raikan mereka macam anak kecil kerana itu tandanya mereka cinta dan rindu pada kita.
Wallahu A’lam,
Mohd Fhais
Mahu anak membesar sihat fizikal, mental dan juga emosi
Jika cerita saya ini bermanfaat tolong kongsikan dengan mak ayah lain juga supaya mereka pun dapat manfaat yang sama.
p/s : Jika mahu lebih lagi cerita dan tips kekeluargaan seperti ini boleh join channel telegram saya di link bawah, t.me/CoretanFhais
MW:Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah. Perhatikan tingkah laku anak-anak, kadang kala bila anak mula ‘buat perangai’, adalah disebabkan rindukan dan mahukan perhatian daripada mak ayah sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...