Makanan kenduri, inilah hidangan yang cukup meriah dan ditunggu-tunggu oleh tetamu. Nasi minyak, ayam masak merah, dalca, daging masak hitam dan sebagainya. Cukup sedap untuk hidangan tetamu.
Kalau di kampung mestilah makanan kenduri dibuat secara gotong royong, sanak saudara datang membantu untuk memasak dan memeriahkan suasana. Paling seronok, bila dapat bawa balik makanan kenduri untuk dijamah di rumah pula.
Selalunya, pada penghujung majlis dan lauk masih lagi berbaki, tuan rumah akan tapau makanan buat saudara mara yang jauh atau dekat. Namun, tak kurang juga kita dengar yang siap tapau makanan semasa majlis tengah berlangsung.
Tak kisahlah nak tapau makanan kenduri sanak saudara sekali pun. Tapi paling penting adalah minta kebenaran tuan rumah. Jatuh haram, kalau tapau tanpa kebenaran tuan rumah. Inilah yang diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang perkara ini.
Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum tapau makanan kenduri? Terima kasih Datuk.
Jawapan:
Ads
Hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis. Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.
Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.
Sebagaimana kebiasaan, mereka yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan, menyambut menantu atau seumpamanya akan dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah hidangan.
Sekiranya diperhatikan, aktiviti perjamuan makan ini terpakai ke atasnya suatu konsep atau akad yang dipanggil sebagai al-Dhiyafah (الضيافة) iaitu menjamu tetamu.
Ia berbeza dengan akad hibah dari sudut pemilikan oleh kerana akad hibah merupakan sebuah akad pemilikan barangan dan bukannya manfaat. Pun begitu, ia agak hampir dengan akad pinjaman (العارية), dari sudut ketika menjamah makanan yang dihidangkan.
Hal ini kerana, berlakunya konsep al-Ibahah (الإباحة). Konsep ini terbahagi pula kepada dua jenis iaitu Ibahat al-Intifa‘ (إباحة الانتفاع) iaitu keharusan untuk mengambil manfaat dan
Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) yakni keharusan untuk menggunakan sepenuhnya atau menghabiskannya, dan aktiviti kenduri dan jamuan makan kepada tetamu ini terletak di bawah jenis Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) iaitu keharusan untuk menghabiskannya.
Namun, di bawah akad al-Dhiyafah (الضيافة) ini juga, tetamu hanya diberikan kebenaran untuk menjamah makanan yang dihidangkan hanya untuk dirinya tanpa diharuskan untuk mengambilnya atau memberi makan pula kepada orang lain mahupun kucing. Meskipun begitu, sekiranya ada keizinan daripada tuan rumah atau pemilik makanan, maka ia diharuskan.
Oleh itu, persoalan utama yang perlu diketengahkan di sini adalah makanan kenduri ini akhirnya menjadi milik siapa? Maka, dalam hal ini, Imam al-Syirbini ada menyatakan tentang perkara ini di dalam karyanya ‘Mughni al-Muhtaj’ bahawa makanan yang dihidangkan menjadi milik tetamu sesudah ia dimasukkan ke dalam mulut.
Berkenaan hukum tapau, tapau menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan membungkus (makanan dan lain-lain) untuk dibawa pulang dan sebagainya. Imam al-Syirbini ada memberikan jawapan yang umum terhadap soalan yang diajukan:
Maksudnya: Maka adakah seseorang itu dibolehkan untuk memberikannya (makanan) kepada orang lain atau dia menggunakannya untuk selain makan?
Di sini terdapat dua pendapat, dan pendapat yang sahih ialah pendapat jumhur ulama iaitu tidak boleh sebagaimana tidak boleh bagi orang yang meminjam memberi pinjam kepada orang lain. Hal ini kerana, dia hanya memiliki makanan tersebut untuk manfaatnya tersendiri sebagaimana pinjaman, dan bukannya memiliki ‘ain (objek) barangan tersebut.
Melainkan sekiranya adanya keizinan daripada tuan majlis atau tuan rumah, atau adanya uruf yakni adat kebiasaan di kawasan itu yang menunjukkan diperbolehkan perbuatan tapau untuk benda yang kecil atau sedikit, atau juga adanya petanda lain (قرينة) yang membenarkan perbuatan tersebut.
Perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”
Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut.
Wallahu A’lam.
Mingguan Wanita : Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging. Minta kebenaran tuan rumah dulu, walaupun majlis itu adalah saudara mara atau ahli keluarga terdekat sekalipun.
Cahaya iman penyuluh tiap insan. Kita dilahirkan sempurna. Biarpun ada di antara kita yang yang menjadi orang kelainan upaya sejak lahir, namun kita tetap sempurna. Kita sempurna kerana kita dikurniakan akal. Kita sempurna kerana manusia adalah sebaik-baik kejadi sebagaimana yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.” (at-Tiin : 4).
Akal Untuk Bezakan Baik Dan Buruk
Kelebihan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada kita membolehkan kita membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Anehnya semakin kita dewasa, semakin kita berilmu kelebihan akal ini semakin kurang kita gunakan untuk membezakan yang mana hitam dan yang mana putih. Segalanya mula berteraskan nafsu. Inilah asal porak perandanya kehidupan.
Sebagai orang awam, saya mempunyai pandangan tersendiri terhadap hidup. Justeru, pandangan ini adalah pandangan peribadi yang tidak semestinya betul untuk semua orang.
Cahaya Iman
Pada saya, selain dari kelebihan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia, kita juga dikurniakan cahaya iman untuk menyuluh seluruh perjalanan kehidupan kita.Cahaya iman itu pada saya adalah kesempurnaan kita sebagai seorang insan. Cahaya iman ini sama terangnya sewaktu kita lahir dan sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Pada saya ianya tidak dikurangkan walaupun sedikit. Tetapi ianya perlu dilindungi agar tidak terlindung hingga cahayanya tidak dapat menyuluh seluruh perjalanan hidup.
Cahaya Iman Permata Yang Allah Kurniakan
Permata ini tidak dipedulikan jika kita tidak kenal dan tidak tahu nilai permata. Permata ini bercahaya terang benderang sewaktu kita dilahirkan di dunia ini. Dek kerana terangnya kilauan permata, kita tidak perlu bergantung dengan sesiapa pun kerana Allah SWT menyediakan segalanya untuk kita sewaktu kita lahir.
Jika kita kita tidak berbaju, maka dihantar-Nya pakaian sama ada melalui ibu bapa kita atau orang lain untuk kita berpakaian. Kita dikurniakan kasih sayang dari setiap mata yang memandang, telinga yang mendengar serta tangan yang menyentuh. Itulah kekuatan cahaya kilauan permata tersebut.
Makin Pudar
Namun semakin kita meningkat usia, cahaya kilauan permata itu seakan pudar dan hilang hingga kita menjadi mudah tertekan dalam kehidupan. Pada saya, cahaya kilauan permata teresebut tidak pernah hilang dan jauh sekali pudar.
Tetapi ianya mula tenggelam dalam nafsu dunia kita. Sewaktu kita lahir, kita menerima apa adanya. Tetapi setelah kita petah berbicara, kita punya kehendak dan keinginan. Setiap kehendak dan keinginan yang tidak disertakan Allah SWT bersama akan menjadi nafsu yang menutup cahaya kilauan permata tersebut.
Apabila cahaya kilauan permata itu tenggelam dalam nafsu, kehidupan kita sudah pasti tidak lagi disuluh. Kita mula sesat dalam terang. Kita mula merasakan yang kita perlu hidup panjang untuk menikmati dunia ini. Nilai kebergantungan dengan Allah SWT semakin berkurangan. Kita lebih percaya setiap hasil yang kita perolehi adalah hasil usaha keraskan kita. Kita mungkin lupa bahawa setiap perkara itu berlaku adalah kerana keizinan Allah SWT.
Makhluk Dengan Banyak Kelebihan
Kita bukan makhluk sembarangan. Kita adalah ciptaan Allah SWT yang dikurniakan pelbagai kelebihan. Pada saya kita lahir dengan cahaya iman dan kita perlu hidup dengan hingga ke akhir hayat dengan cahaya tersebut. Kita perlu menjaga dengan rapi cahaya tersebut agar tidak tenggelam dalam kehendak dunia kita.
Sebagai manusia kita sentiasa berkehendak. Tetapi kita perlu sentiasa berada bersama Allah SWT agar kehendak kita tidak menenggelamkan cahaya kurniaan-Nya. Hidup ini sangat indah apabila setiap langkah kita disuluh dengan cahaya iman. Insya-Allah langkah kita di dunia ini tidak tersandung. Kita akan sentiasa redha dengan segala ketetapan Allah SWT kerana kita sangat tahu yang Allah SWT sentiasa mengurniakan yang terbaik untuk kita.
Pulih Daripada Kekecewaan
Sebagai manusia yang sentiasa tidak sempurna dari tindakan dan perasaan, kita mungkin akan merasa kecewa atas sesuatu hal yang tidak selari dengan kehendak kita. Tetapi bagi mereka yang memelihara cahaya kilauan permata ini, mereka akan cepat pulih dari kekecewaan tersebut kerana mereka akan dapat melihat dengan jelas segala hikmah dari hal tersebut.
Masih belum terlambat untuk kita kembali hidup dengan cahaya kilauan permata kurniaan Allah SWT ini. Kita hanya perlu kembali kepada-Nya. Kita perlu sentiasa berada dalam apa yang saya panggil zon taubat. Insya-Allah ianya tidak akan pernah mengecewakan bahkan membahagiakan hingga nafas kita yang terakhir.
Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selain adik beradik dan ahli keluarga, hidup berjiran juga memainkan peranan penting dalam diri kita. Jauh daripada keluarga dan mengharapkan jiran untuk membantu dalam apa jua keadaan.
Bila dah berjiran, janganlah sombong atau pentingkan diri sendiri. Sebab esok-esok, bila dalam kesusahan pada jiran tempat untuk kita meminta tolong. Tak kiralah rumah teres atau apartment sekali pun.
Biasanya yang menjadi masalah bila tinggal di rumah tinggi, jiran atas bawah pun belum tentu kenal. Bila tak kenal, mulalah buat hal sendiri dan tak kurang juga ada aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman tetangga. Ini belum lai bab-bab bergaduh atau bermasam muka. Macam-macam cerita dan peel bila tinggal berjiran ni.
Antara perkongsian daripada Syahirah Omar ini ada betulnya. Kalau masing-masing ada tanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri, mesti suasana aman damai.
Luqman terjatuhkan pinggan mama waktu sahur. Pecah berderai. Waktu itu jam 5.15 pagi.
Pantas sekali mama minta kesemua anak ketepi, habiskan makanan diam-diam. Jangan siapa pun bergerak. Kemudian ambil penyapu, kain basah, kutip kaca dan vakum kemudian bila dah pagi.
Kenapa sapu dan lap? Sebab tak sesuai nak vakum awal pagi.
Sebenarnya dah lama nak menulis adab hidup berjiran ni terutamanya rumah tinggi. Ya, kami duduk rumah atas. Rumah atas ni adab berjiran kena lebih sikit. Tapi ramai ambil mudah.
Saya kongsikan sedikit mungkin boleh kita sama-sama ambil peduli. Bila kita nak duduk sesuatu kawasan, sangat penting untuk kita tidak pentingkan diri. Bila pentingkan diri memang menyakitkan hati jiran.
1. Bila hidup berjiran rumah tinggi ini, bukan semua orang bujang. Jadi, eloklah kalau nak karaoke tu pergi ke tempat karaoke yang betul. Bukan apa, sebab orang lain dah berkeluarga. Ada anak kecil nak tidur, nak belajar kelas online. Yang bekerja di rumah pun ramai. Memang stres jam 1-2 pagi bebudak bujang nyanyi lagu jerat percintaan.
2. Bila buang sampah, buang betul betul. Kalau air sampah menitik dari rumah kalian sampai ke bilik sampah, ambil mop, bersihkan sendiri. Kesian jiran terpaksa bau busuk sementara kakak cleaner nak cucikan. Jangan jadi selfish. Sebolehnya check semula laluan tadi ada tak air menitik. Bila buang sampah, yang cecair tu tapis buang ke singki. Bukan ke plastik sampah. Barulah tak meleleh air ikan ke air sotong ke.
3. Tumbuk sambal lapik kain. Nak masak nasi goreng jam 7 pagi, setelkan sesiap la simpan peti ais ke cili siap tumbuk. Nak blend apa pun blend awal awal. Janganlah jam 4 pagi awak blend cili sebab nak meniaga makanan. Rancang jadual mesin cili bawang kalian.
4. Janganlah buang sampah dari tingkap kalian ke bawah. Ada ya orang buang je air teh ais campak dari atas rumah. Kes buang sampah dari tingkat atas ni kadang anak jiran buang batu hiasan kat balkoni la, buang penyodok la. Kalau ada anak kecil, eloklah simpan barang tu semua supaya tak dibaling kebawah. Ada sekali tu kemik kereta saya dibaling anak jiran dari tingkat atas.
Itu cerita budak. Cerita manusia yang otak tak tahu letak kat mana pun ada juga. Buang puntung rokok tu biasa. Buang kondom penuh air mani, buang pad dah pakai. Aduhai, awak kenapa ya?
5. Kalau jenis bangun awal pagi, nak vakum pun tunggulah siang sikit. Janganlah sesudah subuh dah vakum satu rumah. Kesian anak jiran nak tidur tak puas. Buat kerja rumah lain dulu seperti basuh baju, sidai baju, lap dapur, buang sampah, basuh tandas.
6. Nak bertukang, alih perabot jangan la buat sampai tengah malam. Ya faham kadang kena rasuk saka rajin. Tapi kesian orang bawah nak tidur.
Kalau saya, saya memang terus telifon security je minta check unit sekian sekian suruh berhenti bertukang.
” Maaf Puan, unit atas tak berpenghuni. Puan mungkin boleh minta orang beragama pagar rumah. Saya rasa mesti gangguan iblis syaitan,” Naya!
7. Cuci tandas selalu. Bila makan petai, jering, kerdas, janganlah membuang atas lantai. Buang kat dalam toilet bowl. Maaf ya tulis sebab ini masalah biasa rumah atas. Sebab kalian buang air kecil, simbah manja je, kami yang jiran ni tempias baunya ikut lubang air tu. Sepelaung baunya.
8. Bila sidai kain, yang seluar kecil baju dalam sepit elok elok. Nanti terbang ke rumah jiran. Dapat jiran baik dia simpankan. Dapat jiran biol dia santaukan baru tahu. Jenuh jiran buat announcement dalam group wassap,
” Seluar dalam siapa terjatuh dari tingkat atas, boleh datang ambil di rumah saya,” Ha nak ambil ke?
9. Elakkan sidai pakaian di tingkap. Sidailah elok elok di tempat sidai kain. Tak muat, sidai di kerusi. Tak elok betul tengok kain baju bergantungan. Ada duit lebih, belilah dryer. Insya Allah lebih membantu kalian.
10. Bila guna pool, pampers anak ke, sampah ke, jangan la dibuang tepi-tepi begitu. Cuba jadi manusia bertamadun sikit. Sama juga bila basah kuyup tu, salin la baju kat tandas awam dulu. Bukan basah kuyup naik lift.
11. Jangan conteng merata dan jangan cop tapak kaki kasut di dinding lift ke banggunan ke. Nak buat, buat kat rumah sendiri. Lantak la nak berseni macamana pun.
12. Kalau boleh letak reminder dekat pintu. ” Tutup api sebelum keluar rumah,”
Dah banyak kejadian rumah berkepul kepul asap. Menggelabah jiran panggil bomba. Faham saya pun jenis pelupa. Kalau jadi apa apa kat rumah kalian, rumah orang lain terpalit sama.
13. Tak sesuai rumah tinggi nak bela kucing. Tapi kalau nak bela, tutupla tingkap, balkoni. Kesian kucing jatuh kebawah mati hanya sebab kecuaian kita.
Jadilah jiran yang baik dan tak pentingkan diri.
MW: Begitulah kalu hidup berjiran. Ini rumah tinggi, kalau rumah teres pun lebih kurang sama juga. Paling penting kenal jiran dan jangan macam kita saja ada kat kawasan rumah tu.
Anak mungkir janji berbuka puasa bersama. Bayangkan betapa gembiranya orang tua bila anak memberitahu nak datang berbuka bersama. Mesti pelbagai lauk pauk dimasaknya walaupun dalam keadaan dirinya yang tak berapa sihat.
Itu yang mengingatkan kita pada mak ayah di kampung. Tapi bagaimana kalau anak-anak yang tinggalkan mak ayah di rumah orang tua tanpa berita. Setelah sekian lama, dapat khabar berita untuk datang jemput berbuka puasa bersama. Alangkah gembiranya.
Namun, apakan daya semua itu tidak berlaku, anak mungkir janji berbuka puasa bersama. Bagaimanakah perasaan seorang ibu bila anak samggup berbuat demikian. Sudahlah tinggalkan ibu di rumah orang tua tanpa langsung menjenguk. Tergamaknya.
Kisah yang cukup menyentap perasaan setiap orang. Sanggup anak-anak tinggalkan seorang ibu yang lahirkan mereka di rumah orang tua. Sudahlah mungkir janji untuk datang berbuka puasa bersama setelah dua tahun tak jumpa.
Pengakhiran seorang ibu, meninggal dalam keadaan tertekan tanpa makan dan minum kerana terlampau sedih anak tak datang menjemput.
Perkongsian daripada ustaz Mohammad Yaakob Yusra ini mampu menitiskan air mata.
Makcik Azizah, nama yang terpampang pada katil kosong. Rupanya makcik ini baru meninggal. Anak-anak janji nak datang ambil dan buka puasa bersama pada hari lahirnya.
(Sudah 2 tahun Makcik Azizah tinggal di situ, Dihantar oleh anaknya dan 4 orang anaknya ini semuanya kerja hebat-hebat)
Doktor bertugas memberitahu sebulan sebelum tarikh tersebut. Dari hari itulah, setiap hari dia tandakan pada kalendar supaya tidak lupa
Sehingglah tarikh yang dikatakan itu, Makcik Azizah sudah bersiap sedia jam 5 pagi, sedangkan anak-anak berjanji nak datang ambil jam 5 petang dengan alasan supaya tak susahkan anak-anak menunggu.
Bayangkan dari jam 5 petang tak datang ambil, jam 6 petang pun tak juga. Sampai lepas berbuka pun tak datang. Makcik Azizah masuk ke dalam bilik tanpa makan sebutir nasi, terus tidur.
Pagi esoknya, doktor datang untuk kejutkan sahur. Tapi Makcik Azizah sudah meninggal. Dia meninggal dalam keadaan tertekan.
Pesanan Ustaz Mohammad Yaakub Yusra:
Kisah ini berlaku lebih 12 tahun lalu, demi Allah, tiada sedikit ruang syurga buat anak-anak ini jika benarlah ibunya meninggal dalam keadaan tidak redha melainkan neraka selayaknya.
Berusahalah dengan cara macam mana sekalipun agar diberi keampunan. Usahalah dan minta ampun agar kemarahan Allah diberi keampunan.
Walau sekaya mana, setinggi darjah/pangkat, besar jasa dan harta, kalau mak ayah kecewa kepada kita selain daripada kemurkaan Allah.
Mingguan Wanita: Moga kita dijauhkan dari sifat begini dan sentiasa berbuat baik pada orang tua. Aamiin.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...