Allahuakbar, tidak dapat membayangkan perasaan seorang isteri dan ibu yang kehilangan suami serta dua anak dalam sekelip mata.
Berat sungguh ujian dia, berat mata kita yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah memberi kekuatan buat ibu muda ini menerima kenyataan yang amat pahit ini.
Sebelum kemalangan berlaku, mereka sekeluarga sempat makan bersama, anak yang teruja ingin ikut ayah naik treler akhirnya sekelip mata mereka tiada. Menangis-nangis anak nak ikut ayah naik treler, rupanya petanda meninggal bersama.
Sempat Makan Tengahari Bersama
“Sekelip mata sahaja dah tiada, sedangkan sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat makan bersama,” kata Normah Khalid, 66.
Normah Khalid adalah ibu mentua kepada seorang pemandu treler yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama dua anak lelaki, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terbalik.
Sebelum kejadian, arwah dan isteri, Shamshira Mohd Norizin, 31, menghabiskan masa makan tengah hari bersama tiga anak mereka di sebuah restoran di Kampar.
Normah berkata, lima beranak itu datang ke restoran dari kediaman mereka di Langkap dengan kenderaan berasingan kerana Hafize Nizam mahu meneruskan perjalanan mengambil muatan simen di Gopeng.
Foto: Sinar Harian
Tiada Niat Bawa, Anak Teruja Nak Ikut Naik Treler
“Pada mulanya arwah memang tak ada niat nak bawa dua anaknya itu, tetapi entah mengapa selepas selesai makan, mereka menangis-nangis nak ikut sama.
“Budak-budak kan, mungkin mereka teruja nak naik treler, kalau ikutkan sebelum ini, mereka tak pernah pun ikut ayah mereka kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar, di sini semalam.
Dia berkata, mereka menerima panggilan kejadian sekitar jam 10.30 malam dan bergegas ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan kemalangan itu.
Ads
“Mak cik tak sanggup nak tengok lama-lama, anak mak cik (isteri arwah) pun dah tidak keruan, menangis dan meraung melihat keadaan treler yang remuk.
“Kami tunggu dekat tiga jam di lokasi dan tengok sendiri semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Normah berkata, anak bongsu arwah, Adeeb Hud, 2, ada bertanya di mana ayah dan dua abangnya, tetapi hanya mampu mengatakan mereka semua sedang tidur.
Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah dan dua cucunya itu pada Sabtu lepas di kediamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan.
“Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, mak cik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab pagi petang siang malam mereka selalu datang bermain di rumah.
Apa pun kami redha dengan pemergian mereka dan anggap ini satu ujian buat anak mak cik,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan. Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dan dilihat berada dalam keadaan tidak bermaya.
Beberapa ahli keluarga terpaksa memapah dan membawanya keluar dari perkarangan unit forensik sebaik proses bedah siasat selesai.
Ads
Treler Terbabas, Mangsa Tersepit
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Gopeng ke Malim Nawar selepas mengambil simen di sebuah kilang untuk dihantar ke Melaka.
Bagaimanapun katanya, tiba di tempat kejadian, treler yang dipandu mangsa terbabas di sebelah kiri jalan yang merupakan jalan selekoh sebelum melanggar tiang elektrik serta besi penghadang jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan kepala treler terbabit terbalik, semua mangsa tersepit di bahagian hadapan treler dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mereka dari treler tersebut dengan bantuan beberapa jentera berat,” katanya.
Tambahnya, hasil bedah siasat di Hospital Kampar pagi ini mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan teruk akibat kemalangan.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Pihak MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga ibu ini dikurniakan kesabaran dan ketabahan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian yang berat ini. Bukan mudah menerima kehilangan orang tersayang, apatah lagi kehilangan suami serta anak sekaligus.
Beras ini lebih mahal nilainya dari baju raya, ibu 4 anak hanya mampu pakai baju lama di Aidilfitri. Kurang beberapa hari lagi, umat islam akan meraikan Aidilfitri. Bagi kebanyakan keluarga yang mampu, sudah menyediakan pakaian raya sebelum Ramadan menjelang dan tak kurang ada yang sudah berbelanja untuk persiapan raya.
Namun di saat kita bergembira ada insan yang berduka kerana lebih mementingkan perut untuk diisi berbanding membeli baju raya yang harganya paling tidak mencecah RM50 bagi baju jenis kurta dan RM99 bagi sepasang baju Melayu.
Beras Ini Lebih Mahal Nilainya Dari Baju Raya
Berlainan dialami oleh ibu kepada empat anak dari Kampung Pisang, Peringat di Kota Bharu yang menyifatkan sumbangan beras yang diterimanya lebih ‘mahal’ daripada baju raya.
Rosni Mohd Napi, 44, berkata, sumbangan beras 10 kilogram (kg) itu dapat digunakan pada sambutan Aidilfitri sekali gus meringankan bebannya sekeluarga.
“Suami hanya bekerja buruh dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Dalam keadaan ekonomi hari ini, kami terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri bagi memastikan dapur terus berasap.
Ibu 4 Anak Hanya Mampu Pakai Baju Lama Di Aidilfitri
“Cukuplah pakai baju raya lama sahaja, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kongsi Rezeki, Sebar Bahagia di Masjid Imanul Fa’izin.
Memetik laporan Sinar Harian, pada majlis itu, sebanyak 15,000 kilogram (kg) beras disumbangkan oleh RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Dr Azizan Osman bersama pengasas Noir Health & Beauty Sdn Bhd (Noir), Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu.
Madammu menyerahkan beras kepada ibu terpilih dalam Kongsi Rezeki Sebar Bahagia usaha sama antara Richworks dan NOIR Health & Beauty.
Bagi Siti Nurellyana Abdullah, 33, pula dia bersyukur terpilih sebagai salah seorang penerima beras yang disifatkan rezeki terpijak menjelang Aidilfitri.
Ujarnya, ketika ini pendapatan keluarga terjejas apabila suami tidak dapat keluar bekerja.
Dia memberitahu, Aidilfitri kali ini dia hanya membuat persiapan untuk dua anaknya yang berusia sembilan dan 11 tahun sahaja.
“Saya dan suami cukuplah pakai yang mana ada. Asalkan anak-anak berbaju baharu dan beras masih ada untuk dimasak,” katanya.
Sementara itu, Madammu berkata, beliau dan suaminya sangat bersyukur dengan kesempatan berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan di sini.
“Siapa sangka, saya yang dulunya hanya seorang suri rumah kemudian mula berniaga dari situ hingga sekarang dapat bantu ubah hidup ramai wanita di luar sana melalui perniagaan,” katanya.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
“Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jaminan bahagia bukan terletak pada ‘grand’ nya satu-satu majlis perkahwinan. Penyatuan dua hati ini, jika bersandarkan niat berkahwin kerana Allah Taala, tentunya Allah beri rezeki kasih sayang seluas lautan.
Isteri ini, Siti Rozyainie Rozine, 26 (Pinggan Terbang) terima menikahi suaminya, Mohd Hafiz Khodir, 26 dalam majlis perkahwinan serba sederhana dengan total bajet sejumlah RM1000 saja.
Kenangan majlis perkahwinan wanita ini, membuktikan yang wang hantaran tak perlu mahal menggunung. Apatah lagi setara ikut taraf pendidikan. Kerana ukuran bahagia itu bukannya pada wang hantaran yang mahal, sebaliknya letak pada hati.
Katanya, “suami terima segala kekurangannya untuk dijadikan sebagai kelebihan dalam hidupnya.”
Tulisnya,
Tiada pelamin
Tiada jurugambar professional
Tiada photoshoot
Tiada kompang
Tiada orang bersilat
Tiada acara sambut pengantin
Tiada dj radio
Tiada makan beradab
Tiada acara potong kek
Tiada gadis-gadis dulang hantaran
Tiada bridesmaid
Tiada kasut pengantin – yang ni lawak
Tiada crown , Tiada tengkolok, keris pisau pedang kapak
Tiada honeymoon
Tiada ibu ayah di sisi saya
Yang ada hanyalah adik – adik seramai 7 orang
Yang ada hanyalah sahabat sahabat sekalian
Yang ada hanyalah jiran tetangga
Yang ada hanyalah guru – guruku
Yang ada hanyalah ibu saudaraku
Yang ada hanyalah sebelah pihak lelaki
Wang Hantaran RM500.00
Mas kahwin sebentuk cincin emas
Kenduri doa selamat sahaja ( Alhamdulillah sepenuhnya jiran sebelah rumah aku banyak bantu dah macam ibu abah sendiri dah. Sahabat, cikgu cikgu banyak tolong sebab saya tiada orang tua yang organize perkahwinan saya)
Total perkahwinan kami : bawah RM1000
Terima Wang Hantaran Kena Sekufu Dengan Tahap Pendidikan
Sebelum tu , rata rata orang cakap nilai wang hantaran kena sekufu dengan tahap pendidikan seseorang, bagi aku depend lah ikut tahap kemampuan seseorang. Agama memudahkan, yang menyusahkan adat ( adat tak susah, tapi sikap sesetengah pihak yang menyusahkan ). Alhamdulillah, untuk urusan aku sangatlah dipermudahkan.
Suami aku Degree holder untuk HBP, USM
Aku Degree holder untuk Communication, USM , untuk dibanggakan lagi – Dean list, Kerja : suamiku supervisor , aku kerja kat site.
Terpaksa bagitau tahap pendidikan sebab banyak yang lihat sudut ni dengan nilai wang hantaran.
Aku Terima Suamiku Lillahi Taala
To be honest, ada yang tanya kenapa banyak tu sahaja nilai? Kahwinkan sekali seumur hidup, kenapa tak buat grand grand ? Kenapa and mengapa? Pelbagai soalan demi soalan dilemparkan.
Jawapan aku :
Sebab pertama, aku menerima suamiku lillahi taala . Seorang lelaki yang memilih aku untuk jadi suri hatinya dan menerima segala kekurangan aku untuk dijadikan sebagai kelebihan dalam hidupnya.
Sebab kedua, zaman globalisasi yang serba mahal ni oi semua pakai duit. Deposit rumah dekat Penang ni bukan seratus dua ratus ye , ribu tau ribu walaupun rumah kosong.
Sebab ketiga, kami berdua pernah rasa susahnya hidup dengan duit ni. Daripada pi kelas jalan kaki, ligan bas, ada moto, habis belajaq kami bantu antara satu sama lain pi interview sama sama, cari kerja semua. Sampai mampu ada kereta sendiri, ada duit sendiri untuk bina hidup.
Sebab keempat, suami aku suka ikut aku pi bagi makan kat gelandangan di Komtar. Aku suka beramah mesra dengan orang.
Sebab kelima, satu satunya lelaki yang pernah ikut aku ke rumah anak yatim tempat adik adik aku duduk , dia lihat sendiri, dia rasa sendiri apa aku rasa di situ.
Jangan Pandang Rendah Orang Marhaen..
Dan sebab terakhir, tiada sebab untuk aku menyayangi dan mencintainya hanyalah kerana dia khalifah milik Allah. Seorang lelaki yang boleh menerima seorang wanita yang datangnya daripada broken family, menjaga adik adiknya yang ramai.
Hanyalah dia suamiku yang menerima aku seadanya.. Banyak berkorban untuk aku dan adik adik aku.
Nota kaki : Aku tak kisah kalau orang lain kawin macam mana sekalipun, majlis yang besar, hantaran yang tinggi and all that , but for me, please respect setiap cara orang untuk manage hidupnya sendiri. Jangan disebabkan kita mampu dalam segala hal sampai kita selalu pandang rendah kepada orang yang biasa biasa, marhean ni. For sake.. RESPECT.
Masa raya ketiga makcik aku yang jaga aku sponsor majlis sikit yang tu rezeki tak terduga. Yang tu memang rezeki anak masa tu. Yang tu merasa naik pelamin sat tapi pakai baju raya takdak crown, takdak rupa pengantin.
SAYA SAYANG KAMU LILLAHITAALA
Ikhlas,
Bini kamu yang gebu dan comel.
“Saya Seorang Lelaki Setia, Apa Yang Berlaku Bukan Disebabkan Orang Ketiga”. Begitulah antara yang dinyatakan oleh Beego.
Akui sepanjang 11 tahun berkahwin dirinya tidak pernah ada skandal dan berpegang pada prinsip jika mahu dirinya akan cakap.
“Saya Seorang Lelaki Setia”
Seperti yang diketahui umum, Beego dan Linda Hashim sebelum ini mengesahkan mereka bercerai talak satu pada 27 Mac lalu. Namun, mereka rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah, iaitu pada 9 April lalu.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.
Seperti mana yang dikongsi menerusi Berita Harian Online, Beego memberitahu kemelut rumahtangga yang berlaku antara dirinya dan Linda bukan disebabkan ‘orang ketiga’.
“Saya seorang lelaki setia, Apa yang berlaku bukan disebabkan orang ketiga. Boleh selidik saya luar dalam, saya ‘mahal’, bukan ‘murah-murah’.
“Selama 11 tahun berkahwin dengan Linda, saya tidak pernah ada skandal. Saya pegang prinsip kalau mahu, saya akan cakap.
“Kalau tidak mampu, cukuplah satu. Buat apa hendak sembang kahwin dua. Lebih baik, pulihkan mana yang ada,” ujarnya.
Banyak Pengajaran Diperolehi
Selepas melalui detik sukar dalam rumahtangga, Beego akui kini banyak pengajaran yang diperoleh. Malah dia dan isteri berasakan terlalu banyak kebaikan, rahmat dan kasih sayang daripada Allah.
“Kami belajar erti memaafkan dan melupakan. Tidak guna memaafkan tetapi tidak melupakan. Ada orang boleh memaafkan tetapi belum tentu melupakan.
“Dalam hal kami, masing-masing padam ego walaupun hendak mencapai titik persetujuan, itu bukan sesuatu yang mudah.
“Namun, kami berusaha untuk memaafkan dan melupakan apa yang berlaku selama ini. Kami juga mahu pastikan tidak ada episod ungkit-mengungkit pada kemudian hari,” sambungnya.
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.