Kadang-kadang, mak ayah sudah terbiasa bergaduh mahu pun bertekak depan anak-anak. Tanpa kita sedar, anak ini mungkin akan pendam perasaan atau lebih teruk mula memberontak tanpa kita sedar.
Mungkin mak ayah anggap itu hanyalah perkara biasa dan anak tidak faham apa yang ditekakkan oleh mereka berdua. Tapi dari gerak badan dan muka sudah tentu ia boleh menggambarkan keadaan ini. Lebih teruk bila anak-anak perasan mak ayah tak bercakap. Macam mana tu?
Haru biru jadinya, suami tinggi suara isteri pula nyaring mempertahankan diri, masing-masing tidak mahu mengalah, ego meninggi mempertahankan soal hak dan membela diri, tanpa mereka sedar anak sedang memerhati, anak sedang menilai dan anak sedang meletakkan hukuman tanpa disedari oleh si suami dan isteri yang masih leka menghamburkan kata-kata tajam dan sinis.
Iye lah, angin dah penuh satu badan mana boleh nak ditahan-tahan lagi rasa marah tu, mana nak tahu anak ada berdekatan. Allahu, cukup mudah memberi alasan tanpa ada nilai keinsafan apakah yang mungkin berlaku terhadap anak yang sering melihat pergaduhan ibu dan ayahnya, yang mendengar ucap nista, serangan kata-kata pedas di antara ibu dan ayahnya, apakah yang dirasai oleh si anak ketika itu? Tidak bimbangkah anak ini akan trauma kemudiannya dan terganggu perkembangan mentalnya hanya kerana mahu dilepaskan kemarahan terhadap pasangan?
Ramai yang mengambil mudah soal ini, mereka anggap anak ini tidak faham dan tidak perlu masuk campur urusan orang tua. Benar, mereka tidak perlu masuk campur namun pergaduhan ini berlaku di depan anak dan telah menyebabkan hidup mereka juga sudah dicemari dengan peristiwa yang tidak sepatutnya dipertontonkan. Apakah tidak ada rasa bersalah terhadap anak ini?
Bayangkan saja, dalam usia bawah 12 tahun, anak ini telah dihidangkan dengan gambaran tidak baik tentang ibunya, tentang bapanya, perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran, bermasam muka dalam rumah tangga. Sedikit demi sedikit ia akan memakan jiwa dan rasa bahagia si anak hingga memungkinkan timbulnya rasa bosan, benci terhadap kedua ibubapanya. Apatah lagi jika ibu bapa pula melibatkan si anak dalam pergaduhan mereka. Ya Allah, mereka tidak faham dan mereka tidak mahu dimengertikan apa isu pokoknya pertengkaran ini, anak ini hanya mahu bahagia bersama keluarga, anak ini hanya mahukan kehidupan yang normal bersama ibu dan ayahnya.
“Awak kan tahu keadaan saya bagaimana? Kenapa awak asyik mendesak saya je, kalau saya tidak buat kerja overtime ini mana saya nak dapat duit tambahan untuk belanja keluarga. Saya dapat duit nanti, saya akan bayar yuran anak-anak ni, awak uruskan lah dulu dengan sekolah, janganlah desak saya macam ni”
Ads
Bagaimana perasaan anak-anak jika mereka mendengar pertengaran ini? Anak ini akan kemurungan dan rasa sangat bersalah kerana mereka menjadi punca pergaduhan.
“Sudahlah abah, jangan lah marah ibu lagi, kesian ibu. Abah sudahlah bergaduh tu abah. Ibu sudahlah ibu, jangalah lagi bergaduh dengan abah” Iye anak merayu, jika tidak di depan ibu bapanya, dia akan merintih dalam hati, merayu dan mengharap agar dihentikan pergaduhan.
Suami isteri perlu tahu dan sedar bahawa pergaduhan mereka di depan anak akan hanya membawa keburukan dan menjejaskan emosi serta mental juga perkembangan tingkah laku anak-anak. Malah kajian daripada Earmon McCrory, Universiti College London membuktikan jika ibu bapa bergaduh depan anak dan si anak melihat ibunya dipukul, dimarahi kesannya anak ini akan memiliki corak pemikiran yang sama seperti tentera di medan perang.
Kesan Pada Anak
Setiap suami dan isteri perlu ambil kira sebelum mahu memulakan perang dalam keluarga di depan anak.
Anak Gagal Mengawal Emosi Dengan Baik
Anak akan menbesar dengan emosi yang tidak terkawal, mereka melihat dan merasai letusan emosi ibu dan ayahnya, perkara ini terpasak dalam fikiran anak-anak dan mereka akan semudahnya menjadi stres, kemurungan dan rasa bersalah. Mereka tidak mampu untuk mengawal emosi ini dan semudahnya dilepaskan tanpa kewarasan.
Perkembangan Otak Anak-Anak Terjejas
Anak tidak dapat lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, kekasaran akan dianggap satu kebiasaan dan penindasan diterima sebagai satu budaya. Anak-anak ini akan membesar dalam keadaan punya satu sifat prejudis dan persepsi negatif yang tinggi terhadap keluarga dan orang lain.
Anak Akan Menjadi Liar Dan Mengalami Perubahan Tingkah Laku Yang Buruk
Latar belakang keluarga akan sering mempengaruhi tingkah laku anak-anak, anak yang lari daripada rumah kerana tidak tahan ibubapanya sentiasa bergaduh, menjadi liar dan rosak tingkah laku. Anak hilang keyakinan diri dan menjadi mangsa buli kerana sering melihat penindasan berlaku di rumah malah ada anak yang akan hidup hanya dalam dunianya, menyisihkan diri dan anti sosial kerana merasakan dunia ini tidak adil, mereka takut untuk berhubung rapat dan menerima kasih sayang.
Ads
Anak Memendam Perasaan Dan Menjadi Sukar Diduga
Anak yang sering dilibatkan dalam pergaduhan ibu bapa akan memilih jalan diam dan memendam rasa, mereka tidak mahu memihak dan tidak mahu dilibatkan. Anak ini akan lazimnya bercakap sendirian, mempunyai ‘kawan khalayan’ dan sering meluahkan rasa di media maya mengunakan akaun palsu. Anak ini sedang mengalami keadaan ketidaktentuan diri dengan pelbagai rasa yang dipendam dan membentuk nilai diri seakan bom jangka yang bila-bila masa saja boleh meletop dan membahayakan keluarga dan rakan sekelilingnya.
Anak Memberontak, Agresif Dan Hilang Kepercayaan
Anak ini akan hilang ketenangan dalam hidupnya, perasaan marah, kecewa, sedih akan sering menguasai diri. Anak ini akan mula bertindak agresif, menjadi biadap dan kurang ajar, anak ini protes dalam diam dan memberontak sehingga hilang kepercayaan mereka terhadap ibu bapa dan orang sekeliling. Anak ini akan membesar dalam keadaan bersangka-sangka dan berpendapat orang akan sentiasa mahu menyerangnya.
Prestasi Akademik Merosot
Perasaan bimbangkan ibu dan bapanya akan menghilangkan fokus dalam akademik, anak ini merasakan tiada maknanya lagi dan tidak ada keperluan untuk dia cemerlang dalam akademik, anak ini lebih melayan rasa dan membuai perasaan sehingga hilang minatnya dalam akademik.
Kemahiran Anak Untuk Hidup Tiada
Anak lemah dalam kemahiran meneruskan hidupnya, lemah dalam perjuangan, lemah dalam kemahiran berkawan, lemah dalam menyelesaikan masalah. Anak ini akan sering menjadi mangsa keadaan dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.
Berlakon & Hipokrit
Langkah yang terbaik adalah mengelakkan pergaduhan ini di depan anak-anak, ibu bapa perlu belajar untuk berlakon dan bersikap hipokrit di depan anak agar perselisihan faham mereka ini tidak dihidu anak. Persoalan paling penting adalah bagaimana untuk mendisiplin diri agar tidak bertengkar di depan anak?
Panduan
Cuba lakukan perkara ini untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan di depan anak.
Ads
Apabila rasa hati mahu meletup dan kemarahan mula meluap terhadap pasangan, tarik nafas dalam-dalam dan cepat ambil wuduk untuk solat atau boleh juga mandi untuk sejukkan diri dan mengalihkan rasa marah itu kepada perkara lain. Apabila telah tenang, ajak lah suami ke bilik dan berbincanglah jauh daripada anak.
Sekiranya ketika ini, pasangan anda telahpun meletop dan mula marah-marah. Anda perlu bertenang dulu dan ingatkan diri bahawa anak sedang melihat, anda tidak mahu anak ini menjadi mangsa keadaan. Tenangkan diri anda kerana anda sayangkan anak. Diam dan mendengar sahaja, bernafas dan bertenang.
Elakkan daripada melawan cakap dan ikut sama meninggi suara, ini akan hanya memburukan keadaan anak yang sedang melihat.
Kemarahan pasangan anda tidak akan sentiasa meninggi, apabila telah agak reda, anda minta izin untuk bawa anak ke bilik dan bertenanglah.
Apabila telah tenang, berjumpa lah dengan pasangan anda dan berbincang dengan rasa hormat dan sayangkan rumah tangga.
Bentuk perjanjian awal dengan pasangan kita bahawa anak-anak tidak boleh melihat pergaduhan dan dilibatkan dalam pertengkaran, bahawa kita berdua tidak akan bergaduh sekiranya anak ada bersama. Setiap pertengkaran akan ada jalan penyelesaiannya dengan syarat anda berdua berbincang dengan tenang dan result oriented.
Setiap pasangan perlu tahu di mana keutamaan mereka dalam rumah tangga dan perlu sedar bahawa setiap perbuatan mereka akan mendatangkan kesan sama ada baik ataupun tidak kepada anak-anak. Anak-anak perlu membesar dengan perkembangan emosi, fikiran dan tingkahlaku yang baik, anak-anak perlu mempercayai bahaya mereka bahagia dan hidup dalam keluarga yang dipayungi rasa cinta kasih sayang sekeluarga.
Ianya bermula dengan anda, berbincanglah dengan baik dan elakkan pertembungan konflik ego dalam rumah tangga, anda berdua ada anak yang perlu dijaga dan dididik dan mereka adalah amanah yang akan ditanyakan oleh-Nya nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seronoknya bila aura Raya Aidilfitri dan balik kampung dah muncul, siap lagu-lagu raya pun dah berkumandang di corong radio. Pastinya perasaan tak sabar nak jumpa mak ayah dan adik beradik di kampung makin ‘gemuk’. Inilah masanya nak rapatkan hubungan dengan saudara jauh.
Namun dalam sibuk menghitung hari, jangan lupa baca nota ini untuk mudahkan urusan ketika balik raya di rumah mak ayah di kampung. Jom semak apa 15 perkara penting itu…
1. Bawa balik seterika sendiri supaya tak berebut. Kalau muat bonet, angkut iron board sekali.
2. Rumah di kampung kadang tak ada aircond, kipas terhad, bawa balik 1 kipas sendiri. Kalau boleh elakkan tidur hotel atau homestay melainkan wujud keperluan mendesak.
3. Bawa balik extention cable sekali. Taklah berebut nak cas telefon, nak iron, nak blender dan lain-lain.
4. Kalau perlu, tilam atau toto pun bawa sekali.
5. Boleh tidur lewat malam raya, tapi jangan sampai terlepas solat di pagi raya. Ramai buat macam tu.
6. Ajar isteri dan anak perempuan untuk tolong mak basuh pinggan dan kemas meja lepas makan. Anak laki tolong atuk kemas rumah sapu laman, bakar lemang, ligan ayam dan lain-lain.
7. Untuk elakkan anak-anak 24 jam dengan telefon, mak ayah pun kena elakkan dari 24 jam tengok hp. Kepimpinan melalui tauladan.
8. Untuk suasana harmoni, elakkan orang lelaki buka baju atau merokok ketika ramai-ramai di ruang tamu, atau di meja makan. Ia terkait dengan aurat, keselesaan dan ‘respect’.
9. Santuni adik beradik yang sedikit ‘kurang’ berada dari kita. Jangan sembang bab kereta, telefon baru, beli rumah, pergi Korea dll. Kalau ditanya, boleh dijawab ringkas. Fokus pada silaturrahim.
10. Bagi duit raya pada mak ayah ikut kemampuan. Sikit atau banyak, kena bagi. Duit memang penting, namun ‘keberadaan’ kita bersama mereka lebih disyukuri.
11. Jangan selalu terperap dalam bilik. Ini biasa hobi menantu perempuan. Ringan-ringankan tulang bantu di dapur. Dan 1 lagi, time raya inilah nak kenal saudara mara. Kalau terperap dalam bilik, mana nak kenal siapa yang datang.
12. Kalau ada lebihan rezeki, tolonglah beli barang-barang dapur. Beras pulut, daun palas, daging 3-4 kg. Kuih raya 3-4 balang dan lain-lain. Paling koman ‘kordial sunquick’ pun kira dah soleh tu.
13. Jangan mudah terasa dengan tutur kata adik beradik ipar duai. Belajar berlapang dada. Jangan cemari kemaafan syawal dengan kemarahan kita.
Kalau rasa diri memang tak boleh nak berlebih kurang dengan orang lain, jangan harap orang lain berlebih kurang dengan kita. Kena belajar erti menghormati yang tua yang muda. Jangan rasa kita hebat.
14. Bagi yang beraya di rumah mertua, cuba enjoy dan menerima seadanya. Mungkin tak sama dengan raya kat rumah sendiri. Tapi nasiblah, sapa suruh kahwin!
15. Kita balik kampung bukan kerana budaya. Tetapi kerana mak ayah kita. Tanggungjawab kita. Kalau mereka sudah tiada, memori masih terpahat di sana. Nikmati masa tersebut. Hargai dan syukuri sebelum ia pergi.
Mudahnya, bukan? Moga kita dapat eratkan silaturrahim dan menikmati Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lumrahnya, wanita yang bergelar isteri adalah insan yang cukup cekal. Dalam keadaan dirinya ‘diuji’ oleh sikap dan kerenah suami, kebanyakkannya tetap melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan sebaiknya. Berusaha memahami kemampuan suami dan tidak meminta-minta. Kerana seorang isteri itu memiliki hati yang cukup lembut, sebab tu dia mampu bersabar dan masih lagi bertahan, demi insan yang dia sayang.
Hati isteri itu lembut.
Jahat macam mana pun suaminya, dia tak pernah lupa dari menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Biarpun suaminya tak reply mesej, call tak angkat, selalu balik lambat dan tak pernah dengar bila dia bercakap, dia tetap masak untuk suaminya…dia tetap basuh baju suaminya…dia tetap melayani suaminya bila diminta.
Tak pernah dia lupa daripada melakukan tugas-tugas seorang isteri biarpun suaminya sering memarahinya, menghinanya, memaki hamun dirinya, memukulnya dan menzaliminya, namun dia tetap ada bila suami perlukannya.
Suami tak bagi duit, dia usaha cari duit.Suami tak beli kelengkapan dapur, dia guna apa yang ada.Suami tak sediakan mesin basuh, dia basuh menggunakan tangan.Suami takde duit, dia hulurkan dengan menggadaikan apa yang ada pada dirinya. Dia cari alternatif dengan menggunakan apa jua pilihan yang ada sahaja dan tidak menuntut lebih-lebih daripada suaminya.
Mampu Terus Jadi Isteri
Sebab hati seorang isteri itu lembut, sebab tu dia mampu bersabar…sebab tu dia mampu bertahan, sebab tu dia mampu untuk terus menjadi isteri walaupun suaminya tak benar-benar menjadi seorang suami seperti yang diharapkannya.
Tapi ingat, lembutnya hati seorang isteri itu ada tarikh luputnya dan bila sampai waktu tersebut, dia akan tutup buku lama, buka buku baru dan nama kita mungkin tiada lagi di setiap helaian muka surat didalam buku tersebut.
Kita dah menjadi sejarah untuk dirinya…sejarah yang terlalu pahit untuk dikenang.
MW: Memang ada benarnya..walaubagaimanapun keadaan isteri itu diuji suami, dia masih berusaha menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri. Hati seorang isteri itu lembut, sebab tu dia mampu bersabar dan masih lagi bertahan, demi insan yang dia sayang.
Cerita bab khatan bayi lelaki, perkara pertama yang menusuk kat ruang fikiran tentulah ‘rasa kasihan dengan baby’, ‘masih kecil lagi kasihannya.. mesti baby sakit’, ‘tak sampai hati tengok baby kena khatan waktu kecil’. Ini antara kata hati yang akan berlegar-legar dalam fikiran mak ayah.
Sunnah Rasulullah SAW digalakkan bayi lelaki dikhatankan sebaik saja masuk hari ke-7 kelahirannya. Ada mak ayah yang ikut, ada juga yang memilih tunggu sampai tempoh masa anak dah sedia.
‘Real’ pengalaman Puan Nur Fatin Izzati25 tahun ini barangkali dapat membantu mak ayah membuang kebimbangan di hati. Ibu ini membawa anak kecilnya, Ahmad bin Mohd Shahilan yang berusia 5 bulan ke klinik untuk dikhatankan.
“Actually usia 5 bulan tu dah terlewat sebab ada orang kata doctor tak terima kalau awal sangat.
“Haish. Tapi bila sampai klinik, doktor tanya ”kenapa lambat sangat hantar?” ??
Kenapa Khatan Bayi Lelaki 5 Bulan Doktor Kata Lambat
Ibu digalakkan khatankan bayi lelakinya dengan secepat mungkin selepas kelahirannya. Ikut sunnah Nabi SAW, cucu baginda Hassan dan Hussin dikhatankan pada hari ke-7.
Kebanyakkannya kita di Malaysia kalau nak sunatkan anak lelaki mesti tunggu dah besar. Tapi bukan di negara Barat.
Amalan ini dah popular di negara-negara Barat, walhal mereka bukan Islam. Mereka tahu faedah besar amalan berkhatan ni. Di Amerika, bayi lelaki dikhatankan sejurus selepas lahir.
Akui ibu ini, anak kecilnya, Ahmad dikhatankan dengan teknik kedua, smart clamping.
“Sehari lepas khatan pergi klinik semula untuk buka. Lepas itu jaga macam biasa.”
Tak lepas dari mulut doktor dengan bismillah.
8 Sebab Ibu Ini Sunatkan Bayi Lelakinya Awal
1. Of course sebab nak ikut sunnah, even tahu dah lewat.
2. Komplikasi di kalangan bayi lebih rendah, berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia tua.
3. Kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas kebiasaannya lebih lasak dan pada usia ini mereka sudah merasai kesakitan.
4. Proses penyembuhan bayi lebih cepat mengambil masa kira-kira 5-7 hari sahaja berbanding dengan kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas.
5. Proses berkhatan mudah sebab anak tak tahu pun dia tengah khatan. Doktor nak buat kerja pun senang. Sekejap je siap.
6. Proses penjagaan pun senang, tak banyak kerenah. Tak ada berpantang makan, cuma Ahmad kan breastfeed. So, umminya lah kene pantang sikit. Biasa je.
7. Lepas khatan Ahmad boleh meniarap macam biasa, mandi macam biasa, tak demam, lepas mandi just sapu krim.
8. Dalam masa 7 hari, Ahmad dah sembuh betul.
NOTA KAKI :
√ Normal untuk 2-3 hari awal pampers dia akan ada kesan darah sikit sebab luka masih basah.
√ Pampers anak wajib ditukar setiap 2 jam walaupun tak penuh untuk elakkan jangkitan dan kawasan luka menjadi lembap. Kalau penuh awal, lagi wajib tukar.
Sehari lepas khatan meniarap boleh macam biasa. Itu food feeder berisikan kurma.
Mak Ayah Yang Dah Sedia Nak Sunatkan Bayi Awal, Buat Cara Ini
SEBELUM
1. Sebelum bawa anak berkhatan, make sure dia kenyang, cukup tidur, dah buang air besar dan kecil.
2. Standby puting kalau ada.
SEMASA
1. Ibu Ayah banyakkan selawat, nak suruh anak selawat dia tak pandai. Doa biar dimudahkan.
2. Ajak anak bertenang. Pasang zikir atau something yang menenangkan. Macam Ahmad, abuya dia ajak tawasul madad ya Rasulullah ?
3. Kalau ada puting, suapkan biar dia hisap bagi khayal (suggested by doktor). Ahmad tak ada puting ganti jari kelingking maktok dia. Jari ummi halus doktor kata, takut dia tak nak.
NOTA KAKI :
Bayi akan menangis masa doktor masuk ubat bius jadi ibu ayah jangan cepat panik. Bertenang dan cuba bermain dengan anak bagi dia rasa relaks saja.
Cara betul pegang bayi lelaki lepas khatan. Ditunjukkan oleh suami Puan Fatin, Mohd Shahilan bin Mohd Noor
SELEPAS
Prosedur lepas khatan, doktor suruh standby untuk bagi susu.
Cara dukung bayi selepas berkhatan pula macam dalam gambar ini. Bahagian kemaluan yang dikhatan kena menghadap ke depan supaya tak terkena kawasan luka.
Pastikan anak pakai diaper yang sedikit longgar.
Kos Dan Tempat Khatan Bayi Lelaki
Ibu ini melakukan prosedur khatankan bayi lelakinya di klinik berdekatan kediamannya. Klinik Kamal, Kg Pasir Johor Bahru. Dekat dengan Plaza Angsana inilah jadi pilihan.
“Highly recommended ! Doktor dia very fatherly dan nurse dia pun baik lemah lembut budi pekerti gitu.
“Doktor Kamal terima bayi untuk dikhatankan dari usia dalam pantang. Boleh call dulu untuk buat appointment sebelum datang. Kos berkhatan teknik clamp RM200 siap ubat.”
Jom ikut sunnah ! Sunnah tak pernah memudharatkan. InshaAllah, kita akan dapat lihat anak lebih matang dan lebih cerdik.
Selamat berkhatan kepada yang nak bawak anak berkhatan. Prosedur khatan bayi lelaki mudah je.
Sumber/Foto/Video : Facebook Fatin Izzati
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.