Boleh dikatakan dalam keluarrga, mesti ada seorang sama ada isteri atau suami yang akan menjadi ‘menteri kewangan’ yang akan menentukan keluar masuk duit. Sekurang-kurangnya, mereka boleh tahu duit keluar masuk sehinggal dapat gaji seterusnya.
Bayangkan kalau suami dan isteri sama-sama boros, apa akan jadi dengan rumah. Duit simpanan belum tentu dapat dikumpul dan tentunnya semua duit gaji akan hbais dibelanjakan pada perkara yang tidak sepatutnya.
Sebab itu, kena ada salah seorang ‘menteri kewangan’. Biasanya, kalau bab-bab duit ini isteri lebih hebat berbanding dengan suami. Kalau nak harapkan suami, rasanya entah ke mana duit gaji.
Walau bagaimanapun tidak semua suami yer…sebab ada juga yang terbalik di mana, isteri yang boros dan suami lebih kepada ‘menteri kewangan’. Semuanya pasti ada kebaikan.
Bagi suami yang merasakan dirinya boros dan berbelanja kepada perka yang tidak sepatutnya, adalah lebih elok jadikan isteri menteri kewangan. Seperti apa yang diperkatakan oleh Azizul Azli Ahmad ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: PENAT Suami Isteri Tak Sama, EMOSI Tidak Ditenangkan, Boleh Meletop!
Isteri Kena Tahu Beza Antara NAFKAH Dan DUIT POKET Pemberian Suami
Info Lebih Menarik DI SINI
LANTIK ISTERI JADI GABENOR BANK KELUARGA
1. Jika selama perkahwinan ini gaji kita hanya mampu bertahan dua minggu sahaja, minggu berikutnya berbaki RM10.37 sahaja.
2. Sudah masanya, kita melantik isteri sebagai Gabenor Bank Keluarga kita.
3. Saya yakin para isteri mampu memainkan peranan sebagai penentu bajet keluarga, tugas gabenor baru;
a) Tahu gaji suami berapa
b) Sediakan perancangan kewangan keluarga
c) Catat segala belanja
d) Usaha kurangkan belanja tidak perlu.
e) Sediakan panduan perbelanjaan keluarga
f) Berusaha tingkatkan pendapatan keluarga
g) Sediakan hukuman jika langgar panduan perbelanjaan keluarga.
h) Rancang, bila nak ada rumah pertama
4. Langkah pertama tunjuk slip gaji pada isteri dan biarkan mereka merancang kewangan keluarga.
5. Kita ternyata gagal. Buku Penyata Perancangan Wang Keluarga (BPPKK) oleh Bank Negara hanya seringgit cuma jika beli di BNM.
Isi bersama sambil tonton Maharaja Lawak Mega atau Berita TV3.
6. Sudah masanya kita tukar jurulatih yang lain jika pasukan kita tak pernah menang liga, asik jaring gol sendiri aja.
Isteri mesti teruja jika kita lantik mereka jaga belanja keluarga bersama. Tetapi pastikan isteri kita buka ‘kaki Lazida dan Shopie sepanjang masa. Gelap masa depan keluarga kita’
MW: Biasanya kalau bab-bab duit isteri memang berkira dan pastikan setiap barang yang nak diberi itu boleh memberi manfaat untuk keluarga. Betul tak?
Sumber: Azizul Azli Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mata Kanan Tiada Bebola, Belah Kiri Mata Semua Putih, Disahkan Pula Mild Autisme Ajaibnya Anak Ini, Mampu Hafal Surah Seawal Usia 3 tahun
Sebaik lahir anak ini tidak membuka mata. Dari pemeriksaan pakar, didapati mata kanannya tiada bebola mata, KOSONG. Mata sebelah kiri pula berwarna putih. Penyakit yang ada kaitan dengan saraf membuatkan anak kecil ini disahkan buta kedua belah mata. Istimewanya tanpa penglihatan, anak kecil ini dapat menghafal surah Yasin seawal 3 tahun.
Masuk umur 6 bulan, anak kecil ini, Ahmad Aqeel makin aktif. Emosinya berlebihan, suka mengamuk malah menghantukkan kepala. Sampailah mak ayahnya, Faiz Mohammad Noor B Kamaruzaman, 34 dan Nur Izzah Bt Mohamad Kamil, 34 merujuk ke pakar psikologi di Kajang.
“Keputusan ujian.. Aqeel disahkan autisme (mild). Kami redha dan positif.” tutur ibu bapa anak istimewa ini.
“Sampailah satu hari ketika saya membaca surah Yasin, tiba-tiba Aqeel yang berumur 3 tahun tu sambung bacaan saya sampai habis surah itu.”
Walaupun belum boleh bercakap sepenuhnya, Aqeel selalu membaca ayat-ayar Al Quran.
“Orang akan ingat di bercakap bahasa Arab, padahal dia melafaskan ayat-ayat Al Quran.”
Ini Cara Ibu Ayah Hebat Didik Anak Istimewanya Hafal Al Quran
1. Perdengarkan Ayat Al Quran Sejak Bayi
Sejak bayi sampai sekarang, ibu dan ayah sering pasangkan alunan ayat Al Quran untuk Aqeel. Baik di rumah mahupun dalam kenderaan.
2. Nak Bezakan Malam Siang, Pasangkan Surah Dalam Al Quran
Dulu Aqeel sukar bezakan waktu malam atau siang. Buatkan dia tak tidur waktu malam. Kami akan pasangkan ayat suci Al Quran sepanjang malam. Dan dia akan mendengarnya. Dari situ juga dia dapat hafal ayat-ayat Al Quran.
3. Berjumpa Ibu Bapa Idola Remaja Cacat Penglihatan
Kami ke Kelantan berjumpa ibu bapa remaja cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang juga johan qari Tilawah AL Quran peringkat negeri Kelantan 2017.
Bertanya bagaimana mereka mampu mendidik Qayyim menghafal Al Quran. Caranya dengan memainkan semula perakam suada dan dia akan hafal. Konsep yang sama kami terapkan pada Aqeel.
4. Ibu Bapa Ini Persiapkan Diri Setahun Belajar Al Quran Braille
Kami ikuti program Al Quran Braille di bawah kelolaan USIM selama setahun. Agar kami dapat persiapkan diri untuk mendidik Aqeel tentang Al Quran.
Kami juga membuat kempen CSR dengan orang ramai yang mahu menyumbang untuk mewakafkan Al Quran Braille untuk diinfaqkan kepada sekolah-sekolah pendidikan khas, murid cacar penglihatan.
5. Tak Pernah ‘Simpan’ Aqeel
Aqeel berhak nikmati kehidupannya. Biarpun dia anak istimewa tak bermakna Aqeel perlu ‘disimpan’ dalam rumah. Tak pernah sekalipun rasa malu bawa dia ke mana-mana.
Dia suka berenang, jiwanya tenang bila dekat dengan air. Aqeel juga ke PDK di Brickfield untuk belajar urus diri. Alhamdulillah, perubahannya positif.
6. Didik Anak-anak Lain Sayangi Aqeel
Aqeel anak kedua. Abang sulung, Ahmad Abqari, 8 dan anak ketiga, Aisyah Azzahra, 1 sayangi Aqeel. Abangnya tak pernah sekalipun memarahi Aqeel. Ajar tanggungjawab pada abang. Dari kecil dia dah bawa Aqeel ke taman permainan dan kenalkan dengan kawan-kawannya.
7. Aqeel Adalah Anugerah
Anak keduanya itu tak pernah dianggap beban bahkan satu anugerah dan membawa rezeki pada mereka.
“Kehadiran Aqeel membuatkan kami lebih redha dan lebih dekat dengan Allah SWT. Ibu bapa yang ada anak istimewa seperti kami, berusahalah untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak kita.”
“Yang penting, jangan pernah rasa malu dan sedih di atas kurniaan Allah itu. Berdampinglah dengan rakan-rakan yang dapat memberikan sokongan kepada kita.
Pernah Alami Kesedihan, Turning Point Ini Buat Mereka Bangkit
“Satu ‘turning point’ selepas berjumpa seorang kaunselor (kini pegawai khas Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Encik Mohd Hafiz Halim”
“Dia jemput saya dan isteri ke rumahnya dan melihat sendiri kehidupannya. Yang juga cacat penglihatan. Jemputan itu membuka mata dan minda saya.”
“Saya yakin Aqeel mampu hidup normal seperti orang lain. Isteri Encik Hafiz sendiri pun cacat penglihatan tapi kehidupan mereka sempurna. Dapat pula membesarkan 4 orang anak normal dengan baik sekali.”
VIDEO : Aqeel Dapat Menyambung Bacaan Surah Dengan Baik
Foto: Ahmad Shahir Osman
Video : Youtube Dengan Kebenaran Ibu Bapa Aqeel
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak BERHAK Penat, Masa Tanpa Anak & Tentukan Rumahnya Ikut Rentak Diri Sendiri
Cabaran dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga tak mudah. Seringkali kita ‘set’ dalam fikiran, rumah perlu bersih dan kemas, serta anak-anak perlu terurus dan mendengar kata setiap hari. Apatah lagi mendengar ‘standard piawaian’ daripada orang sekeliling, rumah dan anak-anak perlu begini dan begitu. Kesannya menyebabkan fizikal dan emosi kita cukup lelah dan penat.
Hakikatnya, hal mengenai urusan rumahtangga dan pasal rumah ni, ikut suka hatilah kita nak buat apa. Mak BERHAK penat, ada masa tanpa anak dan tentukan rumahnya ikut rentak diri sendiri.
Fahamkan perkongsian daripada Kaunselor Puan Normaliza Mahadi ini
Ada kawan hantar ni pada saya dan tanya pendapat. Saya ni bab bagi pendapat memang cepat.
Sebenarnya kan mak-mak, rumah ni kita punya (walaupun sewa atau berhutang dengan bank? dan anak-anak ni adalah tanggungjawab kita!
Makanya kita bebas berbuat apa-apa di rumah mengikut keselesaan kita.
Rumah bersepah dan rumah kotor berbeza. Rumah bersepah tu adatlah kalau ada anak. Bukan kena audit pun. Kalau nak rumah kemas sentiasa, boleh aje. Pastikan rumah kurang barang. Atau jangan beranak. Kan?. Eh! Pasal rumah ni, kita sukahatilah nak buat apa.
Kalau barang rumah jiran melimpah ruah, kita tak wajib ikut. Rumah kita tak nak sofa biarlah. Nak ada meja makan, sukahatilah.
Masalah timbul bila ada mak-mak yang budget bagus serta buzy body. Pada mak-mak ni rumah ada keperluan standard. Kena ada TV, sofa, karpet, meja makan, meja kopi, almari perhiasan, langsir lawa, siling yang menawan. Kalau tak ada ni, kononnya rumah tak cukup cantik!
Tak payah ikut depa.
Pasal anak-anak. Anak-anak ni ada kalanya melalak sebab dia biasa dikepit. Ataupun angin pus-pus dia datang. Ntah apa kenanya melalak aje. Mak mesti stress.
Macam ni mak. Anak-anak ni ada kalanya kalau kita tahu dia tak sakit dan kenyang, biar ajelah dia melalak sekejap. Belajar jadi pekak sekejap. Tapi nanti jiran dengar dan kata saya ni mak yang tak pandai jaga anak! Alaaah, kalau dia pandai sangat jaga anak, suruh dia jaga si melalak ni sekejap.
Kita ni kan mak-mak, berjalan perlahan ikut flow kita. Jangan ikut mak-mak lain yang kita tak terkejar. Takpa slow asal sampai daripada berlari kena heart attack dan mati.
Kalau rasa malas masak, biarlah. Kalau rasa tak nak mandikan anak, tak apa. Kalau rasa nak tidur sebab penat sangat, tidurlah. Kalau rasa bosan dah jaga anak sebab terlalu penat, mintaklah tolong sesiapa jaga anak sekejap. Tak salah langsung.
Mak berhak penat. Mak berhak mahukan masa tanpa anak. Mak berhak tentukan rumahnya mengikut rentak diri sendiri.
Sebagai mak-mak, mari kita sokong mak-mak lain yang keletihan. Mari kita bagi kata yang menyenangkan. Mari beritahu mak-mak yang sedang struggle kepenatan bahawa it is ok to break down!
by NM
Baca Lagi Di Sini:
“Sampai Satu Tahap Saya Menangis, Fizz Cakap Tak Payah Pedulikan Orang, Janji Sempurna Di Mata Dia” Almy Nadia
MW: Semua perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, mak BERHAK penat, ada masa tanpa anak dan tentukan rumahnya ikut rentak diri sendiri. Usah jadi terlalu sempurna dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga, yang akhirnya diri sendiri yang lelah kepenatan mental mahupun fizikal. Pilihlah yang membahagiakan diri.
Sumber: Normaliza Mahadi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerana Mentua Dahi Anak Berlubang, Isteri Dijatuhkan Talak 1 Syawal
Sungguh tak mudah bila isteri itu bukan menantu pilihan. Buatlah baik macam mana pun tetap tak kena di mata mentua. Kisah benar yang dikongsikan Cik Puan Ammy ini terjadi pada seorang isteri yang juga bukan menantu pilihan.
Cuba mempertahankan maruah anaknya yang dituduh tanpa usul periksa oleh ibu mentua. Maka terjadilah satu peristiwa yang meretakkan hubungan rumah tangga yang sedia goyah itu.
Bukan Menantu Pilihan
Barisan di hadapan terlalu panjang dan waktu berlalu amat perlahan sekali. Aku terpaksa beratur menunggu giliran di pasar untuk membeli barang dapur. Secara kebetulan bekas suamiku Am (bukan nama sebenar) juga turut ada di situ.
“Kalau sayang masih bersama abang mesti sayang tak perlu bersusah payah macam ni kan…?” Kata Am setelah hampir lima minit membisu. Aku hanya menghadiah kan secebis senyuman kepadanya.
Sebenarnya aku lebih rela bersusah payah seperti ini asalkan aku tidak menjadi ‘orang luar’ dalam keluarganya di mana terpaksa berpura-pura menjadi buta serta tuli hanya untuk menjaga hati dan silaturahim sedangkan hati sendiri dibiarkan mati.
“Saya tak pernah rasa susah pun. Awak yang susah kan diri sendiri dengan menghukum, mengharap dan menunggu saya lagi. Carilah pengganti saya, jangan mengharap pada saya. Tapi pastikan orang itu menantu pilihan ibu awak dan juga penyabar orangnya.”
Sindirku perlahan. Memang itu yang sering aku ucapkan pada Am sekiranya dia mula membuka cerita lama dan meminta aku kembali kepadanya. Tiada niat untuk menyindir cuma aku ingin pastikan Am sentiasa ingat apa punca perceraian ini. Bukan sudah tidak sayang tetapi selagi hati ini masih berasa sakit, selagi itulah Am kena tunggu sehingga ia benar-benar sembuh. Jika sudah tidak sabar, pergi saja aku tidak pernah menghalang.
“Allah… Awak ungkit lagi benda dah lepas. Mak abang dah insaf sayang. Berkali-kali mak datang nak jumpa awak untuk minta maaf, tapi awak lari. Tak nak jumpa mak. Kenapa keras sangat hati awak ni sayang. Awak dah tak sayang kan abang lagi ke?”
Perkataan sayang yang sering keluar daripada bibirnya sedikit pun tidak berjaya melembutkan hatiku yang semakin membatu.
“Sudah lama saya maafkan awak sekeluarga. Bagi lah saya masa. Awak fikir saya ni robot. Tak tahu rasa sakit hati? Tak ada perasaan?”
Aku benci bila Am persoalkan tentang perasaan aku.
”Tapi awak sendiri yang melangkah kaki, bukan saya yang paksa.”
Semua Lelaki Sama, Meletakkan Salah Dibahu Wanita
Sama!! Semuanya tetap sama. Aku juga yang dipersalahkan di atas segala yang terjadi. Tiga tahun aku bagi Am masa untuk berfikir apa kesilapan dia dan selama tiga tahu itu juga dia hanya ulang cerita yang sama. Aku muak!!
“Keadaan awak ketika itu yang buat saya melangkah. Awak yang paksa saya buat macam tu. Awak lupa akan siapa yang bantu awak semasa awak susah. Bila awak dah berharta, awak fikir saya tak berani melangkah keluar daripada pintu tu. Tambahan lagi masa tu saya tak bekerja, tak ada sumber pendapatan, sebab itu awak letak kan talak di muka pintu. Awak silap… Saya masih ada keluarga yang sayang kan saya, masih ada maruah yang selama ini saya jaga!!”
Walaupun bernada perlahan tapi bunyinya agak keras.
Empat belas tahun aku bersamanya. Daripada Am bekerja sebagai kuli hinggalah dia ada perniagaan sendiri. Aku bukan nak ungkit tetapi sesekali aku harus membangkit agar Am tidak terus lupa siapa orang yang sentiasa ada disisinya pada waktu susah atau senang. Siapa orang yang sentiasa menemani dia makan mee segera pada hujung-hujung bulan sementara menunggu gaji tiba. Siapa tempat dia berpapah untuk bangun kembali di saat dia tersungkur rebah tiada siapa yang peduli…
“Abang ingat sayang, sebab itu abang tetap bagi awak belanja walaupun sudah hampir tiga tahun kita berpisah…”
Aku akui, walaupun hampir tiga tahun kami berpisah, Am tetap menjalankan tanggung jawabnya sebagai seorang ayah yang baik. Nafkah tidak pernah culas malah duit belanja untuk aku juga disertakan sekali tanpa kurang walaupun satu sen. Tetap sama seperti aku masih lagi isterinya dahulu walaupun tempoh i’dah sudah lama tamat. Hubungannya dengan anak-anak juga semakin erat.
Aku juga akui, memang aku masih sayang kan dia. Alangkah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula orang yang pernah berkongsi selimut dan bantal bersamaku. Anak-anak juga ada meminta agar aku terima ayahnya kembali dan hidup bersama seperti dahulu. Namun aku tidak berdaya, jika aku memilih untuk bersamanya semula bermakna aku juga harus menerima ibunya bersama. Aku tidak sanggup!!
Bekas Suami Merayu Agar Kembali.. Sayangnya Sudah Terlambat
Semenjak PKP ini, Am semakin galak memujuk aku supaya terimanya kembali. Mungkin dia sunyi berkurung sendirian di rumah tanpa isteri dan anak-anak sedangkan sebelum ini ruang kerinduannya pada anak-anak diisi dengan kesibukan mencari rezeki serta hobinya bersama kawan-kawan. Rasakan lah!!
Dahulu semasa masih bersama, aku dan anak-anak sering diabaikan. Waktu terluang banyak dihabiskan dengan kawan-kawan dan juga hobi. Sekarang bila dah tiada, baru nak mencari. Mungkin sudah terlambat.
“Untung saya gila hiking tau daripada gila perempuan.”
Ayat yang sering keluar daripada mulutnya pada setiap kali aku menegur tentang sikapnya yang tidak berlaku adil dalam membahagi masa antara hobi dan keluarga.
Sekarang, tiga tahun tanpa isteri dan anak-anak. Enjoi lah sepuas-puasnya. Pergi lah mendaki bukit atau gunung sepuas hati walau ke langit tujuh pun tidak ada yang akan menghalang lagi. Aku fikir Am akan bahagia, sebaliknya dia sengsara. Am kata, kemana sahaja dia pergi wajahku dan anak-anak sentiasa bermain di mata. Terasa berdosa kerana telah menyeksa jiwa dan raga seorang insan yang pernah menjadi imam solat ku, tetapi apakan daya terlajak perahu boleh diundur terlajak kata-kata padah lah jawabnya.
“Bersyukurlah kerana awak masih boleh pandang saya dan anak-anak. Jika diambilnya terus dan simpan ke liang lahad pasti awak akan lagi menyesal.”
Adakalanya mulut aku ni agak jahat. Kadang-kadang sampai menangis dia aku kerjakan hanya dengan kata-kata sahaja. Bertahun-tahun aku simpan dan telan setiap kata-kata bimbang derhaka, tetapi alang-alang sudah terputus ikatan perkahwinan semuanya aku lepaskan ibarat peluru tabur tanpa limit biar Am tahu selama ini aku diam bukan bererti apa dia buat semuanya betul.
“Kenapa dahulu sayang diam jer. Kenapa tidak merungut macam ni? Sekurang-kurang nya kita boleh berbincang in sha Allah tak akan terjadi perceraian antara kita.”
Kononnya nak letak kan kesalahan dan punca perpisahan di bahu aku lagi.
“Awak nak dengar ke? Boleh ke awak terima kalau saya ajak berbincang? Bukankah awak lah ketua keluarga dan keputusannya semua di tangan awak!”
Terdiam dia, mungkin terasa dengan kata-kata aku itu. Biarlah Am terasa asalkan dia sedar dan berusaha untuk berubah. Jika bukan untuk aku, sekurang-kurangnya bakal jodohnya nanti tidak senasib dengan aku.
Sampai Mati Saya Ingat!
“Syawal dah nak tiba. Sayang tak nak beraya ke rumah mak abang ke? Tengok mak. Mak sakit teruk sekarang ni sayang. Teringin jumpa awak.”
Perlahan dia ubah cerita.
“PKP… Kerajaan tak bagi menziarah. Tengok lah nanti macamana. Awak bawa lah anak-anak seperti tahun-tahun yang lepas. Saya ke sana pun nak buat apa. Saya bukan doktor.” Jawabku agak kasar.
“Awak masih kenangkan peristiwa itu ke sayang?” Soalnya perlahan.
“Sampai mati saya akan ingat!!”
Kataku terus berlalu keluar daripada barisan. Biarlah hari ini iftar dengan sambal sardin sahaja daripada melayan orang yang gila talak. Sebenarnya bukan tentang hobi atau teman-temannya yang membuatkan aku nekad untuk bercerai. Ianya hanya lah sebahagian daripada ‘rencah’ duka kehidupan rumah tangga aku kerana sebahagian yang lain itulah racun sebenar yang merebak dengan pantas sekali membunuh perasaan hormat seorang isteri terhadap suami.
Setibanya di rumah, kelihatan anak bongsuku sedang lena tidur. Aku duduk di hujung kepalanya. Jelas kelihatan kesan lekuk parut lama di dahinya. Peristiwa 3 tahun lepas terus terbayang dimindaku ibarat drama jam 7 petang yang sedang membuka tirai.
Semuanya bermula pada 1 Syawal tiga tahun yang lepas. Pagi itu, takbir raya bergema di seluruh kampung. Memandang kan kami sekampung dan adik beradiknya pulang serentak jadi kami mengambil keputusan untuk berpagi raya di rumahnya. Ketika aku sedang menyapu di halaman, aku dengar suara ibu Am bising-bising memarahi anakku yang sulung kerana hanya duduk di bilik sahaja tanpa membuat kerja.
“Amboi… Siap nak ber ‘ekon-ekon’ (air cond). Rumah kau tak ada ‘ekon’ ke?”
Lantang suara dia marahkan budak umur 12 tahun itu.
“Tu Aina boleh jer duduk dalam bilik. Kakak penat lah opah. Tadi cuci pinggan dengan mak long.”
Anak ku yang belum mengerti apa-apa itu menjawab. Mungkin baginya si opah hanya bergurau.
“Aina lain… Sudah-sudah jangan nak semak bilik aku ni. Pergi tolong mak kau kat luar sana nanti orang datang nak beraya. Satu benda belum hidang.”
Waktu tu aku tertanya-tanya, apa bezanya Aina dengan si kakak. Kedua-duanya cucu dia. Dari jauh aku lihat kakak duduk dibangku batu tepi kolam ikan. Aku nampak dia menangis.
“Kenapa.?” Soalku pura-pura tidak tahu.
“Opah marah kakak duduk dalam bilik. Kakak penat cuci pinggan mangkuk. Dia orang makan bukan tahu cuci sendiri. Aina, Daniel, Adam boleh jer duduk dalam bilik tu. Opah tak suruh pun keluar. Jom ma balik rumah nenek.”
Anakku merungut dalam tangisan. Kakak jarang menangis. Hatinya keras sama seperti aku.
“Yang kakak pergi masuk bilik opah buat apa. Mama dah pesan kan, jangan masuk bilik orang. Hilang barang-barang orang nanti. Dia akan tuduh kita sebab kita ni orang susah.”
Itulah pegangan aku. Jangan sesekali masuk ke dalam bilik orang kecuali diarahkan. Bimbang jika ada kehilangan atau kerosakan pasti kita akan dituduh sebagai pelaku nya. Syukur lah sedih kakak tak lama. Dia hilang mencari kawan. Begitulah budak senang padamkan kemarahan dihati kerana dia belum mengerti apa-apa.
Mentua Hilang Duit, Tuduh Cucu Mencuri
Selang beberapa minit pula, datang si bongsu yang aku panggil adik, minta kebenaran untuk mengikut mak ngahnya menghantar juadah ke rumah jiran-jiran. Aku izinkan kerana si abang iaitu anak lelaki ku yang kedua ikut sekali.
Sekembalinya adik, dia terus masuk ke bilik tetamu lalu tertidur. Sedang aku sibuk membelah lemang di dapur, aku terdengar suara opahnya menjerit memanggil nama Am. Am yang sedang berbual dengan adik beradiknya melulu ke bilik.
“Ni haaa duit Mak hilang. Adam kata anak kau si adik yang ambil.”
Berderau darah aku bila terdengar kata-kata ibunya itu.
“Mak ni biar betul, salah letak kot. Dah cari?” Tanya Am kembali.
“Iyer… Mak letak dalam sampul raya nak bagi pada cucu-cucu mak. Dah tak ada, kalau bukan anak kau yang ambil siapa lagi. Anak kau jer yang degil. Cucu mak yang lain-lain elok jer. Entah ikut keturunan siapa lah degil sangat. Ni pandai mencuri.”
Aku tersentak bila disebut tentang keturunan. Adik adalah anak aku bersama anaknya. Jika keturunan dia baik-baik bermakna keturunan akulah yang jahat. Am terus masuk ke bilik tamu dan mengheret si anak yang sedang tidur lena. Terpinga pinga adik bila dikejutkan dengan cara yang kasar.
“Kau ambil duit opah?” Tanya Am pada adik.
“Mana ada… Adik keluar tadi baru balik.” Jawab anakku yang baru berusia 10 tahun itu.
“Haaa keluar baru balik. Pergi mana? Berjoli dengan duit aku lah tu. Tu lah aku dah cakap cari bini yang elok-elok. Ada kerja, ni tidak cari yang duduk rumah. Pemalas… Ajar anak mencuri. Ni lah betina pilihan kau!!”
Jerit ibunya kuat-kuat. Mungkin sudah lama ibu Am ingin meluahkan kata-kata itu hanya tunggu waktu yang sesuai sahaja. Allah malunya aku masa tu. Ipar duai semuanya memandang ke arahku. Tiba-tiba Paaaaangggggg… Hinggap lima jari di muka adik. Am memukul adik tanpa usul periksa. Semua terdiam membisu.
“Adik tak ambil papa…!”
Adik mula menangis.
“Kau pergi mana tadi? Beli apa? Mana balance duit tuh.”
Tengking Am sambil mencengkam dagu adik sekuat hati. Aku kaku melihat tidak mampu untuk pertahankan adik kerana sudah adat kami suami isteri jika salah seorang sedang mengajar anak, jangan sesekali masuk campur.
“Tak adaaa…”
Jawab adik pendek dalam sendu.
“Apa? Tak ada?”
Paaaangggg sekali lagi adik di tampar kali ini dua kali bertubi-tubi hingga pecah bibir adik. Tubuh kecil itu melambung ke bucu meja dan kepala adik terhantuk lalu berdarah. Adik bangun berlari mendapatkan aku.
Isteri Capai Parang, Tak Sanggup Tengok Anak Dipukul
Aku peluk adik erat-erat. Aku capai tuala tekap di muka adik menghalang darah keluar. Aku dah tak sanggup lagi lalu berlari mencapai parang yang digunakan untuk membelah lemang tadi. Am tidak jadi melangkah ke arahku apabila melihat aku memegang parang.
“Adam.. Maksu nak tanya, jawab betul-betul. Tuhan tak suka orang berbohong.”
Kataku berani walaupun waktu itu aku gigil hampir separuh badan.
“Betul Adam nampak adik mencuri?” Soalku lembut tapi tegas.
“Adam tak nampak. Tapi semalam Adam dengar adik nak top up kredit telefon tapi tak ada duit. Adam tak cakap pun pada opah adik yang ambil. Adam cuma cakap, cuba tanya adik kalau dia yang ambil.” Jawab Adam yang sebaya dengan anakku yang kedua itu. Nampak sangat memang si opah sengaja menuduh adik yang mencuri.
“Kau letak parang tu sekarang!!” Am bersuara kuat.
“Tak… Selagi kau tak menjauhi anak aku!!” Jerit aku separuh gila dan Am mula melangkah ke belakang.
“Kau tengok bini kau. Dah gila agaknya nak tikam anak orang dengan parang. Apalah malang kau ni dapat bini keturunan jahat macam ni.”
Bebel ibunya lagi. Aku segera campak parang itu apabila kewarasan mula kembali ke benak fikiran aku. Abang iparku sudah memeluk suamiku supaya bersabar manakala isterinya mendapatkan adik dan membalut lukanya walaupun darah masih mengalir.
“Oh.. Keturunan aku lah yang jahat selama ni. Hei kau sedar tak masa aku dengan kau hidup susah keturunan aku yang banyak membantu hulurkan belanja. Aku beranak. Keturunan aku yang ‘bela’, yang jaga anak-anak kau.. Keturunan kau? Nak kata bagi belanja, datang jenguk pun tak ada. Padahal sekampung tu. Kau ingat kau tinggalkan RM 100 tu cukup 44 hari beli susu anak-anak kau kalau tak keturunan aku yang bagi. Kalau nak ungkit banyak aku nak ungkit lah. Tapi keturunan aku ajar jangan mengungkit tak elok… Aku berhenti kerja sebab apa? Sebab kau yang suruh. Tolong jaga mak kau sakit. Kau lupa atau buat-buat lupa. Kau kata nak berniaga, semua barang kemas aku kau gadai buat modal. Itu pun kau lupa juga ke? Sekarang ini yang aku dapat. Aku kena hina dengan mak kau, kau boleh diam jer kan.”
Jatuh Talak 1 Syawal
Sabar aku dah hilang. Apa nak jadi, jadi lah hari itu. Sepatutnya satu Syawal masing-masing saling maaf bermaafan. Tapi tidak pada hari itu. Masing-masing hanya menjadi penonton bisu. Dalam kekalutan itu tiba-tiba kakak iparku yang dipanggil mak ngah muncul bersama anak lelaki ku yang kedua.
“Apa ni mak.. Sampai luar sana dengar. Malu la mak. Ni duit mak ada ngah ambil simpankan. Mak letak merata-rata nanti hilang. Allah anak Mak Ngah. Kau ni kenapa busu? Anak-anak kau, si abang dengan adik dari pagi ikut ngah keluar… Busu kau dah hilang akal ke pukul anak sampai berlubang dahi..”
Am terduduk meraup muka sambil beristighfar panjang. Ibunya pula terus masuk ke bilik bukannya meminta maaf sebaliknya terus kunci kan diri di dalam bilik. Adik beradik Am yang lain pula mula mengemas untuk pulang, mungkin berkecil hati dengan suasana di pagi Syawal itu.
“Puas lah hati kau kan. Anak-anak aku semua nak berambus. Busuk hati betul kau kan.” Jeritnya lagi di dalam bilik. Aku segera mendukung adik untuk bawa ke hospital. Malas nak layan perangai tua nya yang semakin menyakitkan hati.
“Nak ke mana?” Soal Am kembali lembut.
“Nak balik rumah mak saya. Sini bukan rumah saya. Bukan keluarga saya. Keturunan saya tidak layak duduk rumah ni.”
Aku menjawab.
“Kau nak panjang cerita apa lagi ni. Benda dah selesai kan. Nak heboh-heboh apa lagi?” Am mula meninggikan suara kembali.
“Sudah busu… Along kata sudah, sudah lah. Jangan kau bergaduh laki bini pulak.” Abangnya yang sulung bersuara sambil memasukkan beg ke dalam kereta.
“Mak awak bukan nak minta maaf. Terus masuk dalam bilik macam tak ada apa yang berlaku. Lagi nak salahkan saya penyebab abang dan kakak awak nak balik.”
Aku bersuara.
“Kau fikir kau siapa nak suruh mak aku minta minta maaf bagai. Dia orang tua. Patutnya kau yang minta maaf dari dia. Kalau kau tak kecoh tadi, berparang macam orang hilang akal, mengungkit benda yang lepas tak jadi macam ni.”
Tengking dia padaku. Dari situ baru aku sedar. Aku bukan sesiapa pun dalam keluarga itu.
“Habis tu nak biar lah kau bunuh anak aku pada dosa yang dia tidak buat?” Soalku pendek sehingga Am terdiam. Aku capai kunci kereta. Aku suruh kakak dan abang masuk kan beg ke dalam bonet kereta. Aku nekad memang aku akan terus keluar daripada rumah itu.
“Baik… R…… Binti R….. Selangkah kau keluar daripada pintu rumah mak aku ni… Jatuh talak tiga ke atas kau.”
Dia mulai keluar kan kuasa veto seorang suami. Manakala aku, seorang Isteri yang tidak berdaya ketika itu dengan tanpa ragu-ragu terus melangkah keluar tanpa menoleh ke belakang lagi. Aku tidak tahu apa terjadi selepas itu, aku terus memandu ke hospital untuk dapatkan rawatan ke atas adik. Petang itu, ada Am datang untuk melihat keadaan adik dan meminta maaf daripada kedua orang tuaku di atas keterlanjuran dia melafazkan talak ke atasku.
Dua hari selepas itu, kami ke mahkamah dan di atas asbab-asbab tertentu talak hanya jatuh kepada talak satu. Am mengajak aku untuk rujuk kembali namun aku menolak kerana aku mula tawar hati terhadapnya. Begitu mudah Am lafaz kan talak tiga ke atasku. Walaupun talak hanya jatuh kepada satu namun aku benar-benar kecewa. Semenjak daripada itu, Am berusaha memujuk aku supaya kembali ke pangkuannya seperti dahulu .
Kalian Tidak Berada Di Tempatku..
Tahun berganti tahun. Walaupun kami sudah bercerai, Am meminta aku terus menginap di rumah yang dibeli dengan nama kami berdua. Am memilih untuk berpindah dan menyewa di kawasan berhampiran dengan alasan memudahkan dia memantau kegiatan anak-anak. Am tidak sanggup menjual rumah itu kerana banyak kenangan suka dan duka kami di situ.
Awal tahun lepas, ibu Am di sahkan menghidap barah payu dara tahap 4. Semenjak daripada itu jugalah ibunya mula menyebut-nyebut nama aku dan anak-anak. Aku tidak mengendahkannya kerana bagiku dia berubah bukan seikhlas hati. Jika dia masih sihat pastinya dia masih sombong dengan keturunan nya yang kononnya baik itu. Tidak puas dengan itu, ibunya datang ke rumah ibu bapaku di kampung untuk meminta maaf namun ku biarkan saja ia mengalir bagaikan curahan air di daun keladi .
Aku yakin pasti para pembaca akan mengatakan aku kejam dan sombong. Sebenarnya kalian tidak berada di tempat aku dan tidak merasakan apa yang telah aku lalui. Menjadi menantu yang bukan pilihan perasaan nya amat sakit sekali. Serba serbi ada sahaja yang tidak kena. Sanggup membeza-bezakan cucu sendiri. Cucu yang lain diberi bilik yang selesa ada penghawa dingin manakala cucu yang ini hanya diberi selimut nipis sebagai alas tidur di ruang tamu.
Sebenarnya penghawa dingin bukanlah menjadi ukurannya di sini kerana di rumah sendiri pun telah dipasang penghawa dingin. Cuma cara dan layanan pilih kasih itu yang membuatkan aku terasa. Apabila cucu yang lain datang menziarahi, disajikan dengan juadah yang istimewa sebaliknya giliran cucu yang ini pulang menziarahi disajikan dengan apa yang ada sedangkan si opah tahu cucu mana yang sentiasa ringan tulang memicit dan mengurut di setiap anggota badan tua nya yang sentiasa sakit.
Anak menantu mana yang sering menghulurkan belanja bulanan kepadanya. Malangnya aku bukan lah menantu pilihan. Maka setiap apa yang aku buat dipandang hina.
Kini dia sedang tenat dan merayu untuk bertemu dengan ku. Entahlah… Aku buntu… Kebencian aku pada wanita tua itu masih menebal.
Lagi pula pada musim PKP ni mana mungkin aku boleh merentas negeri untuk pulang ke kampung. Ibu kata, wanita tua itu tidak henti-henti memanggil nama ku pada tiap kali ibu pergi menziarahi nya.
Tengoklah nanti… Jika ada keajaiban Tuhan… PKP ini tamat sebelum Syawal… In sha Allah jika panjang umurku, aku akan pergi menziarahinya sebelum ajalnya sampai.. Jika kemaafan yang dia harapkan, memang sudah lama aku memaafkannya.. Kemaafan memang mudah diungkapkan sesungguhnya keikhlasan itulah yang sukar untuk kita cari. Doakan aku temui dengan keihlasanku.
Sumber : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI