Ya, percayalah… isteri membebel itu sebab dia dah lama pendam. Dah tak larat nak hadap dan penat nak buat semuanya sendiri. Nak pesan banyak kali, itu lagi mendatangkan kemarahan.
Jadi golongan suami sepatutnya boleh baca apa yang isteri di rumah suka dan tak suka bila duduk sembumbung.
Dibesarkan degan didikan berbeza itu mungkin menjadi salah satu sebab suami dan isteri banyak tak sehaluan, jadi masing-masing kena meluah apa yang sedap di pandang dan paling mudah suarakan peraturan rumahtangga biar jelas.
In shaa Allah, baik suami atau isteri akan faham perkongsian saudara Muhammad Hassan ini. Jemput hadam.
Ubat Isteri Suka Membebel
4 hari lepas, selesai solat isyak ada sedikit jamuan di masjid. Sambil borak salah seorang dari jemaah masjid tanya pendapat bagaimana untuk ubati isteri suka membebel. Ada ubat ke? Sambil berseloroh. Yelah Balik lambat membebel, tidak basuh pinggan pun membebel, salah beli barang pun membebel.
Saya jawab :
Mereka membebel sebab STRESS dengan perangai kita.
Sebab setiap hari perkara yang sama mereka buat:
✅Masak dia ✅mandikan anak dia ✅Tukar lampin anak dia ✅Kemas rumah dia ✅Sental jamban dia ✅Basuh baju dia ✅Gosok baju suami dia ✅Kemas tempat tidur dia ✅Buang sawang dalam rumah dia ✅Hantar anak ke sekolah dia ✅Cari duit tepi dia. ✅Beli barang dia. ✅Siang ikan, potong bawang,potong sayur pun dia.
Ads
Semua ini jika suami sama-sama lakukan insyaallah terbinanya keluarga bahagia. Lebih- lebih lagi jika kita hargai mereka dengan hadiahkan sesuatu atau sentiasa ucap TERIMA KASIH .
“Agak tidak masuk akal jika setiap hari isteri membebel, pasti ada yang tidak kena.”
Tambah saya lagi. Perbualan kami hampir 1 jam.
Tuan puan. Saya yakin dan percaya para ibu semua ikhlas . Inikan keluarga kita. Tanggungjawab kita. Mungkin itu cara para isteri akan dapat ganjaran pahala disini Allah.
Usah Pandang Remeh Masalah Ini
Namun kita sebagai suami jangan anggap remeh jika isteri suka membebel apabila disuruh itu ini, bising balik lewat malam, bising setiap hari ngeteh, bising bersukan sehingga larut malam.
Sebenarnya mereka mahu kita faham bahawa banyak perkara lebih penting untuk kita bersama mereka dirumah,untuk tengok sendiri dengan mata hati bagaimana cara mereka uruskan anak-anak dan kerja rumah.
Ads
Tidak susah untuk hindarkan isteri stress atau membebel. Yang penting kita faham apa tanggungjawab kita sebagai suami, sebagai bapa. Tugas bapa bukan keluar rumah mencari rezeki semata. Tugas suami/bapa memastikan setiap jiwa dalam rumah membesar dengan penuh kasih sayang dari seorang bapa juga, bukan dari seorang ibu yang stres.
Buat Apa Yang Patut
Paling koman pun kita sebagai suami balik rumah tengok apa yang patut dibuat, pinggan penuh di sinki singsing baju basuhkan, tanya isteri apa yang belum selesai dan kita akan bantu.
Masuk tandas sental apa yang patut. Kalau ada anak lelaki ajar mereka buat kerja rumah, betulkan langsir, sapu sampah, buang sampah, siram bunga, potong bawang, siang ikan. Didik anak-anak lelaki supaya ada sifat tanggungjawab terhadap keluarga.
Tak Payah Berkias
Dan tidak susah untuk didik suami. ‘Tarik’ tangan suami dan anak-anak. Ajak mereka sama-sama faham semua ini tanggungjawab bersama. Sudah-sudahlah dengan ayat kiasan. Cakap bagi terang.
“Abang.. boleh tak buang sampah,sayang nak mandikan anak”
Ads
“Abang.. boleh tak jaga anak sekejap sayang nak masak”
“Abang boleh tak main dengan anak-anak sekejap sayang nak tidur 30 minit”
“Abang jom tengok wayang hujung minggu ini”
“Abang boleh tak bungkus lauk sayang penat nak masak hari ini”
“Abang boleh tak sidai baju,sayang nak kemas dapur”
Puan-puan hidup perlu berterus terang dengan penuh hikmah. Jika terus berkiasan merana jiwa, merana badan. Insyaallah jika kita ikhlas untuk perbaiki apa yang kurang, pasti kebaikan akan datang setiap keadaan.
Perkahwinan adalah dibina bertujuan untuk mengecapi kebahagiaan,bukan untuk kita lalui kehidupan yang penuh dengan ‘onak’ yang menyakitkan. Jadi membebel bukan suatu perkara yang biasa,ia perlukan rawatan jiwa.
“Isteri datang sebagai permata,pastikan ia menerangi kegelapan yang ada”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak-mak sila ambil perhatian bila anak perempuan khususnya remaja mula berubah laku. Anak perempuan anda tak lagi anak perempuan manja anda. Tapi dia mula lakukan 7 tanda yang disenaraikan.
Berhati-hatilah mak-mak, sebab ini adalah tanda-tanda anak anda bakal menjadi mangsa jenayah seksual. Yang paling menyeramkan, hasil daripada kajian yang dijalankan kebanyakan pemangsa adalah dari kalangan individu yang dikenali. Contohnya, ayah, datuk, abang, adik beradik sendiri.
Bukan mahu menakut-nakutkan, tapi tanda-tanda sekecil ini perlu diambil peduli agar tidak menjadi isu besar sehingga anda tidak lagi mampu melindungi anak perempuan kesayangan anda.
Awas! Bila Anak Perempuan Mula Tunjuk 8 Sikap Pelik Ini
1. Anak tak lagi minta duit pada mak ayah.
2. Mak ajak makan, anak perempuan beri alasan dah kenyang.
3. Sering sendirian di dalam bilik.
4. Anak kita dapat hadiah yang pelik dari kebiasaan.
5. Tiba-tiba suka berangan.
6. Tak pasal-pasal suka melawa.
7. Gayanya seperti orang ‘mabuk’ bercinta.
Pelihara Anak Perempuan Kita Dengan Ikhtiar Ini
Kredit foto : netdoctor.co.uk
Pertama : Hindari Cermin Besar
Ada pendapat yang menyarankan anak perempuan jangan diberi cermin besar sebab ia boleh jadi tarikan pada anak gadis melawa atau melaram. Mintalah anak perempuan kita baca doa semasa menatap cermin, agar tidak diganggu dengan hasutan-hasutan jahat ‘syaitan’ yang membisikkan ke dalam hati sucinya untuk berbuat perkara negatif.
Kedua : Pisahkan Tempat Tidur
Bila anak perempuan dah masuk umur 9 tahun, pisahkanlah tempat tidurnya dengan adik-beradik lelaki. Masa ini anak-anak sudah mula mengenal dan akan timbul pelbagai persoalan dalam benak fikirannya.
Ketiga : Jangan Berfikiran Taboo
Kita terlalu dipegang oleh pantang larang, sampai hal yang sepatutnya dimaklumkan pada anak tidak disampaikan. Ketika anak sudah masuk 9 tahun, kita perlu terangkan sistem reproduksi manusia. Larangan mendedah atau menyentuh bahagian intim anak perempuan mahupun lelaki. Kesan, akibat larangan itu. Terangkan dengan jelas. Biarkan mereka tahu daripada kita, bukannya Internet atau orang lain yang kita tidak tahu niat di sebaliknya.
Yang Mak-mak Kena Tahu
* Remaja lelaki kurang cenderung dengan tarikan seksual berbanding remaja perempuan antara umur 13 tahun ke atas.
* Ini kerana, usia sebegini remaja perempuan tagihkan perhatian dan pujian daripada kawan-kawan mahupun orang sekeliling.
Olahan tip: Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!, 13&14 Mac 2017, PWTC, Kuala Lumpur
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kita tak tahu bila tiba ajalnya. Masih sempatkah untuk bahagiakan keluarga, tinggalkan dalam keadaan berharta untuk isteri dan anak teruskan kehidupan mendatang.
Mungkin ada yang fikir, tinggalkan dalam keadaan berharta, lambat laun akan dituntut oleh ahli keluarga yang lain. Mulalah berlaku perebutan harta dan lebih teruk mulalah memburukkan antara satu sama lain.
Tinggalkan keadaan berharta ata utidak, kedua-duanya boleh menjadi konflik antara isteri yang ditinggalkan dengan kelaurga di pihak suami. Biasalah, masaing-masing ingin menuntut haknya.
Sebenarnya, ada cara suami tinggalkan dalam keadaan berharta. Bukan meminta suami cepat meninggal. Tapi sekurang-kurangnya persediaan untuk anak dan isteri bila tiada lagi tempat untuk bergantung.
Perkongsian dariapda Dr. Azizul Azli Ahmad ini boleh dijadikan rujukan untuk suami isteri. Mungkin ini cara terbaik dalam meneruskan kehidupan mendatang. Moga bermanfaat.
1. Sediakan satu dana hibah buat isteri sebelum apa apa terjadi.
2. Didik isteri urus kewangan dan belanja keluarga. Ceritakan bagaimana kita urus belanja bayar semua.
3. Maklumkan isteri semua hutang yang ada. Hutang kereta berapa, rumah, budi dan pembiayaan peribadi.
4. Ceritakan pada isteri simpanan yang ada juga. Tabung ASB ada berapa dan hibahkan pada siapa? KWSP kita letak siapa penama. Begitu juga Tabung Haji ada berapa, saham apa kita ada.
5. Sediakan Dana Kecemasan 6 bulan gaji kita. Dan pastikan jika apa apa berlaku, isteri boleh guna dana kecemasan ini.
6. Ambillah Takaful Perlindungan Pendapatan. Saya bukan agen takaful tetapi saya galakkan semua suami kacak dan seksi ada perlindungan ini. Bayaran serendah RM50-RM150 sahaja sebulan.
7. Tulis senarai daftar, apa yang harus dilakukan “Jika Saya Meninggal?”. Bagaimana urus dana pencen, lapor pada siapa, dana KWSP perlukan salinan apa, siapa penama dan sebagainya.
Ada isteri hilang punca bila tiba tiba suami dijemput pergi. “Saya tak tahu nak buat apa apa”.
8. Sediakan Dana Pendidikan Anak dan Pelaburan. Ceritakan tabung mana kita simpan dan dana apa kita ada dalam pelaburan.
9. Hitung dan senaraikan Aset yang ada. Setahun sekali tulis beli saham apa, tanah di mana, rumah sewa dan berapa kereta yang ada.
10. Ajar Isteri sejak sekarang guna perbankan online untuk semua urusan. Jika semua urusan kewangan kita uruskan. Apa salahnya maklumkan pin bank, kata dah sayang.
11. Jangan harapkan sesiapa akan bantu dan urus keluarga kita. Yang namanya duit ini berhantu, sanggup telan dan hina saudara demi duit sahaja.
Tinggalkan keluarga kita dalam keadaan berharta. Bila miskin dan ada hutang, keluarga pun sanggup buang.
Mingguan Wanita : Inilah cara terbaik untuk suami lakukan. Walaupun rasa keluarga kita baik tapi bila bab duit mungkin boleh putus saudara. Kita tak tahu hati masing-masing.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...