Fizo Omar tamat zaman duda, tahniah! Sah bergelar suami gadis cantik Fazeera Nazri Azrai.
Sejak malam tadi, berlegar persoalan adakah benar pelakon yang juga bergelar duda Fizo Omar telah mendirikan rumahtangga sekali lagi apabila dirinya memuat naik sekeping gambar berbusana baju Melayu rona putih.
Menerusi hantaran tersebut pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar, 36 atau Fizo Omar turut bersama anaknya, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
“Ok Abe Joe (panggilannya) keluar group ‘terpakai’ dulu,” tulisnya sambil memetik tiga nama kenalan artis iaitu Nazim Othman, Sharnaaz Ahmad dan Azlee Khairi.
Seperti mana yang dipetik menerusi Kosmo! Online, Pengurus Fizo yang bernama Mimi telah mengesahkan pelakon itu sudah sah bergelar suami kepada Fazeera Nazri Azrai dalam satu majlis akad nikah yang dijalankan secara tertutup sekitar pukul 10 pagi, semalam.
Fizo dan gadis kelahiran Kuching, Sarawak telah melangsungkan majlis pernikahan mereka di Bidaidari Resort, Janda Baik, Pahang dan hanya dihadiri keluarga terdekat.
“Benar, Fizo telah selamat diijab kabulkan dengan gadis pilihannya sekitar pukul 10 pagi semalam dan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
“Dalam majlis tersebut, Fizo telah menyerahkan sebentuk cincin kepada Fazeera” kata Mimi.
Menurut Mimi lagi, majlis resepsi berkemungkinan akan diadakan kemudian dan Fizo bakal membuat satu pengumuman kepada media dalam masa terdekat.
Untuk makluman Fizo sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun. Namun jodoh mereka tidak panjang dan berpisah pada Julai 2019.
Mingguan Wanita : Tahniah diucapkan buat Fizo dan isteri. Semoga pernikahan mereka berkekalan hingga ke jannah!
Sumber : Kosmo! Online
Sumber Foto : Instagram Fizo Omar & Instagram Grandamarahalls
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Akui anak ini, Pe Chey suatu ketika dulu ibunya pernah alami sakit meroyan. Sampai ibunya hilang diri sendiri. Bila mak tak macam mak yang mereka kenal, maka bukanlah sesuatu yang mudah untuknya uruskan mak sakit yang ketika itu dia sendiri sedang hadapi peperiksaan besar SPM.
Apa pun, itulah pengalaman hidupnya yang paling mahal. Dan itulah juga yang mematangkan dirinya menjadi anak malah suami yang bertanggungjawab pada keluarganya.
Mak Sakit, Lupa Siapa Dirinya..
Mak sakit. Sakit meroyan.
Sakit yang buatkan mak bukan macam mak.
Mak lupa siapa dia, mak meracau-racau
Tahun 1991, mak lahirkan adik aku yang bongsu setahun sebelumnya. Adik Ani. Aku masa tu di tingkatan 5. Along ( abang ) dengan akak-akak dah tak ada kat rumah.
Diaorang semua ada yang dah kahwin, yang dah kerja kat Kuala Lumpur. Diaorang dah tak duduk kat rumah dah. Sedih aku.
Akulah anak paling tua masa tu. Akulah abang, akulah kakak. Adik bawah aku, Aja sekolah pondok kat Baling.
Tingallah Apit, Kila, Yati, Aya , Amin dan Ani, si kecik sekali. Kamilah yang kena kemas rumah. Aku yang kena arahkan.
Bukan senang aku nak menggalas tanggungjawab tu. Selama ni, ada akak. Pada kakaklah aku dan adik lain bergantung harap. Pada kakaklah kami semua bermanja.
Akak Chom dan akak Wani.
Diaorang berdualah yang banyak berkorban untuk aku dan adik yang lain. Baik bab buat susu, nak.makan, mandi, basuh berak segala.
Sebenarnya masa mak beranakkan Amin, tahun 1986 dulu, mak dah pernah kena meroyan ni. Kau yang baca ni, kalau tak faham apa tu meroyan boleh google bagi faham.
Jadi kali ini mak kena balik. Kali ini pulaklah paling teruk. Mak dah tak rupa mak yang selama ni kami kenal. Dia berubah terus.
Bayangkanlah lepas pantang, mak dah tak terurus. Bab masak, nasib baik ada aku dengan Apit. Kami berdua masak ikut apa yang kami reti. Telur goreng tu standard.
Pernah satu hari tu, Apit yang masa tu baru darjah 6, masak kari ikan. Aku terkejut. Aku tanya dia,
” Mana kau reti masak kari ikan ni Pit? Gilalah. Sedap pulak tu kau masak ni.”
” Aku tengok mak masak. Aku tiru jelah.”
Aku ketawa, Apit gelak. Kami sama-sama menyudu kuah. Kami hidang. Ajak adik lain makan. Ada yang aku kena suapkan.
Mak perlu dimandikan. Berak kencingnya juga kena dibasuh. Aku dengan Apit kena sama-sama bawa mak ke bilik air, bersihkan mak. Mak dah hilang ingatan. Datang murungnya, dia menjerit. Datang amuk, dia mengamuk.
Bukan Senang Nak Jaga Mak..
Bukan senang nak jaga mak. Mak kena dijaga sepenuhnya. Kalau tak, dia lari dari rumah. Banyak kali dia ugut dia nak lari. Abahkan polis. Kerja polis faham-faham jelah. Tak tentu masa.
Akulah kena tunggu mak. Itu pun aku curi-curi keluar pergi sekolah waktu petang untuk berlatih hoki. Aku pesan Apit untuk jaga mak.
Pagi, waktu aku pergi sekolah. Aku pesan kat Acu ( Maksu, adik mak ) yang duduk depan rumah tengokkan mak. Banyak benda aku kena pikul waktu tu. SPM adalah puncak apa yang aku perlu kecapi.
Kau ingat aku senang nak belajar masa tu?
Tuhan je tahu siksanya aku nak ambil SPM.
Aku, masa tu rasa nak menangis, nak menjerit, nak lari, nak apa tah aku pun dah lupa. Mana taknya, tengah-tengah malam mak mengamuk. Dia punya mengamuk, memang aku terbang.
Berjaga Depan Pintu, Sebab Tak Bagi Mak Keluar Rumah
Pernah satu malam tu, abah kerja malam. Mak mengamuk. Dia nak abah balik. Entah apalah dia fikir masa tu. Aku pegang mak. Peluk. Mak tolak pakai siku, aku terpelanting ke dinding.
Sepanjang malam tu aku tidur duduk depan pintu rumah. Mak banyak kali tolak aku. Aku tolak mak balik. Aku pujuk mak suruh pergi tidur. Aku dah penat masa tu, letih ya amat.
Dia tengok je aku. Muka garang macam harimau. Aku tunjuk tempat tidur dia. Dicarutnya aku macam-macam. Aku sabar. Mak tengah sakit. Mak meroyan.
Aku tertidur kat pintu rumah sampi ke Subuh. Bila abah balik kerja, abah tanya aku, kau tidur tak. Aku jawab, tidur bah. Tidur-tidur ayam. Ayam apa, aku tak pasti.
Jenuh juga bawa mak berubat. Kadang-kadang nampak dah sembuh, lepas tu datang balik. Begitulah mak masa sakit dulu. Betapa aku dapat pengalaman yang tak terperi menjaga mak sakit masa tu.
Air mata aku kering masa tu hinggakan seolah terlupa untuk menangisi nasib aku yang diuji oleh tuhan dengan sedemikian rupa.
Mak sakit meroyan, aku ikut sakit juga. Sakit jiwa raga nak SPM masa tu. #NfI #ceritamak
Kenangan- kenangan ini aku simpan kemas dalam sanubari. Tak pernah aku lupa akan setiap apa yang pernah aku lalui dulu. Perit dan deritanya mematangkan aku. Aku anak, aku abang dan kakak pada adik-adik aku dulu.
Sharekan kalau kisah ni best.
MW : Hebatnya pengorbanan anak ini. Syukur, sisi positif yang anak ini kutip dan akhirnya, anak membesar menjadi ayah yang hebat di mata anak-anaknya pula.
Lelaki ini, Najmi Farisham tak pernah menyangka akan melalui detik disahkan positif Covid-19. Tidak pernah terbayangkan, malah dia begitu berjaga-jaga dengan pakai pelitup muka dan sanitasi tangan setiap kali keluar rumah.
Namun, takdir tuhan tiada siapa menduga. Bukan saja dia, malah ada ahli keluarga yang turut disahkan positif. Dan beliau berkongsi pengalaman, kekal bertenang biar pun sakit diuji dengan virus Covid-19.
Akhirnya Tuhan Pilih Aku..
Tak sangka, akhirnya kali ini Tuhan pilih aku untuk merasa jangkitan positif virus COVID-19 ini. Fuh!
Dari Madinah, kemudian terbang balik ke Malaysia, kena cucuk mulut hidung dah. Syukur, negatif ketika itu. Dapatlah merasa menginap di hotel 5 bintang, lengkap segalanya.
Masa itu, virus ini tengah mengganas betul. Kes di serata dunia naik mencanak-canak. Tambahan, dunia tengah kalut sebab masih belum jumpa cara nak mengawalnya.
Dah sampai di Malaysia, aku merantau ke sana ke mari. Rentas daerah, rentas negeri. Semuanya selamat. Namun itulah, kalau Tuhan tak nak beri lagi, pergilah ke mana sekalipun tetap tak dijangkiti.
Pada penghujung Mac lepas, kami sekeluarga disahkan positif.
Rasa Tak Sedap Satu Badan
Mula-mula umi kena, demam dan batuk-batuk. Terus dibawa ke hospital untuk kuarantin.
Aku dah rasa tak sedap badan dah. Tubuh berasa tak bertenaga sangat. Berdiri lama, rasa nak rebah. Demam menggigil, sakit kepala, sakit sendi badan. Nak tidur malam pun tak boleh.
Dalam hati memang dah rasa sangat, “Konfem positif ni nampak gayanya.”
Aku terus mengasingkan diri, duduk di bilik lain. Tak nak bercampur dengan orang lain terutamanya anak dan bini.
Akhirnya Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telefon, mengarahkan kami sekeluarga untuk datang melakukan saringan sebab dikira kontak rapat dengan umi.
Pagi pergi buat saringan, tengah hari itu terus pegawai PKD telefon.
“Encik, Muhammad Najmi ke?”
“Ha, ya saya.”
“Saya nak beritahu result pagi tadi, yang encik positif. Nanti siap-siap kemaskan barang ya, ambulan datang jemput di rumah.”
Terkejut Tidak, Takut Apatah Lagi
Yang peliknya, aku tak rasa terkejut langsung. Takut pun tidak. Tak adalah duk terbayang yang bukan-bukan.
Mungkin sebab gejala yang aku alami itu dah teruk. Jadi aku memang mengharapkan supaya dikuarantin di tempat khas. Bukan di rumah. Risau benda ini berjangkit ke orang rumah, anak, adik-adik dan nenek yang ada sekali.
Lagipun aku faham benar yang virus ini tak ‘berbahaya’ untuk orang muda. Ramai yang dah survive. Dan benda ini harus dibendung sepenuhnya dalam tempoh 10 hari awal. Sebab tempoh inilah virus itu sangat aktif.
“Saya seorang ja kan yang positif? Orang rumah, anak, adik-adik, nenek yang swab sekali pagi tadi negatif kan?” tanya aku mendapatkan kepastian sebelum menamatkan perbualan.
“Ya encik, yang lain semua negatif,” jawabnya tenang.
Ah, syukurlah!
Masa ambulan sampai, seorang petugas lengkap berpakaian ‘angkasawan’ keluar menjemput. Ceria orangnya, membuatkan mental dan psikologi kita tak berasa lemah.
Aku melangkah naik ke ambulan dengan penuh tenang. Kepala tak diserabutkan dengan benda bukan-bukan. Aku hanya nak kuarantinkan diri di tempatnya saja, bukan di rumah.
Adik-adik Dan Nenek Pula Disahkan Positif
Seminggu kemudian, adik-adik aku dan nenek pula disahkan positif selepas saringan kedua. Ada yang bergejala, ada yang tidak. Dugaan sungguh! Mujurnya, anak bini kekal negatif.
Nenek dibawa ke Hospital Tumpat kerana berisiko tinggi. Dia ada kencing manis. Jadi memerlukan pantauan khas dari pihak hospital.
Adik-adik aku yang lain dihantar ke Hospital Pasir Puteh, tempat aku dikuarantinkan. Dah jadi macam tempat pertemuan keluarga pula. Kahkah. Doktor pun nak tergelak siap pesan lagi dekat aku, “Awak sebagai senior di sini, jaga bebaik adik-adik awak tu. Haha”
Hari Ke-12 Dibenarkan Pulang
Jujurnya sikap perwatakan para petugas di sini juga memainkan peranan penting untuk kami kekal kuat. Setiap kali kami berhubung untuk pemantauan, ceria dan riang saja nada suaranya. Tak adalah duk mengeluh ke, apa ke.
Makan cukup, rehat cukup di tempat kuarantin. Tak ada duk risau virus ini akan terjangkit dekat sesiapa lagi. Paling penting, kena kuatkan semangat. Jangan fikir bukan-bukan.
Hari ke-12, aku dibenarkan pulang. Kami sekeluarga survive, alhamdulillah! Kluster yang melibatkan kami pun, seingat aku dah diisytiharkan tamat dah.
Pakai Pelitup Muka, Tangan Disanitasi Selalu
Biarpun gejala yang dialami masih belum pulih sepenuhnya, namun yang paling penting tempoh aktif virus ini sudah tamat.
Kata doktor, tubuh badan bekas pesakit COVID-19 sudah membentuk satu imuniti baru untuk melawan virus ini. Jadi kami tidak akan dijangkiti bahkan tidak akan menjangkiti sesiapa lagi. Dalam erti kata lain, kami sudah selamat alhamdulillah!
Ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sungguh. Ketika dunia dan negara sendiri bertungkus lumus melawan wabak yang entah bila penghujungnya, aku dengan tak sengaja memberi ‘jasa’ dalam statistik angka. Kahkah!
Ya, kita tak minta pun nak kena. Pelitup muka, pakai. Tangan disanitasi selalu, sampai lencun kalau masuk ke pasar raya. Namun bila Allah takdirkan kita untuk menerimanya, jangan melenting. Tabah dan reda dengan ketentuan-Nya.
Bukankah ujian itu untuk menambahkan lagi iman kita?
Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham,
Bekas pesakit COVID-19.
“Baju terakhir dipakai Arwah sebelum ke hospital masih elok dalam simpanan. Jadi pengubat kerinduan” begitulah antara ungkapan daripada Shuib yang juga suami kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang mengundang sebak.
Ternyata kerinduan masih bersarang dihati Shuib sekeluarga selepas kehilangan isteri tercinta setahun yang lalu.
“Baju Terakhir Dipakai Arwah Sebelum Ke Hospital Masih Elok Dalam Simpanan”
Kejutan dan kesedihan yang dialami selepas kehilangan seseorang adalah sangat berat. Kehilangan orang yang dicintai sememangnya tidak mudah.
Pastinya kita mula berubah dengan kehilangan yang berlaku, tetapi sebagai insan biasa kita juga mesti belajar untuk bertahan, dan menjadi lebih matang.
Seperti yang umum ketahui, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu jam 5.13 pagi, akibat Covid-19. Arwah juga menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos yang diberi nama Ayash Affan.
Terbaru menerusi kenyataan di Harian Metro, Shuib menerangkan walaupun sudah setahun pemergian Siti Sarah, dia masih menyimpan barang-barang peribadi milik isterinya itu untuk dijadikan kenangan.
“Ada barang-barang arwah masih saya simpan. Kalau terkenang bolehlah lihat dan pegang.
“Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum ke hospital masih elok dalam simpanan. Itu jadi pengubat kerinduan terhadap arwah,” katanya ayah kepada empat cahaya mata itu.
Mimpi Sedih
Shuib juga menerangkan dia pernah mendapat mimpi sedih seakan-akan Allahyarham Sarah tidak bersetuju dengan keputusannya untuk mengubah suai kediaman.
“Selepas enam bulan arwah meninggal dunia, saya pernah terfikir nak ubah suai rumah untuk memberi suasana baharu dan sudah berbincang dengan pereka dalaman.
“Namun, bulan lalu saya batalkan hasrat itu selepas mendapat mimpi sedih.
“Dalam mimpi itu, saya masuk ke rumah baharu dan tercari-cari arwah tapi dia tiada.
“Ketika itulah saya sedar dia sudah meninggal dunia,” ungkapnya.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...