Setiap wanita akan menjalani waktu haid yang tersendiri setiap bulan. Kitaran haid (menstrual cycle) normal bagi seorang wanita adalah dalam tempoh 28-30 hari. Setelah berkahwin adalah penting untuk mengetahui dan memahami kitaran haid sendiri demi kebaikan diri. Ia sebagai panduan bagi mengetahui waktu subur anda yang sebenar serta membantu bagi pasangan yang merancang untuk hamil.
Fasa Kitaran Haid Wanita;
FASA PERTAMA: Hari pertama hingga ke 5
Fasa ini di kenali dengan fasa keluar darah (menstruation). Anda harus mencatat atau mengingati tarikh ini sebagai hari pertama datang haid. Hari pertama inilah yang akan menjadi titik tolak permulaan kitaran haid sehinggalah haid tamat dan kitaran haid bermula yang baru pada bulan seterusnya.
Ads
FASA KEDUA: Hari ke 6 hingga ke 10
Pada tempoh ini, hormon estrogen dalam tubuh wanita adalah berada pada tahap yang optimum dan darah akan membentuk lapisan tebal di dinding Rahim. Fasa ini dikenali dengan nama follicular phase. Telur iaitu ovum yang berada di sekitar ovari berada pada tahap matang dan bersedia untuk disenyawakan.
FASA KETIGA: Hari ke 14 (Waktu Subur)
Hari ini juga merupakan waktu subur bagi seorang wanita. Pada peringkat ini, ovum akan dilepaskan dari ovari dan proses ini dipanggil ovulasi. Ovum akan dilepaskan dan menanti kehadiran sperma untuk disenyawakan. Sekiranya tiada proses persenyawaan berlaku, maka ovum akan bergerak ke tiub fallopio ke rahim seorang wanita.
Ads
FASA KEEMPAT: Hari 19 hingga 28
Pada fasa ini, hormone progestron akan dirembes keluar. Dengan kehadiran hormone ini, lapisan dinding uterus semakin menebal. Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, maka lapisan dinding akan terus menebal dan akan runtuh semula dan proses kitaran haid akan berulang kembali.
INFO EKSTRA
Adalah sangat penting bagi setiap wanita mencatat tarikh kedatangan haid setiap bulan secara konsisten:
Ads
1.Mengenal pasti penyakit dalaman berkaitan rahim, ovari dan sebagainya.
2.Merancang kelahiran anak/ perancangan keluarga.
3.Mengetahui waktu subur.
4.Untuk mengira waktu tepat usia kehamilan anda.
5.Memudahkan membuat jangkaan tarikh bersalin.
TAHUKAH ANDA!
Meskipun perjalanan haid normal ketika belum berkahwin, ketidakstabilan hormon seringkali berlaku pada wanita yang baru menjejakkan kaki ke alam perkahwinan dan wanita selepas bersalin yang mengakibatkan kedatangan haid jadi tidak teratur.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tidak ada isteri yang mahu suami berubah hati. Hakikat bahawa suami sudah tidak ada perasaan kepadanya adalah sangat menakutkan. Berbeza dengan lelaki yang boleh berbahagi cinta dan perasaan, hati isteri tidak begitu. Cinta mereka hanya mendapat balasan serupa daripada seorang lelaki bernama suami.
Jika suami sudah tidak mencintai, ke mana cinta itu mahu diberikan? Ada beribu-ribu ayat untuk menyatakan betapa takut dan kesalnya mereka sekiranya keadaan suami tak lagi cinta berlaku. Semua itu tidak berlaku dengan tiba-tiba.
Ada petunjuk yang boleh dibaca sebelum segala-galanya terlambat. Tahukah anda apa petunjuk itu?
4 Tanda Suami Berubah Hati, Tak Lagi Cintakan Isteri
Pertama : Suami Tak Endah Tarikh Penting Anda Berdua
Anda tahu yang ramai lelaki tidak ingat tentang tarikh-tarikh penting peristiwa penting antara anda berdua. Tarikh bertunang, tarikh perkahwinan, majlis rumah lelaki, majlis rumah perempuan dan sebagainya.
Jangan salahkan mereka kerana memang kebanyakan memang begitu sifatnya. Anda bertuah kerana sebelum ini dia sentiasa ingat tarikh-tarikh itu. Sudah berbelas tahu dan dia tidak pernah gagal.
Cuma tahun lepas dia tidak sebut dan tidak merancang apa-apa untuk meraikan tarikh yang anda anggap sangat penting itu. Tahun ini juga serupa dan tarikh itu semakin dekat.
Kali ini anda bertanya dan dia seperti kelihatan tidak endah. Memang ramai lelaki lain yang tidak ingat tarikh perkahwinan mereka tetapi perubahan yang berlaku pada suami anda itu perlu diberikan perhatian serius.
Kedua : Suami Mula Salahkan Isteri Untuk Sekecil-kecil Perkara
Sebelum ini dia begitu melindungi anda dengan mengambil semua tanggungjawab. Setiap malam tidur anda lena kerana tidak ada masalah. Sejak kebelakangan ini dia sentiasa menyalahkan anda atas semua masalah yang dia hadapi.
Masalah kewangan, masalah di pejabat bahkan tayar kereta dia pancit tengahari tadi pun dia salahkan anda. Benar, dia mungkin sedang menghadapi masalah. Cuma berdoalah semoga bukan ‘anda’ yang menjadi masalah itu.
Ketiga : Suami Tak Jawab Panggilan Anda Lebih 5 Kali
Cuba ingat semula semasa bercinta dahulu. Berapa kali dia telefon anda? Dua kali, lima kali, sepuluh atau setiap jam sekali? Sekarang bagaimana?
Adakah dia tidak pernah lagi menelefon anda semula selepas berkali-kali panggilan anda tidak berjawab? Ramai suami yang tidak kisah jika satu atau dua kali pangilan telefon daripada isterinya tidak berjawab.
Tapi jika lebih lima kali panggilan anda tidak berjawab dan dia tidak telefon anda semula, besar kemungkin perasaannya sudah tidak ada lagi pada panggilan anda itu. Lelaki tidak boleh menyimpan perasaan ‘cinta’nya di dalam peti sejuk. Ianya mesti diberikan kepada seseorang.
Keempat : Telefon Suami Sudah Ada Password Yang Dirahsiakan
Jika sebelum ini andalah orang itu tetapi sekarang anda rasa tidak lagi begitu. Jika dahulu telefon dia samalah seperti telefon anda tetapi sekarang tidak lagi. Dia cukup tidak suka anda sibuk dengan telefon dia. Telefonnya sekarang mempunyai ‘password’ yang anda tidak tahu.
Semalam apabila anda tanya apa ‘password’ telefonnya, terus dia bertukar menjadi raksasa hijau bermata merah. Kenapa dia jadi begitu, anda mungkin boleh fikirkan sendiri.
Anda Lebih Tahu Macam Mana Nak Selesaikan
Ada banyak lagi tanda-tanda kemungkinan suami sudah tidak mencintai isterinya. Jika anda merasakan tanda-tanda itu telah ada dan semakin bertambah setiap hari. Maka bertenanglah dahulu. Bukan anda seorang yang begitu. Ramai isteri dan juga suami yang menghadapi masalah serupa apabila pasangannya hilang perasaan kepada mereka.
Anda tahu apa yang perlu dilakukan, maka lakukanlah apa saja yang terbaik demi rumahtangga anda dan keluarga. Tidak ada orang lain yang boleh mengesahkan perkara itu kecuali anda tanyakan sendiri kepada suami.
Jika banyak daripada petunjuk ini telah ada maka sudah sampai masanya anda perlu berbincangan panjang dengan suami. Hanya dia yang tahu perkara sebenar dan masih belum terlambat untuk anda menyelamatkan keadaan.
Anda tentu faham apa maksud saya, bukan?
Penulis : Dr Syed Yusainee Yahaya, Kaunselor Profesional, Relationship Coach
Kolumnis Majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Biasa dengarkan suami isteri, yang tinggal sebumbung, tapi tak tidur sekatil. Dengan kata mudahnya, tidur berasingan. Kebiasaan ini normal bagi pasangan yang dah berusia. Banyak alasan yang mereka beri.
Tapi, tahukah wahai suami mahupun isteri, inilah kebiasaan yang boleh merenggangkan kasih sayang antara suami isteri. Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangormenjelaskan apa perlunya suami isteri tidur bersama.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor
Tidur Berasingan Suami Isteri, Ini Kebiasaan Yang Melonggarkan Kasih Sayang
Dalam jangka panjang, apabila suami isteri tidur berasingan ikatan hubungan akan longgar dan kasih sayang akan sedikit demi sedikit menjadi pudar. Ini berlawanan dengan konsep dan tujuan perkahwinan.
Dalam ajaran agama Islam matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) danRahmah (rahmat Allah SWT). Kita amat memerlukan generasi yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika isu ini tidak diselesaikan di peringkat suami isteri dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku anak-anak yang akhirnya tiada erti keluarga bahagia yang boleh memberi jaminan kepada masa depan negara.
Jika Tak Boleh Elak, Ini Syarat Tidur Berasingan
Hukumnya harus bagi suami isteri tidur berasingan. Namun adalah lebih baik dan afdhal suami isteri tidur satu bantal di atas satu tempat tidur di dalam satu bilik. Walaupun tidur berasingan adalah wajib bagi isteri melayan suami pada waktu malam terutamanya hubungan kelamin kerana ada hadith sahih mengenainya.
Cuma Dibenarkan 3 Hari Tidur Asing
Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Ini bermakna pasangan berkongsi kasih sayang, berkongsi perasaan, berkongsi masalah, berkongsi pengalaman seharian, berkongsi tempat tinggal, berkongsi anak-anak dan berkongsi aspek lain.
Jika suami isteri tidur berasingan hanya kerana protes perkara kecil sehingga mementingkan diri sendiri, ianya akan mendatangkan konflik rumah tangga. Hidup mementingkan diri tanpa memikirkan keperluan dan keselamatan keluarga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta perlu dielakkan.
Walau bagaimana pun dalam ajaran Islam salah satu cara untuk mendidik isteri yang tidak taat adalah mengasingkan tempat tidur dengan isteri jika suami telah berbincang dan menasihati isteri untuk taat dengan permintaan suami (yang tidak bercanggah dengan syariat Islam).
Itupun hanya dibenarkan selama 3 hari sahaja. Jika lebih dari 3 hari selepas mengasingkan tidur bersama isteri, suami boleh pergi ke Mahakamah Syariah untuk menuntut isteri kembali taat sebelum mengisytihar isterinya Nusyuz.
Kenapa Suami Isteri Pilih Tidur Berasingan
Pertama : Selisih Faham
Pasangan yang mengalami konflik akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan kadangkala ego yang tinggi di antara keduanya ketika menghadapi masalah rumah tangga boleh menjadi salah satu punca.
Masalah rumah tangga tersebut disebabkan oleh pelbagai masalah seperti masalah komunikasi, masalah kewangan, masalah seksual, masalah akhlak dan lain-lain lagi. Akibat daripada itu, pasangan akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Kedua : Terlalu Penat Bekerja
Oleh kerana keadaan kewangan keluarga mendesak disamping kehendak sosial yang berlebihan, suami dan isteri berkerja keras untuk menambah pendapatan sehingga tidak mengira waktu siang atau malam.
Akibat keletihan akhirnya pasangan tidak begitu kisah jika tidur berasingan kerana faham masing-masing penat dan letih. Contohnya suami sering pulang lewat malam sedangkan isteri telah tidur terlebih awal.
Suami menonton televisyen sehingga tertidur di ruang menonton. Kesan daripada rutin tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak kisah tidur berasingan kerana selesa tidur tanpa diganggu.
Ketiga : Inginkan Privasi
Ia bergantung kepada cara hidup yang diamalkan oleh pasangan. Pasangan yang terdidik sebelum berkahwin mempunyai ruang privasi boleh menjadi salah satu punca tidur berasingan.
Ini kerana mereka telah selesa mempunyai bilik sendiri, cara tersendiri dan meluangkan masa di bilik sendiri walaupun hubungan suami isteri masih tetap berjalan seperti biasa.
Keempat : Suami Atau Isteri Ada Penyakit
Isu penyakit juga boleh jadi salah satu sebab terutamanya suami atau isteri mengalami penyakit penyakit berjangkit, penyakit fizikal (contoh kes suami pernah mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan sakit pinggang, isteri pula tidur lasak sehingga banyak kali tertendang pinggang suami) serta penyakit berkaitan psikologi (perangai dan tingkah laku) dan penyakit psikiatri (emosi dan perasaan).
Isteri Pilih Tidur Dengan Anak Kerana..
Isteri telah merajuk dengan suami kerana berselisih faham
Isteri telah terbiasa tidur dengan anak sejak melahirkan anak
Isteri telah berasa risau dengan keperluan anak di tengah malam (anak mahu susu, mahu buang air kecil, anak demam, dan sebagainya)
Isteri telah menunaikan permintaan anak untuk tidur bersama kerana berasa takut tidur berseorangan
Fakta Ini Memang Mengejutkan
Menurut Ustazah Maryam, “Belum ada statistik spesifik kepada kes berpisah ranjang. Namun kebiasaanya pasangan yang berpisah ranjang adalah disebabkan konflik rumah tangga yang bermula daripada masalah akhlak yang buruk.”
Berdasarkan statistik Aduan Kekeluargaan di Jabatan Agama Islam Selangor, masalah tertinggi pada tahun 2016 ialah Masalah Akhlak iaitu sebanyak 19,255 aduan.
Ada sebanyak 42 jenis aduan dalam Masalah Akhlak dan yang paling tinggi ialah Suka Menyakiti Hati Pasangan iaitu sebanyak 1,192 aduan mengenainya dalam tahun tersebut.
Manakala pada tahun 2017, Masalah Akhlak juga merupakan tertinggi daripada 10 jenis aduan (Masalah Tidak Bertanggungjawab, Masalah Kurang Penghayatan Agama, Masalah Campur Tangan Pihak Ketiga, Masalah Perbezaan Latar Belakang, Masalah Seksual, Masalah Ekonomi, Masalah Komunikasi, Masalah Kerjaya, Masalah Kesihatan dan Masalah Akhlak).
Masalah akhlak mencatatkan jumlah sebanyak 15,440 dan Suka Menyakiti Hati Pasangan merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 973 aduan.
Norhayati Othman/Netty Ah Hiyer
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila dah kahwin, jangan pelik kalau isteri minta tolong buat kerja rumah. Benda biasa dan tolong hadam awal-awal sebelum naik pangkat jadi suami orang.
Nak-nak pula kalau isteri tengah ada anak kecil, sesekali mesti isteri minta tolong suami untuk sidai kain dan memasak. Haa… tetapi macam mana pula pandangan orang luar?
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, abaikan orang nak membawang, janji kita bahagia hidup suami isteri. Nah, jemput renungkan seminit dua.
Apa Salahnya Tolong Isteri Buat Kerja Rumah
“Senah, kau tengok jiran kita tu. PEMALAS betol… ada ke dibiarnya laki dia yang sidaikan baju-baju. Dah la laki dia kerja penat-penat, hari cuti kena buat kerja rumah pulak.”
“Kesian laki dia kan, dapat bini PEMALAS…”
Naaahhh… nampak laki orang sidai baju, bini pemalas. Nampak laki orang pegang penyapu, bini pemalas. Nampak laki orang cuci pinggan mangkuk, bini pemalas. Bini pulak yang salah.
“Mat, kau tahu tak, ari tu aku lalu depan rumah Mael. Aku nampak Mael tengah menyapu kat ruang tamu. Kasihan dia Mat, muka nampak ganas, tapi TAKUT BINI.”
Pulakkk dahhhh… nampak member buat kerja rumah, takut bini. Member tak boleh keluar melepak, takut bini. Member lebihkan bini dari kawan, takut bini. Bini lagi yang salah.
“Abang, pergi ambikkan pampers dalam bilik, ayang nak tukar pampers anak ni. Abang, tolong buang sampah jap, sampah dah penuh. Abang, tolong keluar ke kedai bli garam jap, garam dah habis.”
“Osman, ari tu aku tengah bersembang dengan Abu kat luar umah dia, bini Abu suruh dia macam-macam. Ambil pampers, buang sampah, keluar pergi kedai. Kasihan Abu sebab dia dapat bini jenis QUEEN CONTROL.”
Dalam 24jam, tak pernah ke korang ni guna akal? Apa yang dibuatnya sebagai suami itu, salah ke? Tolong isteri sidai baju, salah? Tolong isteri kemas rumah, salah? Kerja rumah tu kerja siapa?
Sekarang ni, siapa yang tolong kerja siapa.
Saling Melengkapi, Itu Lebih Baik
Hidup berumah tangga ni kena saling bantu membantu, lengkap melengkapi. Isteri suruh bukan bertujuan MENGARAH. Kalau dia boleh buat sendiri, dia akan buat tanpa perlu menyuruh. Mungkin keadaan dan situasinya tak membenarkan dia untuk buat sendiri lalu dia meminta pertolongan suami.
Kita orang luar, kita dengar dan nampak macam suami turut perintah isteri, suami takut dengan isteri, suami memanjakan isteri dan sebagainya, walhal sebaliknya. Member tu dah cukup baik dah jadi seorang suami dan isteri dia dah tersangat bersyukur dan bertuah dah dapat suami yang ringan tulang. Korang je yang fikir lebih-lebih, membawang bukan-bukan.
Tak hilang telur dan kejantanan orang laki bila tolong bini.
Korang yang mengata tu, buat ke tidak semua kerja-kerja ni? Taubat lahom la tak buat. Dah kerja nak mengata je.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!