Doa adalah pengikat kasih sayang antara mak ayah dan anak-anak. Lafaz yang tulus daripada lubuk hati seorang ibu, tiada hijab di sisi Yang Maha Esa.
Malah doa juga merupakan senjata ampuh bagi kaum muslimin. Doa petanda pengharapan yang tulus kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang berhak dan berupaya mengatur kehidupan kita dan melunaskan hajat kita selain daripada-Nya.
Usah Persiakan Peluang
Oleh yang demikian, ibu yang solehah pasti sentiasa bergantung penuh kepada-Nya dan berharap setulusnya kepada Yang Maha Pengkabulkan hajat. Maka usah abaikan kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Allah ini, ia berada tepat di tangan kita untuk digunakan semahunya!
Rakan penjaga yang dihormati, walau apa sahaja keadaan yang sedang kita hadapi sekarang, duduk letaknya diri kita dalam seluruh sistem kehidupan ini harus kita fahami dan ketahui. Kedudukan sebagai hamba Allah harus diredai dan dihargai. Tiket sebagai hamba kepada empunya alam semesta adalah sebuah tiket yang amat berharga. Syaratnya adalah dengan penyerahan total kepada-Nya.
Semakin kita bergantung kepada-Nya maka makin diaturkan seluruh makhluk untuk membantu dan berkhidmat kepada kita. Perhatikan sahaja tabiat seorang anak kecil yang tidak bermaya, dia hanya mampu menangis untuk menghantar mesej kepada orang sekelilingnya.
Walaupun orang sekelilingnya tidak memahami mesej tersebut dengan jelas namun dengan kuasa Allah ada sahaja bantuan yang dibawa oleh orang tersebut bagi melunaskan hajat anak kecil tersebut. Begitulah yang bakal terjadi jika kita benar-benar berserah diri kepada Allah.
Ads
Rahmat Dan Belas Kasihan Allah
Dalam mendidik anak-anak, pengharapan ini harus diletakkan tinggi. Kita harus memahami bukan usaha kita yang menjadikan anak tersebut baik, soleh ataupun sebaliknya, malah rahmat dan belas kasihan daripada Allah yang menggerakkan semua perkara tersebut.
Justeru, usaha yang dijalankan harus diiringi sentiasa dengan doa yang tulus buat anak-anak. Lafazkan dengan setulusnya daripada lubuk hati yang penuh harap sepertimana doa ibu Musa as ketika menghanyutkan anaknya, sebagaimana pengharapan Nabi Yaakob ketika mengetahui kisah mudarat yang menimpa Nabi Yusuf as, semuanya diiringi dengan rasa pengharapan yang tinggi, reda dan sabar.
Kebahagiaan Di Akhirat Kunci Kejayaan Di Dunia
Selain itu, doa ibu dan ayah harus tahu tujuan asal kehadiran anak-anak di muka bumi dan impian utama yang perlu dicapai bagi setiap insan.
Insya-Allah, dengan mengetahui perkara ini, doa kita lebih terpandu malah hala tuju kehidupan anak-anak kita menjadi lebih terarah. Dengan kesedaran ini, ibu bapa meletakkan harapan kepada perkara yang harus diletakkan harapan bukan yang sebaliknya.
Ads
Kebahagiaan anak di akhirat adalah kunci untuk kejayaannya di dunia. Ini harus diutamakan. Kemudian, berusaha juga untuk menyediakan suasana persekitaran yang tepat bagi menyokong doa yang dipanjatkan. Doa yang kita panjatkan adalah kiriman daripada Allah, maksudnya Allah memang nak bagi kita cuma sebagai hamba, sunnatullah-Nya kita haruslah tunjukkan kesungguhan untuk mendapatkannya.
Doa Bukan Sekadar Lafaz
Doa bukan terhad kepada lafaz semata ia juga ditunjukkan melalui perbuatan dan usaha yang dipanggil lisanul hal. Sebagaimana usaha keras Siti Hajar berlari-lari mendaki dan menuruni Bukit Safa dan Marwah dengan penuh harapan bagi menghilangkan dahaga anakanda kesayangannya walaupun secara logiknya sukar untuk mendapatkan air di padang pasir.
Namun pengharapan yang tinggi ditambah dengan pameran usaha yang tidak putus maka Allah anugerahkan air yang barakah untuk mereka dan manfaatnya sehingga ke hari ini dapat kita rasakan bersama.
Yakin Dengan Doa
Oleh yang demikian, yakinlah dengan doa yang kita panjatkan, sabar menanti serta bersangka baik sentiasa kepada Allah SWT. Iringi doa tersebut dengan usaha yang selayaknya kemudian gantunglah pengharapan yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT buat anak-anak.
Jangan mudah putus asa. Anak-anak kita adalah permata berharga yang mampu memberikan kita kelapangan di saat kita amat memerlukannya di barzakh kelak. Jadi, teruskan berdoa yang baik-baik untuk mereka. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang seronok bila berpeluang hamil dan memiliki anak kembar ni. Tak kira lah kembar seiras ke tak seiras ke, rasa comel je kan.Ramai pasangan suami isteri sebenarnya yang impikan rezeki untuk mempunyai anak kembar, namun tidak tahu bagaimana cara merancang serta mencuba peluang untuk memilikinya.
Pakar Sakit Puan, Dr Hamid Arshat, kongsikan 8 tip buat pasangan suami isteri yang inginkan anak kembar sebagai panduan.
Berikut antara perkongsian beliau;
BOLEHKAH RANCANG DAPAT ANAK KEMBAR?
SERONOK DAPAT ANAK KEMBAR
Tahniah kepada Puteri yang sedang hamil kembar 10 minggu. Kelihatan kembar ini jenis dichorionic/ dizygotic atau non identical. Ertinya ia berasal dari dua telor/ovum yang telah disenyawakan oleh benih suami secara berasingan.Jenis kembar ini lebih selamat kerana masing-masing janin punya uri sendiri.
Kembar identical atau mono zygotic berasal dari satu telor dan selepas bercantum dengan benih lelaki , embryo yang dihasilkan pecah dua. Kembar ini berkongsi uri dan lebih berisiko gugur, satu janin mati dan lain-lain masalah.
Wanita Berpeluang Hamil Anak Kembar;
1.Orang Asia 1 – 2 %
Pada keseluruhan peluang hamil kembar secara spontan ialah antara 1 hingga 4 %.
Orang Afrika punya kadar kembar tertinggi 4 %
Orang Putih Amerika dan Eropah kadarnya 3 %.
Orang Asia termasuk orang Malaysia terendah 1 – 2 % sahaja.
2.Keturunan Kembar Sebelah Ibu
Dalam keluarga ada kembar khusus dari keluarga ibu, peluang hamil kembar meningkat 4 kali ganda.
3. Hamil Umur 40 Tahun Keatas
Mereka yang telah melahirkan 4 anak atau lebih, peluang melahirkan kembar lebih tinggi. Begitu juga mereka yang hamil pada umur 40 tahun keatas.
4. Wanita Amalkan Supplement Vitamins & Folic Asid
Mereka yang tahap kesihatan terbaik dan makan yang berzat serta berkhasiat. Mengamalkan makan supplement vitamins dan folic asid lebih berpeluang hamil kembar.
5. Makan Produk Tenusu
Ada yang mengatakan mereka yang sering minum susu dan makan produk tenusu lebih berpeluang hamil kembar. Mungkin ‘insulin like growth factor’ (IGF) yang dikeluarkan oleh hati lembu jadi penyebab hamil kembar.
6.Makan Keladi Dan Ubi
Orang-orang Asli Africa yang makanan mereka terdiri keladi dan ubi didapati punya peluang melahirkan kembar 4 kali ganda dari orang lain.
7. Hormon Subur
Hormon subur sama ada pil atau suntikan meningkatkan peluang melahirkan kembar.
Wanita yang makan pil subur clomid punya peluang hamil kembar antara 5 – 10%. Manakala mereka yang disuntik hormon gonadotrophin punya peluang kembar dalam lingkungan 30%. Malangnya kadang-kadang berlaku kembar 4 atau lebih dan punya risiko gugur tinggi.
8. Rawatan IUI & IVF
Mereka yang menjalani rawatan suntik benih suami (IUI) dan mereka yang menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF) juga berpeluang lebih untuk hamil kembar.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan juga buat pasangan lain yang inginkan anak kembar.
Pejam celik pejam celik usia perkahwinan kita dah masuk lima tahun, ada yang dah 10 tahun, 15 tahun dan mungkin sudah berpuluh-puluh tahun. Dalam tempoh perkahwinan ini, mesti ada pahit, manis, suka dan duka. Tapi kalau boleh mestilah nak semuanya baik-baik kan.
Namun, ada masanya badai melanda, mulah seorang ke hulu dan seorang ke hilir. Kat tengah anak-anak yang tergapai-gapai tak tahu mana yang mahu dipilih. Nak kata tak kenal pasangan, rasanya dah lama kenal tapi mungkin ada sesuatu yang membuatkan anda rasa tidak bahagia walaupun dah dikurniakan anak.
Menurut pakar psikologi perkahwinan yang dikenali Abang Arjuna (Faizal Rohban), setiap pasangan inginkan rumah tangga bahagia, malah Islam amat menitik beratkan soal pembinaan keluarga bahagia kerana ia merupakan platform kepada pembentukan generasi masa hadapan.
Namun begitu, niat dan usaha ini tidak akan lengkap tanpa disulami dengan doa. Jika ketiga-tiga elemen ini digabungkan, tidak mustahil keluarga bahagia yang diimpikan itu akan menjadi kenyataan.
Jadi, niat, usaha dan seterusnya dilengkapkan dengan doa, pasti sesebuah keluarga itu akan menuju bahagia yang berpanjangan.
Bentuk Keluarga Bahagia
Rezeki Halal – Setiap rezeki yang diperoleh akan menjadi darah daging dan akan mempengaruhi pembentukan keluarga bahagia melalui zuriat keturunan nanti.
Komunikasi – Fahami bahasa tubuh atau mimik muka yang diberikan oleh pasangan setiap kali berhubung.
Kasih Sayang – Tanpa kasih sayang, keluarga yang dibina akan runtuh sekelip mata. Perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
Toleransi – Amat perlu apabila wujudnya selisih faham antara suami isteri.
Peranan Keluarga
Suami
Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik
Setiap kali pulang ke rumah bawalah senyuman sekali. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan merasa bahagia dan rahmat pasti akan turun.
Telefon atau hantar pesanan whatsApp untuk menyatakan yang anda sayang atau rindu pada isteri.
Sentiasa hiburkan hati isteri dan anak-anak dengan bercerita, buat lawak atau bergurau senda.
Sesekali ajaklah isteri untuk mandi bersama sambil bergurau senda sebagaimana Sunnah nabi untuk mengeratkan lagi rumah tangga.
Ambil berat kehendak isteri.
Didik isteri dengan lemah lembut dan berhikmah.
Taat kepada perintah Allah.
Isteri
1.Taat kepada perintah suami. Apabila suami meredhai isteri maka Allah akan meredhai rumah tangga tersebut.
2. Menjaga maruah diri dan harta suami. Tidak menceritakan masalah rumah tangga kepada orang lain.
3. Menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumah tangga. Perkara ini nampak seperti tidak penting tetapi ingatlah kebersihan merupakan satu cara untuk menarik malaikat rahmat kerap mengunjungi kita.
4. Menjaga dan mendidik anak-anak dengan sempurna.
Anak-anak
Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan mendengar apa sahaja nasihat dari mereka.
Menjaga diri dan maruah keluarga. Anak yang baik akan sentiasa menjaga maruah keluarga agar tidak terpalit ke arah yang boleh merosakkan keluarga.
Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa.
Peranan Bersama
Sentiasa bertolak ansur dan menjadi pendengar setia setiap masalah ahli keluarga.
Sentiasa berkongsi masalah dengan keluarga sahaja.
Ambil lah masa untuk makan bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Solat berjemaah. Inilah paling penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Suami sebagai nakhoda atau jurumudi perlu bijak untuk mengharungi badai rumah tangga, begitu juga dengan isteri sebagai pembantu. Bantulah suami anda dengan penuh taat setia, Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Romantis…Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis malah wanita ialah lelaki yang romantik. Namun sering kali juga dikatakan lelaki bangsa asing memang romantis, daripada lelaki Melayu. Ye ke? Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie. http://bersamasuzana.blogspot.com
Romantis Bila Belum Dapat
Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya tika usaha memikat tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang seakan satu fail di’delete’ terus dari ‘recycle bin.’Bila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: “Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang barat la.” atau “Nak suruh saya jadi hero hindustan ke?”
Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang barat, bukan juga budaya hero Hindi. Sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunah Rasulullah s.a.w.
Ucapan Cinta Boleh Panjangkan Usia?
Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?
Sebenarnya,maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
Rasulullah Cium Isteri Sebelum Ke Masjid
Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.
Aishah r.anha berkata yang bermaksud: “Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.” – Hadis riwayat Abu Daud.
Walaupun hadis ini menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengenengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah s.a.w. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang; bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?
Romantis Mandi Bersama
Aisyah r.anha berkata: “Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air.” – hadis riwayat al-Bukhari. Pernahkah? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.anha dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah s.a.w juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.
Panggil Isteri Dengan Panggilan Yang Dia Suka
Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda. Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Bila isteri rasa dihargai, dia bukan saja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Perkara Kecil Namun Romantis Bagi Isteri
Kata-kata Rasulullah s.a.w ini disokong dengan pengakuan Aisyah r.anha sendiri. Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini.
Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.
Bersikap romantik antara cara anda meluahkan rasa cinta anda. Sebelum terfikir nak laksana sunah Rasulullah s.a.w dengan poligami, apa kata usahakan untuk laksanakan sunnah baginda dengan bersikap romantik terlebih dahulu dengan isteri yang ada?! Pasti boleh!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...