Bila mak ayah tiada, hanya kenangan dan doa-doa dari anak yang soleh dan solehah. Inilah bekalan untuk mereka ‘di sana’.
Salah satu cara lain untuk mengingatkan kenangan dengan mak ayah tiada adalah gambar dan pakaian yang digunakan mereka selama ini. Kain pelekat, kain sarung, baju dan sebagainya. Kenangan yang cukup indah.
Sebagai anak, tentu ada ahli keluarga yang bersepakat untuk membahagi-bahagikan pakaian pada anak-anak, sebagai salah satu kenangan dan ingatan. Tapi, jangan hanya disimpan. Gunalah sebagai pahala untuk mak ayah ‘di sana’.
Ramai antara kita berfikir bagaimana lagi mahu teruskan membalas jasa mereka. Tiada kesempatan lagi.
Bagaimana pula mahu memastikan adanya pahala kebaikan yang sampai kepada mereka berdua. Berpanjangan sampai akhir hayat kita pula sebagai warisnya.
Ads
Dulu, beberapa minggu setelah pemergian abah pada tahun 2012. Waktu ni ziarah emak. Seperti biasa emak tenang-tenang sahaja sedang mengemas pakaian lama abah.
Emak pelawa, ambil kain pelekat yang mana saya nak. Saya pun ambil sahaja mana-mana yang boleh pakai. Kemudian emak belek baju Melayu abah.
“Ni baju abah pernah pakai. Tapi sesekali je. Sebab besar saiznya. Kau ambil la ni pakai dari terbiar saja.” Pesan emak kepada saya.
Anak Jawa, memang biasa ganti nama diri ‘aku’ ‘kau’. Jadi jangan pelik kalau dengar budak kecil yang ‘pure’ Jawa bahasakan diri aku dengan orang lebih dewasa.
Saya pun ambil baju Melayu abah.
Bila fikir balik. Inilah salah satu cara saya nak panjangkan pahala yang sedikit untuk disampaikan kepada abah.
Ads
Saya pakai bajunya bila nak solat. Biasa hari Jumaat. Pergi surau (kadang je) pun saya pakai baju Melayu yang sama.
Kadang tu ada kenduri kendara majlis tahlil pun saya pakai baju sama.
Sampaikan Cik Puan Isteri tegur. Punya banyak baju Melayu dalam almari. Baju itu juga yang saya pakai. Saya jelaskan juga kenapa. Cuma majlis tertentu saya pakailah baju Melayu yang lain.
Baju Melayu abah ini. Saya pakai tujuannya nak sedekahkan pahala kebaikan yang ada saat saya memakainya buat abah di alam sana.
Sebagai anak, selain doa (walau kita bukan anak soleh sebenarnya). Inilah salah satu cara saya buat. Diam tak diam baju yang sama hampir 10 tahun masih saya pakai hingga ke hari ini.
Tidak banyak yang boleh disedekahkan.
Ads
Sedikit pun jadilah.
Insya Allah.
Mingguan Wanita : Mudah-mudahan mak ayah ‘di sana’ dilapangkan kuburnya dan bersama orang-orang yang beriman. Doa seorang anak. Aamiin.
Sedekah merupakan satu amalan yang sangat baik dalam menjemput rezeki, boleh saja dilakukan pada bila-bila masa. Namun demikian, antara waktu yang terbaik untuk kita melakukan sedekah adalah ketika selepas solat subuh. Amalan sedekah subuh ini bagi mendapat doa mustajab daripada para malaikat.
Baca perkongsian amalan yang dilakukan oleh Puan Normah Omar ini.
Kenapa sedekah subuh? Bukan bererti tidak boleh bersedekah di Waktu lain. Semua sedekah boleh, di setiap waktu dan di setiap saat. Setiap hari, sama ada hari Jumaat atau bukan hari Jumaat.
Sedekah Terbaik
Tetapi sedekah subuh itu termasuk dalam sedekah terbaik. Kenapa? Kata Rasullah, setiap subuh Allah turunkan Malaikat mendoakan orang yang bersedekah subuh.
Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda “Ya Allah, gantikan yang lebih baik bagi orang-orang yang infaq di subuh hari”
Sedangkan satu lagi riwayat Bukhary “Ya Allah, berikan kerosakkan bagi orang yang menahan hartanya”
Sediakan Tabung Sedekah Subuh Untuk Bersedekah
Sediakan satu tabung di rumah. Setiap habis solat subuh, isikan sedekah di dalam tabung dan berdoalah. Niatlah di dalam hati dengan terperinci untuk dunia dan akhirat.
“Ya Allah, dengan berkah sedekah ini mudahkanlah pekerjaan saya”
“Ya Allah, dengan sedekah ini aku mohon sampaikan pahalanya untuk kedua orang tua ku”
“Ya Allah, dengan berkah sedekah ini tenangkan hati dan jiwa aku supaya tidak emosi lagi”, contoh-contohnya.
Waktu Mustajab, Rutin Walau Cuma RM1 Setiap Hari
Waktu mustajab selepas solat subuh dan sebelum waktu syuruk. Maka segerakanlah, jangan terlepas waktu syuruk itu.
Rutinkan setiap hari, sehingga 30 – 40 hari. Sesudah sampai masanya, agihkan sedekah-sedekah itu kepada anak yatim/surau masjid atau mana mana amalan terbaik.
Yang solat subuhnya di surau atau Masjid sedekahnya masukkan di tabung surau atau masjid.
Biasakan sedekah subuh walau cuma RM1, walau di lakukan secara istiqomah di situ dapat doa malaikat, doa malaikat mustajab di sisi Allah.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-sama kita rebut peluang melakukan amalan bersedekah sejurus selepas solat subuh dan sebelum masuk waktu syuruk. Semoga kita mendapat doa daripada malaikat, agar segala hajat kita dimakbulkan dan dipermudahkan segala urusan. Ini pun cara menjemput rezeki.
Sumber: Normah Omar
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hasratnya untuk memeluk agama Islam ditentang hebat oleh bekas suami, sehingga dirinya terpaksa berpisah dengan insan yang pernah bertakhta di hati. Namun cintanya terhadap agama suci Allah melebihi segalanya, lantas keputusan untuk tidak lagi bersama diambil untuk meneruskan niat kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.
Nur Juliana Atiqah Sahfiyah Bte Bannei, 34, sudah lama berhasrat untuk memeluk Islam. Bermimpi memakai tudung dan mengucap kalimah syahadah antara petunjuk Allah buat wanita yang berasal dari Bintulu Sarawak ini. Mesra dengan panggilan Julia, keputusannya untuk memeluk Islam memberikan lebih ketenangan dalam kehidupannya berbeza dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.
“Selepas tamat sekolah saya pernah bekerja di sebuah pasar raya di Sarawak. Saya tinggal menyewa di satu rumah bersama rakan-rakan yang kebanyakannya muslim. Bila tengok rakan-rakan solat dan membaca al-Quran saya rasa seronok, tapi waktu itu tidak pernah terniat untuk memeluk Islam. Bila dah bekerja tetap dan pindah ke Semenanjung Malaysia, saya lebih banyak bergaul dengan rakan muslim dan sering bertanya tentang agama Islam. Namun ketika itu saya masih mengamalkan ajaran Kristian yang sangat kuat,” ujar Julia bagaimana dia mula mengenali Islam.
Hati Mula Dijentik
Bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati, Julia aktif dengan agama Kristian yang dianutinya. Sering ke gereja dan mengamalkan cara hidup agama tersebut, suatu hari, wanita ini disapa dengan hidayah yang membawanya kembali ke agama Allah walaupun terpaksa melalui perit getir dan berpisah dengan anakanda tersayang.
“Pada tahun 2005, saya telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya memang sangat aktif dengan ajaran Kristian. Jarang sekali tidak hadir ke gereja. Sampai satu masa, hidayah datang menjelma, kalau tak silap saya ia berlaku sekitar tahun 2009. Ada satu malam saya telah bermimpi mengucap dua kalimah syahadah.
Julia mengikuti kelas Tadarus bersama rakan-rakan yang lain
“ Malam berikutnya saya didatangi lagi mimpi, kali ini saya bermimpi memakai tudung pula. Begitu juga dengan malam seterusnya dan ia berlanjutan selama beberapa malam dengan mimpi yang sama. Kebetulan pula rumah saya ketika itu bersebelahan dengan masjid. Setiap kali azan berkumandang hati terasa tenang sangat, tak dapat digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa.
“Saya pernah nyatakan hasrat ingin memeluk Islam pada suami ketika itu, tetapi telah ditentang dan dihalang. Malah dia menyalahkan rakan-rakan terdekat dan dikatakan menjadi punca dan penyebab hasrat tersebut. Sejak daripada itu, ramai sahabat-sahabat dari gereja datang untuk menasihati supaya membatalkan hasrat tersebut. Tapi saya masih nekad dengan niat saya.
“ Bermacam dugaan yang telah saya lalui ketika itu sehingga akhirnya kami berpisah dan suami meletakkan syarat, anak akan dijaga olehnya. Itulah saat paling sukar buat saya, tapi saya perlu memilih keputusan dengan tepat…anak atau agama. Akhirnya saya memilih agama, tetapi Alhamdulillahlah saya tetap diberi ruang oleh mahkamah untuk datang melawat anak,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini mengenang kembali saat dirinya mengambil satu keputusan besar dalam hidupnya.
Bukan sahaja mendapat tentangan daripada bekas suami, malah ibunya juga turut menentang hasratnya yang murni itu.
“Sebelumnya saya terlebih dahulu menyampaikan hasrat ingin bertukar agama pada ibu tapi turut ditentang. Menurut ibu, keputusan itu seolah-olah saya mahu meninggalkan keluarga. Saya ambil masa dalam beberapa bulan untuk beritahu semula kepada ibu tentang hasrat tersebut.
Bersama keluarga yang kini dapat menerima penghijrahan Julia
“ Adik saya terlebih dahulu memeluk Islam daripada saya. Setelah setahun adik saya memeluk Islam, tiba masanya saya menceritakan semula hasrat tersebut dan oleh kerana saya telah menetapkan tarikh untuk mengucap syahadah iaitu dalam masa tiga hari daripada Tarikh tersebut, saya beranikan diri. Saya rasa tak tenang kalau tidak beritahu perkara sebenar.
“ Alhamdulillah, ibu terima niat saya walaupun dengan hati yang berat. Adik beradik juga dapat terima dengan hati terbuka tetapi keluarga makcik pakcik dan sepupu masih ada yang belum menerima sepenuhnya. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk saya meneruskan niat saya. Ingatan saya pada mereka tetap sama walaupun kami tidak lagi seagama,” tambah Julia.
Dipermudahkan
Tanggal 1 Ogos 2013 secara rasminya Julia bergelar seorang muslim setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama suci ini. Meskipun terpaksa berpisah dengan anak tersayang, itu semua tidak menjadi halangan buat wanita yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Lumut, Perak.
Mengaku kehidupannya lebih tenang setelah memeluk agama Islam, wanita yang pernah dikenali dengan nama Juliana Anak Bannei ini mendalami ilmu agama dengan banyak cara. Syukur semuanya dipermudahkan Allah yang memilih dirinya untuk sebuah hidayah yang cukup indah.
“Bagi saya Islam adalah agama yang sangat tenang. Ada perkara yang kita buat dalam Islam tidak pernah saya buat ketika agama terdahulu walaupun ia satu amalan yang baik. Contohnya, memeluk ibu bapa, bersalaman dengan rakan dan orang tua yang kita jumpa. Tetapi selepas memeluk Islam saya telah belajar semua itu dan melihat daripada apa yang sahabat-sahabat muslim saya lakukan. Setiap kali melangkah keluar rumah atau ketika ingin melakukan sesuatu tugas dimulakan dengan kalimah ‘Bismillahirohmanirahim’, agar setiap tugas diberkati. Agama Islam agama yang teratur serta mudah.
“Sebelum saya memeluk Islam, saya banyak membuka youtube dan menonton kisah-kisah saudara baru. Setelah memeluk Islam, saya mula belajar Iqra dengan seorang ustazah di tempat kerja. Pada sebelah malamnya pula mengaji di sekitar blok. Saya juga telah dihantar kursus di luar kawasan yang mengambil masa seminggu bersama-sama dengan mualaf yang lain yang kebanyakannya dari kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di situ kami tekah bertukar-bertukar cerita dan pendapat antara satu sama lain. Pendek kata, saya banyak mendalami Islam melalui rakan-rakan, ustaz dan ustazah di tempat kerja. Jika ada masa terluang di waktu rehat saya akan pergi ke surau untuk belajar dengan ustazah.
Julia ikuti kelas bersama saudara baru yang juga anggota ATM
“ Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, sedikit demi sedikit saya belajar benda baharu. Saya nak terus dalami ilmu agama dan berusaha menjadi seorang muslim yang taat kepada suruhan-suruhan Yang Maha Pencipta,” tambahnya penuh semangat.
Bertemu jodoh baru
Jodoh pertemuan, ajal maut itu semua ketentuan Ilahi, meskipun pernah gagal dalam perkahwinan yang terdahulu kerana ingin memeluk Islam, betapa Allah itu Maha Pengasih, dihadirkan pula seorang lelaki yang kini menjadi raja di hati Julia. Akur dengan status Julia sebelum ini, suaminya banyak membimbing malah keluarganya juga dapat menerima Julia seadanya.
“ Dua tahun yang lalu saya bertemu jodoh baru. Suami sayalah yang banyak bantu dan bimbing saya untuk terus mendalami agama Allah ini. perlahan-lahan dia ajar apa yang saya tidak tahu. Malah keluarganya juga menerima saya seadanya. Begitu Allah menyayangi saya, kini saya bahagia dengan suami dan seorang cahaya. Mungkin tiada jodoh yang dulu bukan bermakna pengakhiran kehidupan.
“ Hidup dikelilingi suami, keluarga, sahabat-sahabat yang menjadi penguat dan doa dari ibu walaupun dulu ibu seperti tidak merelakan. Alhamdulillah sekarang ibu terima seadanya. Walaupun berpisah dengan anak yang sulung dan sudah hampir empat tahun tidak berjumpa, saya sentiasa doakan anak yang jauh di mata. Bohonglah kalau seorang ibu tidak rindukan anaknya. Hanya melalui aplikasi Whatsapp kami berhubung. Alhamdulillah, segala urusan sekarang ini banyak dipermudahkan,”akhiri Julia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perkara yang selalu bermain dalam fikiran ibu yang baru bersalin tentulah masalah nifas. Sebab ada sesetengahnya beberap hari sahaja dan tak kurang juga sampai berbulan.
Bukan itu saja, masalah nifas ini turut berlaku bila ia hanya keluar seakan ‘period’ iaitu 7 atau 8 hari saja. Inilah yang membuatkan ibu rasa was-was terutamanya bila ia melibatkan ibadah yang ingin dilakukan.
Bagi ibu-ibu yang baru bersalin, fahami betul-betul apa yang diterangkan oleh Che Engku Khairunnisa tentang masalah nifas ini. Moga ia memberi manfaat pada kita semua.
Hati-hati buat para ibu yang mempunyai masalah nifas yang terputus-putus dan berpanjangan selepas melahirkan.
Sudah acap kali ditanya oleh para ibu yang mempunyai masalah yang sama dan berulang kali cuba menjawab kerana memahami betapa resahnya untuk menentukan status darah yang melibatkan ibadah.
Darah nifas ialah darah yang hadir setelah kosongnya rahim daripada janin, sama ada daripada proses wiladah bayi hidup ataupun meninggal dunia juga keguguran, di sisi mazhab imam syafie.
Sepertimana yang kita semua maklum,
Nifas paling pendek : Satu lahzah, sedetik
Nifas paling lama : 60 hari
Nifas kebiasaan : 40 hari
Perlu di ambil perhatian darah di penghujung tempoh nifas. Kerana di penghujung nifas, yakni hari ke 60, ada dua status darah yang berbeza untuk dua situasi.
Darah nifas yang terakhir boleh bertukar status kepada HAID dan juga boleh bertukar kepada status ISTIHADAH.
Bagaimana?
1. Hari ke 60 nifas, tiada berhenti darah walau sedetik. Darah tetap terus menerus, maka darah yang tetap hadir pada hari ke 61, 62, dan seterusnya berlangsung selama 15 hari di panggil DARAH ISTIHADAH.
Wajib solat dan harus melakukan ibadah-ibadah lain dalam tempoh tersebut.
2. Adapun jika pada hari ke 60, darah nifas yang keluar terberhenti walau satu lahzah (sedetik, sesaat ) dan kemudiannya disusuli darah kemudiannya, maka darah tersebut dipanggil DARAH HAID, dan hendaklah ia berhukum dengan hukum kebiasaan haidnya sebelum ini.
Sentiasa menjadi pesanan buat ibu-ibu yang bertanya,
TAKE NOTE,
Pastikan sentiasa memeriksa kewujudan darah mahupun tidak terutama di penghujung nifas, kerana kalau kita cuai dalam mengambil berat, susah untuk tentukan apakah status darah tersebut,
Periksalah sekerap mungkin kehadiran darah, paling kurang di setiap waktu solat, agar ibu-ibu tahu waktu manakah ibu-ibu telah kering daripada darah.
Tambahan juga buat ibu-ibu yang mengalami darah nifas yang terputus-putus,
1. Jikalau darah nifas terputus-putus tidak sampai tempoh selangnya (suci) selama 15 hari, selagi mana masih dalam tempoh max nifas (60 hari), maka itu masih bergelar DARAH NIFAS.
2. Tapi jika sekiranya, darah nifas terputus (suci) selama 15 hari, walaupun masih dalam fatrah/tempoh max nifas (60 hari) maka darah itu sudah bertukar kepada DARAH HAID.
3. Jika sekiranya darah nifas sudah kering, tiada pada pad, tiada pada kapas apabila diperiksa, maka wajiblah mandi walaupun belum habis tempoh pantang 40 hari ataupun 44 hari, tak perlu tunggu.
Sekadarnya daripada Al-Faqirah.
Minggaun Wanita : Moga ia memberi panduan dan manfaat buat bakal ibu hamil dan yang telah melahirkan anak.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...