
Sebelum ini mungkin perasaan itu tidak pernah berkunjung tetapi bila dah jadi mak-mak ini barulah pelakon drama bersiri NUR, Amyra Rosli merasai bagaimana perasaannya bila terpaksa tinggalkan anak untuk menjalani shooting drama atau keluar bekerja. Rupanya sedih pabila tinggalkan anak.
Momen bergelar ibu sudah tentu pengalaman terindah buat setiap wanita. Perkara ini turut dirasai oleh pelakon Amyra Rosli. Ternyata biar pun bukan mudah, namun dirinya percaya setiap momen yang tercipta bakal menjadi kenang-kenangan buatnya dan si comelnya, Aqeef Anaqi.
Setelah lama mendiamkan diri setelah melalui fasa kelahiran dan berpantang, kini Amyra Rosli kembali aktif. Berstatus bujang dan kemudian bergelar isteri serta tidak lama kemudian bergelar seorang sudag tentu sebuah perjalanan yang mengujakan buat Amyra.
Berkesempatan menemuinya di pertunjukan fesyen koleksi Anggun Raya Mek Kembang Cotton X Amyra Rosly di Hotel Everly, Putrajaya, penulis cuba berkongsi pengalamanya bergelar ibu muda.
Mingguan Wanita: Bukan mudah rasanya bagi insan seni meninggalkan anaknya tatkala baru sahaja bergelar ibu. Bagaimana Amyra melaluinya
Amyra: Bukan mudah sebenarnya, tetapi setelah mencecah usia lima bulan Anaqi lebih mudah diuruskan. Saya juga tidak risau lagi apabila keluar bekerja dan lebih mudah apabila ibu saya menjaganya. Jadi perkara ini banyak mudahkan saya sebab Anaqi pun telah saya biasakan dengan ibu saya sejak awal. Kadang-kadang Aqeef sendiri keliru mana satu mamanya kerana lebih banyak masa dihabiskan bersama neneknya.
Mingguan Wanita: Rutin seorang ibu akan menyusukan anaknya secara eksklusif, adakah Amyra melakukan perkara yang sama?
Amyra: Tidak dinafikan di awal kelahiran, Aqeef memang banyak berkepit dengan saya dan menyusu badan sepenuhnya. Mujur juga dia jenis mudah terima perubahan dan tidak kuat merengek. Namun apabila dia makin membesar, saya cuba berikan dia susu formula di samping susu badan. Perkara ini adalah persediaan sebelum saya kembali aktif dalam dunia lakonan kembali kerana saya tidak mahu sebarang masalah berlaku kelak.
Mingguan Wanita: Sepanjang bergelar ibu, pernah berjauhan dengan anak?
Amyra: Kali pertama adalah saya tinggalkan dia ke Bangkok bersama Ammar Baharin. Segalanya tidak dirancang, Amar yang belikan tiket kerana dia ada penggambaran di sana. Selama ini pasti seronok setiap kali bercuti, kini sebaliknya. Saya menangis setiap kali teringatkan Aqeef sepanjang empat hari berada di sana.l pantang ada wifi, saya akan facetime dengan Aqeef. Baru terasa begitu rupanya perasaan apabila berjauhan dengan anak.
Mingguan Wanita: Sebagai ibu muda, pasti banyak perkara Amyra perlu pelajari dan terokai, bagaimana Amyra maklumat mengakses maklumat sebegitu?
Amyra: Selepas bersalin, saya ada mengukuti kelas yang dianjurkan oleh pihak hospital. Dari situ saya ketahui apa perkara yang perlu diberi perhatian termasuklah tentang kepentingan penyusuan susu ibu.
Mingguan Wanita: Apakah momen terindah yang Amyra lalui sepanjang bergelar ibu?

Amyra: Melihat anak makin membesar dan semakin aktif juga menjadi perkara yang cukup bahagia buat ibu-ibu. Rasa tidak mahu terlepas mengikuti perkembangan anak saya. Oleh sebab itu saya lebih selesa bawa anak ke lokasi penggambaran kerana lebih mudah dan saya tidak terlepas melihat dia di depan mata. Lagi pula, Aqeef menyusu badan. Kadang-kadang terasa lambatnya dia nak besar, tetapi kadang-kadang apabila tinggalkan cepat mula dia sudah lakukan itu dan ini.
Mingguan Wanita: Bagaimana Amyra berdepan dengan orang di luar sana yang ingin mendekati Aqeef?
Amyra: Sebenarnya saya lebih selesa untuk tidak bawa Aqeef keluar bersama kerana dirinya masih kecil. Bimbang kerana dia masih kecil dan sensitif, sudah tentu dirinya mudah berjangkit dengan persekitaran yang tidak berapa bersih. Apabila berdepan dengan orang, memang agak susah untuk kita larang agar tidak sentuh Aqeef, jadi lebih mudah saya tinggalkan dia di rumah. Namun jika melibatkan urusan kerja yang melibatkan kami bertiga, saya terpaksa letakkan syarat untuk cuba elakkan audien yang terlalu ramai. Tenyata sejak kehadiran Aqeef Anaqi, rezeki kami makin bertambah. Alhamdulillah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jika Ini Rawatan Terbaik, Pegang Tangan Isteri Dan Redah Saja

Isi Kandungan
ToggleSehingga ke saat ini, Najmi Nawawi masih ‘berperang’ merawat penyakit depresi yang didiagnos ke atas isteri, Husna Nadhirah sejak empat tahun lalu. Penyakit depresi yang boleh membawa kepada anxiety dan panic attack.
Penyakit kemurungan yang sebenarnya wujud di sekeliling kita. Kesedaran ini sepatutnya ramai telah sedia maklum. Bila mana, pelakon Diana Danielle berkongsi akan anxiety yang dialami. Dan suami ini berkongsi bagaimana dia berdepan saat sukar isteri diserang depresi.
Penyakit DEPRESI Yang Dihidapi Isteri Aku
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup‘.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Pegang Tangan Isteri Dan Redah Sahaja
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Fasa Ini Hubungan Kami Diuji
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Tak Buat Rawatan Susulan, Tinggalkan Ubat
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna.
Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Kisah Pengorbanan Dan Cinta Suami Isteri
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.

Realitinya Tak Sama
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi.
Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ayat Ini Satu Penghinaan Kepada Pejuang Depresi
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi
p/s : tolong sebarkan, biar lebih ramai tahu dan faham apa itu depresi. Tolong.
MW : Pesan untuk anda yang membaca, jika rasa dalam diri itu ada tanda-tanda DEPRESI.. jangan bertangguh. Segeralah dapatkan rawatan dengan pakar. Kerana penyakit ini bukan sekadar boleh dirawat dengan doa dan solat.
Sumber/Foto : Najmi Nawawi
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Isteri Alahan Teruk, Suami Temani Dia ‘Gosok Belakangnya’, Kasihan Turun Naik Tubuhnya Menggeletar Ketika Muntah

Isi Kandungan
ToggleSetiap isteri yang mengandung, alahan yang mereka lalui berbeza. Ada yang alahan teruk, ada yang langsung tak kena alahan. Alhamdulillah, jangan pula bandingkan atau kecam kata wanita mengandung alahan tu mengada. Hmm.. tolong faham sebab ujian ibu mengandung tu berbeza.
Puan Nora Azni, isteri kepada Akhtar Syamir (BroOhsem) mengandung kali ketiga dengan alahan yang cukup dahsat. Sampai tak boleh bau masakan. Pengalaman menjaga isteri yang alahan dikongsikan suami ini.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi mahu menunjuk cara yang dia lakukan. Semoga boleh jadi panduan untuk pasangan lain, apa nak buat bila isteri alami alahan mengandung.
Perkongsian beliau ini amat berguna kepada semua suami dan orang di sekeliling ibu mengandung yang mengalami alahan yang teruk. Jadi anda boleh faham dan bersedia apabila keadaan ini menimpa diri dan keluarga kita.
Alahan Mengandung Wanita Hamil Itu Berbeza
Benar, tidak semua wanita akan mengalami alahan mengandung dan tidak semua wanita yang mengalami alahan mengandung akan melalui pengalaman yang sama. Ada yang tidak begitu serious ( loya sedikit, muntah di pagi hari sahaja dan hanya sebulan dua ) dan ada yang betul – betul teruk sehinggakan ia memberi kesan kepada semua yang berada di sekeliling ibu mengandung tersebut.
Jadi, jika semasa anda (ibu) mengandung dan tidak mengalami alahan yang teruk, janganlah memandang serong kepada wanita yang mengalami alahan yang teruk kerana apa yang mereka lalui tidak sama dengan anda.
Anda patut bersyukur kerana perjalanan anda dipermudahkan. Dan janganlah anggap mereka ini manja, mengada – ngada dan sengaja berlakon yang mereka itu sakit kerana alahan mengandung ini bukanlah perkara yang ringan. Saya pernah baca komen follower saya yang beliau pernah alahan yang amat teruk sehingga keguguran.
Perlu juga tahu yang alahan yang teruk ini mungkin tidak terjadi semasa mengandungkan semua anak. Kadang – kala anak pertama dan kedua alahannya sederhana, tapi anak ketiga alahan mengandungnya amat teruk. Jadi bersedialah dari awal.
Ini Yang Isteri Lalui Semasa Alahan Mengandung
Loya Tekak
Kita mungkin biasa tengok orang mengandung makan asam atau apa – apa makanan yang masam. Ini kerana tekak mereka loya. Makanan jadi tiada rasa dan memualkan. Jadi mereka perlukan benda yang masam untuk bagi ada rasa dalam mulut dan tekak.
Nampak macam biasa je kan? Tapi masalah datang bila mereka jadi tak ada selera untuk makan. Kalau orang macam saya tiada selera makan itu bagus, tapi untuk ibu mengandung, tiada selera makan itu satu masalah.
Ini kerana anak dalam kandungan itu perlukan zat untuk berkembang dan ibu itu sendiri perlukan zat harian untuk berfungsi sebagai manusia normal.
Bila tiada zat dan tenaga yang masuk, mereka juga akan menjadi lemah. Bayangkan radio yang kekurangan bateri, bunyinya semakin lemah dan meleret. Itulah perumpamaan keadaan tenaga mereka bila kerap tak makan.
Dalam kes saya, isteri langsung tidak ada tenaga untuk berdiri lama. Hanya terlentang di katil dan terpaksa menggunakan seluruh jiwa raga untuk bangun ke tandas dan melayan muntah yang sentiasa datang.
Muntah
Ini perkara biasa pada mulanya. Setiap pagi akan muntah. Ubat gigi akan jadi musuh. Berus gigi akan jadi lawan. Tapi, lama kelamaan ia akan menjadi semakin bermasalah. Muntah ni keluarkan isi perut. Jadi pada mulanya perut masih banyak isi kerana loya masih tak kuat.
Namun, lama – kelamaan oleh kerana si ibu tidak makan, apa lagi yang akan keluar bila muntah? Air. Itu sahaja yang akan keluar. Dan apabila tiada apa lagi yang mampu keluar dari badan tetapi masih muntah, tekak akan mula sakit, perut akan mula sakit satu badan dari depan sampai belakang, atas sampai bawah akan sakit dan lenguh yang amat sangat.
Jika anda alami perkara yang sama seperti yang saya gambarkan ini, saya amat bersimpati dengan anda.
Deria Yang Terlebih Sensitif
Bau itu tak boleh, bau ini tak boleh. Anda baru masak air dalam periuk kecil, ibu mengandung dah dapat bau hangit kat bawah periuk kecil tu. Sedangkan bagi orang biasa, kita tak bau pun benda tu. Jadi, apa juga aktiviti dapur akan jadi terbatas.
Kerana hidung mereka jadi “super sensitive” dan percayalah yang tiada satu bau pun yang ok. Semuanya busuk. Dan jangan terkejut bila isteri tak suka bau badan suami. Walaupun semasa tak mengandung isteri boleh tidur bawah ketiak suami sepanjang malam. Bertabahlah ye.
Emosi Yang Terganggu
Jika deria bau mereka terlebih sensitif, perasaan mereka juga terlebih sensitif. Ibu mengandung akan mudah marah, mudah sedih, mudah terasa dan lain – lain lagi.
Adalah amat penting semua yang berada di sekeliling memahami situasi ini supaya keadaan tidak akan menjadi buruk seperti perbalahan dan makan hati sesama ahli keluarga.
Kesihatan Yang Tidak Baik
Ibu mengandung akan terdedah kepada bermacam penyakit yang selama ini jarang sangat datang. Contohnya demam, batuk sakit badan dan jangkitan kuman. Kebanyakannya datang apabila tiada zat makanan yang masuk dan menjadikan antibodi mereka lemah.
Bayangkan masalah muntah bercampur dengan batuk dan demam. Hanya yang mengalami je tau betapa lemahnya fizikal dan mental ibu mengandung tersebut dan pasangan yang di sisi mereka.
Pengalaman saya? Sehingga isteri dimasukkan wad kerana kuman di dalam darah yang amat tinggi sehingga isteri mengalami kesukaran untuk bernafas. Betul – betul cemas ketika itu.
Ini adalah 5 perkara paling penting yang dilalui oleh ibu mengandung dan bagi yang terkena alahan yang teruk, 5 perkara ini menjadi berkali – kali ganda teruknya.
Wahai Suami Layanlah Emosi Isteri Alahan Teruk Macam Ini
1. Redha dengan keadaan yang berlaku ini. Kena terima dengan hati yang terbuka. Kita sedang diuji kali ini. Kita perlu bersyukur kerana ia terjadi, kerana ada suami isteri tak pernah diuji sebegini kerana mereka tidak ada rezeki untuk dapat zuriat.
Jadilah suami yang positif, fikirkan hadiah yang kita sekeluarga akan dapat apabila kita berjaya harungi benda ini nanti. Seorang anak penyambung keturunan kita.
2. Sabar. Saya tak dapat nak tekankan dalam bertulis sebesar mana pentingnya anda perlu bersabar bila melalui masa ini. Kena sabar bang. Untuk anak ketiga ini saya dua tiga kali tertunduk dan terduduk. Saya telah berikan segalanya tapi masih tidak cukup kaki dan tangan saya untuk menguruskan isteri dan anak – anak.
Anda akan rasa penat, anda akan rasa kecewa, anda akan rasa marah. Jadilah suami yang baik, jeritlah sambil bantal ditutup di muka. Lepaskan semuanya di situ. Jangan lepaskan kepada anak dan isteri. Biar mereka nampak kita kuat, kita positif kerana hanya kita tempat mereka berharap. Tiada yang lain.
Tanggungjawab seorang ketua keluarga bukan boleh diberi kepada sesiapa. Hanya yang kuat sahaja yang akan diamanahkan untuk menjaga keluarga. Pegang amanah itu, pegang tanggungjawab itu dengan erat. Tabahkan hati dan bersabarlah.
Buanglah segala ego yang ada jauh – jauh. Isteri anda akan bersalin nanti, anda tidak akan dapat rasai betapa itu beribu – ribu kali ganda lebih sakitnya dari apa yang kita lalui sekarang.
3. Ganti tempat isteri dalam menguruskan rumah dan keluarga. Dapur, baju, rumah. Ini 3 elemen penting dalam pengurusan rumah yang isteri kita dah berada di tahap tertinggi sehinggakan kita tak sedar apa yang mereka dah buat. Buat suami, biasa tak kita tanya isteri, “baju I mane ye?”. Kita hanya nampak baju. Tapi sebenarnya ada beberapa peringkat sebelum baju tu tersedia untuk seorang suami pakai.
Pertamanya baju itu perlu dibasuh, kedua disidai, ketiga dilipat dan akhirnya digosok untuk menjadikannya tersedia. Kita sering tak sedar benda ni. Kita nampak baju je. Proses dia kita tak nampak.
Masuk bab makanan pun sama. Penyediaan bahan masakan, masak, hidang dan kemas serta basuh pinggan. Dan jangan lupa, sesi memberi anak makan yang sebelum ini kita tak peduli sangat pun. Sedar – sedar je anak dah kenyang kan?
Jadi bila kita sebagai suami nak ganti peranan isteri, kita akan terkejut. Semua proses itu datang sekaligus. Tangan dua tak cukup. Kaki dua tak cukup. Otak satu tak cukup. Masa tak cukup. Tenaga tak cukup. Rehat tak cukup. Tidur tak cukup. Duit pun jadi tak cukup.
4. Pengawalan stress / tekanan. Memang kita sedia maklum, lelaki lebih baik dalam menguruskan tekanan. Tetapi bila dalam keadaan ini, kita akan tercabar. Kita tidak biasa berada di luar kawalan. Lelaki selalunya dapat mengawal keadaan.
Tapi bila semuanya di luar kawalan, isteri sentiasa sakit, anak sekolah tak terurus, anak kecil tak terjaga, rumah yang dah 2 kali masuk surat khabar sebab deko yang menarik pun, dah jadi tongkang pecah, dapur dah terbalik macam kat dapur kedai tomyam bila nak tutup kedai dan semuanya terjadi serentak, dan kita kena pergi kerja pulak.
Saya sebenarnya hampir gagal mengawal tekanan ini. Ini perkara yang serious. Lelaki yang hilang pertimbangan adalah lelaki yang berbahaya. Ada yang give up terus dan lari. Kepada isteri. Cubalah tenangkan suami anda. Peluk. Peluk. Peluk. Kami perlu diingatkan yang segalanya pasti berbaloi nanti.
5. Pengurusan kewangan. Akan menjadi teruk. Ketirisan yang banyak bakal berlaku. Kadang – kala kita tak dapat kawal langsung. Isteri teringinkan itu ini. Kita kena beli juga kerana dia dah tak makan berhari – hari. Nak masak, kita memang tak selalu sempat.
Di tambah pula dengan isteri yang tak boleh bau masakan. Anak – anak perlu makan. Nak tak nak, banyak duit akan dikeluarkan untuk membeli makanan setiap hari. Saya hanya dapat bagi bayangan apa yang berlaku, saya tak dapat nak nasihat macam mana nak uruskan kewangan pada masa tu kerana saya sendiri gagal. Hahaha..

6. Jaga hati anak – anak. Mereka tak faham. Mereka kecil lagi. Kita kena jaga perasaan mereka. Cuba beri terangkan kenapa ibu mereka sebegitu. Kenapa papa dan mama tiada masa yang cukup untuk melayani mereka dan kenapa kadang – kala mereka dimarahi tanpa ada sebab yang kuat.
Pada masa ini juga kebarangkalian mereka akan tunjukkan sedikit pemberontakan jiwa. Dalam erti kata lain, buat perangai. Kita yang tak cukup masa untuk semua benda, terpaksa mengadap dinding yang diconteng, baju sekolah yang kotor sangat dan macam – macam lagi.
Mereka sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang. Cubalah sehabis baik melayan anak – anak. Mereka amat memerlukannya kerana ibu mereka tidak dapat melayani mereka seperti selalu.
7. Yang paling penting, jaga isteri. Mereka mabuk, loya, penat dan segala – galanya. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka kerana kita amat di perlukan. Nak bangun, mereka perlukan bantuan kita.
Bila mereka muntah, tolonglah gosok belakang isteri kita. Lihatlah sendiri bagaimana badan isteri yang turun naik dan menggeletar akibat muntah yang teruk. Air mata yang terkeluar akibat menahan keperitan muntah. Air di hidung yang keluar kerana tiada lagi kawalan badan.
Letaklah diri di tempat isteri. Mereka sedang sakit. Bantulah mereka. Beri galakan dan kata – kata positif. Mungkin ada yang boleh terima. Mungkin ada suami yang kena tolak terus sebab jiwa mereka tengah kacau. Jangan pulak kita melenting.
Dan yang paling penting, jangan tambah beban kepada mereka. Permudahkanlah urusan mereka. Cari cara untuk mudahkan mereka bergerak, bantu mereka mandi. Syampukan rambut, sabunkan badan. Kadang – kala mereka terlalu lemah untuk buat perkara asas sebegitu.
Sentiasa juga tanya apa lagi yang boleh dibantu, apa yang mereka mahukan dan perlukan. Mungkin kita tak tahu pada masa itu. Tapi isteri kita amat – amat menghargai apa yang sedang kita lakukan untuk mereka.
Pengalaman Ini Mengubah Saya Sampai Jadi Begini..
Kepada yang telah baca sehingga ke tahap ini, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda dapat rasakan apa yang telah saya lalui dan dapat lebih memahami situasi alahan mengandung ini.
Apa yang saya dapat dari pengalaman ini, saya jadi suami yang lebih baik dan ayah yang lebih baik buat anak – anak. Keluarga kami jadi lebih rapat dan rumah jadi lebih aman dan teratur kerana suami sendiri pun dah pandai mengemas dan membasuh. Hehehe..
Semoga bermanfaat kepada semua. Semoga kehidupan kita sekeluarga lebih manis dan harmoni kerana kita saling faham memahami.
Silakan follow saya dan isteri, Nora Azni di facebook dan instagram. Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan ye. Due pada 20 Oktober 2018 nie.
Nota : Artikel ini saya ( Akhtar Syamir / BroOhsem ) tulis sendiri berdasarkan pengalaman saya sendiri. Jika ianya berbeza dengan apa yang anda lalui, ambillah yang positif sahaja.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Mungkin Tak Kerja, Tapi Jangan Layan Dia Macam Orang Gaji

Isi Kandungan
ToggleSedihnya bila suami mula tunjuk belang dan buat isteri macam orang gaji. Ketika isteri sedang menyediakan sarapan di dapur, tiba-tiba anak nombor 2 menangis. Rupa-rupanya anak kencing di atas katil.
Lagi sakit, anak nombor 4 minta dibuatkan susu. Alahaaiii…. terkejar-kejar isteri nak buat dua benda! Dari bilik tidur ke dapur, suami ada hanya duduk bersandar sambil menonton televisyen. Langsung tidak diendahkan apatah lagi untuk membantu isteri.
Senang ayat suami selalu guna, ‘isteri kan tak kerja, dialah yang kena uruskan hal-hal kat rumah…’
Dalam situasi ini, bagaimana pula jika isteri bekerja dan terpaksa buat perkara yang sama di rumah. Kalau suami anda seorang yang ringan tulang, tak salah rasanya sama-sama membantu. Isteri kerja pun untuk tolong suami juga.
Suami sudah tentu ada egonya sendiri dan mungkin anggap kerja-kerja rumah ini hanya boleh dilakukan oleh isteri sahaja. Suami hanya cari nafkah.
Tak salah, suami ringankan kerja isteri di rumah, barulah hidup harmoni dan saling tolong-menolong. Kalau nak harapkan isteri seorang yang buat kerja rumah, lama-kelamaan, boleh memberi tekanan pada isteri sehingga menimbulkan leteran dan bebelan.
Dikatakan, suami yang tidak mahu membantu bukan akan hilang hormat dan kasih sayang dari seorang isteri. Isteri akan merasakan dirinya diperlakukan sebagai orang gaji untuk kesenangan suami dan keluarga.
Jangan sampai jadi kes perang dingin, anda boleh rujuk beberapa tip oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand Master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat ini.
Tip Untuk Suami
1. Tak payahlah berkira sangat, cuba bantu buat kerja rumah demi meringankan tugas isteri anda. Contohnya mengemop lantai, sapu sampah atau kerja paling mudah bila tengok sampah penuh dalam tong, buanglah.
2. Berilah kata-kata membina dan memberangsangkan kepada isteri. Jika ada teguran, pastikan bukan teguran yang menyakitkan hati isteri.
Tip Untuk Isteri
1. Kalau suami tak nak tolong, minta dia sediakan orang gaji.
2. Bila nak minta tolong suami, cakap elok-elok. Jangan menengking dan meninggikan suara.
3. Jangan bagi arahan tapi bagi rayuan.
4. Jangan ungkit dan membebel.
5. Suami pun sebenarnya manja macam anak kita, jadi isteri kena pandai ucapkan terima kasih setiap kali suami tolong. Kalau nak suami happy, peluk suami lepas dia tolong kita.

Ciri-ciri Suami Idaman
1. Sedap mata memandang
2. Menjaga solat lima waktu
3. Berkemampuan dalam menjaga keluarga
4. Bukan kaki pukul
5. Tidak panas baran
6. Bertanggungjawab
7. Penyabar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI