Dunia sekarang nie, semua orang lebih suka membayar barang yang dibeli dengan kad kredit atau kad debit. Malah, tidak keterlaluan apabila rata-rata daripada kita ini tidak membawa wang yang banyak, cuma, ada beberapa keping kad debit atau kad kredit.
Kad kredit diberi pada isteri. Mungkin ini salah satu nafkah zahir yang diberikan oleh suami pada isteri? Mampukah isteri menggunakan dengan cara yang betul. Kalau isteri yang boros, memanglah susah untuk dikawal. Lebih baik suami berikan duit tunai sahaja. Tapi, bagi isteri yang pandai habiskan duit melalui kad kredit yang diberikan suami untuk membeli barang keluarga. Itu tidak menjadi persoalan.
Malah, isteri pun tidaklah ingin menyeksa suami dengan membeli barang sesuka hati sampaikan penyata bil berjelar-jelar. Bergantung kepada kemampuan suami. Biasanya, isteri beli barang untuk keperluan rumah sahaja. Betul tak?
Ada cara yang betul kalau nak beri kad kredit pada isteri. Ikuti perkongsian daripada Bijen Mohd tentang suami yang bagi kad kredit pada isteri. Tak perlu takut pun wahai suami….
Menguruskan Nafkah
Saya belajar tip ini daripada orang lama yang berpengalaman. Maklum saja, saya baru nak berjinak-jinak membina rumah tangga. Memang banyak kena belajar dengan orang lain yang dah menempuhinya, terutama di era modenisasi dan liberalisasi ini.
Saya tanya bagaimana beliau menguruskan perihal nafkah untuk isteri sesuai dengan arus pemodenan semasa. Isteri beliau tu bekerja sebagai guru. Waktu itu saya tengah mencari mekanisma terbaik untuk menyalurkan nafkah supaya saya tidak termasuk dalam golongan suami yang mengabaikan tanggungjawabnya.
IKLAN
Jawabnya, beliau memberikan kad kredit tambahan (supplementary) kepada isterinya untuk digunakan. Ikut pandai dialah nak belanja macam mana.
Maka lepas buat kaji selidik, analisa risiko dan sebagainya, saya pun berilah hadiah sekeping kad plastik kepada isteri. Kini dah nak masuk 6 tahun dah kot saya masih belum tarik lagi nikmat yang tak dapat didustakan itu.
Hadkan Limit
Kawan-kawan,
Tak payah risau sangatlah bila bagi kad kredit kepada isteri. Kita boleh saja tetapkan limit untuk mereka berbelanja. Katakan gaji kita RM2,500 sebulan, buatlah limit kad isteri sebanyak RM500-RM1,000 sahaja.
Serius, mereka tak akan guna lebih pun. Nak beli apalah sangat? Shampoo, minyak rambut, deodoren? Semua tu bukannya setiap bulan kena restock. Beli baju raya? Setahun sekali saja. Baju kelawar pun tak adalah sampai setiap masa nak membeli. Beli bra, rasanya tunggu sampai dawai terkeluar baru nak ganti.
Last-last beli barang dapur juga. Itu pun kita sendiri yang tumpang makannya. Cuma yang isteri suka beli; sabun anak, losyen anak, pampers anak, baju anak, kasut anak, spender anak, mainan anak. Nak buat macam mana, suami sendiri malas nak beli.
Pakai kad kredit ni ada baiknya. Isteri akan guna bila perlu saja. Berbanding kalau kita bagi cash di tangan, tak adanya isteri nak pulangkan kalau ada lebih. Kan bagus macam tu? Pay per use.
Itu satu perkara. Perkara lain yang best adalah setiap perbelanjaan isteri akan muncul dalam penyata. Tak payah suami susah-susah nak teka isteri ini habiskan duit kat mana.
IKLAN
Macam saya, bila hujung bulan, saya akan verify balik setiap baris item dalam penyata. Waktu tu, isteri mulalah gelabah cari resit letak kat mana, check akaun Shopee beli barang apa. Dalam masa yang sama, kita boleh didik mereka apa must have thing dan nice to have thing.
Malam-malam pula jangan lupa panjatkan doa. “Ya Allah, tutuplah pintu hati isteriku dari boros berbelanja. Janganlah bagi dia mudah terpesona dengan tipu daya dunia. Kurangkanlah nafsunya bershopping sini-sana.”
Alahh, isteri berbelanja pun murah rezeki untuk kita juga. Apa nak susah hati sangat?
MW: Lepas ini, suami bolehlah bagi kad kredit untuk isteri. Cara sekarang bagi nafkah untuk isteri.
Didikan anak-anak sekarang serba mencabar. Lagi nak sampai usia remaja, lagi mak ayah berganda kerisauan. Makin remaja, naluri nak ber’kawan’ ada dalam diri anak remaja. Tapi berkawan pun ada batasnya. Jangan sampai anak remaja kita ‘tak tahu’.
Pengalaman yang dilalui Jururawat Terlatih, KKM, Nur Nabilla Masfuzah (Bel Nawhen) ini jadi contoh paling dekat betapa pentingnya pendidikan seks pada anak-anak kita.
Ketika menemuramah Tun Siti Hasmah tak lama dulu, Tun ada berkongsi yang pendidikan seks perlu didedahkan pada anak-anak seawal usia 10 tahun.
Antaranya ajar anak-anak ini tentang anatomi tubuh manusia. Sistem reproduksi dan sebagainya. Agar mereka tahu bagaimana terjadinya sebuah kehamilan.
Pendedahan awal, mendidik anak perempuan agar lebih ‘alert’ dan tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan tubuh mereka diperlakukan sesuka hati oleh pemangsa (siapa pun mereka termasuklah individu yang rapat dengan anak-anak ini).
Remaja Ini Tak Tahu
“Adik, awak tengok nurse ni. Tengok dia mengandung. Tapi dia ni dah kahwin. Dah nikah.”
Ujar pakar kepada pesakit itu.
“Memanglah doktor. Dah kahwin je boleh mengandung,” ujarnya.
“Awak tahu tak kalau tak nikah pun boleh mengandung? Nak-nak awak dah baligh,” balas pakar tersebut.
“Boleh ke doktor? Saya ingat dah kahwin je boleh mengandung. Tak kahwin tak boleh mengandung.” Balasnya lagi.
“Habis, awak ingat selama ni awak aktif seks awak ingat boleh jadi apa?” Kehairanan pakar saya.
“Saya tahu boleh mati je doktor. Tak tahu boleh sampai mengandung bila main banyak kali,” ujarnya lagi.
Habis.. Saya Ada HIV Ke Doktor
Pakar saya terkejut dengan pernyataannya. Ada sesetengah perkataannya pula terpaksa saya translatekan kepada medical jargon kerana terlalu terbuka dan tidak berapa enak didengar telinga.
“Adik, seks yang tanpa mengira pasangan bukan sahaja boleh menyebabkan kamu mengandung tetapi juga meningkatkan risiko penyakit yang susah nak baik seperti HIV, jangkitan alat kelamin dan juga rebakan penyakit lain.”
Panjang lebar pakar menerangkan kepadanya.
“Habis, saya ada HIV ke doktor. Kenapa kena start ubat semua ni?” Soal pesakit itu ketakutan.
“Ubat yang awak terima ni sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan jika ada. Sebab tu lah kami ada ambil darah awak dan pasangan untuk pantau keadaan awak. Awak jangan lupa, awak beritahu saya yang pasangan awak ada ambil dadah dan cucuk pula tu ke salur darah sendiri,” jawab doktor saya tenang.
Sebab Inilah Saya Paranoid
Sebenarnya, saya tidak pernah jemu menulis dan menulis tentang isu ini. Saya yang bekerja dalam lingkungan setahun setengah di wad tersebut saya sentiasa di dalam ketakutan.
Takut kerana apa? Takut jika diri sendiri merasa erti sakit apabila orang yang disayangi diperlakukan tanpa perasaan oleh orang asing hatta keluarga sendiri.
Saya juga menjadi paranoid, melarang suami memandikan anak saya, melarang gurau senda antara anak-anak dan sepupu mereka malahan terlalu sensitif bila bawa anak keluar dan bertemu orang asing.
Saya juga sedih bila mana diusia muda, pendidikan tidak lagi dititik beratkan oleh remaja tersebut. Berjoli sakan, melakukan aktiviti tidak bermoral pula menjadi ikut ikutan.
Trend masa itu, topup RM10 dapat tidur sekali dan dapat upah ‘seround’. RM10 untuk gadaian harga diri yang ternyata letaknya bukan tinggi mana.
Klik sahaja look around, dapat habuan semalam. Pandai ayat sikit, dapat percuma tanpa keluar sesen upah. Silap-silap dapat pula offer untuk bermalam dirumah mangsa saat ibu bapa sudah tidur keletihan mencari rezeki di siang hari.
Pendidikan Seks Bukan Ajar Remaja Bersetubuh
Bila kita bicara tentang kepentingan seks education di kalangan pelajar serta remaja, ramai pula berfikiran seolah ia berkaitan cara mengajar remaja untuk melakukan persetubuhan yang sihat.
Sedangkan isi di dalamnya bukan menjurus ke arah itu. Sebaliknya, butir-butir mana yang tidak elok dan mana yang perlu diikuti akan diterangkan satu persatu.
Nota Kaki
Tak kira apa peluang kita dapat, guna sebaik-baiknya. Cuma jangan sampai ambil kesempatan.
Sumber/Foto : Bel Nawhen
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesetengah bayi yang dilahirkan akan alami demam kuning. Waktu ini doktor akan sarankan ibu menyusukan bayi sekerapnya, iaitu setiap 2 jam sekali selepas kelahiran. Tapi ibu juga perlu ingat, kolostrum cuma duduk dekat ibu beberapa jam selepas kelahiran. Sebaik bayi dalam dakapan, susukanlah agar dia kuat dan terima antibodi dari khasiat kolostrum.
Tapi ibu yang pertama kali bersalin, perlu tahu juga susu ibu pada awal kelahiran tidak keluar memancut. Ia ada dengan kadar mencukupi untuk bayi anda yang masih baru melihat dunia itu. Bila ibu faham hal ini, maka maksud penyusuan sekerapnya itu sampai dalam pengetahuan ibu.
Ada juga sesetengah ibu yang memang akan berhadapan bayi kuning, walaupun anaknya sudah disusukan dengan kerap. Hal ini, anda perlulah merujuk kepada doktor kerana mereka lebih arif dan faham bagaimana mahu merawat bayi anda yang alami demam kuning.
Sekiranya selepas melahirkan ibu sudah pulang ke rumah, sebagai langkah pencegahan anda boleh ikhtiarkan memandikan bayi dengan bilasan air pokok herba dukung anak. Jangan pula sesekali diberikan bayi dengan minuman atau makanan selain susu ibu untuk mencegah kerana tindakan itu akan memudaratkan bayi. Biarlah ibu saja yang mengambilnya dan khasiat itu akan mengalir melalui air susu yang diberikan kepada bayi anda.
Ini perkongsian daripada Pengasas SuzyHoney Herbs, Puan Suzima Hazish untuk petua memandikan bayi dengan bilasan pokok herba dukung anak mahupun kayu sepang kederang.
Hari Ke-3 Kelahiran Cucu Sulung
“Bayi ini adalah cucu sulung saya yang dilahirkan pada 2 September 2017, baru ini. Bila Nyang (emak saya) memandikan cicitnya.”
“Kalau saya takat pegang dukung-dukung baby boleh le, tapi kalau bab mandi bayi ni awal-awal usia bayi tak berapa berani. Nasib emak ada. Alhamdulillah.”
“Setakat hari ke-3 baby tak menunjukkan ‘kuning’. sikit-sikit tu ada le. Untuk cegah kami gunakan rebusan daun dukung anak mandikan baby.”
Caranya
1. Ambil beberapa pokok daun dukung anak yang segar sekali dengan akarnya dan dibersihkan.
2. Kemudian, direbus sehingga menggelegak.
3. Tapiskan dan tunggu sampai suam-suam kuku.
4. Mandikan bayi seperti biasa dan air tapisan tadi digunakan untuk mandikan bayi sebagai bilasan terakhir.
Nota
√ Gunakan mandian herba dukung anak ini sampai tidak kelihatan kuning di tubuh bayi anda.
√ Kaedah yang sama iaitu 1-4 juga boleh digunakan untuk bilasan kayu sepang kederang.
√ Kayu Sepang Kederang ini boleh diperoleh di kedai tabib cina atau singseh
√ Tak perlu campurkan daun dukung anak atau kayu sepang kederang ini. Cukuplah dengan menggunakan salah satu daripadanya.
Derita di hatinya tiada siapa yang tahu. Segala-galanya disimpan kemas sendirian. Bertahun-tahun wanita ini menyimpan derita kerana memiliki suami penganggur dan panas baran.
Ikuti luahan hatinya dan diberikan pendapat oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/nurul.azwa.509
Lepas Kahwin, Derita Bermula
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban Dengan Kewangan Keluarga
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Derita Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Mula Naik Tangan
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Turutkan Saja Kerana Tak Nak Lebih Derita
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila? Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri Ketakutan, Melaka.
SARANAN KAUNSELOR
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar.
Ia menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan. Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya. Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum.
Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambil alih atau menyediakan semua keperluan keluarga, Apa tah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jangan Ambil Alih Tanggungjawab Suami
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya? atau nak harapkan rakannya?
jawapannya puan sendiri tahukan…bahawa bukan mereka….tetapi puanlah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Didik Diri Lebih Tegas
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apatah lagi jika meminta wang daripada puan. Jangan takut pada baran suami. Tahukah puan, kerana takutlah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan. Jangan biarkan diri diperalatkan dan diseksa emosi dan fizikal oleh suami. Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya.
Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Tak Nak Derita Jangan Tunjuk Lemah!
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini yang mendatangkan derita buat isteri. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya. Orang yang baran ini akan menang jika dia tahu orang yang dia berdepan itu lemah.
Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah. Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti.
Minta Bantuan Orang Terdekat
Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan. Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan.
Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang daripada puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...