
Sangat penting mendidik anak-anak agar mampu bertanggungjawab dan berdikari baik di rumah mahupun pada diri sendiri. Cara ini hanya mampu dilakukan bagi mak-mak yang ‘malas’. Tidak terlalu rajin membuat segala kerja rumah dan urusan anak-anak atas bahu sendiri. Sebaliknya tetap meminta bantuan dan mengharapkan anak-anak turut melakukan bersama-sama.
Perkongsian daripada Puan Nurul Ilyani ini wajar mak-mak jadikan panduan;
5 tip didik anak ada common sense di rumah dengan cara mak ‘malas’
#1 Sebelum Tidur
Mak ‘malas’ tak sediakan barang sekolah anak dia. Dia galak anak dia yang kemas sendiri. Cari sendiri baju, seluar, seluar kecil.
#2 Anak Makan
Mak ‘malas’ tak kemas meja makan. Mak ‘malas’ kata, “lepas makan kemas meja, basuh pinggan, itu tanggungjawab”. Budak kecil umur 3 tahun sudah kena selesai sendiri. Mak ‘malas’ cuma touch up kasi elok saja.
#3 Anak Main
Mak ‘malas’ tak penat-penat kemas semua. Dia panggil semua datang kemas. Semua kena stop main. Kena kemas. Kadang-kadang mak ‘malas’ memetir juga. Memetir dengan ayat berpengaruhlah, bukan berleter.
#4 Anak Mandi
Baju sepah depan tandas, dalam tandas. Mak ‘malas’ tak kutip. Mak ‘malas’ kata, “baju kotor masuk bakul”. Yang kecil umur 3 tahun pun kena buat. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
#5 Spring Cleaning Rumah
Mak ‘malas’ tak buat sendiri-sendiri. Mak ‘malas’ kata, “Anak-anak hari ini spring cleaning, Kakak sapu sampah, mop, abang dengan adik cuci toilet, abi buang sampah, kemas dapur”. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
Hakikatnya mak ‘malas’ bukan malas. Mak ‘malas’ nak bagitahu semua orang ada tanggungjawab. Mak ‘malas’ bukan kuli. Tak ada raja, tak ada permaisuri, tak ada kuli. Ini keluarga kita, tanggungjawab kita. Yang ada pembantu rumah lagi kena hati-hati. Anak kita ada tendency meraja.
Pesan mak ‘malas’,
Ummu Ilham
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Mak-mak janganlah terlampau rajin buat semua benda dan perkara di rumah.Nanti diri sendiri juga yang penat. Jadilah mak yang ‘malas’ agar anak turut dapat rasa bertanggungjawab di rumah sendiri dan berdikari sendiri.
Sumber: Nurul Ilyani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Yang Tak Soleh, Boleh Berubah Dengan Kesabaran Dan Doa Isterinya

Ujian bagi seorang isteri apabila ditakdirkan mengahwini suami yang tak soleh, culas bab urusan agamanya. Semakin hari, semakin menjerut perasaan. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak.
Hebat sekali ujiannya. Tentunya semakin lama, hati isteri mula bergolak juga. Bagaimana mahu bertahan dengan suami sebegini. Mampukan diri berdamai dengan takdir yang tuhan tetapkan.
Hadamkan perkongsian Intan Dzulkefli bila mana isteri ditakdirkan bertemu suami yang tidak soleh.
Andai Ditakdir Bertemu Suami Yang Tak Soleh
Kesolehahan isteri takkan tercela sedikit pun andai suaminya tidak soleh.
Bukan semua wanita yang baik budi dikurniakan suami yang soleh. Begitu jugalah sebaliknya. Pasangan bukanlah sekadar anugerah. Bahkan juga amanah dan ujian.
Seorang isteri, dia menutup aurat, akhlaknya molek, lisannya selalu terjaga, amal ibadahnya dijaga.
Namun, suaminya pula tak solat, mata keranjang, suka memaki-mencarut, suka stalk aurat wanita di media sosial.
Orang akan kata, “kesian isteri, malu dapat suami macam tu.”
“isteri punya baik, suami macam tu…”
Memanglah perbuatan suami seolah menjatuhkan maruah si isteri yang solehah tadi, tetapi adakah Kesolehahannya tercela?
Tentu tidak.
Isteri Sangat Baik, Sifat Suami Sebaliknya
Dulu waktu saya bujang, saya pernah bertanya pada wanita yang sangat baik yang suaminya kita lihat sifatnya kontra sangat dengan isterinya.
“Macam mana nak bersabar dengan suami yang tak soleh ya?”
Dia senyum seperti faham ‘makna tersirat’ soalan saya itu.
“Dulu Acik pun selalu ingat kalau Pak Imam jodohnya mesti ustazah, macam susah nak terima kalau Pak Imam tiba-tiba isteri jenis merayap dengan tak tutup aurat semua tu kan. Acik pun macam awak juga dulu, sampai acik jumpa seorang lelaki yang orang kata memang idaman para isteri, tapi isterinya jenis…” dia terhenti kata.
“Tak solehah?” teka saya cuba menyambung.
Dia tersengih.
“Tapi dalam ceramah, dia cakap, sebenarnya dia jadi sabar, baik, seperti yang orang kata dan sangka itu sebab isteri dia yang orang nampak tak solehah tulah. Setiap kali isteri dia degil, dia up lagi sabar dia. Kalau dulu jarang solat hajat, solat taubat, sekarang tak pernah missed sebab DIA TAKUT SEBAB DOSA DIA, isteri dia masih tak dapat hidayah Allah.”
MasyaAllah.
Hampir Bercerai Dengan Suami Kerana Kecewa
“Sebelum tu Acik pun hampir nak bercerai dah dengan Pak Cik sebab kecewa dengan dia. Dengan kata ‘nasihat’ orang luar yang tak putus suruh tinggalkan dia. Pak Cik memang jauh dari impian Acik. Tapi lepas acik dengar cerita Ustaz tu, Acik lebih tenang. Acik redha.”
“Memang betul suami Acik tu orang selalu umpat dia, tak solat, asyik melepak kedai kopi, mata tak jaga. Tapi dia tak jahat dengan Acik. Kalau Acik nak pergi kelas mengaji dia hantarkan, jalan naik kereta dia buka channel radio agama yang Acik suka, telekung Acik dia selalu belikan baru. Benda-benda macam ni buat Acik semangat nak bangun malam doakan hidayah untuk dia.”
“Dia antara rahmat Tuhan pada Acik. Mungkin kalau Acik tak kahwin dengan dia, Acik pun takkan buat u-turn macam ni..”
Berkat Kesabaran Doa Isteri Yang Baik
MasyaAllah. Sentap sangat saya pada waktu itu. Terasa jahatnya saya menilai orang sesuka hati begitu. Mungkin juga si suami yang tidak soleh tadi juga sedang slow-slow mahu berubah jadi lebih baik atas kesabaran dan doa si isteri.
Bukan kita tidak pernah jumpa isteri yang rasa bongkak sebab merasakan suami dia sangat baik, asyik memuji-muji suami. Kadang tidak perasan, bila kita asyik membesarkan makhluk, kita jadi kurang membesarkan Allah.
Bila suami baik sangat, ada masalah sahaja terus cari suami dahulu, tak cari Allah pun. Rupanya dalam situasi begini, boleh jadi suami tadi ‘musibah’ pula kerana menjadikan kita jauh dari Allah. Allahuakbar.
Rumah Tangga Sebenarnya Sangat ‘Complicated’
Alhamdulillah setelah bernikah. Saya akhirnya faham, memang betul, rumahtangga ini memang sangat ‘complicated’. Tak semudah dengar cerita sekerat-kerat, kita dah boleh ‘judge’ begitu begini.
Sebagai orang luar, bukan kapasiti kita untuk memaksa seorang isteri untuk melepaskan jalan syurgaNya melalui suaminya.
Ada orang bersabar dengan suaminya, tapi kita ‘bodoh-bodoh’kan dia hanya kerana dia memilih untuk bersabar. Sedangkan mungkin padanya di situ doa dan harapannya untuk masuk syurgaNya. Sedangkan kita tidak tahu apa doa dan harapnya kepada Allah dalam setiap sujud, saat kita tidur berdengkur di sisi suami yang boleh kira berapa kali bangun bertahajud. Allahu, astaghfirullah.
Seperti titipan butir pesan Rasulullah SAW;
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Baca sini : Hati isteri itu lembut, sebab tu dia mampu bersabar, masih bertahan
Mentaati Suami Itu Hal Yang Paling Sukar
Siapa yang bergelar isteri, tentu mereka akan tahu, syarat yang keempat, iaitu mentaati seorang suami itulah hal yang paling sukar sekali.
Namun, wahai isteri, apabila kita memandang suami itu adalah dari Allah, ujian Allah untuk menguji keimanan kita – bahawa Allah yang Menguji kita, mudah-mudahan hati kita akan lebih lapang dan tenang.
Berdoalah agar Allah mempermudahkan kita meraih syurga sebagai isteri, serta harapan bahawa Allah akan membalas segala kesusahan, kesabaran dan pengorbanan kita sebagai isteri rumahtangga dengan sebaik-baik balasan kelak di akhirat, insyaAllah.
Pesanan untuk diri sendiri yang paling perlu selalu diingatkan.
P/S : Bersabar dengan suami yang dimaksudkan di atas TIDAK TERMASUK untuk suami yang mendera mental, fizikal, tidak memberi nafkah, terlibat dadah, sumbang mahram, berzina (dikhuatiri terkena penyakit AIDS), dan hal-hal yang menzalimi hak isteri dan anak-anak. Wallahu ‘alam.
Mingguan Wanita : Selalunya kemanisan itu tetap ada di penghujung jalan cerita.
Sumber/Foto : Intan Dzulkefli
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datin Shahida Pernah Alami Stress, Nangis Siang Malam Sampai Pernah Ke Klinik Nak Gugurkan Kandungan!

Ramai yang mengenali Datin Sri Nur Shahida Mohd Rashid,33 yang merupakan isteri kepada pengasas produk kecantikan dan kesihatan, D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. Dato Sri Aliff Syukri.
Pasangan ini telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, 10, Qadejah El Zahra, 8, Ibraheem Adham, 6, dan Yusoff Al Qardawi 3 bulan. Malah, pada tahun lalu pasangan ini telah mengambil dua orang anak angkat iaitu Ameena, 1 dan Qayyum yang kini berusia sepuluh bulan.
Rupanya disebalik kebahagiaan dan kesenangan yang dimiliki kini bersama suami dan anak-anak tersayang, Datin Shahida pernah mengalami stress dan kemurungan kerana tidak bersedia hamil anak ketiganya Ibraheem Adham, 6, diawal perkahwinannya dahulu.Dalam keadaan anak-anak yang masih kecil disamping situasi ekonomi keluarga yang tidak stabil, pernah mendorong emosi beliau untuk menggugurkan kandungan ketika itu.
Perkongsian kisah dan pengalaman ini diceritakan oleh Datin Sri Shahida sendiri didalam Instaramnya malam tadi.
“Dulu waktu mengandung Baem anak-anak semua kecik lagi.Mengandung baem umur saya 27 tahun .Waktu tu bila tau pregnant saya tak happy langsung sebab sangat-sangat tak nak ada anak lagi dengan ekonomi tak berapa baik.”
“Saya stress nangis siang malam pagi petang sampai pernah ke klinik nak gugurkan kandungan.Doktor dekat klinik pun marah saya,tu lah manusia ni.Rezeki duit nak rezeki anak dia tolak.”
“Terus saya terkedu dan berfikir kembali apa yang saya nak buat ni salah. Saya teruskan kandungan walaupun dalam kemurungan.(Kalau ingat balik berdosanya saya tak terima rezeki Allah nak bagi ni).”
“Doktor tu cakap awak tak kesian ke dekat anak awak ni. Dia dah ada jantung.Nanti esok-esok dia ni lah anak yang membahagiakan awak.Terus perasaan naluri ibu tu datang.Saya tak malu nak cerita sebab untuk pengajaran kita semua.”
“Ya sememangnya betul @baem_adham penghibur saya, seingat saya beberapa kali aja saya cuba nak pukul dia yang lain tak sempat sebab dia terus peluk dan cium je tiap kali saya marah.
“Sekarang dah besar dah anak-anak ni…Tak lama lagi dapat menantu (terover pula kan..) apapun hargai rezeki Allah bagi.Insya Allah kita redha yang baik-baik datang pada kita.”
A post shared by Nur Shahida Mohd Rashid (@shahidadherbs) on
Para pengikut instagram Datin Sri Shahida turut meninggalkan komen dan berkongsi pengalaman yang sama.
elynn.nordin Pernah alami perkara yang sama cuma situasi berbeza.Rasa bersalah sampai sekarang.Akhirnya dia lahir dan menjadi kekuatan penuh saya!
its_sarahomar Saya nangis baca..sebab now tengah mengandung anak pertama, ekononi belum stabil tapi saya terima..rezeki..anak bawa rezeki..saya pegang tu…tq share cerita ni Datin @shahidadherbs ❤️
little_white_tulip Masa itu cepat berlalu kan Datin @shahidadherbs ,sometimes apa yang kita cuba buat adalah dorongan minda dibawah sedar…thanks datin berkongsi pengalaman.Moga Allah sentiasa merahmati
family datin.
hadihidad Saya pun lebihh kurang sama pengalaman. Tapi takdelah sampai nekad ke klinik. Bila difikirkan ikut hakikat nafsu memang diri rasa penat sangat tak terkejar semua urusan. Tapi bila cepat-cepat istighfar twist fikiran bersangka baik, InsyaAllah. Anak-anak saya mungkin jadi pembela bila saya dah tua-tua takda orang nak endahkan saya nanti. Susah-susah dulu senang-senang kemudian. Tq Allah bagi jawapan & semangat melalui posting datin ni.
norhadiana83 Betul datin.kadang-kadang amanah yang kita tidak bersedia nak terima…itu lah yang akan membahagiakan kita dan penyejuk hati kita…bukan lah nak ckp anak-anak lain tu tak membahagiakan…tapi sikap anak-anak yang berlainan tu yang membuatkan kita lebih bahagia dan naluri keibuan tu akan merasa bangga bila dapat yang terbaik…
dianafrisya Dont worry datin @shahidadherbs memang ramai dikalangan ibu-ibu pernah merasakan perasaan ni. Lagi-lagi bila anak-anak yang ada masih kecil.Tapi itu lah dugaan hati yang tuhan bagi. Dari situ jugak kita peroleh banyak kesedaran & keinsafan. Saya pun pernah melalui, anak pertama bersalin czer & ada masalah kesihatan. Bila tahu mengandung anak ke 2, terus down sebab saya nak bagi perhatian pada anak yang sakit. Pernah jugak usaha nak buang. Tapi kuasa Allah tak membenarkan. Memang betul lah. Sekarang anak yang saya rasa nak buang tu lah penghibur hati & sangat memyenangkan. Sikit-sikit peluk sikit-sikit cium mummy dia. Hehehehe. Moga anak-anak datin membesar jadi anak soleh dan solehah.
Jadi buat mak-mak yang sedang diuji ketika ini, mahupun pernah alami situsi sebegini dan rasa tidak bersedia untuk ada anak lagi atas apa juga alasan, perbanyakkanlah bersabar. Setiap anak adalah rezeki dan amanah yang diberikan daripadaNya.Jadikan kisah Datin Sri Shahida ini sebagai satu pengajaran dengan melihat hikmah disebalik setiap yang berlaku.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Sumber: Shahidadherbs
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Bertarung Nyawa Seorang Diri, Tak Dapat Iring Ke Kubur.” Ingat Pesanan Isteri Jaga Anak

Sebagai suami, tak dapat dia bayangkan isterinya bertarung nyawa seorang diri, tak dapat iring ke kubur kerana sedang kuarantin. Namun dia masih ingat pesan isteri jaga anak walau apapun terjadi padanya.
Kehilangan isteri kerana Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah diterima, apatah lagi isteri pergi bersama dengan bayi yang dikandung.
Bukan sehari, dua dapat menerima dan melupakan kesedihan ini apabila kehilangan orang tersayang. Sungguh berat ujian ini. Allahuakbar.
Masih Sedih
“Sehingga hari ini, saya masih sedih dan cuba untuk menerima pemergian isteri serta anak dalam kandungan yang turut meninggal dunia,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.
Mohd Fadli berdepan ujian berat apabila isterinya, Umaisarah Azmi, 25, dijemput Ilahi pada 17 Julai lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Lebih menyedihkan Umaisarah yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.28 tengah hari meninggal dunia ketika hamil tujuh bulan dengan anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.
Hanya Alami Sesak Nafas
Berkongsi kisah pilu itu, Mohd Fadli yang menetap sementara waktu di Ladang Sungai Tekai Naka, Pokok Sena, di sini, berkata, isterinya tidak menunjukkan simptom Covid-19 dan tiada penyakit kronik atau mengalami alahan sepanjang tempoh kehamilan.
“Bagaimanapun, isteri saya tiba-tiba bangun daripada tidur dan mengadu sesak nafas serta sakit kepala kira-kira jam 4 pagi pada hari dia meninggal dunia.
“Melihat keadaan isteri yang lemah, saya bergegas membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dia kemudian dimasukkan ke zon merah sebaik tiba di situ.
“Tidak lama kemudian, doktor keluar dan beritahu isteri meninggal dunia dan disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Bertarung Nyawa Seorang Diri, Tak Dapat Iring Ke Kubur
Mohd Fadli berkata, dia hilang kata-kata dan terkejut apabila diberitahu isterinya meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 kerana tiada ahli keluarga mereka dijangkiti wabak itu.
Segalanya berlaku dengan pantas namun Mohd Fadli reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sedih kerana tidak dapat menguruskan dan menatap jenazah isterinya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, Sungai Petani.
“Arwah isteri tidak sempat diintubasi kerana meninggal dunia tidak lama selepas dimasukkan ke zon merah.
“Namun, pemergiannya tetap memberi kesan kerana anak dalam kandungan itu adalah zuriat kedua kami dan ketiga buat isteri kerana dia mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya yang terdahulu.
“Saya tidak dapat bayangkan saat akhir arwah bertarung nyawa memandangkan tiada di sisinya dan paling menyedihkan apabila tidak dapat mengiringinya ke tanah perkuburan kerana perlu menjalani kuarantin,” katanya.
Baca Juga Di Sini:
‘Dalam Wad Uwan Paling Sihat..’ Umur 95 Tahun Diuji Positif Covid-19
Sekeluarga Positif, Isteri Saja Kritikal Hingga Akhir Hayatnya. “Saya Perlu Kuat Demi Anak.”
Ujian KEHILANGAN Ajar Kita Untuk Terima, Syukuri & Hargai Apa Masih Ada
‘Bergembiralah Di Syurga Bidadariku Siti Sarah’ Rezeki Solat Ghaib Di Makkah
‘The Other Half’, TIADA LAGI Isteri Yang Sentiasa Ada Saat Jatuh, Bangun Bersama
Ingat Pesanan Isteri Jaga Anak
Meskipun masih berduka, Mohd Fadli bersyukur kerana dia dan dua anak, Muhammad Danish, 6, dan Muhammad Adam Rykal, 3, bebas jangkitan Covid-19.
Katanya, mereka juga sudah selesai menjalani kuarantin pada 31 Julai lalu.
“Buat masa ini, saya tinggal di rumah keluarga dan mereka yang membantu menguruskan anak.
“Sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, arwah isteri sempat berpesan supaya saya menjaga anak walau apa pun berlaku terhadapnya.
“Sebagai suami, saya akan cuba tunaikan permintaan terakhirnya untuk menjaga dan membesarkan anak kami selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Mingguan Wanita : Al-Fatihah untuk arwah dan kepada suamiya, harapnya dapat meneruskan hidup serta menunaikan amanah allahyarham untuk menjaga anak-anak.
Sumber : myMetro
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI