Dengan keadaan ekonomi sekarang, macam-macam cara perlu dilakukan untuk menambah sumber pendapatan demi kelangsungan hidup. Salah satunya dengan berniaga kecil-kecilan.
Masih ingat dengan penyanyi era 90an, Shima atau pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman,49 yang cukup popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki. Malah, dia juga pernah menerima pengiktirafan besar dalam kerjaya seninya sebagai penyanyi, namun semakin dilupakan pada awal tahun 2000 kerana tidak lagi aktif menyanyi.
Berpenampilan manis bertudung labuh, Shima kini telah membuka warung menjual nasi campur berhampiran rumahnya demi mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Anggap Tiada Rezeki Dalam Bidang Seni
Namanya kembali menjadi sebutan selepas menyertai Gegar Vaganza musim pertama (GV1) pada 2014.Sayang seribu kali sayang, mengharapkan kerjaya kembali bersinar, namun ia tidak pernah berlaku.Malah, penyanyi yang juga pernah bersama band The Boys ini mengakui tidak banyak menerima undangan nyanyian usai program tersebut.
“Pelik juga sebenarnya. Nasib saya tidak sama seperti rakan lain yang menyertai GV. Selepas program tersebut saya tidak banyak menerima undangan nyanyian.
“Malah, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencari saya untuk memberi tawaran sebagai artis rakaman atau merakamkan single. Ibaratnya kerjaya saya tertutup selepas menyertai GV.
“Memanglah ada rasa sedikit kecewa, namun saya anggap tiada rezeki untuk terus bersaing dalam dunia seni. Mungkin juga disebabkan saya tidak keluar dengan lagu baharu, peminat zaman sekarang tidak sedar tentang kewujudan saya,” ujar Shima perlahan.
Meskipun pahit apa yang dihadapi, itu adalah hakikat yang harus ditelan. Shima akur dengan putaran dunia yang kini tidak lagi berpihak kepadanya.Dia sendiri menganggap dunia glamor yang pernah dikecapi dahulu sudah bertemu titik penamat.
“Sepanjang 30 tahun menjadi penyanyi sudah pelbagai cabaran yang dilalui. Sudah menjadi adat sebagai anak seni, perjalanan kerjaya ada naik dan turunnya. Saya terima hakikat yang dihadapi sekarang.
Ads
“Saya sudah merasai dunia glamor pada awal kerjaya dahulu. Pernah menang Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, rasanya apa yang pernah saya capai sebelum ini adalah satu kebanggaan buat diri sendiri.
“Sejak mula menyanyi saya sudah tanamkan dalam hati bahawa perkara sebegini akan berlaku. Janganlah terlalu kecewa sehingga tidak boleh meneruskan kehidupan harian. Saya perlu jalan ke hadapan.
“Malah, saya tidak pernah rasa dengki melihat rakan-rakan artis lain yang masih atau kembali mencipta nama dalam industri. Semua itu rezeki mereka. Tuhan telah tetapkan apa yang dilalui sekarang adalah rezeki untuk saya,” luah Shima dengan reda.
Derita Sakit Slip Disc
Di sebalik wajah ceria bercerita dan mengenang kembali kisah silam, ada sesuatu yang disorokkan oleh penyanyi ini. Ramai yang tidak tahu Shima kini bergantung kepada bekalan ubat hospital kerana menghidap sakit belakang atau slip disc.
“Rasanya sudah lima tahun saya menghidap sakit ini. Sekarang memang bergantung kepada ubat dan akan berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk rawatan lanjut.
“Ketika zaman muda saya terlalu aktif dan di bangku sekolah pernah menyertai sukan peringkat kebangsaan. Saya juga pernah dua kali terjatuh di rumah. Sekarang barulah menanggung akibatnya.
“Doktor pernah memberi cadangan untuk melakukan pembedahan. Namun, risikonya amat tinggi kerana sakit ini sudah terlalu lama sehingga memberi kesan pada urat saraf. Jika buat pembedahan harapan untuk hidup hanya 50 peratus,” katanya.
Ads
Apabila ditanya tentang survival kehidupan, Shima tidak mahu kisahnya mengundang simpati orang lain. Malah, dia juga tidak terlalu mengharap mana-mana persatuan seni datang menghulurkan bantuan.
“Kalau boleh saya tidak mahu sentiasa bercerita tantang sakit. Syukur masih mampu meneruskan kehidupan harian. Biarlah keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu penderitaan yang saya alami.
“Biasanya persatuan seni akan datang berjumpa apabila seseorang artis itu sudah terlantar sakit di hospital. Jadi saya tidak mahu terlalu mengharap diberi bantuan.
“Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Sebab itu jika ada tawaran persembahan saya akan sentiasa beringat. Duit yang diterima harus disimpan sedikit untuk tujuan perubatan. Apa lagi saya tidak punya insurans perubatan untuk menanggung segala kos rawatan dan ubat,” ceritanya lagi.
Berniaga Warung Teringin
Penyanyi ini yang pernah melahirkan sebuah album Inggeris berjudul More Than Your Girl pada 1993 memberitahu kini bahagia dengan perkahwinan kelima bersama Abdullah Rusli, 49, yang dinikahi dua tahun lalu.
Ads
Selain sibuk menguruskan rumah tangga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur.
“Sebenarnya idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu saya sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk saya memulakan perniagaan. Tetapi, dek kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.
“Malah, rencana untuk membuka restoran juga tidak berlaku. Banyak proses yang perlu dilakukan dan saya tidak jumpa rakan niaga yang sesuai.
“Sekarang rasanya masa yang tepat untuk memulakan perniagaan. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jika usaha ini menjadi, siapa tahu satu hari nanti impian untuk membuka sebuah restoran akan tercapai,” katanya.
Sekalipun akur kerjaya seni semakin perlahan, tidak bermakna Shima mahu terus berhenti. Dia juga tidak pernah kisah jika ada beranggapan memulakan perniagaan di tepi jalan dek kerana sudah `sendu’ dan tidak laku.
“Biarlah apa orang nak kata sekali pun. Mereka tidak tahu untuk memulakan perniagaan ini juga memerlukan modal. Jadi tidak perlulah saya kongsikan jika ada masalah kewangan sekali pun.
“Rindu untuk menyanyi sememangnya ada. Sebagai anak seni, saya mahu terus menyanyi. Jika diberi kesempatan saya mahu merakamkan lagu baharu,” jelas Shima yang memulakan perniagaan Warung Teringin di hadapan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor.
MW: Semoga warung nasi campur yang diusahakan penyanyi ini, mendapat sambutan yang menggalakkan.Pedulikan apa orang kata, yang penting mencari rezeki yang halal untuk kelangsungan hidup tanpa perlu mengharapkan belas ihsan orang lain itu adalah lebih mulia.
Sekarang orang buat majlis kahwin bukan macam dulu, tak payah tunggu cuti panjang. Hari biasa pun orang kahwin. Seronok kan bila dengar kawan-kawan dan ahli keluarga mendirikan masjid. Kita tumpang gembira.
Tapi yang tak seronok perangai orang kita bila ke majlis kahwin. Mulut memang tak reti diam. Bukan sahaja tak berhenti mengunyah makanan tapi dok mengumpat tuan rumah dan complaint pasal makanan.
1. Mengumpat Pengantin
Kalau tengok pengantin tak berkelip mata, bukan sebab nak puji tapi nak cari cacat cela supaya senang nak keji. Pengantin lelaki gelaplah, pendeklah, pengantin perempuan gemuk, muka banyak jerawat dan macam-macam lagi umpatan. Sebelum mengata orang, cerminlah diri kita dulu. Kita ni sempurna ke?
2. Complaint Makanan Tak Sedap
Patutnya bila dapat makan free, bersyukur dan ucap terima kasih pada tuan rumah. Ini tidak asyik mengomel. Ada je yang tak kena, makanan masin, lauk tak cukup, menu tak sedap, tak variasi. Adoi! Dalam-dalam complaint tu sebenarnya habis juga sepinggan makanan kan.
3. Gosip Pasal Bilik Pengantin
Ini aktiviti yang paling digemari tetamu, melawat bilik pengantin. Punya lama membelek bilik pengantin, dia buat rumusan pengantin tak ada taste. Bilik tak dihias cantik, warna tak serasi, dekorasi serabut. Amboi macamlah awak tu pereka dalaman. Lebih penting lagi, bukan korang yang nak tidur bilik tu tapi pengantin.
4. Perlekeh Door Gift
Bila dapat door gift cebik bibir bukan main lagi. Kata buah tangan kecil lah sebab tuan rumah kedekut. Amboi! Sedapnya mulut tak ada insurans ke. Untuk orang-orang macam ini elok bagi surah Yassin je, biar insaf.
5. Jangan Mengata… Tuan Rumah
Sepanjang berada di majlis kahwin, tuan rumah dapat pahala berganda. Apa taknya mulut tetamu tak diam, asyik mengumpat tuan rumah. Kat tempat kenduri boleh pula dok semeja bergosip pasal tuan rumah.
6. Bungkus Makanan
Memang ada yang suka tapau lauk kat tempat kenduri. Kalau memang tuan rumah sediakan tak apa lah. Jangan pula memandai-mandai ke dapur minta penanggah bungkuskan. Berilah peluang kepada tetamu lain nak makan pula.
Kalau Ke Majlis Kahwin Sebaiknya!
Kalau datang kenduri jagalah tingkah laku dan percakapan. Jangan kenduri jadi tempat bergosip dan mengumpul dosa. Tuan rumah dah berusaha menjamu dan meraikan kita, jadi bersyukurlah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kebanyakan para wanita dan isteri gemar perhiasan seperti barang kemas. Atas rasa kecintaan dan ingin membahagiakan isteri tersayang, seorang suami sanggup melakukan apa sahaja. Walaupun diri seorang pengemis, lelaki ini sanggup mengumpul duit hasil mengemis untuk membelikan barang kemas sebagai hadiah buat isteri.
Namun di musim pandemik ini, pembelian barangan kemas tersebut bukanlah mudah, apatah lagi rata-rata mengutamakan pembayaran secara online.
Seorang lelaki tua terpaksa berdepan kesukaran membeli barang kemas buat isteri tercinta hanya kerana mahu membayarnya menggunakan wang tunai, lapor laman berita Tribune News, baru-baru ini.
Kumpul Duit Dalam Karung Guni
Kehadiran Januri di dua kedai emas di daerah Ketanggungan, Jawa Tengah telah ditolak oleh pemilik kerana dia mahu membayar barang kemas menggunakan wang dikumpul dalam dua karung guni yang dipikulnya.
Dia bernasib baik apabila kedai ketiga iaitu Kedai Emas Rama menyambut kehadirannya dan melayan dia dengan baik.
Menurut pemilik kedai, Henky, Januri memikul dua karung guni berisi wang kertas bercampur syiling dan memberitahu mahu membeli barang kemas buat isterinya.
“Dua karung guni itu berisi wang berjumlah 6.5 juta rupiah (RM1,867) dan kami menawarkan seutas rantai emas, sebentuk gelang tangan seberat 10 gram serta lapan gram yang memiliki nilai serupa.
Gambar hiasan
“Pak cik itu sangat gembira kerana ada kedai yang menerima wangnya. Dia memberitahu bahawa dia seorang pengemis dan duit hasil mengemis disimpan untuk membeli hadiah buat isteri,” kata Rama.
Tambah Rama, kebanyakan kedai emas menolak kehadiran Januri kerana mereka lebih selesa membuat urusan jual beli secara online di musim pandemik.
Mingguan Wanita : Macam-macam cara untuk bahagiakan isteri. Walaupun diri seorang pengemis, tetap berusaha untuk kumpul duit belikan barang kemas demi isteri bahagia.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Benarlah isteri itu magnet rezeki. Segala jiwa dan raga diserahkan ada suami tercinta. Susah macam mana sekalipun, sanggup harungi. Sentiasa mendoakan yang terbaik untuk suami dan keluarga.
Selalu kita dengar, kalau suami rasa rezeki sempit atau tak tenang. Lihat balik hubungan dengan isteri. Jangan ingat isteri sebagai beban sebab tanpa kita sedar isteri itu magnet rezeki.
Chef Ammar, salah seorang chef kelahiran Palestin yang cukup terkenal dengan menu nasi Arab dan pemilik Chef Ammar Xpress Souk Cafe. Namanya mula viral bila beliau menjual nasi Arab hasil air tangannya dikatakan mahal terutamanya dalam bulan Ramadan.
Banyak kecaman daripada netizen sehinggakan beliau sendiri sedih dan terkesan dengan apa yang dikatakan itu. Walaupun mahal tapi hairannya ramai yang sanggup beratur panjang untuk menadapatkan menu nasi arab hasil air tangannya.
Itulah rezeki. Makin dikecam makin bertambah rezeki. Sebabnya, keikhlasan berniaga kerana Allah. Paling penting adalah sokongan isteri yang sentiasa ada di belakangnya.
Menariknya perkongsian daripada Syahirah Omar ini adalah tentang sisi tepi Chef Ammar yang banyak menceritakan tentang isterinya yang sentiasa teguh di belakang suami.
Antara yang dikongsikan:
Saya sempat menonton live Chef Ammar,
Antara yang buatkan mata saya berkaca bila dia cerita tentang isteri dia.
“Isteri saya orang melayu juga. I sayang dia. Saya turun saya naik dia bersama saya. Saya susah dia ada. Saya ada duit, dia ada. Bukan saya ada duit saya lupa dia, Tidak.
Saya sayang dia. She’s my everything you know? Itu perempuan melayu I kahwin, hidup sayalah. Saya susah dia bersama saya. Saya senang dia bersama saya. Saya sedih dia bersama saya. Saya kaya dia bersama saya. Malam-malam dia comfort I,”
Chef Ammar cerita Allah bagi dia rezeki, kerja, TV Show. Banyak rezeki mencurah-curah.
Sungguh Isteri ni magnet rezeki.
Di sebalik kejayaan seorang suami, pasti ada isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh dibelakangnya. Jika suami baik terhadap isteri, maka mudahlah urusan suami InsyaAllah.
Sentiasa Mendoakan Suami
Seorang isteri takkan pernah lupa mendoakan suami.Seawal pagi isteri sudah siapkan keperluan suami. Itu belum cerita lagi keperluan anak-anak, urusan rumah tangga.
Besar pengorbanan isteri. Banyak urusan yang isteri bantu selesaikan supaya suami tenang keluar mencari rezeki. Tak perlu lagi fikirkan hal anak-anak, makan pakai. Semua sudah tersedia.
Ada isteri yang terpaksa keluar bekerja untuk ringankan beban suami. Boleh bayangkan kepenatan seorang isteri?
Bila suami susah, isteri sentiasa disisi. Tak pernah jemu menyokong dan beri semangat saat jatuh bangun suami. Serumah sebantal, selalunya isterilah yang paling tahu segalanya tentang suami.
Selayaknya isterilah yang perlu dilayan dengan ikhlas dan baik sekali.Jangan sesekali rasa hidup terbeban dengan isteri dan anak-anak.
Jika hidup kita rasa sempit,
Lihatlah bagaimana kita layani isteri kita.Bila kita jaga hubungan dengan isteri dan anak-anak, buatkan mereka gembira, InsyaAllah rezeki pasti datang dengan tak disangka-sangka.
Mingguan Wanita : Betul sangat. Kesetiaan isteri diuji saat suami tiada apa-apa. Kesetiaan suami bila dia ada segalanya.
Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa 'berjuang' tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.