Nekad dah! Anda rasa sudah setakat ini saja anda bersabar dan bertahan dalam rumah tangga yang tak lagi membuatkan anda bahagia. Tapi, benarkah perceraian jalan terbaik untuk anda dan anak-anak? Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. (Facebook/nota emas untuk isteri)

Nekad Pilih Cerai Jalan Terakhir

Kadangkala isu rumah tangga yang dihadapi itu terlalu sukar dan terlalu rumit untuk dileraikan. Ada masanya seperti tidak ada jalan lain lagi yang ada di hadapan kecuali bercerai sebagai pilihan terakhir.

“Walaupun dibenarkan tetapi bercerai adalah perkara halal yang sangat dibenci Allah SWT. Ini sebagaimana yang dalam hadis Rasulullahlah s.a.w.“Perkara halal yang paling Allah benci adalah perceraian.” HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah.

Sudah Nekad Berpisah

Sebagai kaunselor profesional saya selalu berhadapan dengan kes-kes pasangan yang sudah nekad untuk berpisah. Ya, sudah tentu mereka telah memikirkan bahawa itu adalah tindakan terbaik. Sudah tentu saya akan terus bersetuju dahulu dengan niat mereka itu. Siapalah saya untuk masuk campur dan membuat keputusan untuk pihak mereka.

Namun sebelum mereka memuktamadkan tindakan itu, saya akan bertanyakan beberapa perkara. Pertanyaan saya itu umpama cermin sisi kereta yang membawa mereka melihat perkara yang mereka mungkin terlepas pandang. Itulah yang saya mahu kongsikan dalam nota untuk isteri pada minggu ini.

Nekad Bercerai…Stop! Jawab Dulu Dengan Jujur Soalan Ini!Emosi Wanita

IKLAN

Maaf cakap, tetapi mujurlah dalam Islam, kuasa talak itu tidak diberikan kepada isteri. Saya tidak kata semua suami itu sempurna tetapi perasaan dan emosi sebagai perempuan sangat tinggi risikonya kepada talak.

Soalan 1 – Keputusan Bukan Berasaskan Emosi?

Soalan saya yang pertama sekiranya anda telah nekad untuk berpisah adakah anda pasti bahawa itu bukan keputusan yang dikuasai emosi dan perasaan yang negatif? Kena ingat kata orang bijaksana ‘jangan membuat keputusan ketika marah dan jangan memberi ketika suka. Kelak nanti buruk padahnya’.

Soalan 2- Sudah Habiskah Usaha Selamatkan Rumah Tangga?

Soalan kedua ini agak klise. Adakah anda telah melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan keadaan? Sila jawab dengan sejujur hati. Tidak ada orang lain yang boleh memberikan jawapan kecuali diri anda sendiri.

IKLAN

Adakah anda pernah berbincang dengan suami tentang isu yang dihadapi itu? Adakah anda telah berusaha meminta bantuan keluarga? Adakah anda telah berjumpa dan meminta pendapat daripada pihak profesional contohnya kaunselor rumah tangga?

Soalan 3 – Apakah Keputusan Tiada Campur Tangan Pihak Lain?

Soalan ketiga ini berkait dengan soalan kedua tadi. Adakah keputusan anda itu adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh orang lain? Situasi ini selalu berlaku apabila kita meminta nasihat daripada keluarga terdekat. Tidak dinafikan faktor keluarga membuatkan orang yang memberi nasihat itu agak berat sebelah. Kena ingat bahawa ini rumah tangga anda dan bukan rumah tangga mereka. Anda meminta nasihat tetapi pastikan keputusan akhir adalah keputusan anda sendiri.

Akan Tempohi Kehidupan Jauh Berbeza

Pernahkah anda bayangkan bagaimana keadaan selepas bercerai nanti? Sudah pasti berbeza. Kehidupan anda akan berubah dan begitu juga kehidupan anak-anak. Kita bukan hidup dalam dunia kartun yang tiada undang-undang. Adakah perceraian itu akan memaksa anda patuh kepada keputusan mahkamah tentang hak harta dan hak penjagaan anak-anak yang selama ini anda tidak sedar?

IKLAN

Cuba bayangkan sekiranya anak-anak akan tinggal dengan anda selepas bercerai, adakah anda mempunyai keupayaan dan kekuatan mental dan fizikal untuk melaluinya? Adakah anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau merancang untuk bergantung kepada nafkah daripada bakal bekas suami nanti?

Sokongan Orang Terdekat

Bagaimana dengan keadaan sosial anda selepas bercerai? Adakah anda mempunyai keluarga, saudara-mara atau rakan-rakan untuk melalui hari-hari itu nanti? Adakah keluarga bersetuju dengan keputusan anda untuk berpisah dan melindungi anda selepas itu?

Bagaimana pula tanggapan masyarakat dengan status baru anda? Adakah hati anda cukup tabah atau hati anda seperti tisu muka yang mudah koyak apabila terdengar kata-kata nista daripada mulut-mulut celupar yang bakal ditemui?

Benar-benar Yakin?

Sekiranya anda sedang memikirkan dengan serius untuk berpisah dengan suami maka cuba jawab dahulu soalan-soalan dalam nota ini. Adakah anda yakin dengan semua jawapan anda itu?

Perkahwinan adalah perkongsian hidup antara dua insan yang tidak sempurna. Ia perlu dibaiki dan dibetulkan setiap hari. Ia tidak mudah. Seperti jalan menuju ke Jannah Allah…ia tidak mudah!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI