Zizi Kirana ditahan tentera zionis, aktivis terkenal Greta Thunberg juga ditangkap dalam misi Global Sumud Flotilla. Tentera Isreal dilaporkan bertindak agresif dengan menyembur minyak dan mesin air berkelajuan tinggi kepada bot-bot yang menyertai misi Global Sumud Nusantra yang sudah pun memasuki zon merah sekitar pagi tadi waktu Malaysia sebelum dipintas oleh tentera laut Zionis.
Dilaporkan Zizi Kirana dan tujuh lagi rakyat Malaysia telah ditahan secara tidak sah di perairan antarabangsa sekaligus membuktikan Israel bertindak di luar batas undang-undang.
Ketika ditahan Zizi berada di atas kapal Huga yang merupakan sebahagian daripada konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi Sumud Nusantara Official, yang turut memuat naik sebuah video isyarat kecemasan dipercayai dirakam oleh Zizi sendiri.
Pihak berkuasa negara haram itu turut menahan kapal Sirius yang membawa empat delegasi Malaysia iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairuddin dan Rusydi Ramli.Manakala tiga lagi diculik melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil menaiki kapal Alma.
Dalam hantaran video menyaksikan aktivis merayu bantuan bagi memastikan pembebasan mereka dapat dilaporkan.
Setakat ini, sembilan kapal telah diceroboh dan 13 telah dipintas pihak pertahanan rejim Israel. Perkembangan terkini misi dilaporkan secara langsung oleh Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dari Sepang, Selangor. Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran berkenaan.
Dalam pada itu turut dilaporkan, aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg, 22 tahun antara individu yang ditahan. Tentera zionis dilaporkan turut menyiarkan video keadaan Greta yang dilaporkan dalam keadaan selamat.
“Sudah beberapa buah kapal flotilla Hamas-Sumud berjaya dihentikan dengan selamat dan penumpangnya kini sedang dibawa ke pelabuhan Israel,” kata Tel Aviv dalam hantaran mereka.
Penangkapan Greta Thunberg dalam misi ini sudah pasti menjadi tumpuan dunia sekaligus memastikan Israel tunduk dengan bantahan dunia kerana misi Global Sumud Flotilla ini hanyalah misi menghantar bantuan makanan dan ubatan untuk warga Gaza.
Sedikit info, Greta Thunberg ialah aktivis iklim remaja dari Sweden yang mula terkenal pada usia 15 tahun selepas memulakan protes “School Strike for Climate” pada 2018. Aksinya mencetuskan gerakan global Fridays for Future, menggerakkan jutaan anak muda di seluruh dunia untuk mendesak tindakan segera terhadap perubahan iklim.
Sejak itu, Greta menjadi suara lantang di pentas antarabangsa termasuk PBB dan Forum Ekonomi Dunia dengan ucapan tegas yang menegur pemimpin dunia kerana gagal bertindak. Dinobatkan sebagai Time Person of the Year 2019, Greta kini dilihat sebagai simbol generasi muda dalam perjuangan keadilan iklim.