Berita Sosial

Rayuan Ibu Zayn Rayyan Ditolak, Hukuman Penjara 5 Tahun Kekal Kerana Abai Anak

Share

Rayuan ibu Zayn Rayyan ditolak, hukuman penjara 5 tahun kekal kerana abai anaj.

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf hari ini gagal mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anaknya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hisham Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang ketika mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Ismanira, 31.

Mahkamah turut menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman berkenaan selepas berpendapat hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Ismanira adalah memadai.

Memetik laporan Harian Metro, Noor Hisham berkata, mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman serta hujahan bertulis pihak-pihak.

“Tertuduh dihukum atas pengabaiannya sendiri, bukan atas perbuatan jenayah pihak ketiga.

“Hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen bukan sesuatu yang tidak memadai atau jelas berlebihan. Kesimpulannya, dengan hormat, rayuan tertuduh dan rayuan silang pendakwa raya adalah ditolak kedua-duanya,” katanya.

Ismanira Abdul Manaf gagal mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anaknya tiga tahun lalu.
Hukuman Penjara Lima Tahun Dikekalkan

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syaliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Hakim memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan dan Ismanira dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan serta cagaran RM3,000.

Dia juga diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman ditolak dan dikekalkan Mahkamah Tinggi.

Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Kes anak autisme yang hilang ini mencetuskan gempar dalam negara serta pelbagai spekulasi timbul berkaitan kejadian ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartmen berkenaan antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros