
PERLUKAH membayar zakat untuk perhiasan wanita?
Perhiasan wanita wajib zakat? Persoalan ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kaum Hawa, terutama apabila melibatkan emas dan barang kemas yang dimiliki sejak bertahun-tahun. Ada yang memakainya setiap hari, ada juga yang hanya menyimpan tanpa pernah disentuh, namun ramai menganggap semuanya bebas daripada zakat.
Hakikatnya, isu zakat perhiasan wanita bukan perkara remeh kerana ia melibatkan hukum agama dan tanggungjawab sebagai Muslimah. Malah, ulama besar dunia Islam sendiri mengakui wujud perbezaan pandangan dalam kalangan fuqaha mengenai perkara ini.
Menurut ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, dalam kitab Fatawa al-Mu’asirah (Fatwa Masa Kini), para fuqaha sejak dahulu lagi telah berselisih pendapat mengenai kewajipan zakat ke atas perhiasan wanita yang diperbuat daripada emas dan perak.
Ini bermakna, kekeliruan yang berlaku dalam kalangan wanita hari ini bukan tanpa sebab, sebaliknya berpunca daripada perbezaan pandangan mazhab yang muktabar dan diiktiraf dalam Islam.
Mazhab Abu Hanifah berpandangan bahawa zakat wajib dikenakan ke atas semua perhiasan emas dan perak, sama ada ia dipakai atau disimpan, selagi cukup nisab dan haul. Zakat tetap diwajibkan walaupun perhiasan itu digabungkan dengan harta lain.
Namun berbeza pula dengan Mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali. Ketiga-tiga mazhab ini berpendapat bahawa perhiasan yang harus dan digunakan secara kebiasaan oleh wanita tidak diwajibkan zakat kerana ia dianggap sebagai keperluan hidup, bukan harta simpanan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa pendapat inilah yang beliau tarjihkan dan fatwakan selepas menghuraikan dalil-dalil secara terperinci dalam kitab Fiqh al-Zakah.
Menurut beliau, penentuan zakat perhiasan wanita perlu dilihat daripada sudut cara pemilikan dan penggunaan. Secara umum, ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama.
Perhiasan daripada berlian, batu permata dan seumpamanya pada asalnya tidak diwajibkan zakat. Namun, ia boleh menjadi wajib sekiranya dibeli khusus untuk tujuan simpanan, pelaburan atau perdagangan.
Jika emas dimiliki tetapi tidak digunakan, hanya disimpan atau ditinggalkan bertahun-tahun, maka ia dihukumkan sebagai harta simpanan. Dalam keadaan ini, zakat perhiasan wanita menjadi wajib apabila cukup nisab dan haul, sama seperti wang simpanan.
Dalam situasi pemilik asal emas telah meninggal dunia, barang kemas tersebut menjadi harta pusaka dan dimiliki oleh para waris termasuk suami.
Apabila bahagian setiap waris:
maka wajib ke atas setiap waris mengeluarkan zakat mengikut bahagian masing-masing.
Zakat ini perlu dikeluarkan setiap tahun berdasarkan nilai semasa emas, dengan kadar sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah nilai tersebut.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi turut mencadangkan satu amalan yang lebih utama dan bermanfaat, iaitu menjual barang kemas yang tidak digunakan itu dan menjadikannya sebagai sedekah jariah atau wakaf atas nama si mati.
Pahala sedekah jariah ini akan terus mengalir selagi manfaatnya digunakan oleh orang ramai. Para waris yang melaksanakannya juga akan memperoleh ganjaran pahala atas setiap kebaikan yang dilakukan. Allah SWT tidak akan mensia-siakan orang yang berbuat kebaikan.
Secara ringkasnya, tidak semua perhiasan wanita wajib dizakatkan. Namun, perhiasan yang tidak digunakan, disimpan lama atau diwarisi boleh bertukar status menjadi wajib zakat apabila memenuhi syarat.
Sebagai wanita Muslim, bersikap berhati-hati dalam urusan zakat adalah langkah yang lebih selamat. Zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi penyucian harta dan sumber keberkatan dalam kehidupan.
BACA LAGI : Pokok Ufti Emas 24 Dinar, Kejutan Istimewa Suami Buat Erra Fazira
Sumber : Kosmo