
Zaiton Sameon
Bahagia di usia emas, penyanyi legenda Zaiton Sameon tidak lagi mengimpikan kemewahan atau kemasyhuran. Menurutnya, dia hanya memasang satu doa terbesar dalam hidup, iaitu menjadi tetamu Allah di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Ujar Zaiton yang mesra disapa Kak Ton itu, selepas dua kali berpeluang menunaikan umrah, kerinduannya terhadap Mekah semakin menebal dan berharap impian tersebut menjadi hadiah paling bermakna sempena pertambahan usia.
“Untuk hari lahir kali ini, saya berdoa semoga Allah mengizinkan saya menunaikan ibadah haji pula. Memang teringin sangat hendak ke sana kerana sebelum ini saya hanya berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.
“Kalau boleh, saya mahu pergi bersama anak angkat yang selama ini menjaga serta membela saya dengan penuh keikhlasan. Dia sangat baik dengan saya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur dan terus memberikan saya kekuatan.
“Terima kasih kepada semua yang masih meminati saya. Alhamdulillah, sampai hari ini orang masih mengenali Zaiton Sameon,”
katanya.Pelantun lagu Menaruh Harapan itu turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya semakin baik meskipun masih berdepan kesan kecederaan lama pada kaki akibat terjatuh di dalam lif.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Saya banyak berdoa ketika berada di Tanah Suci.
“Untuk kaki pula, keadaannya masih sama seperti dahulu. Kecederaan ini berlaku selepas saya terjatuh di dalam lif,” ujarnya.
Meniti usia 70-an seorang diri tanpa pasangan, pemenang utama AJL 2 itu menolak kemungkinan untuk kembali mendirikan rumah tangga meskipun sering diajukan soalan sedemikian.
“Umur-umur macam ini, kahwin itu saya tidak mahu. Daripada ada suami, lebih baik ada adik. Saya hanya mahu berseronok menikmati hidup.
“Biarlah saya begini, cukuplah dua kali berkahwin sebelum ini. Saya cuma mahu hidup dengan tenang.
“Senang cakap, saya memang tidak perlukan lelaki sebagai teman hidup,” tegasnya.
Begitulah perkongsian hatinya, apa yang penting pelantun lagu Terimalah Aku ini tetapi bahagia dengan cara tersendiri walau tanpa pasangan hidup.
Sumber: Astro Gempak