Zack X-Factor Sanggup Jadi Suri Rumah Demi Anak-anak, Isteri Bertugas Sebagai Tentera Darat

Share

Zack X-Factor sanggup jadi suri rumah demi anak-anak, isteri bertugas sebagai tentera darat. Sudah agak lama menyepi daripada dunia hiburan, pelakon dan penyanyi Zack X-Factor membuat keputusan berani dengan memberi tumpuan penuh sebagai suri rumah sejak dua tahun lalu.

Zack X-Factor Sanggup Jadi Suri Rumah Demi Anak-anak, Isteri Bertugas Sebagai Tentera Darat

Zack atau nama sebenarnya Zachery Francis Abu, 48, menjelaskan, beliau dan isterinya yang bertugas dalam tentera darat perlu membuat pilihan penting berkaitan penjagaan dua anak mereka berusia 10 tahun dan dua tahun.

“Saya pernah hantar anak ke pusat asuhan. Tetapi bila balik rumah saya lihat ada lebam sana sini. Jadi selepas berbincang kami sepakat bahawa salah seorang perlu berhenti kerja dan menjaga anak-anak.

“Jadi saya buat keputusan untuk mengalah dan mengambil alih tugas menjaga anak. Biarlah saya merasa bagaikan rasanya menjaga anak-anak.

“Selepas menjaga anak-anak apa yang boleh saya katakan bukan satu tugas yang mudah. Jika diberi pilihan antara bekerja dan menjaga anak-anak saya akan pilih bekerja,” katanya ketika ditemui di konsert Elite Live ’25 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelakon drama Si Capik itu menegaskan, pasangan yang bergelar suri rumah wajar dihargai kerana tanggungjawab tersebut sangat mencabar.

Katanya lagi, beliau tidak mengambil peduli tentang pandangan orang terhadap pilihannya.
“Saya tak peduli apa orang nak kata. Inilah peluang saya untuk menjaga anak-anak,” ujarnya.

Sepanjang tempoh itu, Zack mengakui banyak menolak tawaran lakonan kerana tidak mahu menjejaskan komitmen produksi.

“Saya tak mahu kelancaran penggambaran terganggu disebabkan saya. Jadi lebih baik tolak daripada membebankan pihak produksi dan diri saya sendiri. Biarlah saya berkorban.

“Awal-awal dulu saya rasa agak berat juga untuk menggalas tugas menjaga anak-anak sepenuh masa kerana tidak tahu bagaimana perjalan hidup. Tak tahu taraf kewangan macam mana sama ada kukuh atau tidak.

“Tetapi saya bernasib baik kerana isteri saya seorang tentera. Soal tempat tinggal tiada masalah kerana kami tinggal di dalam kem. Saya sudah biasa tinggal dalam kem sejak kecil kerana bapa saya merupakan seorang tentera udara,” kongsinya.

Selepas kembali bertemu rakan-rakan lama di pentas konsert Elite baru-baru ini, Zack kini terbuka hati untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Penampilan semula Zack bersama empat anggota X-Factor lain iaitu Danny, Fendi, Shah dan Jim turut mencuri perhatian ramai. Walaupun lama tidak muncul, mereka masih tampil bertenaga dan menghiburkan peminat dengan vokal mantap serta gaya yang segak.

Sumber: Kosmo online

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Has