
Momen indah penuh makna mengalir di wajah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, apabila menyaksikan sendiri anak ketiganya, Maryam Fadhilah Mohd Fadzli, menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam Majlis Khatam al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya.
Maryam, pelajar aliran Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), tampil sebak tatkala majlis berlangsung. Bagi seorang ibu, perjalanan itu bukan sekadar kejayaan akademik, ia adalah simbol ketekunan, sabar dan cinta terhadap kalam Allah.
“Sebenarnya mummy cuba tahan air mata semalam. Tetapi Maryam terus meluru dengan air mata sebak dan terus memeluk mummy,” tulis Fadhlina dalam hantaran penuh emosi di media sosialnya.
“Semoga ALLAH kasihkan Maryam sebagaimana Maryam kasihkan al-Quran. Ya ALLAH, sebaik sahaja mummy memeluk Maryam, terasa kehangatan air mata dan ucapan yang anak mummy tidak mampu zahirkan.”
Suasana majlis bertukar hening hanya esakan dan tangisan syukur yang kedengaran, bukan sahaja dari mereka, tetapi juga seluruh dewan.
Turut berkongsi detik bermakna itu ialah suaminya, Mohd Fadzli Arsad, yang memeluk erat anak mereka dengan penuh bangga.
“Baba menyambut pelukan Maryam dengan tangisan bayna al khauf wa al raja (antara rasa takut dan harap). Takut dengan beban yang Maryam pikul sebagai hamalat al-Quran, dan berharap mudah-mudahan kalimah ALLAH ini kekal sepanjang hayatnya,” titipnya dengan penuh rasa syukur.
Fadhlina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para asatizah yang mendidik dan membimbing anak-anak TMUA dengan penuh dedikasi, serta menghargai peranan semua ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan anak-anak mereka.
“Semoga ALLAH SWT mengganjari nikmat dan keberkatannya buat semua. Allahumm-arhamna bil Quran!”
Menariknya, Maryam menamatkan hafazan 30 juzuknya pada 2 Januari 2024, bertepatan dengan hari ulang tahun kelahirannya, menjadikan detik itu lebih bermakna buat keluarga.
Kejayaan ini menyusul selepas anak sulung Fadhlina, Thurayya Fadhilah, memperoleh 9A dalam SPM 2022, manakala anak keduanya, Sarah, mencatat 8A dalam SPM 2024 menjadikan keluarga ini contoh cemerlang dalam mendidik anak-anak dengan keseimbangan ilmu dunia dan akhirat.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE