Yatt Hamzah Rayu Kerajaan ‘Bantu’ Suami Dibebaskan, 11 Rakyat Malaysia Ditahan

Share

Yatt Hamzah rayu kerajaan ‘bantu’ suami dibebaskan, 11 rakyat Malaysia ditahan. Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah merayu kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap Israel bagi memastikan pembebasan suaminya, Mohd Zulfadhli Khiruddin, yang kini ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Yatt Hamzah Rayu Kerajaan ‘Bantu’ Suami Dibebaskan, 11 Rakyat Malaysia Ditahan

Mohd Zulfadhli antara 12 rakyat Malaysia yang dipintas tentera Zionis di perairan antarabangsa tengah malam tadi. Menurut Yatt atau nama penuhnya Haryati Hamzah, sehingga kini keluarganya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keadaan suaminya selepas kapal yang dinaikinya ditahan.

“Sebagai rakyat Malaysia, seorang isteri, ibu kepada lima orang anak dan menantu kepada kedua ibu bapa suami saya, saya menuntut kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertegas dalam isu ini dan mendesak kerajaan Israel agar segera melepaskan semua tahanan misi kemanusiaan ini dan menghantar mereka pulang dengan selamat,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Beliau turut menggesa orang ramai menyebarkan kenyataan tersebut sebagai usaha memberi tekanan dan mengecam tindakan Israel menahan para aktivis tidak bersenjata yang membawa misi bantuan kemanusiaan.

“Mereka diserbu dan diculik di perairan antarabangsa, ini merupakan satu bentuk jenayah yang wajib dikutuk sekeras-kerasnya,” tegasnya.

Selain itu, Yatt juga meminta seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan kesemua sukarelawan terbabit, malah menyeru agar solat hajat dilakukan demi perlindungan mereka.

Sehingga kini, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan, sembilan lagi masih gagal dikesan manakala dua lagi dilaporkan kapal mereka tidak bergerak.

Sumber: Berita Harian dan Instagram Yatt Hamzah

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has