Watie Mohon Doa, Belum Bersedia Kongsi Berita Kehamilan

Share

“Saya mohon semua pihak untuk mendoakan yang terbaik,” ujar isteri kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, iaitu Watie Hanifiah, 36, apabila spekulasi mengenai dirinya hamil kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Watie memilih untuk tidak mengesahkan mahupun menafikan perkara tersebut kerana masih trauma dengan pengalaman keguguran yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Selepas melalui fasa yang menyayat hati sebelum ini, saya mohon semua pihak untuk mendoakan yang terbaik buat saya. Apa sahaja yang anda nampak pada tubuh saya ini, doakanlah saya sihat. Saya tidak menidakkan apa-apa dan jika mengiyakan pun, doakanlah yang baik-baik. Kita tunggu sahaja jika ada sebarang pengumuman pada masa akan datang,” katanya penuh berhati-hati.

Mengulas lanjut, Watie mengakui pengalaman kehilangan kandungan itu meninggalkan kesan mendalam sehingga kini.

“Insiden itu sentiasa membuatkan saya teringat dan trauma setiap hari. Ada kalanya saya tertanya-tanya, adakah rezeki saya lagi selepas ini? Sebab itu saya berasa takut untuk berkongsi ketika ini. Saya juga tidak mahu menidakkan kerana kata-kata itu juga satu doa. Kalau kita cakap tiada, takut Allah betul-betul ambil nanti.

“Tapi, jika kandungan ini menjadi, saya harap dapat menjadi ibu yang lebih baik, sama ada untuk anak kandung mahupun anak-anak tiri,” luahnya penuh sebak.

Terdahulu, Shuib mencuri perhatian ramai apabila memuat naik foto romantik bersama Watie di Instagram. Dalam gambar tersebut, Watie kelihatan sedang lena di sisi suaminya, namun bentuk ‘baby bump’ yang jelas kelihatan mencetuskan spekulasi dan limpahan ucapan tahniah di ruangan komen.

Untuk rekod, Watie pernah mengalami keguguran ketika hamil anak pertama pada Mei lalu. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023, dua tahun selepas pemergian isteri pertama Shuib yang juga penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pada tahun 2021.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu