Berita Sosial

Wanita Warga Emas Diragut Rantai Leher, Dua Lelaki Naik Motor Yamaha Y15ZR Dikesan

Share

Sudah berumur pun sanggup buat, kasihan nasib warga emas diragut di hadapan sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, Masai.

Kalau merujuk pada gambar dan video yang tular, wanita umur 73 tahun itu sampai tergolek jatuh. Sampai hati sungguh, ramai yang simpati dengan keadaan mak cik itu.

Wanita Warga Emas Diragut Rantai Leher

Jadi sekarang polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut yang berlaku kira-kira jam 5.26 petang.

Menurut perkongsian portal yang dipercayai, mangsa merupakan seorang suri rumah tempatan berusia 73 tahun.

Dua Lelaki Naik Motor Yamaha Y15ZR Dikesan

Siasatan awal mendapati dua suspek menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna putih dengan nombor pendaftaran yang tidak dapat dipastikan telah menghampiri mangsa sebelum pembonceng bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada siku tangan kiri serta bengkak di bahagian kepala. Polis turut mengesahkan menerima satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan atau cuba melakukan rompakan.

Apa yang menyedihkan, sehingga kini kedua-dua suspek masih bebas dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang giat dijalankan.

Jika oang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian, boleh hubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.

Published by
Nadia Mohamad