
Bekerja di tengah hutan, berdepan risiko haiwan liar dan mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri serta ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun bagi Dr Nurzhafarina Othman, semua cabaran itu menjadi penguat semangat untuk terus memperjuangkan kelangsungan gajah pygmy Sabah demi masa depan generasi akan datang.
Atas dedikasi tersebut, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dinobatkan sebagai penerima Outstanding Malaysian Nature Conservationist Award 2025 pada Anugerah Biji Alam.
Pengiktirafan itu bukan sekadar mengiktiraf pencapaian peribadinya, malah menjadi suntikan semangat untuk memperluaskan usaha konservasi gajah pygmy Sabah bersama komuniti setempat, khususnya di Kinabatangan.
Menurut Nurzhafarina yang juga Pengarah Seratu Aatai, penghargaan diterima akan membantu pasukannya meneruskan pelbagai program pendidikan berkaitan keselamatan manusia dan hidupan liar.
“Anugerah ini memberi lebih banyak peluang kepada kami untuk menjalankan aktiviti konservasi gajah, khususnya program pendidikan dan kesedaran di sekolah Humana yang terletak di ladang kelapa sawit sekitar Kinabatangan,” katanya.
Sekolah Humana diwujudkan bagi memberi akses pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang sawit yang tidak berpeluang mengikuti persekolahan di sekolah kerajaan.
Bagi Nurzhafarina, pendidikan merupakan langkah paling berkesan dalam mengurangkan konflik antara manusia dan gajah pygmy Sabah.
Ramai kanak-kanak di kawasan berkenaan membesar berhampiran habitat gajah liar. Mereka sering melihat haiwan tersebut dari dekat, namun masih kurang memahami cara bertindak sekiranya berlaku pertembungan.
Justeru, beliau bersama pasukannya membangunkan modul pembelajaran yang memperkenalkan tingkah laku gajah pygmy Sabah serta langkah keselamatan kepada kanak-kanak sejak usia muda.
“Kami berharap mereka memperoleh kemahiran, pengetahuan dan keyakinan untuk memahami perilaku gajah sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini,” jelasnya.
Idea tersebut tercetus ketika beliau menjalankan penyelidikan lapangan di Sabah.
Menurutnya, keterujaan kanak-kanak melihat gajah membuka matanya bahawa pendidikan konservasi perlu dimulakan sejak kecil.
“Anak-anak ini sangat teruja apabila ternampak gajah, tetapi mereka tidak tahu cara selamat apabila berdepan situasi itu. Dari situ saya sedar pendidikan awal sangat penting,” katanya.
Selepas menerima anugerah berkenaan, Nurzhafarina merancang memperluaskan program ke lebih banyak Sekolah Humana di seluruh Sabah.
Selain sesi pembelajaran secara lapangan, beliau turut bercadang menghasilkan buku aktiviti interaktif yang menerangkan tingkah laku gajah pygmy Sabah dalam bahasa mudah dan menarik.
Menurutnya, pendekatan kreatif seperti permainan dan aktiviti interaktif mampu membantu kanak-kanak memahami mesej konservasi dengan lebih berkesan.
Beliau percaya pendidikan yang dekat dengan dunia kanak-kanak mampu membentuk generasi yang lebih menghargai alam sekitar.
Di sebalik kejayaan dalam bidang konservasi, Nurzhafarina mengakui cabaran mengimbangi kerjaya dan keluarga sentiasa wujud.
Beliau yang menetap di Kota Kinabalu bersama suami, Fauzie Sarjono serta dua cahaya mata berkata sokongan keluarga menjadi kekuatan utama untuk terus bergerak dalam bidang yang mencabar dari segi fizikal dan emosi.
“Sistem sokongan sangat penting terutama daripada suami dan keluarga. Selain itu, perlu sentiasa berdoa, memperbetulkan niat, mengurus masa dengan baik serta menjaga kesihatan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai wanita berani mengejar impian walaupun memilih bidang yang sering didominasi lelaki.
Katanya, nasihat Allahyarham Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood iaitu “Just Do It” menjadi pegangan sehingga hari ini.
Mengulas isu pemindahan tiga ekor gajah Malaysia ke zoo di Jepun baru-baru ini, Nurzhafarina berpandangan masyarakat perlu melihat isu tersebut secara menyeluruh.
Menurutnya, keputusan memindahkan hidupan liar biasanya dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk konflik manusia dan gajah, kecederaan haiwan serta kekangan fasiliti.
Namun beliau menegaskan penyelesaian sebenar bukan sekadar memindahkan haiwan ke kurungan.
Sebaliknya, usaha memelihara gajah pygmy Sabah memerlukan pengurusan habitat yang lebih baik, peningkatan kapasiti penjaga hidupan liar serta usaha menangani fragmentasi habitat akibat perubahan guna tanah.
Baginya, hanya pendekatan menyeluruh mampu memastikan manusia dan hidupan liar dapat terus hidup dalam keseimbangan.
Baca juga: Dr Jihan Alya Antara Rakyat Malaysia Ditahan Dalam Misi Bantuan Gaza, Kisah Doktor Ini Cetus Inspirasi
Baca ini juga: Usia 72 Bukan Halangan Timba Ilmu, Datuk Fauziah Nawi Terima Sijil SKM “Mahu Jadi Sumber Inspirasi Buat Cucu”
Sumber: Berita Harian