
Wanita Nak Kurus
Ada ramai wanita nak kurus keliru mahu meneruskan ambil nasi atau mi apabila keduanya ada depan mata untuk dijamu.
Jadi, kalau anda sendiri dalam situasi ini, mahu ambil nasi atau mi? Macam yang kita tahu, nasi adalah makanan ruji yang menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia.
Kedua-duanya bukan sahaja mudah didapati dan mengenyangkan, malah boleh dihidangkan dalam pelbagai variasi mengikut cita rasa dan budaya tempatan.
Ada yang lebih gemar menikmati nasi sebagai hidangan utama manakala ada juga memilih mi kerana teksturnya yang lembut serta kepelbagaian jenis hidangan.
Namun, masih ramai yang tertanya-tanya sama ada nasi atau mi adalah pilihan yang lebih sihat untuk diamalkan sebagai sebahagian daripada pemakanan harian.
Dari segi kandungan nutrisi, nasi dan mi menjadi sumber utama karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada tubuh.
Karbohidrat penting untuk menyokong pelbagai fungsi tubuh, termasuk aktiviti harian, pergerakan otot dan fungsi otak.
Nasi putih lazimnya, mengandungi karbohidrat yang mudah dihadam serta rendah kandungan lemak.
Mi juga membekalkan karbohidrat, namun kandungan nutrisi boleh berbeza bergantung pada jenis mi yang digunakan.
Bagaimanapun, kaedah penyediaan makanan memainkan peranan yang lebih penting daripada pilihan antara nasi atau mi.
Sebagai contoh, nasi yang dimakan bersama ikan bakar, ayam panggang, sayur-sayuran dan sup merupakan hidangan yang lebih seimbang berbanding mi goreng yang mengandungi banyak minyak, garam dan sos.
Sebaliknya, semangkuk mi sup yang dipenuhi sayur-sayuran serta sumber protein tanpa lemak boleh menjadi pilihan yang lebih sihat berbanding nasi dihidangkan bersama lauk bergoreng, kuah berlemak dan minuman manis.
Selain kaedah penyediaan, saiz hidangan juga perlu diberi perhatian. Walaupun nasi atau mi boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan sihat, pengambilan dalam kuantiti yang berlebihan tetap boleh meningkatkan jumlah kalori harian.
Pengambilan kalori yang melebihi keperluan tubuh secara berterusan boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan serta meningkatkan risiko pelbagai penyakit.
Jadi pengambilan makanan secara sederhana dan mengikut keperluan tenaga individu, langkah yang lebih penting berbanding mengelakkan salah satu jenis makanan tersebut.
Bagi mereka yang ingin meningkatkan kualiti pemakanan, pilihan bijirin penuh boleh dipertimbangkan.
Sebagai contoh, beras perang mengandungi lebih banyak serat, vitamin dan mineral berbanding nasi putih.
Serat membantu memberikan rasa kenyang yang lebih lama serta menyokong kesihatan sistem pencernaan.
Begitu juga dengan mi yang diperbuat daripada bijirin penuh atau gandum penuh yang lazimnya mengandungi lebih banyak serat berbanding mi biasa.
Namun, tiada jawapan yang mutlak sama ada nasi lebih sihat daripada mi atau sebaliknya.
Kedua-duanya boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan seimbang jika diambil dalam kuantiti sesuai serta dipadankan dengan lauk yang berkhasiat.
Apa yang lebih penting ialah cara penyediaan makanan, pemilihan bahan yang berkualiti dan amalan pemakanan secara sederhana. Dengan membuat pilihan makanan yang bijak setiap hari, kita bukan sahaja dapat menikmati hidangan kegemaran, malah dapat mengekalkan kesihatan tubuh untuk jangka masa panjang.
Sumber: Berita Harian