
Gambar Ihsan Muhammad Abd Rahman: Nur Shahidah berkhidmat sebagai jurutera keselamatan nuklear di Perancis sejak Oktober 2025.
Wanita Muslim Malaysia cipta sejarah apabila Dr Nur Shahidah Abdul Rashid muncul sebagai satu-satunya jurutera keselamatan nuklear dari Malaysia yang berkhidmat di Perancis. Kejayaan anak kelahiran Malaysia ini menembusi bidang kejuruteraan nuklear antarabangsa bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengangkat imej wanita Muslim di mata dunia.
Pada usia 34 tahun, Dr Nur Shahidah membuktikan bahawa status sebagai wanita Muslim dan ibu kepada seorang cahaya mata bukan penghalang untuk melangkah jauh dalam kerjaya berprofil tinggi. Malah, peranan sebagai ibu menjadi sumber kekuatan untuk terus berani mencabar diri di bumi asing.
“Saya bangga dan terharu kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di sini. Tapi rasa takut dan gementar pun ada kerana bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan agama di mata dunia,” ujar beliau.
Kini, Dr Nur Shahidah berkhidmat sebagai Jurutera Keselamatan Nuklear di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection (ASNR), iaitu autoriti nuklear Perancis. Kepakaran beliau menjadikannya satu-satunya rakyat Malaysia yang berkhidmat di agensi berprestij tersebut sejak Oktober tahun lalu.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Nuklear Lanjutan dalam Pengurusan Sisa Radioaktif dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi (POSTECH), Korea Selatan. Dr Nur Shahidah meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, apatah lagi menyedari peluang tersebut bukan mudah diperoleh.
Keputusan berhijrah ke Perancis dibuat selepas tamat tempoh berpantang anak sulung. Bagi Dr Nur Shahidah, pengalaman merantau bukan perkara baharu kerana sebelum ini beliau pernah menetap hampir tujuh tahun di Korea Selatan dan lebih setahun di Vienna, Austria.
“Bezanya kali ini bukan belajar, tetapi bekerja. Namun saya bersyukur kerana suami dan anak lelaki berusia lapan bulan turut bersama di Perancis,” katanya.
Sokongan suami, Muhammad Abdul Rahman Ismail, 34, menjadi penguat semangat utama selepas hampir sembilan tahun berkahwin dan hidup berjauhan sebelum ini.
Di ASNR, Dr Nur Shahidah terlibat secara langsung dalam pengendalian dan semakan lesen reaktor modular kecil serta reaktor modular termaju. Beliau turut menjalankan analisis dan simulasi pencemaran radionuklid serta bahan kimia toksik terhadap alam sekitar dan manusia menggunakan perisian SYMBIOSE.
Selain itu, beliau juga merangka pelan pengurusan keselamatan alam sekitar dan manusia serta terlibat dalam projek sampingan pengendalian lesen pembinaan Cigéo, iaitu repositori geologi dalaman untuk sisa radioaktif.
Mengakui bekerja dalam sistem kerajaan Perancis bukan sesuatu yang mudah, Dr Nur Shahidah memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja, bahasa dan sistem dokumentasi.
“Perlu membaca banyak dokumen terjemahan dari bahasa Perancis ke bahasa Inggeris serta belajar berkomunikasi secara efektif dalam pasukan antarabangsa,” jelasnya.
Walaupun dipilih oleh ASNR, tanggungjawab beliau bukan hanya kepada Perancis, tetapi turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai negara lain.
Walaupun sering disalah anggap kerana penampilan muda dan sederhana, Dr Nur Shahidah pernah bekerjasama dengan institusi besar seperti Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Kajian Tenaga Atom Korea (KAERI).
“Sebagai isteri dan wanita Muslim, saya sentiasa berusaha menjaga nama baik Malaysia dan imej Islam di mata dunia,” katanya.
Baru-baru ini, Dr Nur Shahidah dicalonkan dalam senarai simpanan Pegawai Pelindung di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Jika diberi peluang, beliau berhasrat untuk kembali mencurah bakti kepada negara.
Kisah Dr Nur Shahidah menjadi inspirasi besar bahawa wanita Muslim dan ibu mampu berjaya di peringkat global tanpa mengorbankan prinsip, keluarga dan jati diri. Ia adalah bukti nyata bahawa wanita Muslim Malaysia mampu berdiri sebaris dengan pakar dunia dalam bidang berisiko tinggi dan berprestij.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro