Minatnya untuk mengenali agama Islam sudah terbit sejak daripada kecil lagi. meskipun usia baru sahaja 10 tahun, Ang Kwai Leng, tercari-cari erti sebenar dalam kehidupan. Hidup bermasyarakat yang kebanyakannya dikelilingi orang Melayu sedikit sebanyak membuatkan wanita yang lebih dikenali dengan nama Jennifer ini meneruskan pencarian untuk mencari agama yang sebenar untuk dianutinya.
Persoalan
Banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya ketika itu, penyelidikan yang dibuat tentang agama Allah membuatkan dia sedar bahawa patung-patung berhala yang selama ini menjadi kiblat ketuhanan agama yang dianuti oleh dirinya itu bukanlah Tuhan yang sebenar.
Lantas sedikit demi sedikit, wanita yang kini sudah berusia 45 belajar tentang Islam. Dicarinya ustazah dan ustaz untuk belajar solat, bertanya pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya yang ketika itu masih lagi muda. Tapi ternyata hidayah Allah masih belum menjadi miliknya, mungkin sahaja faktor umur yang masih setahun jagung membuatkan Jennifer masih lagi tercari-cari erti kehidupan yang sebenar menerusi agama yang boleh dipercayainya.
“Sejak kecil saya ada banyak persoalan tentang Islam. Saya banyak bertanya kepada ustazah dan juga ustaz di sekolah. Saya belajar solat, saya belajar banyak benda tentang Islam dan dari situlah saya mula sedar bahawa patung-patung berhala yang disembah itu semua bukanlah tuhan.
“Namun pencarian saya tidak terhenti di situ sahaja. Saya mula membuat penyelidikan tentang agama Kristian pula. Saya banyak pergi ke gereja-gereja untuk kenal sendiri agama tersebut. Tapi ternyata pencarian saya masih belum sampai ke penghujungnya. Walaupun begitu, dari pemerhatian dan penilaian saya, apa yang boleh saya katakan Islam adalah agama terbaik yang tersemat di hati saya.
Turut mempunyai seorang abang yang juga merupakan seorang Mualaf yang telah terdahulu mengenali Islam sebelum dirinya. Dari situlah Jennifer banyak belajar dan mendengar tentang agama Allah sekali gus menguatkan lagi minatnya untuk terus mendalami Islam.
“Pencarian saya tentang agama seakan tiada jawapan. Tapi hidayah Allah belum betul-betul datang kepada saya. Namun saya bersyukur kerana mempunyai seorang abang yang telah lama memeluk Islam sebelum saya. Dalam tempoh saya mencari agama sebenar untuk saya jadikan pedoman hidup, saya belajar banyak benda tentang Islam menerusi abang kandung saya.
“Dialah yang banyak mengajar tentang indahnya Islam, tentang kisah-kisah Nabi dan Rasul, tentang Umrah dan Haji serta banyak lagi. sedikit sebanyak membuatkan hati saya bertambah teruja untuk terus mengenali Islam,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
Ads
Banyak Dugaan Yang Perlu Ditempuh
Sebelum memeluk Islam, Jennifer sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup, pasangannya dahulu tidak pernah membantah dan tidak pernah mendorong untuk dia belajar tentang Islam, tapi kerana hatinya yang bagaikan sudah terpikat dengan agama suci ini, Jennifer teruskan jua.
Keterujaan Jennifer kali ini tidak seperti dahulu, terasa lebih dekat dan ingin terus mendalami Islam. Dia mula mencari maklumat dalam internet, di media sosial dan juga medium-medium lain tentang kelas-kelas agama, persidangan tentang Islam dan banyak lagi. Dia juga banyak meminta tunjuk ajar dari sahabat-sahabat berbangsa Melayu yang tidak lokek berkongsi ilmu yang ada selain meminta tunjuk ajar dari abangnya itu.
Setelah lama mencari, akhirnya Jennifer bertemu jawapan
Namun pencariannya itu bukanlah jalan mudah yang perlu Jennifer lalui, ditambah pula dengan pasangannya yang ketika itu tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan dirinya berhijrah ke agama Allah. Keadaan sekeliling dan juga di tempat dia bekerja nampaknya tidak memberikan respons yang positif untuk Jennifer memeluk agama fitrah ini memandangkan rata-rata rakan sekerjanya tidak beragama Islam.
“Dalam usaha untuk saya belajar tentang Islam, memang banyak dugaan yang perlu saya tempuhi terutama dengan bekas suami dan juga rakan sekerja. Bekas suami tahu saya belajar tentang Islam tapi dia pernah minta saya berjanji supaya tidak bertukar agama barulah dia izinkan. Sebelum masuk Islam lagi saya sudah mula belajar Al-Quran, saya ke masjid selepas Isyak untuk hadiri kelas-kelas agama dan banyak lagi.
Ads
“Tempat kerja saya tak ramai muslim dan lebih mengeruhkan keadaan adalah majikan saya yang seakan anti dengan Islam. Jadi apa yang saya buat saya perlu sembunyi-sembunyi dan tidak terlalu mendedahkan bahawa saya minat dengan Islam.
“Alhamdulillah niat saya untuk belajar tentang Islam dan seterusnya menjadi seorang muslim akhirnya menjadi kenyataan. Walau banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuhi, tapi semua itu bagaikan dipermudahkan. Pada 5 Mei 2017 saya secara rasminya menjadi seorang muslimah setelah mengucapkan Kalimah Syahadah pada 1 Mei tahun lalu dengan menukar nama kepada Nur Hidayah Ang dan masih mengekalkan nama sebenar dalam kad pengenalan,” jelasnya penuh kesyukuran.
Ibu turut memeluk Islam
Pada hari yang sama Jennifer mengucapkan syahadah, dia berpindah dari rumahnya ke rumah jiran sebelah yang kebetulan tinggal sendirian. Dia terpaksa membawa ibunya yang sudah uzur bersama-sama demi menjaga ibunya itu. Meskipun tidak seagama, tanggungjawab terhadap ibu tercinta tidak dilupakan begitu sahaja.
Tiga bulan setelah bergelar seorang muslimah, tiada tanda-tanda bahawa bekas suaminya bakal mengikut jejak langkah Jennifer untuk memeluk Islam. Mengikut undang-undang syariah, setelah tempoh tersebut Jennifer dan pasangan perlu berpisah. Kedua anaknya yang kecil dibawa bersama tinggal di bilik yang disewanya bersama ibu. Manakala anak sulungnya kekal bersama ayahnya. Namun semua itu ada hikmahnya, ibunya juga akhirnya memeluk Islam setelah melihat banyak perubahan positif terhadap anaknya itu.
Ads
“Pada hari saya memeluk Islam saya pindah ke rumah jiran yang kebetulan tinggal seorang. Saya bawa ibu saya bersama kerana dia sudah uzur dan berusia. Dua anak yang kecil juga saya bawa bersama manakala yang sulung masih lagi tinggal bersama ayahnya. Pada mulanya ibu saya agak marah dengan saya, namun melihatkan perubahan pada diri saya setelah belajar mengenali Islam, dia reda.
Ibunya juga memeluk Islam tidak lama selepas Jennifer
“Lebih menggembirakan hati saya juga apabila ibu saya juga akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam seminggu selepas pengislaman saya. Ramadan dan Syawal tahun lalu memang satu kenangan indah buat saya dan ibu kerana kami dapat bersama-sama menyambutnya. Walau tidak sesempurna orang Islam yang lain, tapi kami cuba untuk buat yang terbaik. Tapi hayat ibu saya tidak panjang, pada Oktober tahun lalu dia telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Sedih memang sedih kerana ibulah sumber kekuatan dan semangat saya, namun dalam masa yang sama saya bersyukur kepada Allah kerana ibu juga mendapat hidayah di penghujung hayatnya dan meninggal sebagai seorang muslim,” kongsi wanita cekal ini lagi.
Jodoh baru
Dalam usaha untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, Jennifer terus mengikuti kelas-kelas agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain dan banyak lagi. Dalam penghijrahannya itulah dia bertemu seorang jejaka yang kini menjadi imamnya yang sah. Hanan Mok Abdullah, 56, jodoh baru yang dititipkan Allah buat Jennifer juga seorang mualaf yang telah lapan tahun bergelar seorang muslim. Menurut Jennifer, suaminya itulah yang banyak membimbing dan mengajar tentang Islam kepada dirinya yang masih lagi bertatih.
Suami yang kini banyak membimbing
“Setelah memeluk Islam, saya memang mencari seseorang yang dapat membimbing saya untuk menjadi muslim yang baik. Syukur Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan dipertemukan dengan suami saya kini. Dia banyak membantu dan membimbing saya mengenali lebih dekat tentang Islam. Dari dia juga saya belajar untuk menutup aurat dengan betul, makan makanan yang suci dan halal dan banyak lagi. Kalau ada perkara yang kami berdua tidak tahu, kami sama-sama belajar. Saya berharap dengan bimbingan dan tunjuk ajar suami, Insya-Allah kami berdua dapat jadi muslim yang lebih baik,” ulasnya lagi.
Seorang ibu pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, kini dua orang anaknya yang kecil tinggal bersama Jennifer, harapannya dengan ajaran yang diterapkan semoga suatu hari nanti anak-anaknya juga mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam dan menjadi seorang muslim sepertinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah kita dulu selalu beri pesanan pada anak-anaknya. Jika mahu berjalan ke mana-mana, balik rumah sebelum maghrib.
Anak-anak patuh mengikut. Peredaran zaman menenggelamkan pesanan sebegini. Malah, menjadi alah bisa tegal biasa pula segelintir anak-anak keluar baik waktu maghrib mahupun selepas maghrib.
Ini pesanan Ustazah Asma’ Harun tentang kenapa disarankan sebelum maghrib pastikan dah balik rumah.
Balik Rumah Sebelum Maghrib
“Sebelum maghrib pastikan dah balik rumah”.
Zaman dahulu, ibu ayah kita biasa pesan seperti ini. Jangan balik lewat maghrib. Apabila maghrib pastikan sudah balik dan mandi, pastikan tutup pintu dan tingkap.
Sebenarnya ungkapan mereka adalah berasas di dalam agama kita. Daripada Jabir r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Daripada hadis ini, ada 3 pesanan yang Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada kita:
1. Tahanlah anak-anak ketika maghrib daripada berada di luar rumah. 2. Tutuplah pintu-pintu rumah. 3. Sebutlah nama Allah.
Subhanallah. Bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada sebab dan alasannya.
Sahabat, saya ingin kongsikan doa yang sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan. Doa ini adalah petikan daripada Surah al -Mukminun ayat 97 dan 98.
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ
Maksudnya : “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan”.
وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya : “Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”
(Surah al-Mukminun: 97-98)
Doa ini tidaklah terikat pada sesuatu masa untuk dibaca. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan.
Semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.
Biarpun sudah berusia 40 tahun dan telah memiliki 3 orang anak, wanita yang berasal dari Indonesia ini kekal cantik bergaya seperti orang muda.
Kecantikan dan kejelitaannya menjadi tular di internet kerana walaupun telah mencapai usia 40 tahun, dirinya kelihatan seperti anak gadis saja melalui cara berfesyen dan berpakaian.
Berusia 40 Tahun, Miliki 3 Anak
Seorang wanita di Indonesia menjadi sensasi internet kerana memiliki rupa paras yang jelita dan berpenampilan seperti gadis berusia 20-an meskipun telah mempunyai tiga orang anak, lapor portal berita Hitekno hari ini.
Menerusi hantaran di TikTok, wanita berusia 40 tahun yang menggunakan nama @melissa.kusjanto itu berkongsikan klip video ketika dia sedang membeli-belah.
Wanita Ini Kekal Cantik
“Kalau berjalan sendiri, sering disalah anggap seperti gadis berusia 20-an,” katanya pada keterangan video tersebut.
Video itu menjadi tular dengan menerima lebih 1.1 juta kali tontonan dan lebih 64,000 tanda suka.
Cantik Bergaya Seperti Orang Muda
Sementara itu, menerusi beberapa hantaran lain sebelum ini, wanita berkenaan turut berkongsikan butiran pada kad pengenalan dirinya yang memaparkan tarikh lahirnya pada tahun 1981.
Video-videonya dibanjiri dengan banyak komen daripada netizen yang memuji penampilannya yang kelihatan seperti gadis berusia 20-an.
“Dia kelihatan muda kerana pandai bergaya dan berhias,” kata seorang netizen.
“Mungkin juga ia disebabkan oleh duit suami,” komen seorang lagi. – Agensi
Mingguan Wanita : Sebenarnya usia tidak membawa makna apa-apa, sebaliknya hiduplah mengikut cara dan keselesaan mak-mak. Tak perlu mengikut cara hidup orang lain, kerana setiap wanita punyai hak untuk bahagia dengan cara sendiri.
Dapur, salah satu tempat yang paling banyak masa mak-mak habiskan dalam sehari. Tak kurang juga sebagai tempat terapi mak-mak untuk dapat idea untuk masak. Bermula awal pagi sampailah waktu malam.
Agak pelik bila ada dapur tapi tak digunakan sebaiknya. Lagi teruk, dapur cantik sekadar untuk hiasan saja. Sayangnya bila beli kelengkapan mahal, hiasan cantik tapi tak digunakan.
Namun, ada juga mak-mak merasakan dapur menjadi tempat terapi dan boleh jadi sakit mata kalau tengok dapur bersepah. Sedangkan rutin seharian mak-mak tentulah berada di dapur.
Tak salah pun untuk mak-mak melabur sedikit bagi memastikan dapur cantik dan selesa. Tak perlu melabur yang berlebihan, ikut kemampuan. Paling penting, selesa dan menjadi tempat terapi mak-mak sehari-hari.
Bagi sesetengah orang, memasak adalah rutin harian dan ada sesetengah lainnya, memasak ni satu bentuk ekspresi diri.
Ada orang ke dapur (untuk memasak) kerana rindukan seseorang. Dia akan masak masakan yang kerap dimasak atau digemari oleh orang yang dirindui itu.
Ada orang ke dapur bila nak luahkan perasan terima kasih serta penghargaan pada kenalan, atau perasaan kasih dan sayang pada ahli keluarga.
Kadang-kadang ada yang ke dapur kerana untuk cuba benda baru, nak bereksperimentasi, atau nak teroka kreativiti diri.
Malah ada juga yang ke dapur untuk lupakan masalah, atau melepaskan tekanan yang dialami. Lepas tung tang tung tang di dapur, lega sikit rasa.
Pendek kata, ia salah satu saluran untuk luahkan isi hati dan perasaan secara bukan verbal (lisan). Ia juga terapi untuk merawat jiwa.
Hanya orang yang pernah ke dapur sahaja faham benda ni. Dapur adalah medan kesenian dan pemulihan rohani.
Oleh itu, saya percaya, dalam setiap rumah, tempat atau ruang yang paling perlu diberi berikan pelaburan adalah dapur.
Dapur Untuk Keselesaan
Tidaklah bermaksud kena buat dapur mahal-mahal, beralas marmar, ketuhar tercanggih, atau berkelengapan macam di dapur hotel.
Cukuplah dapur yang selesa, bersih dan ada kelengkapan yang sesuai. Kalau boleh suasananya yang tidak terperuk atau melemaskan. Itu pun dah cukup baik.
Memandangkan kaum hawa yang lazimnya buat aktiviti memasak ni, maka para suami selalu terlepas pandang keperluan dan kepentingan sebuah dapur yang kondusif.
Dahulu saya pernah kata bahawa meja makan adalah pusat pentadbiran dan pengurusan sesebuah keluarga, kini saya beritahu pula bahawa dapur adalah pusat rawatan dan pemulihan sesebuah keluarga.
Makanan yang menampung kesihatan keluarga kita, letak di mana? Ubat-ubatan letak di mana? Di dapur, kan?
Bayangkan kalau dapur sebuah rumah dalam keadaan yang memberangsangkan, bagaimana agaknya keadaan kesihatan dan kebajikan ahli keluarga rumah itu?
Pastinya turut tak memberangsangkan, kan?
Oleh itu, selagi mana dapur tak capai tahap memuaskan, perlu lupakan dahulu set stereo untuk ruang tamu, garaj kereta canggih, atau bilik koleksi Hotwheels kau orang.
Lupakan!
Laburkan duit tu untuk buat dapur. Pasti tak menyesal. Pasti! Kesihatan fizikal, mental dan rohani seisi rumah terjamin.
Mingguan Wanita : Kalau dah dapur cantik, jangan tak guna pula.