Berita Sosial

Wanita Ditahan Di Nigeria Bawa 31Kg Dadah, Dianiaya Anak Sendiri Yang Taja Percutian

Share

Wanita ditahan di Nigeria bawa 31kg dadah, dianiaya anak sendiri yang taja percutian.

Anak sepatutnya menjadi tempat seorang ibu menumpang bahagia pada usia senja. Namun bagi seorang wanita berusia 63 tahun ini, perjalanan yang didakwa ditaja anak perempuannya sendiri akhirnya membawa dirinya ke detik paling getir apabila ditahan pihak berkuasa Nigeria.

Wanita dikenali sebagai Ting Hung Kiong itu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos.

Wanita Ditahan Di Nigeria Bawa 31Kg Dadah

Ting Hung Kiong ditahan di Nigeria dan ketika pemeriksaan mendapati dirinya membawa 31kg dadah

Menurut laporan The Guardian Nigeria, suspek yang memiliki status warga Malaysia naturalisasi ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) pada 17 Mei lalu sebaik tiba di terminal ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Difahamkan, wanita itu tiba di Nigeria menaiki penerbangan Emirates dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dakwa Perjalanan Ditaja Anak Perempuan

Siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum meneruskan penerbangan ke Nigeria dengan membawa dua bagasi besar.

Hasil pemeriksaan mendapati bagasi berkenaan mengandungi 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud.

Ketika disoal siasat, wanita itu mendakwa perjalanan tersebut ditaja oleh anak perempuannya. Dia juga dilaporkan berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria.

Dakwaan itu membuatkan kes ini menjadi lebih menyayat hati. Pada usia 63 tahun, ketika kebanyakan ibu mahu menikmati kehidupan dengan lebih tenang, wanita ini pula terperangkap di negara asing dan berdepan siasatan kes dadah yang serius.

Lebih pilu, insan yang didakwanya menaja perjalanan itu ialah anak sendiri, darah daging yang suatu ketika dahulu dibesarkan dengan kasih seorang ibu.

Ting Hung Kiong tidak menyangka percutian yang ditaja anak akhirnya menjerat diri sendiri di mana dirinya ditahan pihak berkuasa pada usia 63 tahun

PDRM Cari Anak Suspek

Kes ini turut mendapat perhatian di Malaysia apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang mengesan anak wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat dakwaan wanita tersebut, termasuk bagaimana dia boleh menerima bagasi yang mengandungi bahan terlarang itu sebelum berlepas ke Nigeria.

Rampasan Dadah Bernilai Jutaan Ringgit

Dalam operasi berasingan, NDLEA turut merampas sejumlah besar bahan terlarang lain termasuk lebih 1.8 juta pil opioid jenis Tapentadol 250mg.

Rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira 2.19 bilion naira, bersamaan lebih RM6 juta.

Seorang lagi suspek turut ditahan di lapangan terbang berasingan selepas dipercayai cuba menyeludup kokain yang disembunyikan dalam badan ketika dalam perjalanan ke luar negara.

Wajah ibu tua yang awalnya berasa gembira bercuti namun berakhir ditahan pihak berkuasa kerana membawa 31kg dadah

Operasi Banteras Dadah Diperhebat

NDLEA memaklumkan beberapa siri operasi di beberapa negeri termasuk Lagos, Edo, Ekiti dan Kano turut membawa kepada rampasan besar dadah serta penahanan beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Pihak berkuasa Nigeria kini terus mempertingkatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah yang didapati semakin berleluasa melalui laluan udara dan kurier antarabangsa.

Bagi wanita berusia 63 tahun itu, perjalanan yang pada awalnya didakwa ditaja anak sendiri kini bertukar menjadi episod hitam. Sama ada dia benar-benar menjadi mangsa keadaan atau sebaliknya, semuanya masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Namun kisah ini tetap meninggalkan rasa sebak. Seorang ibu yang sepatutnya menikmati usia tua dengan tenang, kini berdepan hari-hari sukar jauh dari tanah air.

Published by
Almaswa Haji Che Ros