
Seorang lelaki berusia 50 tahun diberkas pihak polis selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun dan merogol seorang wanita di kawasan Hutan Simpan Similajau, di sini, pada 29 Oktober lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang Selasa oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hasil risikan yang dijalankan selama lima hari. Penahanan dibuat di sebuah kawasan awam di Sibu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali, berkata maklumat yang diperoleh daripada orang awam serta tindakan pantas anggota siasatan membawa kepada kejayaan menahan suspek berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, suspek menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya mangsa yang berusia 20 tahun dengan menawarkan bantuan kewangan.
“Suspek kemudian membawa mangsa ke lokasi kejadian lalu merampas telefon bimbit sebelum merogolnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Nixon, lelaki terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/376 serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun, merogol dan menyamar sebagai penjawat awam.
Beliau turut mengingatkan masyarakat, khususnya golongan wanita, agar sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan.
Nixon menasihatkan, “Orang awam perlu berhati-hati dan jangan mudah mempercayai individu yang mendakwa diri mereka penjawat awam tanpa pengesahan yang sah.”
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE