Sungguh malang tidak berbau.Siapa sangka walaupun dirumah sendiri masih berisiko untuk mendapat serangan haiwan berbisa. Menjadi kelaziman ular habitatnya adalah di semak samun mahupun kawasan hutan. Namun atas faktor cuaca yang panas, reptilia ini mencari kawasan yang sesuai seperti mangkuk tandas untuk menumpang teduh.
Punggung Dipatuk Ular Sawa
Seorang wanita dari Brisbane, Australia cedera ringan selepas punggungnya digigit seekor ular sawa jenis carpet ketika dia menggunakan tandas di sebuah kediaman ahli keluarganya di sini baru-baru ini.
Mangsa, Helen Richards, 59, menyatakan, dia melompat selepas terkena satu gigitan mengejut. Sebaik menoleh ke belakang untuk melihat apa yang berlaku, dia menyatakan ada satu objek seakan-akan penyu jenis long neck di dalam mangkuk tandas duduk itu.
“Saya terasa seperti terkena satu tusukan tajam sebelum terus melompat dan melihat objek seperti penyu jenis long neck di dalam mangkuk tandas,” katanya kepada akhbar The Courier Mail.
Ads
Ular Tidak Berbisa
Menurut laporan, ular berukuran sepanjang 1.5 meter(5 kaki) itu tidak tergolong dalam kategori reptilia berbisa dan ditangkap seorang pengendali ular.
Ads
Penangkap ular itu, Jasmine Zeleny menyatakan, reptilia itu mungkin takut selepas laluan untuk keluar ditutup lalu dan bertindak mematuk mangsa.
Ular sawa carpet itu dikatakan mencari kawasan berair termasuk di dalam mangkuk tandas ketika cuaca panas melanda Australia.
MW: Jadikan kisah ini satu pengajaran iya. Terutama jika kawasan rumah berhampiran semak, area pendalaman kena periksa dahulu mangkuk tandas mahupun kawasan sekitarnya untuk elakkan serangan haiwan berbisa seperti ini.
Kebanyakan perempuan selepas berkahwin dunianya hanya pada suami dan anak-anak.Sehinggakan terlepas pandang dengan hubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama. Tak mudah nak luangkan masa sama-sama dan berkongsi cerita dengan kawan-kawan, tidak kurang ada yang terus menyepi dan ‘hilang’ dari radar selepas mendirikan rumahtangga.
Mungkin ada yang bersetuju dengan luahan yang wanita ini kongsikan dan sedang berada didalam situasi yang sama.
Assalamualaikum dan hai semua. Terima kasih admin sebab siar confession saya.
Semalam cukup 15 majlis perkahwinan kawan-kawan yang aku hadiri sejak tamat belajar ni. Aku cuma nak luah apa yang aku rasa.Aku mula rasa sunyi. Seriously sunyi. Sunyi bukan sebab sorang-sorang dah tamatkan zaman bujang tapi sebab aku mula rasa diorang makin jauh.
Kawan sekolah kahwin, aku pergi, kawan zaman universiti aku kahwin, aku pergi. Utara selatan, timur barat semua aku redah. Macam gigih gila kan aku pergi. Sanggup naik bas lompat. Sanggup pergi jauh-jauh kawasan pedalaman semata-mata nak tengok kawan aku nikah. Walaupun bila dah kerja masing-masing busy. Dah takda masa nak lepak. Main balas whatsApp pun weekend baru meriah. kalau weekday memang sendu tak terkata.. haha.. Masa yang menjarakkan tak jadi penghalang untuk aku hadir majlis kahwin diorang.
Entahlah, waktu tu aku cuma fikir inilah saat terakhir aku akan jumpa kawan aku, gila-gila dengan title bujang. Nanti dia dah kahwin, semua tu dah takda. Sebab tu aku pejam mata duit keluar banyak. Aku pejam mata bila kepenatan. Pernah aku sampai termenung sorang diri dekat stesen bas sebab nak balik tapi tiket dah habis. Hahaha.. Kelakar kalau ingat balik. Pergi dah selamat, tapi aku lupa cari tiket balik.. Hehe. Punyalah kelam kabut.
Aku cuma nak tengok kawan aku bahagia bila majlis dia ramai kawan-kawan datang. Lagi-lagi kawan rapat. Aku tau ramai ‘spesis’ macam ni, zaman nak habis belajar nangis-nangis waktu nak berpisah. Siap janji kahwin nanti jemput. Nak datang rai sama-sama. Tapi hakikatnya bila sampai masa, ramai diam seribu. Semua dah busy. Takda maknanya nak ambik cuti sebab kawan yang dah makin jauh. Sebab aku taknak jadi ‘spesis’ macam ni, aku usaha jugak untuk pergi.
Lepas 15 perkahwinan aku pergi, aku makin sunyi. Yang dulu jadi geng pergi majlis kahwin, terus jadi diam bila dia pun dah selamat kahwin. Serius aku rasa sunyi. Waktu dia kahwin, dalam group meriah bincang macam mana nak pergi. Nak pergi awal, spend masa sama-sama before dia selamat jadi milik orang lain. Tapi lepastu, dia pun sama hilang dari radar dalam group tu. Aku syak satu hari nanti aku tanya soalan dalam group aku sendiri yang kena jawab. #foreveralone
Aku tak salahkan diorang pun. Maybe itulah maksud orang kata perempuan bila dah kahwin dunia dia hanya suami dan anak-anak. Aku pujuk hati nak faham walaupun aku rindu nak baca komen diorang walaupun dengan sepatah perkataan dekat group. Ke memang orang dah kahwin, suami tak benarkan balas whatsapp group kawan-kawan? At least respon lah kalau ada jemputan kahwin. Boleh datang ke, tak boleh ke. Suami tak bagi ke, morning sickness ke, kucing nak beranak ke apa. Haa, terus aku emo bila teringat bab ni.. Hahaha.
Aku tak tau lah aku sorang ke rasa atau ramai rasa macam ni. Makin sunyi bila sorang-sorang kahwin dan hilangkan diri dari radar.
Nasihat aku,
Perempuan ni sensitif. Macam mana dulu-dulu kau nak kawan-kawan datang meriahkan majlis kau, begitu jugak dengan kawan-kawan bila time diorang tiba. Walaupun kau terpaksa bawak suami dan anak-anak datang, percayalah hati kawan kau dah sangat bahagia bila kau dapat raikan mereka walaupun kau tak dapat bermalam, chit chat sama-sama, paksa bride to be stay up semata-mata nak bergosip last before ubah title.. hehe.
Dia dah cukup bahagia bila tengok kau sanggup dukung anak datang nak raikan dia walaupun sekejap. Seriously, aku tengok kawan aku bahagia sangat bila kawan kami sanggup datang jauh-jauh sambil dukung anak semalam. Walaupun dia takda waktu gosip time kami malam sebelum akad nikah.. hahaha
Pada lelaki bergelar suami, benarkanlah isteri spend masa last dengan kawan-kawan dia before kawan dia kahwin. Selagi mana isteri pandai jaga batas-batas dan jaga maruah korang sebagai suami, izinkanlah. Dulu kalian kahwin ada kawan-kawan sanggup datang jauh meriahkan majlis korang, gembirakan hati isteri korang. Its time untuk bagi kawan isteri rasa perkara yang sama. Please.. Aku yakin isteri korang pun rindu nak spend time dengan kawan-kawan dia macam waktu bujang dulu.
Yang hadir majlis kahwin, jangan harap kawan yang kahwin layan kau sepanjang masa. Dia busy layan tetamu. At the end kau kena pandai-pandai bawak diri. Sebab tu better pergi awal. Bermalam kat sana, baru boleh jadi gila-gila sama-sama.
Yang kahwin, tolong hargai kawan kau yang datang dekat ke jauh ke sebab bukan semua orang sanggup susah payah datang majlis kahwin korang.
Dan 8 bulan lagi aku akan kahwin. Dan kawan-kawan aku tak perlu risau. In shaa Allah, aku takkan berkecik hati jika kalian tak dapat datang. Aku memahami kesusahan naik turun bas, badan penat, duit keluar banyak dan macam-macam lagi sebab aku pernah laluinya. Aku faham tak semua orang sanggup buat macam aku buat. Even aku ada kawan, kalau tau susah nak pergi terus tiba-tiba dia ada kerja. Kalau cakap carpool ramai-ramai. Cepat je beratur jadi orang pertama.. haha.
Apa-apa pun aku tetap bahagia hadir majlis korang walaupun sekarang aku rasa makin sunyi.
Semoga kalian semua bahagia hingga ke syurga dan dikurniakan anak yang soleh dan solehah. In shaa Allah, aku yakin Allah akan hantar orang lain untuk meriahkan majlis aku nanti.
– Cik bunga
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Renung-renungkan luahan perkongsian ini.Mungkin betul juga apa yang diluahkan, kebanyakan wanita bila dah kahwin, perhatian akan lebih tertumpu pada keluarga, suami dan anak-anak kadangkala terlepas pandang dengan persahabatan kawan-kawan lama.
Pesanan buat para wanita, elakkanlah memandu seorang diri pada waktu malam kerana terdedah dengan ancaman bahaya yang tak dapat dijangka.Ini kerana wanita yang memandu bersendirian sering menjadi sasaran dan mangsa untuk diserang dan dikejar perompak terutamanya di malam hari. Apabila situasi sebegini berlaku, jangan mudah panik sebaliknya boleh bertindaklah dengan tenang dan bijak.
Pengalaman yang dilalui oleh Ustazah Asma Harun, terselamat daripada diserang dan dikejar perompak yang menaiki motorsikal baru-baru ini, semoga menjadi pengajaran dan panduan buat wanita lain.
Jemput baca perkongsian yang ustazah ini kongsikan;
Malam tadi, ia benar-benar berlaku ke atas saya, tidak pernah terfikir dan terbayang.
Tiada Daya dan Upaya. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah sebaik-baik pelindung.
Lokasi kuliyah daripada rumah tak jauh, dalam 5km shj. Lebih kurang jam 8.20 malam, dan memang ketika memandu malam tadi beberapa kali saya tekan lock semua pintu, lebih daripada biasa, Allah dah beri rasa tu.
Melalui satu selekoh biasa, sekilas pandang ada perasan sebuah motor dan pemandu di atasnya tepi jalan. Mungkin dari situ saya diekori. Sampai penghujung jalan saya perlu menunggu sebuah kereta dihadapan untuk membelok ke kanan. Jalan ni memang sibuk dan memakan masa untuk dapat membelok.
Allahu Akbar. Seorang lelaki badan tegap bertopi keledar gelap berdiri disebelah pintu penumpang sebelah kiri menarik-narik pintu. Dia turun daripada motor. Saya tak nampak samada seorang atau berdua. Tiba-tiba ada kereta di belakang dan dia cepat-cepat kembali ke motornya.
Ketika itu hanya rasa takut dan kaku. Mengambil masa yang lama untuk membelok ke kanan walaupun ada ruang. Akhirnya pedal minyak ditekan perlahan menuju lokasi dalam keadaan rasa yakin tidak diekori. Saya parking belakang sekali pada deretan kereta. Saya tak perasan suasana sunyi di situ. Itu satu kesilapan besar apabila kita dah menjadi target. Sepatutnya saya ke kawasan ramai orang atau ke balai polis berdekatan.
Saya kaku dan membatu, cuba tenangkan diri. Syukurnya saya tidak terus keluar. Tiba-tiba, ya Allah.. Saya nampak kelibat yang sama daripada belakang menerusi cermin depan sedang menuju ke arah kereta. Saya terus menekan hon sekuat hati, namun dia dengan laju datang dan menghempas kuat batang besi yang agak besar pada tingkap sebelah kiri.
Ketika itu, dengan sisa tenang dan kekuatan yang ada saya reverse, untuk mengambil ruang agar tidak melanggar kereta depan yang saya parking agak rapat. Terus minyak ditekan laju dan masuk mengejut ke kawasan kuliyah.
Syukur saya tidak melanggar sesiapa. Pandangan masa tu memang kabur. Gelap rasa semuanya. Rasa nak pitam dan adrenaline memang tahap maksimum. Ramai yang keluar untuk melihat apa yang berlaku kerana mendengar kuatnya dentuman pukulan ke arah cermin kereta. Allahu Akbar, cermin tu sedikitpun tidak pecah atau retak.
Allah.. Allah.. Allah.. Itu sahaja kalimah yang mampu keluar. Allah ya Hafiz ya Muhaimin. Dialah sebaik-baik yang menjaga dan memelihara kita. Kita sangat lemah dan tidak berdaya sedikitpun.
Sebenarnya sangat jarang saya keluar malam seorang diri, biasanya suami akan hantar dan jemput daripada lokasi kuliyah/ceramah. Namun malam tadi suami di Terengganu, balik emergency dan saya tetap perlu hadir jemputan yang dah lama diatur. Saya percaya ramai wanita perlu melalui keadaan seperti ini lagi-lagi yang tinggal berjauhan dengan suami. Moga Allah sentiasa melindungi kalian.
Wanita yang memandu seorang diri memang menjadi sasaran utama penjenayah, jangan sesekali rasa selesa kerana sudah biasa. Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Samada siang atau malam. Contohnya suri rumah yang hantar anak-anak ke sekolah, kerana anda mungkin akan pulang seorang diri, tak mustahil ada yang memerhati dan mengekori sehingga anda turun daripada kereta untuk diserang hendap.
Sebaik sahaja masuk kereta terus lock semua pintu. Walaupun jalan biasa atau lokasi yang dituju sangat dekat. Lock sahaja, ia percuma. Tapi mampu menyelamatkan nyawa dan harta.
Elakkan meletakkan handbag atau seumpamanya di tempat yang mudah dilihat terutamanya seat sebelah, namun handphone pastikan diletakkn di tempat yang mudah dicapai.
Jika diserang seperti saya di atas, bunyikan hon sekuatnya agak membantu, walaupun penyerang tidak lari tapi sekurangnya dia mula panic kerana kita menunjukkan tindakbalas. Memang selama ni saya set dalam kepala jika berlaku situasi begini saya akan tekan hon sekuatnya.
Ketenangan dan sedikit keberanian sangat penting. Ketakutan melampau, kelam kabut dan panic akan memberi kemenangan awal kepada penyerang. Saya mungkin sahaja tekan minyak dan melanggar kuat kereta depan, atau hanya menjerit ketakutan. Disinilah saya sedar betapa penting kita memberi bayangan awal kepada fikiran kita, jika berlaku begini akan buat begini. Dan saya memang kuat buat khayalan.
Jika anda dilanggar daripada mana-mana arah, jangan terlalu cepat turun daripada kereta untuk melihat kerosakan. Lagi pula jika tempat tersebut agak sunyi. Pelanggaran tersebut mungkin dirancang.
Bila sampai di lokasi atau di rumah jangan terus turun daripada kereta, contohnya untuk membuka pintu pagar dll. Pastikan semuanya selamat dan tiada sesiapa yang mengekori.
Ini sangat penting dan yang paling utama. Hakikatnya Allah ya Hafiz ya Muhaimin Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi kita setiap saat. Bukan kecanggihan kereta atau keberanian kita bertindak. Maka jangan sesekali lupa untuk memulakan perjalanan dengan doa,
Maksudnya, “Segala Puji dan Maha Suci bagi Allah, yang memudahkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kepada Tuhan kamilah kami akan kembali (di hari Kiamat).
Surah Az-Zukhruf, Ayat 13-14
Tambahkan dengan zikir..
Ya Allah Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi, jaga dan awasilah perjalananku daripada awal hingga pulang kembali dalam kesejahteraanmu ya Salaam.
Ingat dan berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى semoga perjalanan kita selamat.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun 64: Ayat ke-11)
Saya masih lagi terasa kesan trauma hingga saat ini. Tadi ada bawa kereta di siang hari. Bila ada motor yang nak melalui atau berhenti ketika di lampu isyarat. Debaran tu memang tak boleh dikawal.
Catatan pengalaman,
Silakan share sebagai pengajaran dan panduan,
Asma’ binti Harun.
27 Januari 2019
Kejadian berlaku 26 Jan 2019 jam 8.25mlm.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, terutama buat para wanita yang sering memandu seorang diri. Jadikan pengalaman yang ustazah ini alami sebagai satu pengajaran dan perbanyakkanlah berdoa agar diri sentiasa selamat didalam perjalanan dan bahaya yang menimpa.
Baru-baru ini tersebarnya mesej dilaman sosial arahan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun keluar rumah pada waktu malam.Ia menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang menyambut baik saranan ini, terutamannya golongan mak ayah dan ada yang sebaliknya.
Namun penyebaran mesej dan arahan tersebut sebenarnya adalah PALSU!.Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan ada mengeluarkan sebarang arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, maklumat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan sebelum ini seperti yang didakwa.
“KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berkaitan maklumat berhubung perkara tersebut. Pihak kementerian memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya.
Sementara itu, KPWKM memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan.
“Pihak kementerian turut meminta orang ramai untuk membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu perkara,” katanya.
Sebelum ini, satu mesej tular di aplikasi Whatsapp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta.
Dalam mesej itu, kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun (13 hingga 16 tahun) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi pukul 10 malam, manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi pukul 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan.
MW: Peringatan buat kita, agar semak dahulu setiap maklumat yang diperolehi. Pastikan benar-benar sahih sebelum disebarkan. Apa-apa pun, jika saranan menghalang remaja bawah 18 tahun ini keluar malam berjaya dilakukan ia satu tindakan wajar yang harus disambut baik oleh mak ayah.
Dalam diam ada isteri yang buat pertandingan suami siapa yang paling kaya, tak cukup itu ada pula yang jenis tayang semua hal rumah tangga ke media sosial.