Kekeluargaan

Wajah Seiras, Nama Panggilan Sama Dengan Anak Kandung, Wanita Teruja Bertemu Dengan Qisya, Anak Sulung Mangsa Sungai Korok

Share

Wajah seiras, nama panggilan sama dengan anak kandung, wanita teruja bertemu dengan Qisya, anak sulung mangsa Sungai Korok. Sekali pandang, ramai yang terkesima melihat wajah Nureen Keisya Adelea Mohamad Yazid yang seiras dengan arwah Puteri Qisya Nur Izzat, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam tragedi menyayat hati enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra.

Wajah Seiras, Nama Panggilan Sama Dengan Anak Kandung, Wanita Teruja Bertemu Dengan Qisya, Anak Sulung Mangsa Sungai Korok

Bukan hanya wajah yang hampir sama, kedua-dua kanak-kanak ini juga berkongsi nama panggilan yang serupa serta umur yang sama iaitu 12 tahun.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita bernama Nurul Hidayah Ab Basir, 38 tahun, menerusi satu hantaran yang meraih perhatian ramai di TikTok.

Menurut penjawat awam dari Alor Setar ini, perasaan sebaknya tidak dapat dibendung apabila melihat sendiri wajah Puteri Qisya Nur Izzat buat pertama kali. Pertemuan itu berlaku selepas beliau terdorong untuk menziarahi kanak-kanak tersebut sebaik mengetahui kisah tragis yang menimpa keluarganya.

“Apabila saya melihat wajah Putri Qisya, saya terkenangkan anak saya. Memang serupa dari segi paras rupa, warna kulit, ketinggian dan nama. Saya rasa macam dia anak saya.

“Selain nama panggilan mereka sama, nama saya juga sama dengan Allahyarham ibunya, Nurul Hidayah dan saya kata kepadanya, dia boleh panggil saya ‘mummy’.

“Ini percaturan ALLAH yang tidak terjangka,” katanya.

Tambah beliau lagi, pertemuan itu telah membuka pintu hatinya untuk terus menjalin hubungan dengan Puteri Qisya, malah beliau berharap agar anak itu dapat bersekolah di tempat yang sama dengan anaknya pada tahun hadapan.

Secara tidak langsung, Nurul Hidayah dapat memantau perkembangan Puteri Qisya dengan lebih dekat.

“Seorang wanita tidak lari dengan sifat keibuan, apatah lagi melihat seorang anak kehilangan tempat berpaut.

“Saya tumpang bersedih dengan kejadian yang berlaku kepada dia dan mendoakan anak ini sentiasa berada dalam lindungan dan jagaan orang baik,” katanya lagi.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan insiden tragis membabitkan enam sekeluarga yang hilang selepas menginap di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman pada 5 Julai lalu. Kesemua mereka ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok.

Mangsa tragedi tersebut ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat orang anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar. Kesemua jenazah telah disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang, Jerlun sekitar jam 11.50 malam pada hari Isnin.

Sumber: Sinar Harian TikTok Nurul abbasir

Baca artikel lain juga: Tragedi Sungai Korok, “Semalam Qisya Pakai Baju Arwah Uminya, Mungkin Dia Rindu Nenek Qisya

Tragedi Sungai Korok, Keluarga Teruskan Perniagaan Roti Canai Arwah Suami, Isteri

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has