Wanita dilahirkan dengan sikap sensitif dan juga penuh kelembutan. Namun tidak semua wanita begitu, kadang-kadang wujud jua wanita yang kasar sikapnya, pemarah ekoran daripada salah asuhan atau trauma yang pernah dilalui sejak kecil.

Tetapi sikap kasar dan pemarah ini tidaklah memberi impak negatif semata-mata kepada pasangan suami, isteri. Kadang kala mendirikan rumah tangga, sikap ini makin berubah mengikut peredaran waktu. Bagi suami yang kurang bertuah, sikap isteri makin buruk dan sukar diramal apabila emosinya terganggu.

Menurut Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, secara umumnya, isteri melawan perintah suami adalah dikira derhaka. Isteri melenting dan pemarah menyebabkan suami terasa hati juga boleh termasuk dalam bentuk derhaka, kerana ingkar perintah suami yang tidak bercanggah dengan syarak adalah dikira derhaka.

Begitu juga, ada hadis yang mafhumnya, “Jika isteri tidur dengan keadaan menyakitkan hati suaminya, maka ia dilaknat oleh malaikat sepanjang tidurnya”.

Walaubagaimanapun, tambah Dr Mohd Noor, kita boleh uruskan hubungan dalam kehidupan kita agar kita sama-sama rasa bahagia dan terhindar daripada isteri derhaka mahupun suami zalim. Jika suami baik dan ma’ruf dengan isterinya, dengan cara membahagiakan isterinya, tiada sebab untuk isteri melenting, pemarah dan melawan.

Tetapi isteri juga tidak boleh menjadikan alasan suami tidak romantik menyebabkannya marah-marah dan melawan, kerana hukumnya tetap derhaka. Sebagai isteri, elakkan melawan, suburkan rasa hormat dengan memujuk hati tentang pengorbanan suami, kesungguhan suami untuk menjadi suami yang baik. Di samping kesudian suami mengambil kita yang banyak kekurangan dan sebagainya. Melenting pastinya tidak akan berlaku dalam keadaan kita mentaati atau menghormati suami.

IKLAN

Hindarkan Sikap Marah Untuk Bahagia

Situasi begini berlaku disebabkan oleh kedua-dua pihak. Bila suami zalim, isteri mudah marah-marah. Bila perangai isteri mudah melenting, suami akan mudah bertindak zalim tanpa rasa bersalah.

Jelas Dr Mohd Noor lagi, kuncinya adalah kita perlu berubah. Siapa yang peru berubah dahulu? Jawapannya kita! Sampai bila kita perlu berubah untuk pasangan kita berubah juga? Jawapannya sampai bila-bila, demi mengembalikan kebahagiaan yang hilang.

IKLAN

“Tidak dinafikan kadangkala perubahan yang diambil memerlukan masa. Namun yakin, jika kita berjaya ubah, kita membahagiakan pasangan kita. Pasangan kita yang bahagia tidak lagi perlu utk menyakitkan hati kita. Perkara ini berlaku secara berpasangan, jadi penyelesaiannya juga perlu diselesaikan secara berpasangan untuk lebih cepat berkesan,”ujarnya lagi.

Fahami Fitrah, Tidak Perlu Lagi Jadi Pemarah

Perkara ini jika dibiarkan berlarutan, lama-kelamaan akan menyebabkan hubungan menjadi semakin hambar, jauh dan salah faham berterusan. Secara tidak langsung, situasi tegang ini akan menghasilkan kebosanan dan kekosongan dalam diri. Kemudiannya, mudah berlaku kecurangan dan sebagainya.

IKLAN

“Kita mungkin rasa biasa, tetapi fitrah suami kita yang mengimpikan isteri yang baik, cantik, cerdik, menghormatinya sebagai ketua keluarga. Kadangkala tidak mampu bertahan terlalu lama , menyebabkan akhirnya mula berubah arah dengan wanita lain yang lebih lemah lembut, manja dan memahami serta membahagikannya.”

“Memang betul, kadangkala bagi isteri, marah-marah atau melawan bukannya bermaksud menentang ataupun derhaka kepada suami tetapi lebih kepada menarik perhatian. Cuma jangan keterlaluan kerana dibimbangi suami tidak memahami mesej yang disampaikan. Bimbang  kalau-kalau suami tersilap mengambil keputusan yang merugikan keduanya. Sebagai solusi, suami dan isteri perlulah memahami fitrah ciptaan pasangan masing-masing,” nasihati Dr Mohd Noor lagi.

Selain itu, pasangan yang mengalami situasi ini disarankan,
1. Kita sebagai suami wajib melayan isteri dengan menujukkan kasih sayang kepada isteri, romantik, bertoleransi dan mengalah dengan menghargai apa yg isteri sukai. Secara tidak langsung, bila isteri bergembira dan bahagia, lebih mudah untuk menasihati dan mendidik isteri.

2. Manakala nasihat untuk sang isteri, tunjukkan rasa hormat kepada suami, tunjukkan kita percaya kepadanya, berkorban dan mengalah dengan hormat serta gembira dengan apa yang suami sukakan. Kesannya, suami tidak lagi terasa untuk menyakiti hati isteri yang membahagiakannya. Jadi secara tidak langsung, kita pun tidak ada lagi mempunyai sebab untuk marah-marah dan melawan.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI