Sebelum kahwin, dok tanya bilakah aku nak kahwin. Macam-macamlah berangannya. Tapi bila masa dah berdua, harungi pahit manis ditambah pula bila ada anak-anak, timbul rasa mengeluh dengan kehidupan ini.Jangan sesekali menyesal dengan aturan yang Allah berikan ini. Semuanya telah ditentukan. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat hari ini dan lalui dengan penuh keseronokan.

Malah, setiap kita yang normal ingin menikmati keseronokan dalam hidup berkeluarga. Keseronokan ini berhubung dengan soal hati, perasaan dan pengalaman hidup seharian dalam kalangan pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga.

Dengan adanya suasana keseronokan hidup berkeluarga, seseorang itu akan sentiasa bermotivasi untuk pulang ke rumah, berehat di dalam rumah, beriadah di rumah, menghiasi rumah. Namun timbul persoalan iaitu “banyak yang ingin seronok hidup berkeluarga namun tidak bersikap menyeronokkan ahli keluarganya. Ini yang dikupaskan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.

Usah Mengeluh Urus Keluarga. Bila Kita Ikhlas, Baru Tahu Seronoknya Hidup Berumahtangga

 Kenapa Tidak Seronok?

Kata pepatah orang Inggeris ada menyebutkan being happy doesn’t mean that everything is perfect. Sebagai manusia biasa, kita bukan maksum (terjamin bebas daripada lakukan salah dan dosa). Justeru, kita semua mesti bersikap baik hati, empati dan sabar dengan kelemahan orang lain khususnya oleh pasangan hidup dan juga kalangan anak-anak kita.

IKLAN

Terdapat beberapa punca wujud gejala rasa tidak seronok hidup berkeluarga adalah disebabkan oleh soal hati, pemikiran dan tingkah laku. Di antara perkara berkaitannya yang menyebabkan timbul gejala tidak seronok hidup berkeluarga ialah;

  1. Niat tidak betul (Iradiyyah) – Misalnya berkahwin dengan niat untuk merampas, mencuri atau merompak harta bakal suami atau isteri.

  2. Ilmu tidak cukup – Di antara ilmu penting sebelum mendirikan rumah tangga ialah ilmu munakahat, kepimpinan keibubapaan, psikologi lelaki dan wanita, personaliti dinamik suami isteri mithali dan kesantunan berbahasa dalam hidup berkeluarga.

  3. Konsep kendiri lemah – Konsep kendiri lemah misalnya tidak miliki jiwa beragama, tidak menghayati sunnah Nabi s.a.w, hidup bermatlamatkan hiburan, wang, kepuasan nafsu dan kecantikan semata-mata.

  4. Hati busuk – Ia akan menyerlahkan imej seorang yang pendengki, pengadu domba, prejudis akan bakat dan rezeki orang lain, menangguhkan kerja, penuh muslihat, kesumat dan menjadikan diri sendiri dan orang lain yang mendampinginya rasa tidak seronok dan tidak bahagia.

  5. Sikap individualistik – Orang begini hidupnya mementingkan keutamaan diri, kepuasan diri dan keuntungan dirinya sendiri sahaja. Lawan sikap individualistik ialah sikap yang prihatin yang menimbulkan nilai empati, bertanggungjawab dan penyayang.

Bukan mudah untuk membasmi gejala tidak seronok hidup berkeluarga ini kerana ia melibatkan soal hati, perasaan, kepercayaan dan budaya hidup seseorang setiap hari. Apabila bersikap baik, ia memberi impak positif kepada perwujudan keseronokan hidup berkeluarga buat beliau seisi keluarga.

Seronoknya Hidup Berkeluarga

Bila kita rasa seronok dengan keluarga dan kehidupan kita, secara tidak langsung:

IKLAN
  1. Badan sihat yang menjadikan seseorang itu kekal berdisiplin memelihara solat dan ibadah lain dalam bentuk berjemaah.
  2. Adanya sokongan daripada setiap ahli dalam institusi keluarga yang akrab, saling tolong menolong dan hormat menghormati di antara satu dengan yang lain.
  3. Adanya ketua keluarga yang miliki sahsiah terpuji, personaliti yang mampan dalam aspek membina dan membawa hala tuju setiap ahli keluarga ke mana sahaja.
  4. Memiliki minda dan akal fikiran yang normal dan sihat
  5. Jiwa yang bersih, sihat dan berfokus kepada membina daya usaha yang gigih untuk mencapai impian yang telah dibina.

Tenteram & Bahagia

Dari segi psikologi, mereka yang alami ketidakseronokan dalam hidup berkeluarga khususnya alami krisis dengan pasangan masing-masing akan melakukan “represi” iaitu sengaja melupakan kepahitan hidup yang sedang dialaminya. Mereka yang melakukan “represi” akan cenderung untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti yang menguntungkan diri misalnya melukis, berniaga, bersukan, berkebun dan seumpamanya.

Menurut Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas (1995) pula menyatakan bahawa keseronokan hidup seseorang yang akan menyumbang ke arah keluarga yang bahagia itu terdiri daripada tiga perkara iaitu:

IKLAN
  1. Aspek diri (Nafsiyyah ) – Memiliki tubuh badan yang sihat dan sempurna, bebas daripada penyakit berbahaya.

  2. Aspek badan (badaniyyah) – Memiliki imej diri yang baik, wajah yang menarik, keterampilan yang berkarisma dan berwibawa.

  3. Aspek luar diri manusia (Kharijiyyah) – Memiliki harta benda yang mencukupi dan membantu diri seseorang itu menikmati kelangsungan hidup dengan sempurna dan bahagia.

 KESIMPULAN

Perasaan seronok dalam menikmati hidup berkeluarga setiap hari amat penting. Ia boleh menjana kesihatan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseronokan lawannya kesedihan. Kesedihan hidup yang berpanjangan mengundang masalah kendiri dari segi kesihatan mental, emosi dan batin.

Jika tidak dirawat dan dicegah, ia boleh mengundang krisis psikososial yang lebih besar misalnya isu peningkatan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat, keganasan dalam rumah tangga dan adanya isteri atau suami yang rasa tidak selamat hidup dalam rumah sendiri.

Realitinya, keseronokan hidup berkeluarga juga boleh dirancang sama ada sebelum mahupun selepas berkahwin. Ia banyak bermula daripada niat dan tindakan yang ikhlas dan betul. Dalam banyak perkara, golongan lelaki selaku suami mesti memainkan peranan penting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia Suami yang baik bukan sahaja hebat memimpin ummah malah sepatutnya hebat memimpin setiap ahli dalam rumahnya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI