
Uqasha Senrose sudah beri peluang 4 tahun untuk Kamal Adli berubah, “malangnya tiada & ia memudaratkan mental saya. Pelakon Uqasha Senrose kekal dengan pendirian untuk bercerai dengan suaminya, Kamal Adli kerana sudah memberikan peluang selama empat tahun lebih untuk memperbaiki rumahtangga mereka tetapi dia tidak melihat adanya usaha dari suaminya untuk memperbaiki hubungan malah menyia-yiakannya.
Uqasha atau nama lengkapanya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33 berkata, peluang yang diberikan kepada suaminya cukup lama tetapi akhirnya tidak perubahan dan memudaratkan mental dirinya.
“Empat tahun saya sudah berusaha untuk perbaiki rumah tangga ini. Saya cuba sedaya upaya. Saya cuba bukan tak cuba. Malah saya sudah berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk bantu saya perbaiki dan pertahankan perkahwinan kami.
“Tetapi, tiada perubahan langsung oleh Kamal. Saya masih ada ibu bapa, adik-beradik, saya perlu beritahu keluarga apa yang terjadi dalam rumah tangga saya. Saya berbincang dan kedua-dua keluarga sudah berbincang untuk beri peluang lagi kepada Kamal. Namun peluang itu dipersia-siakan.
“Setelah dipersiakan, saya rasa adalah terbaik untuk saya dan anak, Hawra Uqaira 19 bulan keluar dari kemelut yang memudaratkan mental dan fizikal saya serta anak. Jadi saya nekad untuk berpisah.Tindakan ini bukan tindakan tergesa-gesa dari saya sebaliknya sudah lama difikirkan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.
Memandangkan tiada kesefahaman antara keduanya di mana Kamal Adli bertegas untuk mempertahankan rumahtangganya dan masih berusaha memenangi kembali hati isterinya, peguam syarie Muhammad Syazmee Sapian yang mewakili Uqasha menjelaskan, kedua-dua pihak akan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi berbincang sebelum prosiding seterusnya pada 18 Disember depan.
“Hari ini adalah prosiding ketiga dan masing-masing membawa wakil JKP. Akan ada satu tarikh untuk berjumpa di JAWI bagi berbincang. Perjumpaan JAWI akan berlangsung terlebih dahulu sebelum prosiding seterusnya iaitu pada 18 Disember depan,” ujarnya.
Berkenaan dakwaan sukar bertemu anak, Muhammad Syazmee Sapian menyangkal dakwaan yang dinyatakan oleh pelakon terbabit.
“Bagi isu anak, pihak kami percaya bahawa sebenarnya perjumpaan sudah pun berlaku. Kamal sudah berjumpa anaknya, siap pergi ke kedai kopi, bawa berjalan dan sebagainya pada 10 November lalu.
Hakikatnya, perkara itu dibincangkan bersama adik Uqasha jadi mereka dibawa berjumpa di satu kedai kopi. Bukannya terjumpa, bukannya tak sengaja, bukannya tidak dirancang, memang dirancang untuk berjumpa dengan anak tersebut.
Jadi, dakwaan bahawa tak bagi jumpa anak itu tidak betul. Hakikatnya, Kamal memang sudah berjumpa anak pada hari itu.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka. Kedua pasangan artis popular ini mendirikan rumahtangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang selepas Kamal melamar Uqasha secara terbuka di hadapan ribuan orang dalam satu program hiburan.