“Ummi & Abah Tak Dapat Hadir, Tapi Reda…” — Pilu Pengkebumian Pelajar UM Yang Meninggal Dunia Ketika Ibu Bapa Di Tanah Suci

Share

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Pasir Gudang apabila jenazah pelajar Universiti Malaya (UM), Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, selamat dikebumikan tanpa kehadiran kedua ibu bapanya yang ketika itu masih berada di Mekah.

Arwah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari kediaman kolejnya di UM, disemadikan dengan penuh hiba diiringi doa dan linangan air mata adik-beradiknya.

Abangnya, Ahmad Auf Mohd Ali, 35, berkata seluruh keluarga reda dengan ketentuan ini, meskipun sukar menerima hakikat bahawa ummi dan abah tidak dapat berada di sisi untuk memberikan penghormatan terakhir.

Foto: BERNAMA

“Ummi dan abah kini berada di Mekah bertugas sebagai mutawif membawa jemaah umrah sejak 7 Oktober lalu. Mereka sempat mengikuti proses bedah siasat dan solat jenazah di UM pagi tadi menerusi penstriman langsung sebelum menaiki penerbangan pulang jam 2 petang tadi,” katanya sebak.

Difahamkan, kedua ibu bapa arwah, Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A. Rahman, 61, dijangka tiba di KLIA sekitar 12.30 tengah malam.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/kes-penuntut-um-diklasifikasikan-kematian-mengejut/?

Ahmad Auf, yang merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik, berkata ibu bapanya berhasrat untuk pulang lebih awal bagi menatap wajah anak mereka buat kali terakhir, namun urusan penerbangan yang ketat di Tanah Suci menyebabkan niat itu tidak kesampaian.

“Mereka reda, sebab Arif pergi pada hari Jumaat, hari yang mulia. Tapi tetap terasa kehilangan itu… sebab ummi dan abah sangat rapat dengan dia,” katanya.

Jenazah Allahyarham disemadikan dengan penuh penghormatan dan doa, disaksikan oleh ahli keluarga serta sahabat terdekat.

Universiti Malaya turut merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham Ahmad Arif Zawir Bin Mohd Ali, mahasiswa tahun 4, Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham.

Ringkas Kronologi

  • 7 Okt: Ibu bapa Allahyarham berangkat ke Tanah Suci sebagai mutawif.

  • Jumaat (hari kejadian): Allahyarham terjatuh di kolej kediaman UM; keluarga di Makkah dimaklumkan selepas solat Jumaat.

  • Sabtu (petang): Pengebumian di Mutmainnah Cahaya Masai.

  • Sabtu (2.00 ptg): Penerbangan ibu bapa pulang; tiba 12.30 tgh malam di KLIA (jadual baharu).

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu